UCAP UTAMA
SEMINAR PENGURUSAN PEMBANGUNAN ISLAM
21 SEPTEMBER 2000

KE ARAH PENGURUSAN
PEMBANGUNAN ISLAM

Prof Madya Dr Muhammad Syukri Salleh
Ketua, Projek Pengurusan Pembangunan Islam (IDMP)
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia
 
 

PENDAHULUAN

Secara umum, pembangunan mempunyai konotasi positif. Dalam pemahaman lazim, pembangunan kebanyakannya dihubungkan dengan ukuran-ukuran kuantitatif seperti peningkatan produktiviti, peningkatan pendapatan per kapita, peningkatan keluaran negara kasar, peningkatan kadar pertumbuhan dan peningkatan penggunaan[1]. Kalau pun ada perkiraan-perkiraan yang lebih kompleks yang menghubungkaitkan pembangunan ekonomi ini dengan unsur-unsur sosial, budaya dan politik, ianya dikatakan tetap untuk kebaikan manusia[2]. Peningkatan taraf hidup ekonomi itu dikatakan menjadi faktor penentu kepada pembangunan dan kesejahteraan semua bidang kehidupan masyarakat yang lain seperti pelajaran, kesihatan, kemasyarakatan, kebudayaan dan sebagainya (S. Husin Ali 1976)[3].

Penghujjahan dan penghuraian tentang perkara ini terangkum di dalam teori-teori pembangunan, sama ada di dalam teori yang berteraskan kepada falsafah pasca-klasikal atau falsafah radikal[4]. Kesan-kesan sampingan seperti hedonisme, materialisme, gejala sosial, dekadensi moral, penindasan, ketidakadilan dan sebagainya dianggap sebagai masalah-masalah biasa yang boleh diatasi. Ia tidak membawa kepada berubahnya imej positif pembangunan itu[5].

Dalam mengurusi pembangunan secara Islam, ada tiga persoalan yang harus ditanya. Pertama, apakah pembangunan berbentuk lazim ini yang hendak diurus? Kedua, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan mengurus pembangunan secara Islam; bolehkah pengurusannya dilakukan secara Islam manakala pembangunannya bertunjangkan kepada pembangunan lazim seperti di atas? Dan ketiga, dalam realiti sosio-ekonomi dan politik masakini, kaedah apakah yang terbaik dalam mengurusi pembangunan secara Islam ini? Kertas ini akan cuba menjawab ketiga-tiga soalan ini.
 

BENTUK PEMBANGUNAN YANG HENDAK DIURUS

Secara idealnya, pembangunan yang hendak diurus secara Islam mestilah berbentuk Islam dan tidak boleh bercampur aduk dengan bentuk pembangunan lazim. Dengan lain perkataan, pembangunan yang hendak diurus itu bukan pembangunan lazim, tetapi ialah pembangunan berteraskan Islam sendiri. Syarat ini sangat penting kerana terdapat perbezaan yang amat ketara antara pembangunan lazim dengan pembangunan berteraskan Islam. Malah asas-asas pembangunan lazim adalah bertentangan dengan asas-asas ajaran Islam sendiri.

Perbezaan dan pertentangan ini tidak mudah dilihat secara sepintas lalu. Ia hanya dapat dilihat dengan meneliti dua persoalan penting. Pertama ialah persoalan akar-umbi falsafah kepada pembangunan lazim itu. Dan kedua, persoalan perkaedahan penganalisaannya. Kedua-dua persoalan inilah yang membuatkan pembangunan lazim berbeza dan bertentangan dengan pembangunan berteraskan Islam. Kalau akar umbi ini bertentangan, tentulah hal-hal teknikal seperti yang didokong oleh pembangunan lazim itu juga menjadi bertentangan.

Pembangunan lazim terikat kuat dengan falsafah dan perkaedahan Sains Sosial Barat. Ia tumbuh dari teknik-teknik sains fizik yang didasari oleh sifat-sifat saintifik, empirikal dan fakta-fakta yang dapat diamati oleh pancaindera (observable facts). Ia juga bersifat anti-dogmatis, anti a priori, anti-teologi dan cenderung kepada sifat bebas nilai (value free). Lebih dari itu, tidak kira sama ada pembangunan lazim itu bertunjangkan kepada falsafah pasca-klasikal atau radikal, ia percaya kepada sekurang-kurangnya lima perkara berikut. Pertama, substruktur (ekonomi) menentukan superstruktur (agama, undang-undang, budaya, sosial dan sebagainya)[6]. Kedua, kemahuan manusia tidak terhad manakala sumber-sumber alam adalah terhad. Ketiga, dalam proses pembangunan itu, masyarakat tradisi mesti dihapuskan[7]. Keempat, pengalaman-pengalaman pembangunan di Barat adalah kaedah mutlak untuk diikuti oleh semua negara yang ingin membangun. Dan kelima, pembangunan adalah merupakan matlamat akhir hidup manusia.

Oleh itu, kalau mengurus pembangunan secara Islam itu bermaksud mengurus pembangunan lazim, ertinya pengurusan itu terpaksa mengurus pembangunan  yang berdasarkan kepada kepercayaan di atas. Dengan lain perkataan, pengurusan yang dikatakan Islam itu terpaksa mengurus pembangunan yang falsafah, dasar dan perkaedahannya tidak selari dengan Islam.

Sebenarnya Islam tidak terhad kepada hal-hal saintifik, empiris dan fakta-fakta yang boleh diamati dengan pancaindera. Ini semua boleh disuluh hanya dengan ilmu daruri dan dalil-dalil aqli. Lebih dari itu, Islam menjangkau ke dalam hal-hal ghaib dan metafizik. Hal ini perlu disuluh dengan ilmu nadhari dan dalil-dalil naqli[8]. Begitu juga, pembangunan berteraskan Islam mesti bersifat dogmatis, menerima konsep a priori dan berbentuk teologikal sebagai asasnya, serta terikat kuat dengan nilai Islam itu sendiri. Yang menentukan sesuatu ialah agama, atau superstruktur (dalam istilah teori pembangunan radikal), bukan ekonomi atau substruktur. Kemahuan manusia diakui tidak terhad tetapi ada cara untuk menghadkannya manakala sumber-sumber alam secara fizikal adalah terhad, tetapi dari perspektif Tauhid ianya tidak terhad. Allah SWT menetapkan rezeki untuk setiap makhluk dan ukuran kepada kepuasan kepenggunaan ialah barakah, bukan kuantiti. Dalam proses pembangunan, Islam tidak memusnahkan masyarakat tradisi selagi ianya tidak bercanggah dengan Islam. Pengalaman dan kaedah pembangunan negara-negara Barat bukanlah pengalaman dan kaedah mutlak yang mesti diikuti. Begitu juga, pembangunan hanyalah alat mencapai keredhaan Allah SWT, bukan matlamat akhir hidup manusia.

Kesemua keyakinan di atas bertunjang kuat kepada tasawwur (worldview) Islam sendiri. Asas kepada tasawwur ini ialah keyakinan bahawa roh manusia telah naik saksi bahawa Allah SWT adalah Tuhan dan manusia adalah hamba-Nya[9]. Perjanjian ini telah dibuat di alam roh. Hidup manusia di dunia, di mana proses pembangunan berlaku, hanyalah merupakan medan untuk membuktikan penyaksian tersebut. Benar tidaknya penyaksian itu dibuktikan manusia di dunia manakala ganjarannya, sama ada baik atau buruk, akan dikurniakan di akhirat.

Dengan kata lain, pembangunan hanyalah merupakan alat manusia membuktikan ketaatannya terhadap penyaksian mereka. Kerana penyaksian itu bermaksud menjadi hamba Allah, maka tujuan hidup di dunia ialah untuk membuktikan bahawa sepenuh hidupnya, dalam apa jua aspek dan aktiviti hidupnya, pada setiap saat, adalah sebagai ibadah kepada Allah SWT[10]. Untuk memudahkan usaha manusia membuktikan penyaksiannya itu, Allah SWT mengurniakan satu lagi status kepada manusia, yakni sebagai khalifah Allah SWT di atas muka bumi ini[11]. Konsep khalifah di sini cukup memberi gambaran bahawa asal kejadian manusia memanglah sebagai pengurus sumber alam di atas dunia ini. Banyak ayat-ayat al-Qur’an yang mempamirkan hal ini. Antaranya adalah seperti berikut[12]:

“Dialah (Tuhan) yang menurunkan air dari langit, di antaranya untuk minuman kamu dan di antaranya untuk tumbuh-tumbuhan; di sana kamu mengembala ternakan” (al-Nahl: 10).

“Dialah (Tuhan) yang memberi kemudahan laut supaya kamu makan daging (ikan) yang lembut dan supaya kamu keluarkan dari dalamnya perhiasan yang kamu pakai dan engkau lihat kapal layar di laut dan supaya kamu mencari kurniaan Allah (rezeki), mudah-mudahan kamu bersyukur” (al-Nahl: 14).

“Dialah (Tuhan) yang menjadikan bumi itu rendah untukmu, maka berjalanlah kamu pada beberapa penjurunya dan makanlah rezeki kurniaan-Nya, dan kepada-Nyalah kamu dibangkitkan” (al-Mulk: 15).

Perkataan ‘mengembala’, ‘keluarkan’ dan ‘berjalan dan makanlah rezeki’ cukup mempamirkan tugas-tugas kepengurusan manusia. Sebagai wakil Allah SWT di atas muka bumi ini, manusia adalah pengurus segala makhluk alam dunia. Ertinya, pembangunan adalah merupakan alat manusia membuktikan kepada Allah SWT tentang ketaatannya sebagai pengurus, sebagai khalifah Allah. Ia adalah merupakan alat untuk membuktikan kehambaannya kepada Allah SWT dalam pengurusannya itu.

Kalau tugas sebagai hamba dan khalifah Allah SWT ini dilaksanakan manusia mengikut perjanjiannya dengan Allah SWT, maka redhalah Allah SWT. Keredhaan Allah SWT ini tidak mungkin dapat dicapai kecuali pembangunan dijadikan alat beribadah kepada Allah SWT. Dan ibadah ini berhubung rapat dengan alam roh dan alam akhirat. Tidak mungkin seseorang dapat beribadah kecuali dengan pembangunan kerohaniannya yang tinggi. Penyaksiannya dibuat di alam roh, pelaksanaannya dibuktikan di alam dunia, manakala ganjarannya dikurniakan di alam akhirat. Ertinya pembangunan mengikut Islam mempunyai skala waktu yang panjang. Ia meliputi alam roh, alam dunia dan alam akhirat, di samping merangkumi kedua-dua pembangunan rohani dan jasmani. Walaupun ia adalah untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat (hasanah fid duniya wal akhirah), tetapi rangkakerjanya berasal dari alam roh. Jadi hidup manusia di atas muka bumi tidak lengkap disebut sebagai mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat sahaja. Ia patut disebut sebagai mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat melalui pelaksanaan penyaksian manusia dengan Allah SWT di alam roh. Ertinya ia meliputi tiga alam (alam roh, dunia dan akhirat), bukan dua alam sahaja.

Berdasarkan tasawwur ini, pengurusan pembangunan Islam meliputi pengurusan kesemua tingkat pembangunan. Ia meliputi tingkat pembangunan rohani, individu, keluarga, masyarakat, negara dan alam sejagat. Di samping itu ia juga merangkumi semua aspek kehidupan, dari sosial, ekonomi, politik dan sebagainya. Oleh itu pengurusan pembangunan Islam bermaksud mengurus pembangunan yang holistik, sebagaimana yang didefinisikan oleh Islam, bukan pembangunan terberai dan superfisial yang didokong oleh pembangunan lazim. Pengurusan pembangunan Islam bukan sahaja bertunjang kepada falsafah Islam itu sendiri, tetapi juga menggunakan perkaedahan analisis Islam.
 

ERTI MENGURUS PEMBANGUNAN SECARA ISLAM

Berdasarkan hujah-hujjah di atas, adalah tidak munasabah sesuatu pengurusan pembangunan itu dipanggil pengurusan pembangunan Islam jika yang diurus itu sebenarnya bukan pembangunan berteraskan Islam, tetapi sebaliknya pembangunan lazim, tidak kira yang lahir dari falsafah pembangunan pasca-klasikal atau radikal, yang bersifat pemusatan Barat (western ethno-centric) atau pemusatan Eropah (eurocentric). Secara idealnya, pengurusan pembangunan Islam hanya boleh menjadi Islam sekiranya kedua-dua pengurusan dan pembangunan adalah berdasarkan kepada ajaran Islam. Ertinya pengurusan itu mesti menentukan maksud pembangunan itu. Tidak ada makna apa-apa sekiranya pembangunan diurus secara Islam sedangkan pembangunan yang diurus itu ialah pembangunan lazim. Begitu juga, tidak ada apa-apa erti sekiranya pembangunan itu berteraskan Islam tetapi pengurusannya adalah bersifat tidak Islamik. Secara lebih tegas, dalam mengurus pembangunan secara Islam, kedua-dua pengurusan dan pembangunan mestilah Islam. Ia tidak boleh dicampur-aduk, sama ada pembangunannya Islam tetapi pengurusannya bukan Islam, atau pembangunannya tidak Islam tetapi pengurusannya Islam. Campur aduk ini cukup mengelirukan kerana sebagaimana yang telah dihuraikan di atas, erti pembangunan dari kacamata Islam mempunyai maksud yang tersendiri. Tidak boleh pengurusan pembangunan itu dikatakan Islam sekiranya pembangunan masih dianggap dimanifestasikan oleh bangunan-bangunan besar dan hebat serta hotel-hotel empat dan lima bintang[13].

Tetapi apakah yang dimaksudkan dengan pengurusan Islam itu sendiri?

Kalau mengikut Ahmad Ibrahim Abu Sin (1991), maksud umum pengurusan Islam tidak banyak bezanya dengan pengurusan lazim. Kedua-duanya merujuk kepada “kajian ilmiah dan juga satu kesenian yang bergantung kepada bakat dan kebolehan seseorang yang akan menjadi pengurus” (1991:37). Kesimpulan ini dibuat berdasarkan kepada sekurang-kurangnya tiga pendapat umum tentang pengurusan. Pertama, bahawa pengurusan adalah merupakan satu pengkhususan yang berasaskan kepada beberapa prinsip dan peraturan-peraturan tertentu. Kedua, bahawa pengurusan adalah merupakan satu bentuk kesenian yang berasaskan kemahiran dan bakat seseorang. Dan yang ketiga, bahawa pengurusan itu merupakan satu kajian ilmiah yang berpandukan prinsip-prinsip yang dirancang dari semasa ke semasa dan serentak dengan itu ia merupakan seni dan kebolehan seseorang yang akan memimpin dan mempraktikkan rancangan itu. Berdasarkan erti pengurusan yang merujuk kepada perkara-perkara ini, maka Ahmad Ibrahim Abu Sin  (1991:39) berpendapat kalau ada pun perbezaan antara pengurusan masakini dengan pengurusan Islam, ia hanya berlaku dalam beberapa aspek sahaja, terutamanya dalam aspek matlamat. Katanya matlamat pengurusan lazim atau masakini yang dianggap sekular ialah berbentuk duniawi semata-mata manakala matlamat pengurusan Islam ialah berbentuk dunia dan akhirat.

Pengertian begini agak tidak jauh berbeza dari pengertian umum pengurusan yang dikemukakan Yusof Ismail (1991). Secara khusus, Yusof Ismail (1991:35) melihat pengurusan sebagai “satu proses yang dilalui untuk mencapai matlamat tertentu” melalui ”kerjasama antara pihak pengurusan dan kakitangan umum” dan melibatkan unsur-unsur “matlamat (nilai), sistem, kaedah, pengurus, kakitangan dan teknologi (alat)”[14]. Pengertian yang agak sama juga dikemukakan Mohd Shahar bin Sidek (1996:123) yang menyimpulkan bahawa pengurusan adalah merupakan “proses pengembelengan usaha dan tindakan secara bersama, terselaras dan sistematis, dengan penggunaan punca-punca yang diperolehi dengan diarahkan kepada mencapai tujuan tertentu”. Wan Liz Ozman Wan Omar (1996)[15] pula menyenaraikan elemen-elemen yang terkandung di dalam pengurusan seperti berikut:

1-  Kemahiran dalam merancang dan melaksanakan sesuatu untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

2-  Pelaksanaan dasar pemerintahan untuk kebajikan awam.

3-  Menyelaras tenaga manusia dan sumber-sumber mengikut perancangan bagi mencapai sesuatu objektif, misi ataupun visi dan

4-  Satu pengkhususan yang berasaskan kepada prinsip, sistem, metodologi dan peraturan tertentu dalam mengendali, mengawas, melaksana dan menilai sesuatu tugas atau kerja[16].

Secara kasar, pengertian sebegini, sebagaimana yang telah dikatakan oleh Ahmad Ibrahim Abu Sin (1991), nampak tidak berbeza dengan pengertian pengurusan lazim. Tetapi pada hakikatnya, ianya berbeza kerana pengurusan Islam, seperti kata Yusof Ismail (1991:46), berteraskan kepada prinsip-prinsip berikut:

1-  Mencari keredhaan Allah (At-Taubah 9:72), Al-Rum 30:38) dengan mentaati Allah SWT dan Rasulallah SAW (An-Nisaa 4:59)[17].

2-  Melaksanakan makruf dan mencegah mungkar (Ali Imran 3:104, 110).

3-  Menjaga kesejahteraan masyarakat (Al Baqarah 2:148), Al Qasas 28:77, Al Mujaadilah 58:9).

4-  Membangunkan individu semaksimum mungkin (Ali Imran 3:139, Al Hujurat 49:13, Asy Syams 91:8-10, Al ‘Asr 103:1-3).

5-  Melaksanakan syura (Ali Imran 3:159, Asy Syuura 42:38).

6-  Mewujudkan jamaah (As Saff 61:4).

7-  Berlaku adil (Al Maaidah 5:8, An Nisaa’ 4:129).

8-  Berlaku ihsan (kebajikan) (An Nahl 16:90), dan

9-  Membuat keputusan sesuai dengan prinsip-prinsip Islam (Al Maaidah 5:44, 45, 47, 50).

Kesemua ini mempamirkan bahawa yang membezakan pengurusan Islam dengan pembangunan lazim ialah teras falsafahnya. Pengurusan lazim terhad kepada pengertian-pengertian yang telah disebutkan di atas. Pengurusan Islam sebaliknya menjangkauinya dengan mengambil falsafah Tauhid sebagai terasnya. Oleh itu pengurusan Islam lebih bersifat jitu dan komprehensif. Dalam apa sahaja aspek yang bersangkutan dengan pengurusan seperti proses membuat keputusan, perancangan, pengawalan, pelaksanaan projek, perhubungan dan komunikasi, tanggungjawab di antara majikan dan pekerja, etika kerja dan sebagainya, semua mestilah berdasarkan kepada prinsip-prinsip yang telah digariskan oleh ajaran dan pandangan hidup Islam (Wan Liz Ozman Wan Omar 1996:67). Pendek kata pengurusan Islam merangkumi seluruh rahsia penciptaan dan tujuan hidup manusia sebagaimana ditetapkan oleh Allah SWT[18]. Boleh dikatakan semua penulis melihat pengertian pengurusan Islam secara holistik begini dan menghubungkannya dengan Tauhid. Yang paling ketara dan agak jitu ialah penghuraian Mohd Affandi Hassan (1992). Beliau telah mempamirkan maksud pengurusan yang holistik ini melalui apa yang beliau panggil pendekatan tawhidic. Mohd Affandi Hassan (1992:56) berkata begini:

“Management and administration, from the tawhidic approach, is the fulfilment of the primordial contract (the amanah) between God and man, in which man as servant of God, and His vicegerent on earth (khalifah) performs righteous deeds (‘amal salih) based on the principles of cooperation and consultation (shura). The purpose of management/administration is the building of a civilization based on tawhidic ethical values; thus management must, at the same time, ensure the abolishment of corruption, mischief, and injustice (al-fasad) in order to establish ‘adl (justice) both in organizations as well as in society. The ultimate objective of management is to attain al-falah (felicity)”[19].

Dari definisi Mohd Affandi Hassan ini, dapat kita simpulkan begini. Pertama, rangkakerja pengurusan ialah rahsia penciptaan dan fungsi kehidupan manusia yang termeterai dalam perjanjian manusia dengan Allah SWT (bahawa manusia adalah hamba dan khalifah Allah SWT). Kaedah pengurusan Islam ialah kerjasama dan musyawarah yang terkandung dalam konsep syura[20]. Tujuan pengurusan Islam ialah untuk melahirkan tamaddun yang adil tanpa perbuatan yang tidak diredhai Allah SWT. Dan matlamat akhir pengurusan Islam ialah untuk mendapat kebahagian dunia dan akhirat.

Kalau begini pengertian pengurusan Islam, apakah pula pengertian pengurusan pembangunan Islam?

Oleh kerana pembangunan berteraskan Islam merangkumi segala aspek kehidupan manusia, dari peringkat rohani hinggalah kepada peringkat keluarga, masyarakat, negara dan alam sejagat, maka pengurusan pembangunan Islam juga merupakan pengurusan segala aspek kehidupan manusia ini sama ada dari perspektif sosial, ekonomi dan politik serta gabungan antaranya, secara Islam. Ia oleh itu melampaui pengurusan lazim yang hanya terhad kepada pengurusan organisasi, pengurusan sumber manusia, atau pengurusan perniagaan semata-mata. Pendeknya pengurusan pembangunan meliputi segala kegiatan yang diamalkan oleh setiap orang, sama ada untuk dirinya, keluarganya, organisasi pekerjaan, organisasi sosial, di peringkat kampung, daerah, negeri, negara atau antarabangsa. Ia meliputi, umpamanya, usaha Khalifah Umar Abdul Aziz membersihkan jentera kerajaan seperti menghapuskan percukaian yang tidak adil. Begitu juga dengan usaha Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hambal menjalankan kerja-kerja tajdid mereka tanpa bantuan pemerintah; usaha Imam Al Ghazali membersihkan aqidah masyarakat yang bercampur aduk; usaha Ibnu Taimiyah menentang taqlid buta dan mempelopori ijtihad; dan usaha Syaikh Ahmad Sirhindi membersihkan ajaran tasawwuf songsang dengan memberikan ajaran tasawwuf tulen (Yusof Ismail 1991:5-6). Semuanya boleh dianggap sebagai pengurusan pembangunan Islam, asal saja ianya berlandaskan kepada aqidah dan tasawwur Islam. Pendeknya pengurusan pembangunan Islam meliputi segala pengurusan Islam yang bersangkutan dengan segala aspek kehidupan manusia, dari aspek pengurusan kerohanian hinggalah kepada pengurusan pemerintahan[21].
 

MENGURUS PEMBANGUNAN SECARA ISLAM DALAM
REALITI SOSIO-EKONOMI DAN POLITIK MASAKINI

Dalam realiti sosio-ekonomi dan politik masakini, tidak dinafikan bahawa pengurusan pembangunan Islam yang ideal di atas tidak mudah direalisasikan. Tambahlagi di Malaysia yang keadaan sosialnya berbilang kaum dan agama, ekonominya liberal kapitalis dan politiknya demokrasi berpandu. Malah di seluruh dunia, tidak dapat dikesani mana-mana negara pun yang telah menjadi negara Islam dan melaksanakan pembangunan berteraskan Islam sepenuhnya, apatah lagi pengurusan pembangunan Islam. Rata-rata pembangunan masih didominasi oleh falsafah Sains Sosial Barat, dengan sama ada falsafah pasca-klasikal yang melahirkan teori pembangunan pertumbuhan dan pengagihan-dengan-pertumbuhan atau falsafah radikal yang melahirkan teori pembangunan strukturalis dan pergantungan. Walaupun ada usaha membangunkan negara dan pembangunan secara Islam seperti yang cuba dilakukan di Pakistan, Sudan, Iran, Malaysia, atau secara lebih mikro seperti yang cuba diusahakan di Kelantan dan Terengganu[22], namun semuanya masih belum dapat lepas lari dari falsafah pembangunan lazim Barat tadi.

Dalam keadaan demikian, yang manakah yang patut dilaksanakan dahulu, negara Islam atau pengurusan pembangunan Islam? Mawdudur Rahman dan Muhammad Al-Buraey (1992) berpendapat bahawa satu ‘organisasi Islam’ (dalam konteks perbincangan kita barangkali boleh diistilahkan sebagai negara Islam) mestilah diwujudkan sebelum model yang meliputi kebendaan, kerohanian, etika dan prinsip-prinsip Islam direalisasikan[23]. Begitu juga dengan pendapat kebanyakan pejuang Islam seperti Parti Islam SeMalaysia, PAS[24].

Namun begitu usaha pembentukan negara Islam dalam keadaan masakini juga terbukti tidak mudah. Malah di negara-negara yang telah cuba membentuk negara Islam, pengurusan pembangunan Islam belum berlaku sepenuhnya. Pakistan telah mengistiharkan dirinya sebagai sebuah Republik Islam tetapi ternyata pembangunan dan pengurusan pembangunannya belum Islamik. Malah secara amnya, hampir tidak ada usaha membangunkan Republik itu secara Islam, kecuali dalam urusan zakat dan perbankan Islam[25]. Iran juga telah menubuhkan Republik Islam selepas Ayatollah Rohullah Khomeini menjatuhkan Shah Pahlavi dalam tahun 1979. Tetapi usaha pengIslaman pembangunannya sedang menuju kembali ke arah pembangunan Barat. Pada peringkat awal pemerintahan Islam (1979-81), Iran mengamalkan teori ekonomi ‘divine harmony’[26]. Kemudian ia berubah kepada kaedah India-Soviet[27]. Dan bermula pada tahun 1989, Republik Islam Iran mengalihkan model pembangunannya kepada model China-Saudi Arabia[28]. Sekarang ia dianggap sebagai beransur-ansur kembali kepada cara hidup lama yang dikenali di Iran sebagai ‘Westoxication’ (Amuzegar 1993:328-329). Kelantan juga, dalam pusingan kedua sekarang, sudah hampir satu dekad diperintah oleh Parti Islam SeMalaysia, PAS. Tetapi pembangunannya belum boleh dianggap sebagai pembangunan Islam sepenuhnya. Begitu juga dengan pengurusan pembangunannya. Dengan berbagai keterhadan yang ada, Kelantan hanya mampu melaksanakan beberapa aspek Islam dalam pembangunan, tetapi tidak dapat melepaskan dirinya dari rangkakerja pembangunan lazim[29].

Kesemua contoh ini mempamirkan bahawa dalam keadaan realiti sosio-ekonomi dan politik masakini, tidak mudah meruntuhkan negara sekular untuk menubuhkan negara Islam sepenuhnya. Begitu juga, dalam realiti sosio-ekonomi dan politik masakini, tidak mudah meruntuhkan pembangunan lazim sepenuhnya dan menggantikannya dengan pembangunan berteraskan Islam. Tambah lagi dalam menguruskan pembangunan, tidak mudah menguruskan pembangunan berteraskan Islam sebagaimana idealnya kerana tidak mudah membentuk negara, pengurusan dan pembangunan berteraskan Islam secara menyeluruh dan komprehensif.

Namun begitu, kepayahan ini bukanlah manifestasi pandangan pesimistik. Dalam realiti sosio-ekonomi dan politik masakini, peluang melaksanakan pengurusan pembangunan Islam tidaklah segelap itu. Walaupun tanpa negara dan pembangunan Islam yang cukup Islam, pengurusan pembangunan Islam tetap boleh dilaksanakan, cuma tidaklah secara idealnya. Dalam realiti sosio-ekonomi dan politik masakini, pengurusan pembangunan Islam boleh bermula dengan menguruskan pembangunan lazim tanpa menunggu wujudnya negara dan pembangunan Islam yang cukup Islam. Adalah sangat mustahil pengurusan dan pembangunan Barat, tambah lagi negara yang berasaskan kepada perundangan Barat, dapat diruntuhkan secara mendadak dan total serta digantikan dengan pembangunan berteraskan Islam secara sekaligus. Oleh itu, mengurus pembangunan secara Islam pada masakini bererti menguruskan pembangunan yang tidak Islam agar ianya menjadi Islam. Tugas utama pengurusan pembangunan Islam pada peringkat ini ialah pengislaman pembangunan itu sendiri. Ia berbentuk evolusi, bukan revolusi. Kaedahnya ialah kaedah akomodatif, tetapi jangan apologetik dan permisif. Yang perlu ialah kebijaksanaan dan hikmah untuk menerapkan prinsip-prinsip Islam tersebut dengan sifat-sifat yang dinamik dan fleksibel asal ianya tidak bertentangan dengan Islam.

Semua ini memerlukan satu perancangan dan strategi yang kemas dan sistematik. Ia tidak boleh dilakukan secara ad-hoc, bermusim atau impromptu. Ia tetap memerlukan satu blue-print dan pelan induk.  Oleh kerana pembangunan berteraskan Islam bererti pembangunan kedua-dua rohani dan jasmani, maka blue-print dan pelan induk itu mesti meliputi kedua-dua bidang ini secara bersepadu, bukan berpisah. Pembangunan rohani mesti dibangunkan dalam konteks pembangunan jasmani. Mengurus pembangunan rohani bererti mengurus iman dan nafsu manusia. Iman mesti ditingkatkan daripada iman taqlid dan iman ilmu yang rendah kepada iman ‘ayan, iman haq dan iman haqiqat yang tinggi. Nafsu pula mesti ditingkatkan dari nafsu ammarah, nafsu lawwamah dan nafsu mulhamah yang jahat kepada nafsu mutmainnah, nafsu radhiyah dan nafsu kamilah yang terpuji. Dengan peningkatan ini, maka pembangunan jasmani tidak akan mempunyai kesan-kesan sampingan seperti yang dialami oleh pembangunan lazim. Malah pembangunan rohani sebagai tunjang akan melahirkan pembangunan jasmani yang kemas dan kuat. Ertinya kesemua perancangan ini perlu disepadukan ke dalam satu pelan induk. Dan dengan pelan induk yang sepadu ini, pembangunan lazim dapat diurus hingga akhirnya ia dapat diIslamkan sepenuhnya.
 

KESIMPULAN

Secara idealnya, pengurusan pembangunan Islam bermaksud mengurus pembangunan berteraskan Islam dengan menggunakan kaedah pengurusan Islam. Tetapi pada realitinya, dalam keadaan sosio-ekonomi dan politik masakini, hal ini tidak mudah dilaksanakan. Pembangunan dan pengurusan lazim masih menjadi model dominan, manakala negara Islam yang diperlukan untuk mendaulat pengurusan dan pembangunan Islam ini masih belum benar-benar wujud lagi. Mahu tidak mahu, pengurusan pembangunan Islam terpaksa direalisasikan melalui kaedah akomodatif dan evolusi. Ia pertamanya perlu mengurus pembangunan yang berdasarkan kepada ideologi lazim, agar sedikit demi sedikit pembangunan sedemikian dapat diIslamkan. Untuk ini, satu perancangan dan strategi yang sistematik dan dinamik perlu diatur, umpamanya dengan mengadakan pelan induk dan blue-print yang boleh menjadi panduan kepada perjalanan ke arah merealisasikan pengurusan pembangunan Islam sepenuhnya.

NOTA

[1] Sebenarnya pengertian pembangunan itu sendiri berkembang mengikut masa. Dalam abad ke-19 dan awal abad ke-20, pembangunan disamakan dengan kemajuan (lihat Chodak 1973:21). Pada awal abad ke-20 pula, kemajuan ini digantikan dengan perubahan sosial (lihat Parsons 1951 dan Coser 1967). Selepas Perang Dunia Kedua, khususnya dalam tahun-tahun 1950-han, pembangunan merujuk kepada perindustrian, modenisasi atau pertumbuhan ekonomi (lihat Sunkel 1977:6-7, Galeski 1972:275, Rostow 1956, 1960). Ini ditambah kemudiannya dengan perubahan dan tindakan sosial (lihat Goulet 1971:6). Kini maksud pembangunan diperluaskan mengikut kehendak semasa. Untuk perbincangan ringkas tentang perkembangan ini, lihat Rahimah Abdul Aziz 1989:27-34.

[2] Misalnya Todaro (1977) menghubungkaitkan pembangunan dengan perubahan institusi sosial, struktur pentadbiran, pendapat umum, adat resam dan kepercayaan. Seers (1977, 1979) merujuk pembangunan kepada penghapusan kemiskinan, kekurangan jumlah pengangguran dan ketaksamaan. Rahimah Abdul Aziz (1989:45-48) pula merujuk kepada satu senarai yang agak panjang. Pembangunan dikatakan berhubungkait dengan pemenuhan keperluan asas, barangan dan perkhidmatan serta penggunaannya, penggunaan tenaga, keselamatan, keadilan, matlamat sosial, budaya dan politik, penyediaan pekerjaan, nilai kesusilaan, perkembangan pemikiran dan sikap, penggunaan teknik-teknik baru, perindustrian, perbandaran, modenisasi, pembebasan dari pergantungan, penghapusan eksploitasi dan penindasan, penyertaan kesemua pihak terutama kumpulan sasaran, memenuhi kepentingan kumpulan sasaran, penghapusan masalah-masalah yang dialami majoriti manusia, peningkatan perasaan harga-diri, perluasan pilihan individu, faedah kepada sebilangan besar rakyat, peningkatan kualiti hidup, pengambil-kiraan nilai, kepercayaan dan sistem kelas, pemenuhan keperluan ekonomi, pelaksanaan agihan kuasa dan keadaan politik.

[3]Tanggapan bahawa ekonomi merupakan faktor penentu kepada kesejahteraan bidang-bidang kehidupan yang lain seperti pendidikan, kesihatan, kebudayaan, agama, undang-undang dan sebagainya itu adalah merupakan asas kepada penganalisaan teori pembangunan lazim, sama ada yang berteraskan kepada falsafah pasca-klasikal atau falsafah radikal. Teori pembangunan radikal mengistilahkan ekonomi itu sebagai substruktur manakala bidang-bidang kehidupan yang lain itu sebagai superstruktur.

[4] Antara teori pembangunan yang berteraskan falsafah pasca-klasikal yang telah menjadi landasan kepada sistem kapitalisme ialah teori pertumbuhan dan teori pengagihan-dengan-pertumbuhan. Manakala yang berteraskan kepada falsafah radikal yang telah menjadi landasan kepada sistem sosialisme dan komunisme ialah teori strukturalis dan teori pergantungan.

[5] Imej positif pembangunan ini berlaku dalam kedua-dua falsafah pembangunan pasca-klasikal dan radikal. Walaupun falsafah pembangunan radikal nampak agak berbeza dengan falsafah pembangunan pasca-klasikal, namun asas ideologi kedua-duanya adalah sama. Perbezaan antara keduanya, kalaupun ada, hanya bersifat metodologikal dan teknikal serta hanya berlaku di peringkat operasional. Misalnya, teori pembangunan radikal hanya menyerang kaedah-kaedah pembangunan dan pengagihan hasil yang dilagang oleh teori-teori pembangunan pasca-klasikal, manakala andaian asasnya seperti konsep ‘kekurangan (scarcity) sumber-sumber’ dan ‘kemahuan tidak terhad’ tetap tidak ditolaknya.

[6] Untuk melihat kritik Islam terhadap perkara ini, khususnya terhadap pendapat S.Husin Ali, lihat Muhammad Syukri Salleh 1987:69-70.

[7] Ahli teori pembangunan pasca-klasikal Rostow (1960) misalnya, percaya setiap masyarakat yang ingin membangun mesti melalui lima tahap berikut: masyarakat tradisi, prasyarat untuk mengorak langkah, mengorak langkah, menuju ke arah kematangan dan zaman penggunaan secara besar-besaran. Ahli teori pembangunan radikal Karl Marx pula menyarankan tiga tahap berikut: masyarakat pra-kapitalis (yang bersifat feudal dengan ragam pengeluaran Asiatic yang tidak mempunyai konflik antara kelas dan oleh itu statik), masyarakat kapitalis dan masyarakat pasca-kapitalis, yakni sosialis atau komunis. Dalam kedua ideologi pembangunan ini, masyarakat tradisi (istilah Rostow) atau masyarakat pra-kapitalis (istilah Marx) mesti dihapuskan kalau ingin membangun. Puncak pembangunan bagi Rostow ialah kepenggunaan secara besar-besaran, manakala bagi Marx ialah masyarakat komunis.

[8] Untuk perbincangan lanjut tentang perkara ini, lihat Muhammad Syukri Salleh 1987:20-48.

[9] Lihat Surah al-A’raf ayat 172 yang bermaksud: “Bukankah Aku Tuhan kamu?” Maka jawab roh, “Ya, kami menjadi saksi, supaya Engkau tidak menyatakan pada hari Qiamat: Sesungguhnya kami terlupa terhadap hal ini”.  Hal ini diperkuatkan lagi dengan Surah al-Zaariyat ayat 56-57 yang bermaksud: “Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah Aku. Aku tidak menghendaki rezeki daripada mereka dan tidak juga meminta mereka memberi Aku makan”.

[10] Ibadah terbahagi kepada tiga bentuk. Pertama ialah ibadah asas (merangkumi penegakan rukun Islam dan iman); kedua, amalan utama (fadho-ilul-amal) seperti amalan-amalan sunat; dan ketiga, ibadah umum seperti mengatur rumahtangga, anak isteri, berkhidmat untuk masyarakat dalam soal-soal ekonomi, pendidikan, perubatan, sosial, negara serta alam sejagat (Muhammad Syukri Salleh 1987:55).

[11] Allah SWT berfirman maksudnya: “(Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: sesungguhnya Aku akan menjadikan seorang khalifah di atas muka bumi. Maka jawab mereka: Adakah patut Engkau menjadikan di atas muka bumi orang yang berbuat bencana dan menumpahkan darah sedangkan kami bertasbih memuji Engkau dan mensucikan Engkau? Allah berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui apa-apa yang tiada kamu ketahui. Allah mengajarnya semua nama barang kemudian dibawa barang-barang itu kepada Malaikat, lalu Allah berfirman: “Khabarkanlah kepada-Ku nama-nama barang ini, jika kamu yang benar”. Jawab mereka: “Maha Suci Engkau tidaklah kami tahu sesuatu itu kecuali apa-apa yang engkau ajarkan kepada Kami, sesungguhyna Engkau Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”. Allah berfirman: “Hai Adam, beritahulah kepada Malaikat nama barang-barang ini” (al-Baqarah: 30-32).

[12] Perkataan-perkataan dalam bentuk italic adalah penekanan saya.

[13] Hal ini misalnya tercatat dalam ruangan Cakap-Cakap Orang Kelate yang diterbitkan akhbar rasmi PAS, Harakah. Lihat “Pembangunan Goyang Kelantan?” Harakah, 13 April 1998, ms 28.

[14] Untuk melihat Model Pengurusan Islam Yusof Ismail ini dalam gambarajah, lihat Lampiran I.

[15] Wan Liz Ozman Wan Omar (1996) ini, seperti juga Mustafa Haji Daud (1994), menyamakan maksud pengurusan dengan maksud pentadbiran.

[16] Un tuk melihat Model Sistem Pengurusan Islam yang dikemukakan oleh Wan Liz Ozman Wan Omar ini dalam gambarajah, lihat Lampiran II.

[17] Prinsip ini diperkuatkan oleh penjelasan Rasulallah SAW (Hasyr 59:7) bersandarkan pada Al-Qur’an (Al Jathiyah 45:20) yang menjadi petunjuk dan penawar (Fussilat 41:44).

[18] Sebenarnya persoalan tentang rahsia penciptaan dan tujuan hidup manusia ini ada juga dibincangkan Ahmad Ibrahim Abu Sin (1991:3-18) di awal bukunya ini tetapi secara agak terpisah dari penghujjahannya tentang pengurusan di atas. Untuk melihat bagaimana beliau menghubungkan perkara ini dengan teori pengurusan dalam Islam dalam gambarajah, lihat Lampiran III.

[19] Untuk meneliti definisi Mohd Affandi Hassan ini dalam bentuk gambarajah, lihat Lampiran IV.

[20] Mohd Affandi Hassan (1992) telah mengemukakan model pengurusan dengan syura (management by shura) di bahagian akhir penulisannya ini. Lihat mukasurat 59-74.

[21] Namun begitu ada juga yang berpendapat bahawa pemikiran pengurusan merupakan badan tindak dan pelaksanaan falsafah politik secara terperinci, teliti dan amali. Pengurusan dikatakan berfungsi untuk membuat perancangan, penyusunan, memberi arahan, panduan, melaksana dan menyeliakan apa yang telah diputuskan oleh politik. Lihat pendapat Mustafa Haji Daud (1994:18) yang dipetiknya dari Ahmad Ibrahim Abu Sin (1991:283-290).

[22] Untuk perbincangan tentang usaha Kelantan dan Terengganu ini, lihat Muhammad Syukri Salleh 1995, 1996b and 1998.

[23] Mawdudur Rahman dan Muhammad Al-Buraey (1992) mengatakan demikian ketika menyarankan pelaksanaan model untuk menerapkan ajaran Islam dalam urusan perjawatan organisasi, motivasi dan penilaian prestasi. Organisasi Islam di sini merujuk kepada sebuah organisasi ekonomi yang mengikuti sepenuhnya prinsip-prinsip dalam al-Qur’an dan Sunnah.

[24] Untuk perbincangan tentang perkara ini secara lebih terperinci, lihat Muhammad Syukri Salleh 1996a.

[25] Koresponden penulis dengan Timbalan Auditor-General Republik Islam Pakistan yang juga ahli ekonomi Islam terkemuka, Muhammad Akram Khan, Mac 1998.

[26] Premis asas ‘divine harmony’ ini bukan kekurangan (scarcity) dan keperluan peruntukan sumber-sumber sepertimana yang menjadi premis asas teori pembangunan lazim. Sebaliknya premis teori ‘divine harmony’ ini ialah banyak (plenty) dan tugas pengagihan semula pendapatan. Walau bagaimanapun, teori ini tidak hidup lama seperti tidak lamanya karier politik penulisnya, Abol Hassan Bani-Sadr.

[27] Kaedah India-Soviet ini dicirikan dengan insulariti ekonomi (economic insularity) dan kecenderungan ke arah saradiri, dominasi negara ke atas ekonomi, penolakan terhadap budaya pengguna (consumerism), dan penekanan ke atas penggantian impot (import substitution) dan bukannya ke atas perluasan ekspot.

[28] Model ini bersifat nasionalis/pragmatis di mana kapitalis, pasaran bebas, ekonomi pasaran wujud bersama dengan ideologi bukan-kapitalis sebagai bahan rujukan mutlak dan pengawasan politik (political beacon).

[29] Antara keterhadannya ialah kekurangan konseptual, keterhadan politik yang meliputi kekurangan pengalaman, kekurangan bantuan dari PAS Pusat, kekurangan pakar pembangunan Islam, konflik antara Persekutuan dan Negeri, dan keterhadan undang-undang Persekutuan. Untuk perbincangan terperinci tentang perkara ini, lihat Muhammad Syukri Salleh 1995.

BAHAN RUJUKAN

Ahmad Ibrahim Abu Sin, 1991. Pengurusan Dalam Islam, (terjemahan Abd Rashid Ngah dan Jusoh Kadir), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Cakap-Cakap Orang Kelate, “Pembangunan Goyang Kelantan?”, Harakah, 13 April 1998, ms 28.

Chodak, S., 1973. Societal Development, Oxford: Oxford university Press.

Coser, L., 1967. Continuities in the Study of Social Conflict, New York: The Free Press.

Galeski, B., 1972. “Conflict and Change as an Aspect of Development”, Sociologia Ruralis, Jil.12.

Goulet, D., 1971. The Cruel Choice, New York: Atheneum.

Jahangir Amuzegar, 1993. Iran’s Economy Under the Islamic Republic, London: I.B. Tauris.

Mawdudur Rahman dan Muhammad Al-Buraey, 1992. “An Islamic Perspective of Organization Controls and Performance Evaluation”, The American Journal of Islamic Social Sciences, Jilid 9, No.4, Winter.

Mohd Affandi Hassan, 1992. The Tawhidic Approach in Management and Public Administration: Concepts, Principles and an Alternative Model, Kuala Lumpur: National Institute of Public Administration (INTAN).

Mohd Shahar bin Sidek, 1996. “Pengurusan Organisasi Dari Perspektif Islam”, dlm. Abd Halim El-Muhammady, penyunting, Pengurusan Dalam Islam, Selangor Darul Ehsan: Persatuan Bekas Mahasiswa Islam Timur Tengah, ms 119-157.

Muhammad Syukri Salleh, 1987. Pembangunan Berteraskan Islam, Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti.

Muhammad Syukri Salleh, 1995. “The Top-Down Approach to Islamic Development: The Experience of PAS in Kelantan, 1990-95”, kertas dibentangkan di European Association for Southeast Asian Studies (EUROSEAS) Conference 1995, di University of Leiden, The Netherlands, 29 Jun-1 Julai.

Muhammad Syukri Salleh, 1996a. “Establishing an Islamic State: Ideals and Realities in Kelantan, Malaysia”, kertaskerja dibentangkan di Association of Southeast Asian Studies United Kingdom (ASEASUK) 1996 Conference, di School of Oriental and African Studies (SOAS), London, UK, 24-27 April; Diterbitkan dalam South East Asian Studies (Kyoto, Japan), Vol.37, No.2, 1999, ms.235-256.

Muhammad Syukri Salleh, 1996b. “Islamic Development Without Islamic State: An Analysis of Islamic Development Approach in Terengganu, Malaysia”, kertaskerja yang dibentangkan di Second International Conference on Islamic Political Economy: Methodology and Practice From an Asian Perspective in Response to Globalization, anjuran International Project on Islamic Political Economy (IPIPE), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Penang, 10-11 Disember; Diterbitkan dengan tajuk “Islamic State and Development: The Political Economy of Wawasan SIHAT in Terengganu, Malaysia”, IKIM Journal (Kuala Lumpur), Vol.7, No.2, Julai-Disember, 1999, ms.73-92.

Muhammad Syukri Salleh, 1998. “Political Economy of Islamic Development: Case Analysis of Kelantan and Terengganu”, dlm. B.N. Ghosh & Muhammad Syukri Salleh, eds., Political Economy of Development in Malaysia, Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors.

Mustafa Haji Daud, 1994. Pengurusan Islam, Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors.

Parsons, T., 1951. The Social System, Glencoe: The Free Press.

Rahimah Abdul Aziz, 1989. Pengantar Sosiologi Pembangunan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rostow, W.W., 1956. “The Take-off Into Self-Sustained Growth”, Economic Journal, Bil. 66.

Rostow, W.W., 1960. The Stages of Economic Growth. A Non Communist Manifesto, Massachusettes: Cambridge University Press. Edisi kedua, 1971.

Seers, D., 1977. “The New Meaning of Development”, International Development Review, Bil.3.

Seers, D., 1979. “The Meaning of Development, with a Postscript”, dlm. Lehmann, D., ed., Development Theory: Four Critical Studies, London: Frank Cass.

S.Husin Ali, 1976. Apa Erti Pembangunan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sunkel, O., 1977. “The Development of Development Thinking”, Institute of Development Studies Bulletin (IDS), Jil.22, Bil.1.

Todaro, M., 1977. Economic Development in the Third World, New York: Longman Press.

Wan Liz Ozman Wan Omar, 1996. Pengurusan Islam Abad Ke-21: Revolusi Pengurusan Untuk Keunggulan Sektor Awam dan Korporat, Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors.

Yusof Ismail, 1991. Mengurus Secara Islam: Model dan Prinsip-Prinsip Pengurusan Islam Bagi Individu dan Organisasi, Kuala Lumpur: A.S.Noordeen.
 
 

1

Hosted by www.Geocities.ws

1