Prof. Madya Haji Sibly Maros, Pengerusi Bahagian Ekonomi, Pusat
Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia. Tel: 04-6577888
smbgn 2884 E-mel: [email protected]; dan
Dr. Ku Azam Tuan Lonik, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh,
Universiti Sains Malaysia. Tel: 04-6577888 smbgn 2315 E-mel: [email protected]
PENDAHULUAN
Dalam mengungkitkan kembali kisah kejadian manusia sebagaimana yang digambarkan dalam surah al-Baqarah (2) ayat 30, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang Khalifah di muka bumi’. Mereka berkata: ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (Khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal Kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?’ Tuhan berfirman: ‘Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”.
Ayat tersebut dengan nyata menjelaskan tentang kejadian manusia sebagai Khalifah Allah di muka bumi. Sebagai khalifah ia bertanggungjawab untuk memakmurkan bumi ini [1]. Dalam usaha menjelaskan sifat ‘khalifah’ tersebut, Abdullah Yusuf Ali [2] menerangkan bahawa tindakan-tindakannya haruslah seiring dengan kehendak Tuannya. Kehendak ini ialah tuntutan ke atasnya untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT sebagaimana Firman-Nya dalam surah al-Dzariyat (51) ayat 56 yang bermaksud:
‘Dan Aku tidak menjadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku’
Bersandarkan kepada prinsip inilah maka manusia, baik dalam konteks individu mahupun kolektif, perlu menguruskan kehidupan mereka dibumi ini berdasarkan acuan ketetapan yang telah digariskan oleh Allah SWT terutamanya dalam hal-hal yang mempunyai nas-nas yang sahih.
Kertas ini akan membincangkan prinsip-prinsip yang telah ditetapkan oleh syara’ dalam usaha memandu manusia melaksanakan tanggungjawab ekonominya khususnya yang berkaitan dengan tanggungjawab kerajaan untuk mengurus pembiayaan awam.
Sebelum kita meneliti tajuk ini dengan lebih mendalam, elok kiranya
kita perhatikan dahulu prinsip-prinsip asas sistem ekonomi Islam. Apa yang
penting untuk diingat di sini bahawa falsafah ekonomi Islam bertitik tolak
daripada hubungan antara manusia dan pencipta-Nya, hubungan manusia sesama
manusia dan hubungan manusia dengan alam sekeliling yang terangkul dalam
konsep Tauhid. Sebagai khalifah Allah yang bertanggungjawab untuk memakmurkan
muka bumi ini, ahli-ahli ekonomi Islam telah menggariskan beberapa prinsip
asas ekonomi Islam antaranya:
TANGUNGJAWAB EKONOMI PEMERINTAH MENURUT PANDANGAN ISLAM
Sebelum membincangkan konsep perbelanjaan awam mengikut perspektif ‘konvensional’ dan Islam, elok kiranya terlebih dahulu kita meneliti tanggungjawab ekonomi yang terbeban pada bahu pemerintah.
Dari sudut Islam, Muhamad Umer Chapra membahagikan fungsi ekonomi
kerajaan ke dalam 6 bahagian iaitu untuk:
M. Nejatullah Siddiqui [5] pula
menggariskan empat fungsi penting yang harus dimainkan oleh kerajaan iaitu:
Di bawah fungsi ini Siddiqui menyenaraikan tajuk-tajuk perbelanjaan
seperti berikut:
Kesemua tugas yang disenaraikan itu termasuk dalam perkara-perkara
yang dituntut oleh syari'ah. Perkara-perkara yang berkait dengan fardu
kifayah itu dimasukkan untuk melengkapi perkara-perkara yang mungkin ditinggalkan
oleh usaha persendirian. Dengan demikian kerajaan bersedia untuk mengambil
tindakan untuk memenuhinya jika perkara-perkara ini tidak dapat dibekalkan
melalui proses pasaran yang biasa.
Perbelanjaan untuk memenuhi tuntutan kedua yang perlu dari sudut
Syari'ah tetapi didasarkan kepada ijtihad untuk memenuhi keadaan semasa
disenaraikan seperti berikut:
Fungsi kedua ini perlu dilaksanakan bagi memudahkan kita mencapai
objektif Syari'ah, berpandukan kepada keadaan sosial dan ekonomi semasa.
Fungsi ini diterbitkan daripada sumber Al-Qur'an dan al-Sunnah berdasarkan
qiyas dan masalih (kepentingan awam). Sebagai contohnya, adalah penting
untuk negara menjaga kebersihan alam sekitar, pantai yang bersih, atau
sungai yang bersih. Dalam hal ini, senarai tuntutannya berbeza-beza menurut
keadaan tempat dan masa.
Dalam senarai yang diberikan tadi, penyelidikan saintifik, pembangunan ekonomi dan dasar penstabilan penting untuk membina ekonomi yang mantap dalam zaman moden. Ia menjadi asas untuk pembangunan yang dapat melepaskan negara Islam itu daripada pergantungan kepada negara bukan Islam. Dasar penstabilan pula penting untuk mengelakkan turun naik kegiatan ekonomi dan tingkat harga. Ia perlu untuk memastikan keadilan dan membuka langkah ke arah pembangunan. Begitulah juga dengan tajuk-tajuk yang lain dalam senarai tadi. Walaupun perkara-perkara itu tidak tersebut dalam Al-Qur'an dan al-Hadis, kesemuanya perlu berasaskan kaedah fiqh, "apa jua yang perlu untuk membolehkan kita melakukan yang wajib maka ia juga adalah wajib."
Kategori fungsi perbelanjaan awam yang ketiga pula ialah tuntutan yang telah diserahkan oleh masyarakat kepada negara seperti dalam penyediaan kemudahan-kemudahan awam. Ada beberapa sebab kenapa penyediaan barang-barang ini diserahkan kepada pihak kerajaan. Antaranya, mungkin kerajaan mempunyai kepakaran, kemahiran dan mempunyai kemudahan yang lebih baik daripada pihak swasta. Ataupun mungkin juga kerana kosnya yang terlalu tinggi. Oleh kerana itu, penyediaannya oleh sektor kerajaan akan menjadi lebih murah. Contoh yang baik ialah pembekalan tenaga elektrik. Dalam istilah ekonomi moden, kita namakan ini sebagai ‘kegagalan sistem pasaran’.
Dalam keadaan ini, yang penting diambil perhatian ialah hakikat bahawa kerajaan tidak dibebani dengan fungsi dan tugas yang terlalu berat untuk dipikulnya. Di pihak yang lain pula kita juga harus berwaspada agar penyertaan kerajaan dalam hal-hal yang sedemikian tidak menafikan hak-hak individu untuk menjalankan perusahaan secara bebas dan adil. Keseimbangan ini hendaklah sentiasa diambil kira sebelum menugaskan kerajaan dalam mana-mana fungsi tertentu.
Banyak perbincangan dilakukan oleh ahli-ahli ekonomi Islam atas isu sama ada negara Islam itu adalah negara kebajikan (welfare state) atau tidak [7]. Semasa memperkatakan hal ini Umer Chapra [8] umpamanya menyebut bahawa menjadi tanggungjawab kerajaan Islam untuk mengangkat kedudukan spiritual dan material di kalangan anggota masyarakat Islam. Tanggungjawab ini merupakan amanah Allah SWT ke atas pemerintah. Dua syarat utama amanah ini ialah bahawa sesebuah kerajaan perlulah demokratik – sesuai dengan tuntutan ayat dalam surah Ali-Imran: 159 yang bermaksud:
“Dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu”
dan di samping itu, ia juga perlu berorientasikan kebajikan yang sesuai dengan sifat Islam sebagai rahmat kepada seluruh alam (Al-Qur’an 2: 107). Dalam hubungan ini juga, Rasulullah s.a.w. pernah menyebut:
“Sebarang pemimpin yang bertanggungjawab ke atas kebajikan orang Islam tetapi tidak melakukannya dengan ikhlas tidak akan masuk syurga” (Hadith Riwayat Muslim).
Untuk mencapai peningkatan spiritual tiga langkah perlu dilaksanakan oleh kerajaan Islam. Pertama, kerajaan haruslah mencipta satu keadaan yang sesuai di dalam masyarakat untuk menyenangkan kita menyemai nilai-nilai spiritual Islam. Kedua, kerajaan haruslah mencorakkan keseluruhan sistem pendidikan negara itu berlandaskan tuntutan pendidikan Islam. Unsur-unsur sekularisme hendaklah dikikis daripada pemikiran dan tindakan supaya sistem pendidikan itu dapat melahirkan anak-anak muda yang mempunyai idealisme bersesuaian dengan Islam. Akhirnya, kerajaan Islam haruslah menguatkuasakan undang-undang yang berteraskan syari'ah bagi sesiapa sahaja yang melanggar hukum Islam supaya ia menjadi pencegah kepada mereka yang cuba hendak melanggar peraturan Islam.
Bagi mencapai pembangunan material pula, Umer menyenaraikan enam
perkara yang harus diberikan penekanan oleh kerajaan Islam.
"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan
Allah kepadamu akan pahala dan kebahagian hari akhirat dan jangan engkau
melupakan bahagianmu (keperluanmu dan bekalanmu) dari dunia." (Al-Qasas:
77)"Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka
bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu
hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak
(dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).
(Al-Jumu'at: 10)
Dari perbincangan kita tadi nyatalah bahawa kerajaan Islam bertanggungjawab
bukan sahaja terhadap kesejahteraan material, malah ia juga bertanggungjawab
terhadap kesejahteraan spiritual orang Islam. Sejarah ekonomi Islam menunjukkan
cendikiawan Islam seperti al-Mawardi (911 - 1058), Abu Ya'ala (990 - 1065),
Ibn Khaldun (1332 - 1406), Al-Ghazali (1031 - 1111), Ibn Taimiyyah (1263
- 1328) kesemuanya menegaskan pentingannya fungsi kebajikan kerajaan Islam.
Dalam usaha memenuhi tuntutan kebajikan masyarakatnya, kerajaan Islam haruslah
meningkatkan pembangunan aspek kehidupan spiritual dan material yang akhirnya
kelak akan meningkatkan kebajikan masyarakat.
PERSPEKTIF PEMBIAYAAN AWAM DARI SUDUT ‘KONVENSIONAL’
Dalam teori ekonomi ‘konvensional’, pembiayaan awam atau disebut juga kewangan awam merujuk kepada satu cabang ekonomi yang menyangkut soal pengurusan pendapatan dan perbelanjaan kerajaan dan kesannya ke atas ekonomi secara keseluruhannya [9]. Dari definisi tersebut dapat dilihat dengan jelas bahawa tanggungjawab asas kerajaan ialah untuk mengurus sumber-sumber kekayaan negara dan mengagihkan sumber-sumber kekayaan tersebut dalam bentuk perbelanjaan-perbelanjaan kerajaan. Pengurusan ini dilakukan melalui belanjawan negara. Terdapat tiga bentuk belanjawan negara – belanjawan defisit (perbelanjaan melebihi pendapatan), belanjawan lebihan (pendapatan melebihi perbelanjaan) dan belanjawan seimbang (pendapatan sama dengan perbelanjaan).
Musgrave dan Musgrave [10] membahagikan fungsi kerajaan kedalam tiga fungsi utama iaitu fungsi alokatif, fungsi pengagihan dan fungsi penstabilan. Fungsi alokatif berkait dengan peruntukan sumber di antara barangan awam dan barangan swasta. Kerajaan perlu membuat keputusan untuk mengeluarkan barangan dan perkhidmatan akibat wujudnya kegagalan pasaran (market failure) sehingga menyebabkan sistem pasaran (pihak swasta) tidak mampu untuk mengeluarkan barangan dan perkhidmatan tersebut dengan cekap. Fungsi pengagihan pula menumpukan kepada pengagihan pendapatan dan kekayaan negara secara ‘adil’ dan ‘saksama’. Fungsi penstabilan merujuk kepada tindakan kerajaan bagi memastikan tingkat guna tenaga dalam negara yang tinggi, wujudnya kestabilan harga barangan (dalam erti kata tidak berlaku inflasi yang amat membebankan), kestabilan akaun luar dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Musgrave dan Musgrave di atas hanya menyentuh fungsi ekonomi asas dalam pengendalian perbelanjaan awam oleh pihak kerajaan. Namun dalam pada itu, di samping melaksanakan fungsi-fungsi yang berkaitan dengan perbelanjaan awam, kerajaan juga bertanggungjawab mengendalikan perbelanjaan-perbelanjaan yang berkaitan dengan pendidikan, undang-undang dan ketenteraman, rekreasi dan kebudayaan, kesihatan dan kebajikan [11].
Ringkasnya, pembiayaan awam merupakan satu bidang ekonomi yang
mengkaji dasar-dasar bagi mengumpul sumber untuk negara, hasil daripada
pencukaian dan kerahan tabungan orang ramai untuk menampung perbelanjaan
kerajaan. Justeru, pola dan magnitud keutamaan perbelanjaan kerajaan sememangnya
termasuk dalam cakupan bidang pembiayaan awam. Mannan [12]
menganggap dasar belanjawan sebagai alat untuk mengatur dan mengawal kelakuan
manusia, yang boleh dipengaruhi oleh rangsangan dan halangan yang wujud
dan menambah hasil kerajaan melalui pencukaian atau pinjaman kerajaan,
atau pun perbelanjaan kerajaan. Justeru bolehlah disimpulkan bahawa dasar
belanjawan sekular itu diasaskan kepada teori sosio-politik dan teori faedah
sosial dengan matlamat untuk memaksimumkan kebajikan manusia.
PERSPEKTIF PEMBIAYAAN AWAM DALAM ISLAM
Dari huraian ringkas tentang pembiayaan awam yang dibentangkan tadi kita nampak bahawa matlamat yang ingin dicapai melalui pengurusan pembiayaan awam ‘konvensional’ berasaskan matlamat mencapai kemantapan ekonomi dan bersifat duniawi tanpa bersandarkan kepada hukum Allah SWT. Apabila asas perjalanan ekonomi tidak bertunjangkan kepada tauhid maka persoalan etika dinafikan sama ada dalam hal pemungutan hasil kerajaan ataupun dalam melakukan pembelanjaan.
Sebagai agama yang sempurna, [13] Islam mempunyai kaedahnya sendiri bagi menguruskan pembiayaan awam. Namun dalam zaman moden ini, untuk mencari model yang benar-benar menepati kehendak tuntutan Islam yang sebenar memanglah sukar kerana tiada satupun negara di dunia masa kini yang boleh kita iktiraf sebagai negara yang mengamalkan sistem Islam yang sepenuh dan sebenar. Oleh itu jika kita ingin mencari model yang hendak diikuti kita terpaksa kembali mengimbau sejarah lampau, melihat bagaimana negara Islam ditadbir di zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabat, sehinggalah kepada zaman Khalifah al-Rasyidin.
Matlamat utama kerajaan Islam bukan sahaja terbatas kepada aspek-aspek keduniaan semata-mata, bahkan ia mencakupi aspek kerohanian dan spiritual. Setiap negara Islam itu haruslah bermatlamat untuk menjadi:
"..negerimu adalah negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun.) " (Saba': 15)
Dalam satu lagi ayat, Allah SWT berfirman yang bermaksud,
"Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal salih di antara kamu bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi sebagaimana ia menjadikan orang-orang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka yang telah diredai-Nya untuk mereka." (Al-Nur: 55)
Ayat ini meletakkan kerajaan Islam yang dipimpin oleh orang-orang yang beriman dan beramal salih, untuk berfungsi sebagai pengukuh dan pengembang Islam dalam lingkungan kuasa yang ada padanya. Di samping itu, adalah juga menjadi tanggungjawab kerajaan Islam itu untuk memerintahkan orang berbuat kebaikan dan melarang segala bentuk kemungkaran. Peranan ini jelas dalam ayat berikut:
"Ia itu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perbuatan yang mungkar." (Al-Hajj: 41)
Demikianlah secara umum peranan yang dituntut oleh Islam terhadap sesebuah kerajaan Islam. Kita akan memperincikan langkah-langkah untuk kerajaan menjalankan fungsi-fungsi ini kemudian kelak. Untuk meneruskan perbincangan kita marilah kita meneliti sepintas lalu sistem perbelanjaan kerajaan Islam yang pernah wujud dalam sejarah.
Dalam melihat perspektif pembiayaan awam dalam Islam, elok kiranya
kita melihatnya dari dua sudut utama iaitu i) penentuan keutamaan dalam
perbelanjaan awam dan ii) prinsip-prinsip utama perbelanjaan awam dalam
Islam.
1. Menentukan Keutamaan Perbelanjaan Awam
Al-Syatibi [14] dalam perbincangannya tentang Maqasid Al-Syari'ah atau objektif syari'ah mengkelaskannya kepada 3 kumpulan iaitu:
Daruriyyah lebih utama daripada hajiyyah dan hajiyyah pula
mendahului tahsiniyyah. Daruriyyah adalah kemestian, hajiyyah adalah keperluan
manakala tahsiniyyah mewakili keselesaan dan perhiasan.
Daruriyyah adalah objektif yang mesti dan asas untuk memastikan
kebajikan di dunia dan di akhirat. Maknanya, jika perkara-perkara ini diabaikan
maka keselarasan dan ketenteraman tidak dapat diwujudkan dalam kehidupan
manusia. Dengan itu, fasad dan huru hara akan berlaku di dunia dan ini
akan merugikan manusia di akhirat kelak. Daruriyyah berkait dengan lima
perkara yang mesti dilindungi:
Menurut Shatibi, melindungi kelima-lima perkara tadi merupakan
daruriyyah kerana ia wajib dilakukan untuk menjaga kesejahteraan manusia
di dunia dan di akhirat.
Hajiyyah berkait dengan objektif syari'ah untuk memudahkan kehidupan dan menghapuskan kesengsaraan. Contohnya ialah kebenaran untuk memburu dan menggunakan barang yang halal untuk dimakan, rumah untuk penginapan, berniaga, semua ini dianggap sebagai memenuhi objektif yang dimaksudkan. Pengharaman menipu dalam perniagaan, memakan riba juga bertujuan yang sama. Akhirnya tahsiniyyah mencantikkan dan menghiaskan kehidupan serta memberikan keselesaan kepadanya. Dalam hal ini syari'ah membenarkan untuk pengindahan dan penyenangan terhadap perkara-perkara yang terdapat dalam daruriyyah dan hajiyyah.
Jika fungsi kerajaan ialah untuk melindungi lima perkara yang disenaraikan tadi dan menjaga kepentingan ramai, perbelanjaan awam hendaknya tidak berhenti di peringkat daruriyyah. Malah hajiyyah dan tahsiniyyah juga diperlukan untuk memperkukuhkan daruriyyah tadi. Sejauh mana yang demikian itu boleh dilakukan bergantunglah kepada ijtihad dan keputusannya yang dibuat melalui syura. Sudah tentulah jumlah sumber yang ada juga menjadi penentu yang penting kepada perbelanjaan awam.
Dalam membuat penilaian aktiviti-aktiviti ekonomi yang hendak
dilaksanakan, prinsip-prinsip yang terkandung dalam maqasid ini perlu dipertimbangkan
agar kegiatan-kegiatan tersebut membawa manafaat yang sepatutnya.
2. Prinsip Umum Perbelanjaan Awam
Umer Chapra [15] dalam komennya
tentang kelemahan sektor awam menggunakan sumber mereka yang terhad dengan
cekap, menggariskan empat perkara sebagai penyebab kelemahan tersebut:
Lalu Umer mencadangkan enam prinsip perbelanjaaan awam yang
terdiri daripada:
Sementara itu Sidiqui pula menggariskan 5 prinsip seperti
berikut:
Dalam sistem ekonomi Islam, beberapa sumber hasil kepada kewangan kerajaan telah pun digariskan dengan jelas oleh syara’. Dari sudut sejarah, kita dapat perhatikan bahawa Rasulullah s.a.w. telah mempraktikkan sistem pencukaian dan kewangan Islam selepas penghijrahan baginda ke Madinah. Dalam jangka masa beberapa tahun selepas hijrah peraturan-peraturan terperinci tentang kadar dan hasil zakat telah dirangka. Cuma pada masa itu sumber utama hasil pendapatan negara terdiri daripada zakat dan sadaqah. [16]
Antara sumber-sumber hasil kerajaan Islam yang telah ditetapkan
oleh syara’ ialah seperti berikut:
(i) Zakat
Zakat ialah ‘cukai wajib’ yang dikenakan oleh negara Islam terhadap anggota masyarakat Muslim dengan mengambil lebihan wang daripada mereka yang lebih berada dan diberikan kepada mereka yang miskin dan memerlukan. Zakat dikenakan ke atas harta kekayaan dan hasil-hasil pertanian. Ia merupakan asas struktur kewangan dalam negara Islam dan merupakan salah satu daripada rukun Islam, yang lima. Pentingnya zakat dapat dilihat dengan penegasannya dalam dua puluh ayat di dalam al-Qur'an, yang Allah memerintahkan kita menunaikan sembahyang dan diikuti dengan perintah tentang zakat.
Khalifah Islam yang pertama telah mengambil tindakan memerangi
mereka yang enggan membayar zakat setelah wafatnya Rasulullah (s.a.w.).
Menurut Abu Bakar (r.a.), Islam tidak membezakan di antara sembahyang dengan
zakat, justeru orang yang tidak membayar zakat halal untuk diperangi.
Allah SWT telah menetapkan penggunaan zakat di dalam al-Qur'an
dengan firman-Nya:
"Sesungguhnya zakat itu hanyalah untuk orang-rang fakir, orang-orang miskin, pengurus zakat, mu'allaf dilembutkan hatinya, untuk memerdekakan hamba, orang berhutang, untuk jalan Allah dan orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai satu ketetapan Allah; dan Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana." (Al-Taubah: 60)
Namun begitu, liputan dan skop institusi zakat adalah luas dan dijelaskan oleh Rasulullah (s.a.w.) di dalam hadis-hadis baginda. Pada asasnya Zakat dikenakan kepada harta dan kekayaan yang mempunyai keupayaan untuk bertumbuh. Antara harta yang dikenakan zakat termasuklah emas dan perak, lembu, barang dagangan dan hasil-hasil tanaman.
Sebenarnya zakat ialah nama generik yang berikan kepada sumbangan wajib yang dikenakan kepada orang Islam. Kadar yang dikenakan ini berbeza-beza di antara 1/40 hinggalah 1/5. Misalnya, zakat ke atas penemuan harta karun dan harta perolehan perang (ghanimah) ialah 1/5, 1/10 untuk hasil tanaman yang tidak mempunyai taliair, 1/20 untuk hasil tanaman yang bertaliair, dan 1/40 bagi emas dan perak. [17]
Prinsip umum yang mendasari kadar zakat ini bolehlah digariskan
seperti berikut:
(ii) Kharaj dan Ushr - Cukai Tanah
Kharaj atau cukai tanah pertanian ialah bayaran yang dikenakan ke atas tanah yang menjadi milik kerajaan hasil daripada pembebasannya oleh tentera Islam. Ia merupakan sumber penting hasil kerajaan Islam dalam zaman permulaan Islam dahulu. Kadarnya ditetapkan oleh kerajaan berdasarkan mutu tanah, seperti tahap kesuburan dan pengairan dan perparitan yang terdapat pada tanah itu. Untuk pengelasan pencukaian tanah dibahagikan kepada dua kategori, yakni tanah usyr dan tanah kharaj. Tanah di negara Arab pada masa itu dikenali sebagai tanah usyr kerana semenjak asal lagi tanaman daripada tanah dikenakan pembayaran usyr (zakat ke atas hasil tanaman) pada kadar yang tetap. Sementara itu tanah yang di luar negara Arab dianggap sebagai tanah kharaj, yang dianggap sebagai tanah takluk.
Kharaj terbahagi kepada dua jenis:
Kharaj berkadaran merupakan sebahagian daripada tanaman tanah
itu seperti separuh, sepertiga atau seperempat, manakala kharaj tetap berdasarkan
hasil tanaman itu ataupun berdasar kawasan per unit atau berdasarkan sepohon
tanaman.
Kharaj tetap telah diamalkan oleh Khalifah Umar (r. a.) ke atas tanah di Iraq. Jika tidak ada contoh kadar yang ditentukan seperti yang ditetapkan oleh Umar (r. a.), maka asas nilaiannya ialah kapasiti kemampuan cukai tanah itu. Kadar maksimum ialah 1/2. Oleh itu sama ada kadar kharaj itu tetap atau berkadaran kadarnya tidak boleh melebihi 1/2.
Faktor yang menentukan kapasiti kemampuan cukai tanah itu ialah:
Selain ini ada lagi syarat-syarat yang tidak dapat diperincikan
di sini kerana ruang kita terhad untuk membincangkannya di sini.
(iii) Jizyah
Jizyah berasal daripada perkataan jaza’ yang bermaksud pampasan. Ia merupakan cukai tubuh yang dikenakan ke atas semua lelaki dewasa bukan Islam (Dhimmi) yang tinggal di dalam sesebuah negara Islam. Bayaran ini adalah sebagai balasan untuk perlindungan yang diberikan kepada mereka oleh orang Islam ke atas nyawa, harta dan hak-hak sosial mereka yang lain.
Tidak ada kadar yang tetap untuk jizyah ini dalam Islam. Mawardi [18] mencadangkan bahawa kadar jizyah itu sangat bergantung kepada saiz bahagian manfaat yang dinikmati oleh orang-orang bukan Islam itu dalam pendapatan negara. Jizyah bukanlah bertujuan untuk menghina golongan Dhimmi ini. Tentang jizyah ini Allah berfirman yang bermaksud:
"Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah......sehingga mereka membayar jizyah dengan keadaan taat dan merendah diri." (Al-Taubah: 29)
Dalam ayat ini perkataan "saghirun" (penghinaan) bukanlah dimaksudkan pembayaran jizyah itu diertikan dengan tujuan menghina tetapi dengan maksud penyerahan diri mereka kepada pemerintahan Islam. Penjelasan ini perlu kerana ada yang mentafsirkan bahawa pembayaran jizyah adalah untuk menghina mereka.
Sebagai balasan Dhimmi mendapat hak-hak yang ditentukan oleh Islam, tetapi tidak dapat dihuraikan sepenuhnya di sini.
Antara hak-hak itu ialah:
Harta rampasan perang atau ghanimah ialah harta yang diambil secara paksa daripada musuh dalam peperangan. Oleh itu, harta yang diambil oleh orang Islam yang memasuki negara musuh tanpa keizinan Imam bukanlah merupakan ghanimah kerana harta demikian diambil secara curi, bukan secara paksa.
Satu perkara yang menarik tentang hal ini ialah bagaimana Islam telah mengasuh pengikut-pengikutnya untuk mengubah pandangan hidup mereka tentang harta rampasan perang. Sebelum Islam, semua harta rampasan perang ini diambil oleh pihak tentera yang memenangi peperangan itu. Hal ini telah menjadi dorongan perang di kalangan kabilah-kabilah Arab pada masa itu. Islam telah menghadkan tuntutan tentera yang menang itu kepada empat perlima daripada harta rampasan perang. Seterusnya, Islam menyempitkan lagi skop ghanimah itu kepada harta yang diambil setelah benar-benar berperang dan bukan harta yang ditinggalkan selepas musuh-mush itu lari meninggalkan kampung halaman mereka. Akhirnya, Islam menegaskan tentang aspek spiritual Jihad untuk mendapat pahala di akhirat.
Sebenarnya, dari segi agama tidak salah untuk mengambil sebahagian daripada harta rampasan perang, namun adalah lebih baik untuk mengorbankan harta rampasan perang untuk membebaskan diri daripada pencemaran duniawi. Sebuah hadis yang dipetik oleh Muslim dalam Kitabul Jihad bermaksud:
"Tentera Islam yang berperang dengan nama Allah dan mendapat ganjaran, akan mendapati dua pertiga daripadanya dikhaskan untuknya di akhirat; jika ia tidak mendapat bahagiannya yang sepenuhnya."
Dalam hubungan ini surat Khalifah Umar (r. a.) kepada Saad bin Waqas telah merumuskan dengan tepat hukum Islam tentang hal ini. Umar (r. a.) telah berkata:
"Dalam surat anda, anda telah menggesa apa jua tanah dan harta-harta lain yang telah diberikan Allah sebagai rezeki, haruslah diagih-agihkan. Sebaik sahaja anda menerima surat saya ini anda haruslah mengagihkan semua barang-barang perkakas rumah termasuk haiwan di kalangan tentera selepas menolak satu perlima (khumus), melainkan harta itu diperolehi selepas peperangan sebenar, dan benarkan tanah-tanah dan unta-unta kekal berada dalam tangan tuannya yang asal supaya harta itu boleh digunakan untuk menyokong peruntukan bagi orang Islam. Jika anda mengagihkan harta-harta ini di kalangan generasi sekarang tentulah tidak akan ada lagi yang tinggal untuk generasi akan datang."
Bahagian yang seperlima itu diberikan kepada negara untuk membantu orang fakir, miskin dan ibnussabil. Ayat al-Qur'an yang menerangkan ini bermaksud:
"Dan ketahuilah, bahawa apa sahaja yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, dan untuk Rasul-Nya, dan untuk kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ibnussabil..." (Al-Anfaal: 41)
Akhirnya, ghanimah ini merupakan satu sumber yang penting semasa pengembangan Islam pada zaman permulaannya. Kini peranannya semakin kecil terutama sekali apabila sudah tidak ada lagi peperangan yang matlamatnya bukan untuk imperialisme atau atas sifat tamak, tetapi atas tuntutan jihad yang paling tinggi dalam kehidupan seorang Muslim.
Dalam bahagian satu perlima tadi pula ghanimah itu dibahagi kepada
lima bahagian pula, yakni untuk:
Fai' disebut dalam al-Qur'an, surah Al-Hasyr ayat 6 - 10. Ia merupakan harta yang ditinggalkan oleh musuh dan ia diperolehi tanpa berperang dengan musuh. Di zaman Rasulullah s.a.w., terdapat ramai orang-orang Yahudi yang mendiami sekitar Madinah. Akibat sikap penentangan mereka, mereka akhirnya diusir keluar dari Semenanjung Arab. Harta-harta yang ditinggalkan mereka dikategorikan sebagai harta fai’. Keseluruhan harta yang diperolehi di bawah fai' ini hendaklah dibelanjakan kepada orang miskin, orang musafir yang kesusahan, anak-anak yatim dan sebahagiannya kepada Rasulullah (s. a. w.) dan kaum keluarga baginda.
Terdapat juga sesetengah penulis yang memasukkan dalam fai' ini
harta benda yang ditinggalkan tanpa waris, ataupun harta hilang yang dijumpai
dan tidak dituntut oleh pemiliknya.
(vi) Cukai Lombong
Mengikut pendapat Hanafi, ada tiga jenis lombong: [19]
Hanya lombong seperti (1) sahaja yang dikenakan cukai sebanyak
20 peratus. Ini bermakna lombong seperti dalam kategori (2) dan (3) dibebaskan
daripada cukai. Negara boleh memajukan lombong itu secara komersial agar
manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh masyarakat. Sekiranya, kerajaan
tidak berupaya untuk memajukannya sendiri ia boleh dipajakkan dengan syarat,
melalui pajakan itu ia tidak akan memperkayakan sesuatu pihak dengan keterlaluan
dan pada masa yang sama ia memiskinkan pihak lain pula. Satu contoh ialah
apabila Abyaz Maaribi memohon hak ke atas tasik garam yang terletak di
Maarib. Setelah Rasulullah meluluskan permohonan Abyaz, salah seorang yang
hadir mendapat tahu bahawa tasik itu kaya dengan garam. Setelah mengetahui
keadaan sebenarnya, Rasulullah (s. a. w.) telah menarik balik kelulusannya
tadi.
Shah Waliullah telah menyimpulkan bahawa lombong yang tidak memerlukan modal yang besar untuk mendapatkan hasilnya dan boleh digali dipermukaannya sahaja tidak patut diberikan kepada orang perseorangan kerana ia bertentangan dengan kepentingan masyarakat keseluruhannya.
Peraturan yang telah dilaksanakan seperti itu berlaku sebelum
tertubuhnya syarikat-syarikat perbadanan berbentuk gergasi. Justeru pemberian
hak kepada individu untuk mengusahakan lombong tidak berupaya mencipta
kelas jutawan yang teristimewa dalam masyarakat. Tetapi dalam keadaan sekarang,
barangkali pengurniaan yang sedemikian sudah tidak sesuai lagi, dan lombong-lombong
yang berpotensi seperti itu perlu dimiliknegarakan untuk mengelakkan berlakunya
jurang pendapatan seperti yang dimaksudkan tadi. Namun sebaliknya, kita
tidak boleh menafikan sama sekali hak individu untuk mengusahakannya.
(vii) Sumber-Sumber Hasil Yang Lain
a) Harta Karun
Ulama-ulama Syafi'i dan Maliki menggunakan madan untuk bermaksud lombong dan rikaz untuk harta karun, manakala ulama-ulama Hanafi menggunakan rikaz secara am dan membezakan harta karun dengan perkataan kanz.
Ada tiga jenis harta karun, khususnya,
Harta karun jenis yang pertama adalah harta terjumpa, dimiliki
oleh orang Islam, justeru tidak dikenakan cukai. Jenis yang kedua dianggap
sebagai harta karun yang berasal dari zaman pra-Islam dan kedua-duanya
dikenakan cukai sebanyak satu perlima. Empat perlima bahagian pula dimiliki
oleh orang yang menjumpainya, dengan syarat ia dijumpai di tanah yang tidak
dimiliki oleh sesiapa.
Jika tanah itu dimiliki oleh seseorang, harta itu menjadi milik
orang yang kepadanya tanah itu diberikan semasa lepas peperangan, kepada
warisnya jika mereka dapat dikenali, atau jika kedua-duanya tiada, maka
harta itu menjadi kepunyaan pemilik tanah yang terawal diketahui.
b) Harta Peninggalan
Harta peninggalan orang yang meninggal dunia, atau harga darah
orang yang kena bunuh yang tidak mempunyai waris menjadi milik kerajaan.
Begitu juga jika seorang Dhimmi yang melarikan diri untuk menyertai musuh
Islam, hartanya menjadi milik negara. Demikianlah juga harta seorang Muslim
yang murtad dan menyertai musuh Islam, hartanya menjadi milik Perbendaharaan
Awam.
c) Waqaf
Waqaf ialah harta, sama ada yang boleh dipindahkan atau tidak, yang diserahkan secara sukarela kepada negara untuk kebaikan masyarakat umum. Harta waqaf merupakan sumber pendapatan yang penting bagi negara Islam. Orang pertama yang mewaqafkan hartanya ialah Khalifah Umar (r. a.) dan menjadi ikutan Muslim yang sehingga ke hari ini. Dorongan untuk berbuat demikian datang daripada firman Allah SWT yang bermaksud:
"Siapakah orangnya yang mahu memberikan pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasan-Nya dengan berganda-ganda banyaknya?" (Al-Baqarah: 245)
"Dan kalau kamu memberi pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), nescaya Allah akan melipatgandakan balasan-Nya kepada kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu." (Al-Taghabun: 17)
"Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan
dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa
yang kamu sayangi." (Ali-Imran: 92)
BELANJAWAN AWAM
Dalam bahagian 3, kita sebutkan bahawa terdapat tiga bentuk belanjawan kerajaan – belanjawan defisit, belanjawan lebihan dan belanjawan seimbang. Dalam bahagian lalu, kita telah gariskan sumber-sumber hasil kerajaan sebagaimana yang digariskan dalam Islam.
Persoalannya ialah sekiranya sumber hasil yang dipungut oleh kerajaan tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaannya, iaitu kerajaan melaksanakan belanjawan defisit, apakah alternatif-alternatif yang ada dalam sistem ekonomi Islam untuk membiayai defisit tersebut. Dalam sistem ekonomi ‘konvensional’, masalah ini tidak timbul kerana kerajaan mampu mengenakan cukai (cukai langsung atau cukai tidak langsung) dan kerajaan boleh meminjam untuk membiayai belanjawan defisitnya.
Seperkara yang perlu diingat dalam konteks ini ialah bahawa sistem zakat yang ada dalam sistem ekonomi Islam disamping berperanan sebagai alat pengagihan pendapatan kerana sifatnya yang dipungut daripada orang kaya dan diberikan kepada orang miskin, penggunaannya juga terhad kepada asnab. Dengan erti kata lain, ia tidak boleh dibelanjakan kepada jalan lain selain daripada kategori yang telah ditetapkan oleh syara’.
Antara alternatif yang boleh diketengahkan termasuklah penggunaan pembiayaan ekuiti. Pembiayaan ekuiti melibatkan perkongsian, dalam konteks ini, Perkongsian antara pihak swasta dan awam dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti ekonomi. Negara Islam moden juga hendaklah melaksanakan projek-projek pembangunan yang mendapatkan penyertaan umum melalui terbitan saham berasaskan perkongsian untung dan rugi. Sumber-sumber juga boleh didapati melalui pinjaman Qard al-Hasan yang dirangsangkan oleh semangat persaudaraan sejagat. [20]
Disamping itu, apa yang jelas ialah tidak adanya halangan-halangan syar’i yang melarang pungutan cukai selain daripada zakat dilakukan oleh negara. Atas asas ini, kerajaan boleh mengenakan pelbagai jenis cukai – langsung (cukai pendapatan umpamanya) atau tak langsung (seperti cukai jualan, duti eksport dan import dan sebagainya) – bagi menampung perbelanjaan kerajaan. Malah, M. Umer Chapra berpendapat, kerajaan mempunyai hak untuk mengenakan pelbagai jenis cukai dengan syarat bahawa cukai tersebut dipungut dengan cara yang adil dan dalam jangkauan (jumlah/kadar) yang munasabah. Dalam hubungan pungutan cukai yang adil, ahli-ahli ekonomi ‘konvensional’ membahagikannya kepada dua iaitu cukai ‘progresif’ iaitu cukai yang kadarnya meningkat dengan meningkatnya pendapatan dan cukai ‘regresif’ iaitu cukai (atau kadar cukai) yang kadarnya berkurang dengan berkurangnya pendapatan.
Khalifah-khalifah Umar, Ali dan Umar ibn Abd. Aziz semuanya menekankan peri pentingnya cukai dipungut dengan cara yang adil, dengan ihsan (lemah lembut) dengan mengambil kira kemampuan masyarakat sehingga tidak mendatangkan kepayahan kepada mereka, umpamanya sehingga menyebabkan mereka tidak berkemampuan untuk menyara kehidupan masing-masing. Fungsi cukai yang adil mengikut Abu Yusuf ialah kemampuan sistem cukai tersebut meningkat hasil pungutan cukai dan pada masa yang sama membangunkan ekonomi negara. Dalam membincangkan persoalan cukai yang adil, Ibn Khaldun memetik surat yang ditulis oleh Tahir ibn al-Husain kepada anaknya yang bermaksud: “agihkanlah (cukai) di kalangan orang ramai dengan adil dan saksama tanpa mengecualikan sesiapa jua yang disebabkan oleh kebangsawanan mereka atau kekayaan mereka dan tidak juga mengecualikan pembantu-pembantu atau pengikut-pengikut kamu. Dan janganlah kenakan cukai ke atas seseorang di luar dari kemampuan mereka membayarnya”.
Aspek lain yang penting untuk diperkatakan berhubung dengan belanjawan
negara yang perlu diberikan perhatian di sini ialah dalam merangka perbelanjaan
kerajaan, sifat kesederhanaan dan perbelanjaan berhemat dengan mengambil
kira maqasid syariah perlu diberikan penekanan. Dengan cara ini, tidak
akan timbul soal peruntukan perbelanjaan kerajaan yang di luar jangkauan
sehingga memaksa negara berhutang, apatah lagi berhutang dengan negara-negara
bukan Islam.
Seandainya kerajaan terpaksa meminjam, Umer Chapra mensyaratkan
bahawa pinjaman tersebut hendaklah berupa pinjaman yang tidak melibatkan
bunga kerana mengambil kira pengharaman riba dalam Islam.
Dalam keadaan-keadaan tertentu, sekiranya sistem pencukaian Islam itu tidak dapat mencapai hasil (jumlah) yang diingini dalam usaha mencapai keseimbangan di antara pelbagai golongan masyarakat. Dalam keadaan ini negara juga boleh mengenakan satu sumbangan kewangan daripada golongan yang lebih kaya. Malah Ibn Hazm mencadangkan supaya negara Islam itu menggunakan paksaan jika permintaan sumbangan itu ditentang, khususnya orang orang-orang kaya. Menurutnya, ayat yang bermaksud,
"Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga kamu yang dekat akan haknya, kepada orang-orang miskin dan orang yang dalam perjalanan; dan janganlah kamu menghambur-hamburkan hartamu secara boros." (Al-Israa': 26)
memberikan hak kepada kerajaan untuk menggunakan paksaan terhadap mereka yang engkar.
Tentang cukai-cukai tersebut, berbagai nama telah diberikan seperti, hilali, marafiq, maawin, maqus dan urfi. Cukai-cukai ini masuk ke dalam sistem pembiayaan awam Islam pada awal perkembangannya. Ada juga cukai selain yang dituntut oleh Syari'ah, dikenali sebagai dhara'ib. Ada juga yang mengatakan cukai ini boleh dikenakan, asal tidak terlalu membebankan.
Satu yang jelas dalam sistem pembiayaan Islam, ialah tentang ketegasannya
cukai yang dituntut oleh syari'ah, tetapi ia mempunyai keanjalan yang membolehkan
cukai-cukai baru diperkenalkan, dengan syarat keadaan masa itu memaksa.
Tetapi sebaik-baik sahaja keadaan darurat itu dapat diatasi maka cukai-cukai
ini hendaklah dimansuhkan seberapa segera.
KEADILAN DALAM PENGAGIHAN PERBELANJAAN AWAM
Oleh kerana wang awam adalah satu amanah, ia tidaklah boleh digunakan untuk memenuhi kepentingan peribadi mana-mana pihak. Ia hanya boleh digunakan untuk tujuan kepentingan awam. Dasar perbelanjaan awam mestilah bertunggakkan keadilan. Tuntutan ini terdapat dalam ayat al-Qur'an yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukuman di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah (dengan suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat." (Al-Nisa': 58)
"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan." (Al-Ma'idah: 8)
Umar (r. a.) menggariskan tiga prinsip tentang wang awam seperti
berikut:
Katanya lagi,
"Peganganku terhadap wang awam ialah seperti penjaga kepada harta anak yatim. Jika aku mampu aku tidak akan mengambil apa-apapun daripadanya, jika aku memerlukannya aku akan mengambil hanya apa yang lazim diperlukan."[21]
Dalam konteks pengagihan kekayaan negara, Islam amat menekankan peri
pentingnya harta tersebut tidak berlegar dikalangan golongan tertentu sahaja
di dalam masyarakat.
Konsep keadilan yang dimaksudkan di sini juga termasuk aspek keadilan
antara personal, antara wilayah dan antara generasi. Konsep keadilan yang
hendak dipertahankan ini menjangkau bukan sahaja dimensi material malah
juga dimensi moral dan akhlak.
PENUTUP
Pembiayaan awam adalah satu topik yang sangat luas. Sudah tentulah kita
tidak dapat mengupas segala aspeknya dalam satu kertas kerja yang sependek
ini. Tambahan pula hendak mengupas pembiayaan awam dalam sudut Islam yang
lebih rumit kerana kaitannya dengan aspek keagamaan dan kepercayaan dan
diselubungi dengan isu-isu yang sensitif. Namun, harapan kertas ini ialah
untuk membentangkan sedikit sebanyak asas-asas pembiayaan awam dalam Islam
agar ia dapat merintis jalan bagi menarik minat bakal-bakal pemimpin masa
depan untuk menerokai aspek pentadbirannya dengan lebih mendalam pada masa
akan datang, insya Allah.
NOTA
[1] Abdul Kadir Audah (1951), “Harta dan Pemerintahan Dalam Islam”, terjemahan Dewan Pustaka Antara, Kuala Lumpur
[2] Abdullah Yusuf Ali, “The Holy Qur’an: English translation of the meanings and commentary”.
[3] Muhammad Nejatullah Siddiqui, “Muslim Economic Thinking – A Survey of Conteporary Literature”, Leicester (UK): Islamic Foundation, 1981
[4] ibid
[5] M.N.Siddiqui (1981), “Muslim Economic Thinking – A Survey of Contemporary Literature”, Leicester (UK): Islamic Foundation.
[6] M. N. Siddiqui. "Public Expenditure in Islam" kertas kerja dibentangkan dalam International Seminar on Islamic Economics, yang diadakan di Kulliyah of Economics, IIU, Kuala Lumpur pada 6 - 9 Julai 1987.
[7] Antaranya Ibnu Taimiyyah, M. Umar Chapra, Hasanuz Zaman dan lain-lain)
[8] Umar Chapra, The Islamic Welfare State and Its Role in the Economy, Islamic Foundation, U. K. 1985, hal. 5.
[9] Christopher Pass dan Bryan Lowes (1993), Collins Dictionary of Economics, Glasgow: HarperCollins Publishers.
[10] Musgrave, R.A. dan Musgrave, P.B. (1989), “Public Finance – Theory and Practice” (edisi kelima), New York: MacGraw Hill.
[11] Adolf Wagner (1883), “Three Extracts of Public Finance” dalam R.A.Musgrave dan A.T.Peacock, Classics in The Theory of Public Finance. New York: St.Martin Press.
[12] Mannan, M. A. 1992. Ekonomi Islam: Teori dan Praktis (Asas-Asas Ekonomi), Jilid Kedua. Bahagian III. Kuala Lumpur: A. S. Noordeen.
[13] Al-Qur'an, Al-Maa'idah, Ayat 3.
[14] Lihat M. Fahim Khan & Noor Muhammad Ghifari, "Shaitibi's Objectives of Shari'ah and Some Implications for Consumer Theory." dalam Abul Hasan Sadeq & Aidit Ghazali, Readings in Islamic Economic Thought, PJ: Longmans Malaysia.
[15] M. Umer Chapra, Islam and Economic Development, IIIT and IRI, Islamabad, 1993.
[16] Muhammad Abdul Mannan. 1992. Ekonomi Islam: Teori dan Praktis (Asas-Asas Ekonomi), Jilid Kedua, Bahagian III, terjemahan ke dalam bahasa Malaysia oleh Radiah Abdul Kader. Kuala Lumpur: A.S. Noordeen.
[17] S. A. Siddiqui.1968. Public Finance in Islam, Lahore: Sh. Muhammad Ashraf.
[18] Mawardi. 1973. Al-Ahkam al-Sultaniyyah, Maktabah al-Babi al-Khalabi, Cairo.
[19] S. A. Sidiqqi. 1968. Public Finance in Islam. Lahore: Sh. Muhammad Ashraf
[20] Abul Khair Mohd. Jalaluddin. 1991. The Role of the Government in an Islamic Economy. Kuala Lumpur: A.S. Noordeen.
[21] Lihat M. N. Siddiqui.
"Public Expenditure in Islam" kertas kerja dibentangkan dalam International
Seminar on Islamic Economics, yang diadakan di Kulliyah of Economics,
IIU, Kuala Lumpur pada 6 - 9 Julai 1987.
BIBLIOGRAFI
Abdul Kadir Audah. 1983. Harta dan Pemerintahan Dalam Islam. Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara.
Abdul Azim Islahi. 1988. Economics Concepts of Ibn Taimiyyah. Leicester (UK): Islamic Foundation.
Abdullah Yusof Ali. The Holy Qur’an – English Translation of the Meaning and Commentary.
Abu Khair Mohd. Jalaluddin. 1991. The Role of Government in an Islamic Economy. Kuala Lumpur: A. S. Noordeen.
Abul Hasan M. Sadeq & Aidit Ghazali (eds.). 1992. Readings in Islamic Economic Thought. Kuala Lumpur: Longman Malaysia.
M. Umer Chapra. 1979. The Islamic Welfare State and Its Role in the Economy dalam Khurshid Ahmad, ‘Studies in Islamic Economics’, Leicester (UK): Islamic Foundation.
M. Umer Chapra. 1993. Islam and Economic Development. Islamabad: Islamic Research Institute Press.
M.N. Siddiqui. 1981. “Muslim Economic Thinking – A Survey of Contemporary Literature”. Leicester (UK): Islamic Foundation.
M. N. Siddiqui. 1987. "Public Expenditure in Islam." Kertas kerja dibentangkan di International Seminar on Islamic Economics, Kuliyyah of Economics, International Islamic University, Malaysia.
Muhammad Abdul Mannan. 1991. Ekonomi Islam: Teori dan Praktis (Asas-Asas Ekonomi). Jilid Kedua. Bahagian III. Kuala Lumpur: A. S. Noordeen.
Musgrave, R.A. dan Musgrave, P.B. 1989. Public Finance – Theory and Practice. New York: McGraw Hill.
S. A. Siddiqui. 1968. Public Finance: Islam. Kashmiri Bazar, Lahore: SH. Muhammad Ashraf.
S.M. Hasanuz Zaman. 1991. Economic Functions of an Islamic State – The Early Experience. Leicester (UK): The Islamic Foundation.
Sad-Ud-Din. 1978. The Economic Philosophy of Islam.Srinagar, India: Ideal Publishing Academy.
Sheikh Ghazali Sheikh Abod, Syed Omar Syed Agil & Aidit Ghazali (eds.). 1992. An Introduction to Islamic Finance. Kuala Lumpur: Quill Publishers.
Sheikh Abdullah Basmeih.1985. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian
Al-Qur'an. Kuala Lumpur: Bahagian Agama, Jabatan Perdana Menteri.