PENGURUSAN SUMBER ASLI

Prof. Madya Haji Ismail Omar, Pengerusi Bahagian Ekonomi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia. Tel: 04-6577888 smbgn 2665 E-mel: [email protected]
 

MUKADIMAH

Manusia dipilih oleh Allah menjadi khalifah-Nya di bumi ini. [1] Pada masa yang sama mereka dituntut supaya mengabdikan diri kepada-Nya dalam semua tindakan sama ada dalam segala urusan ibadah, urusan kehidupan dan sehingga urusan kematian. [2]

Pengurus mempunyai bidang tugas yang besar dan luas yang antara lainnya mengatur dan mentadbir pelbagai sumber anugerahan supaya dapat digunakan dengan sebaiknya oleh umat demi kebahagian kehidupan mereka yang sementara di dunia ini dan saham bekalan bagi kehidupan mereka di akhirat yang berkekalan. Pengurusan adalah sebahagian daripada tanggungjawab khalifah. Pelaksanaan tugas  ini, walau apapun peringkat kedudukan pelaksananya, pasti akan dipertanggungjawabkan. Setiap individu mempunyai akauntabiliti terhadap apa yang dilakukan. Lebih tinggi pangkat dan kedudukan dan lebih besar autoriti yang dipegang oleh seseorang individu, lebih besar dan berat akauntabiliti tersebut. [3] Pelaksanaan yang berjaya memperolehi ganjaran manakala pelaksanaan yang gagal akan menanggung risiko daripada Allah.
Pengurusan pembangunan memerlukan cakupan beberapa aspek utama. Antara lain ialah pengurusan organisasi, pengurusan kewangan, pengurusan sumber manusia, pengurusan sumber asli, pengurusan perniagaan dan perusahaan, dan lain-lain selain pengurusan diri. Bab ini menghuraikan aspek pengurusan sumber asli. Aspek ini tidak terkecuali adalah juga menjadi tanggungjawab setiap individu pada pada setiap peringkat dan kedudukan. Pengurusannya yang baik sangat dituntut kerana ia bukan sahaja menjanjikan perolehan sumber makanan yang baik, halal dan mencukupi yang menjadi asas dalam pembangunan manusia dan masyarakat, malahan dapat menghindar atau meminimumkan risiko bencana dan wabak seperti banjir, pencemaran, penyakit, ketandusan, kepapaan, kebuluran dan kesengsaraan dalam alam persekitaran kehidupan manusia. Untuk itu, pengurus sumber asli diperlukan mempunyai sifat-sifat terpuji seperti amanah, bijaksana dan berhemah selain mempunyai ilmu agama dan pengetahuan teknikal. Sewajarnya pengurusan pembangunan berteraskan Islam ini bertunjangkan tawhid dan perinciannya membawa kepada penghayatan konsep khilafah, ukhuwwah dan tazkiyyah.

Penerokaan dan pengurusan sumber asli  dengan menggunakan pengetahuan dan teknologi sesuai akan menghasilkan output yang banyak, berkualiti dan halal. Pembangunan yang diidam-idamkan itu, walau bagaimanapun, tidak akan menjadi realiti tanpa kesedaran dan keinsafan betapa penting dan perlu para pengurusnya, baik dalam sektor swasta mahupun sektor awam di peringkat negeri dan di peringkat negara, mempunyai penghayatan konsep khilafah, ukhuwwah dan tazkiyyah itu.
 

PENGERTIAN DAN KEGUNAAN SUMBER ASLI

Sumber asli  mempunyai erti yang luas. Dalam pengertian dan pemahaman ekonomi lazim, ia diistilahkan sebagai tanah (Afzal-ur-Rahman, 1991:174). Tanah bermaksud bumi serta apa-apa yang berada di atas dan di dalamnya baik di daratan mahupun di lautan.

Di antara sumber asli utama dan penting yang dijelaskan dalam Qur’an ialah bumi (tanah), bahan-bahan galian, gunung-ganang, hutan (tumbuhan dan kayu-kayan), binatang-binatang,  dan iklim serta hujan. Segala suatu yang disebut itu, malahan seluruh makhluk termasuk manusia, adalah ciptaan Allah dan Dialah Pemilik Sebenar atau Pemilik Mutlak. [4] Manusia diberi hak oleh Allah untuk memiliki sumber-sumber tersebut sebagai pemilik amanah dan sementara. [5] Mereka boleh mengguna dan mengambil perkhidmatan sumber-sumber itu bagi memenuhi segala keperluan dalam kehidupan mereka.

Sumber asli utama yang disebut di atas itu dihuraikan secara ringkas dengan keterangan kegunaannya oleh Qur’an bagi kehidupan manusia.
 

Bumi (Tanah)

Allah menjadikan manusia pertama daripada tanah, dan tanah juga menjadi faktor pengeluaran yang paling penting untuk manusia. Di atas tanah dan di permukaan bumi manusia menjalani kehidupan harian. Mereka berjalan, bekerja, mendirikan rumah, membina kilang atau melakukan apa sahaja bagi memenuhi keperluan dalam kehidupan mereka. Di bumi inilah manusia disediakan tempat kediaman dan tempat mencari kesenangan untuk seketika sebelum berpindah ke alam yang kekal. Qur’an menjelaskan

“Dan bagi kamu ada tempat kediaman di bumi dan kesenangan hidup sampai waktu yang ditentukan (sampai ajal)” [6]

Jaminan kesenangan hidup manusia di bumi adalah menerusi pekerjaan dan pengurusan yang diandaikan bertambah baik dan lebih berkualiti dari semasa ke semasa. Manusia dijamin dengan sumber kekayaan yang cukup dari bumi bagi memenuhi keperluan manusia yang bertambah asalkan  mereka berusaha dan mengagihkan dengan baik. Seandainya produktiviti tanah masih rendah, maka para pemilik, usahawan-usahawan dan pengurus-pengurus tanah diwajibkan berikhtiar dan mencari jalan bagi meningkatkan produktivitinya sehingga ke peringkat potensi. Jika kerendahan produktiviti tanah itu disebabkan oleh tanah yang tidak subur, misalnya, usahawan atau pengurusnya mesti mencari jalan untuk menyuburkannya dengan langkah-langkah seperti memperbaiki sistem pembajaan, sistem pengairan, sistem pembersihan dan penanaman.  Kaedah-kaedah baru yang sesuai perlu sentiasa dicari supaya produktiviti tanah dapat terus dipertahan atau ditingkatkan. Usaha-usaha ini bertepatan dengan seruan Rasulullah yang bermaksud:

“Carilah penghidupan kamu dari khazanah (kekayaan) bumi yang tersembunyi”[7]

Bahkan Allah berfirman bermaksud:

“Dia (Allah)-lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya” [8]
 

Bahan-Bahan Galian

Sebahagian besar bahan-bahan galian adalah berbentuk logam. Sebahagiannya berbentuk cecair seperti petroleum dan air mineral. Bahan-bahan ini sangat berguna dalam kehidupan manusia. Ia dapat diperolehi dengan banyak sama ada dari permukaan atau dari perut bumi.  Kegunaan bahan-bahan ini kepada manusia cukup banyak. Antaranya ialah untuk digunakan sebagai bahan mentah dalam perusahaan, sumber tenaga, dan lain-lain. Di antara faktor kejayaan dan kemajuan ekonomi negara-negara industri maju pada hari ini adalah kerana mereka telah berjaya mengambil manfaat dari bahan-bahan galian. Galian besi misalnya dibangunkan peralatan dan kelengkapan bagi memperkuatkan ketenteraan dan ekonomi. Allah menjelaskan dalam Qur’an

“Dan Kami turunkan besi yang mempunyai kekuatan dan bermanfaat kepada manusia”.[9]
 

Gunung-Ganang

Gunung-ganang adalah juga sumber asli yang besar faedahnya dalam kehidupan manusia yang cintakan harta kekayaan dan berusaha membina tamadun umat. Allah menjelaskan dalam Qur’an yang bermaksud:

“Dan gunung-ganang dipancangkan-Nya dengan teguh. Semua itu untuk kesenanganmu dan binatang-binatang ternakanmu” [10]

Kalimah di awal ayat 33 Surah an-Naazi’aat itu ditafsirkan oleh pentafsir Qur’an sebagai petunjuk bahawa keperluan manusia yang pelbagai dapat dipenuhi daripada hasil pengeluaran gunung-ganang. Gunung-ganang menadah hujan dan menjadi punca kepada kewujudan sungai-sungai dan melalui sungai-sungai itu segala hidup-hidupan mendapat rezeki masing-masing. [11]
 

Hutan atau Tumbuh-Tumbuhan

Hutan atau tumbuh-tumbuhan adalah sumber kekayaan semula jadi negara yang sangat penting. Hutan boleh menghasilkan bahan bakar, bahan binaan, bahan mentah, dan yang terpenting bahan makanan. Oleh kerana pentingnya sumber asli ini maka pemeliharaan dan pengurusannya yang bersungguh-sungguh dan rapi amat ditekankan. Hinggakan jika seseorang mengetahui bahawa esok akan berlaku kiamat sedangkan pada tangannya terdapat anak benih, Nabi masih menyuruh supaya anak benih itu ditanamkan. [12] Tindakan menanam pohon atau tumbuh-tumbuhan itu tidak akan disia-siakan oleh Allah. Walaupun hasilnya dimakan oleh burung atau binatang atau dicuri orang, ganjaran pasti ada, sekurang-kurangnya ganjaran pahala di sisi Allah [13]. Sebaliknya jika pemeliharan dan pengurusan hutan atau tumbuhan-tumbuhan ini tidak diambil perhatian, bencana boleh menimpa ke atas manusia. Peristiwa kebakaran hutan di Sumatra dan Kalimantan pada tahun 1997 adalah di antara contoh-contoh bencana dan risiko yang terpaksa ditanggung oleh masyarakat akibat kecuaian manusia.
 

Haiwan dan Binatang Ternakan

Haiwan atau binatang  sama ada yang diternak atau tidak, di darat mahupun di lautan mempunyai pelbagai kegunaan kepada manusia. Daging, susu dan lemak adalah untuk makanan; kulit, bulu, tulang dan belulang adalah untuk pakaian dan perhiasan. Sesetengah haiwan seperti unta, kuda, lembu, gajah dan lain-lain boleh dijadikan tunggangan dan pengangkutan. Petikan maksud beberapa ayat Qur’an berikut menjelaskan maksud dan tujuan Tuhan mencipta dan menghidupkan binatang-binatang dalam kehidupan manusia.

“Binatang-binatang ternakan Dia ciptakan untukmu, dengannya kamu mendapat (pakaian) panas dan manfaat dan di antaranya kamu makan dagingnya. Pada binatang-binatang itu kamu mendapat keindahan, ketika kamu membawanya ke kandang dan ketika melepaskannya. Binatang-binatang itu membawa barang-barang kamu ke negeri ke negeri yang tidak kamu sampai melainkan dengan susah payah. Sesungguhnya Tuhan kamu amat melimpah belas kasihan dan rahmat-Nya. Dan Dia ciptakan kuda, baghal dan keldai supaya kamu mengenderainya dan menjadikan perhiasan. Dan Dia menciptakan apa yang tidak kamu ketahui.” (Surah al-Nahl; 16:5-8)

“Tiadalah (haiwan) yang melata di bumi dan tiada pula burung yang terbang dengan dua sayapnya melainkan semuanya itu beberapa umat seumpama kamu juga. Sedikitpun tiada yang ditinggalkan dalam Kitab. Kemudian mereka akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka.” (Surah al-An’am; 6:38)

Ulamak-ulamak mentafsirkan “umat seumpama kamu juga” ialah golongan yang merasa susah dan senang. Manakala manusia dicadangkan supaya memelihara dan membiakkan burung-burung untuk faedah dan kegunaan mereka (Afzal-ur-Rahman, 1991:180).

“Dihalalkan bagimu buruan laut dan makanannya (ikan) sebagi kesenangan bagimu dan bagi orang-orang yang berjalan.” (Surah al-Maidah; 5:96)
 

Iklim dan Hujan

Jenis sumber asli yang terakhir diterangkan di sini ialah iklim dan hujan. Seperti mana sumber-sumber lain yang telah diterangkan, iklim dan hujan sangat berguna untuk manusia. Cuma ada ketika-ketika manusia berasa resah kerana iklim atau cuaca kurang bersesuaian dengan kehendaknya pada ketika itu. Walhal iklim panas atau sejuk, cuaca cerah atau hujan pada sesuatu ketika, ada rahsia dan kebaikannya. Secara kasar, iklim dan cuaca yang berbeza, dan berlaku secara bertukar ganti adalah untuk memberi keseimbangan kepada alam.  Lalu mempengaruhi hidup-hidupan dan benda-benda di dunia ini yang sebahagiannya menjadi bekalan untuk manusia yang seterusnya akan mempengaruhi kehidupan dan pembangunan mereka. Antara keterangan Allah tentang kegunaan hujan adalah seperti berikut:

“Dia yang menurunkan air dari langit, di antaranya untuk minuman kamu dan di antaranya untuk tumbuh-tumbuhan; di sana kamu mengembalakan ternakanmu. Dia tumbuhkan untukmu dengan air itu tanam-tanaman, zaitun, kurma, anggur dan bermacam-macam jenis buah.” (Surah al-Nahl; 16:10-11).

“Adakah kamu lihat air yang kamu minum? Kamukah yang menurunkannya dari awan atau Kamikan yang menurunkannya? (Surah al-Waqi’ah; 56:68-69).

Sumber-sumber asli yang dijelaskan di atas ternyata mempunyai banyak manfaat kepada dan berkesan dalam kehidupan manusia. Manfaat dan kesan kebaikan adalah lebih terserlah daripada kesan keburukankan. Sumber asli adalah satu daripada faktor asas dalam pembangunan ekonomi dan masyarakat manusia. Jikalau tiada anugerahan sumber asli, manusia tidak mungkin hidup dan pembangunan tidak akan wujud.  Kejayaan bangsa mendapatkan sumber asli menjadi pemula dan pendorong kepada pembangunan umat seterusnya. Dalam konteks ini manusia mesti pandai mengurus sumber-sumber tadi supaya pembangunan tidak terencat tetapi boleh berlaku secara berterusan. Kebijaksanaan dalam pengurusan ini termasuklah dalam mengenalpasti sumber asli yang ada, mengetahui kegunaan dan potensinya, mengkaji keterbatasannya, dan boleh atau bersedia menggantikannya jika penggunaan tidak lagi ekonomik.
 

SUMBER DIBERI TUHAN KEPADA SESIAPA YANG DIKEHENDAKI

Bukan semua sumber asli yang diperlukan didapati di tempat sendiri. Ia pula tidak akan ‘datang melayang atau menggolek’. Umat yang memerlukannya mesti berusaha mendapatkannya. Sejarah memberitahu kita bahawa bangsa Barat sanggup mengharungi lautan dan menghadapi rintangan maut bagi mendapatkan sebahagian sumber asli yang diketahui banyak terdapat di dunia Timur.  Sumber itu penting kepada mereka bukan sekadar untuk dijadikan bahan makanan tetapi yang lebih penting lagi bagi dijadikan bahan mentah dalam memajukan perindustrian di negara mereka. Pada hari ini mereka telah menjadi umat yang maju dan banyak menyediakan kemudahan dalam kehidupan manusia.

Walaupun dalam banyak bidang ilmu pengetahuan, umat Islam pernah mendahului dan lebih maju daripada Barat, namun sebaliknya berlaku ketika ini. Bangsa Barat telah menjadi bangsa pengeluar sedangkan bangsa-bangsa lain yang majoritinya umat Islam, lebih banyak menjadi bangsa pengguna. Allah Maha Pemurah ( Ar-Rahman) menganugerah-kan sumber-sumber kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya asalkan umat itu rajin mencari, menyelidik dan berusaha. Hasil penyelidikan membolehkan teknologi dibangun dan digunakan bagi mengeluarkan sumber-sumber yang tertanam dan tersembunyi, yang sebelumnya tidak diketahui oleh manusia lain. Lalu mereka menikmati habuan yang besar daripada anugerahan itu. Demikianlah janji Allah seperti maksud firman:

“Itulah kurnia Allah, diberi-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Allah mempunyai kurnia yang besar” [14]

Walau bagaimanapun umat yang mendapat kurnia tidak wajar berbangga, menyombong, bongkak atau bersifat keterlaluan. Mengeksploitasi dan menindas pihak yang malang dan lemah adalah ditegah oleh Pemilik Sebenar sumber-sumber tersebut. Kerajinan dan kegigihan berusaha wajib disertai dengan kesyukuran kepada-Nya. Allah memberi peringatan dengan firman-Nya yang bermaksud:

“Dan Kami jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur, dan Kami pancarkan padanya beberapa mata air supaya mereka dapat makan buah-buahan dan dari apa yang diusaha oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur?” [15]

Firman Allah lagi:

“Jangan kamu merosakkan bumi. .. Dan makan serta minumlah rezeki yang Allah kurnia dan jangan kamu rosakkan bumi. [16]

Seterusnya amaran daripada Allah dengan firman-Nya yang bermaksud:

“Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan bukakan kepada mereka (pintu kurniaan dan keberkatan) yang melimpah-limpah dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab siksa disebabkan apa yang mereka lakukan” [17]

Dari keterangan-keterangan di atas dapat dirumuskan bahawa anugerahan sumber adalah bergantung kepada kesolehan, kerajinan dan ketekunan umat. Umat yang mempunyai ciri-ciri kesolehan sejati iaitu umat yang sentiasa berusaha sambil bersyukur pasti diberi keberkatan oleh Allah. Banyak hasil diperolehi oleh umat itu tetapi sedikit sahaja untuk kepentingan sendiri. Segala tindakan dan perlakuan adalah di atas dasar kesederhanaan. Inilah umat yang dipuji oleh Allah. Ciri-ciri umat ini sewajarnya dan sepatutnya  menjadi milikan umat Islam. Jika ia pernah terabai atau terlepas, umat Islam mesti menebusnya kembali. Mereka wajib menonjolkan ciri-ciri ummatan wasaataa yang sentiasa bersyukur dan tidak melakukan bencana dan kemungkaran.
 

SUMBER ASLI DAN RISIKO

Di samping banyak manfaat dan kegunaan, sumber asli boleh juga membawa bencana besar kepada tamadun manusia. Bencana dan kerosakan berpunca dari sumber asli itu lazimnya adalah dimulakan oleh manusia sendiri akibat dari sifat tamak, rakus dan tidak peka dengan tuntutan supaya ia diuruskan dengan baik dan berakhlak.

Peristiwa yang melanda beberapa kawasan di negara ini pada tahun 1998 yang telah mengorbankan  nyawa ratusan penduduk secara tiba-tiba di kalangan penternak babi harus boleh dijadikan satu sempadan. Peristiwa itu bermula sebahagiannya dari kecuaian para penternak dalam menjaga dan mengurus kebersihan alam persekitarannya. Nyamuk yang membawa virus nipah tiba-tiba muncul di tengah-tengah masyarakat yang aman dan makmur, meragut sebilangan nyawa manusia lalu memaksa pihak berkuasa bertindak membunuh ratusan ribu binatang ternakan sebagai langkah kawalan penyakit JE. Tindakan tersebut dari satu aspek bermakna negara terpaksa menanggung kerugian besar punca yang menjadi sumber pendapatan para penternak dan juga sumber hasil eksport bagi negara.  Pada pertengahan tahun 1997, telah berlaku kemerosotan ekonomi di beberapa negara-negara di Asia secara mendadak yang melenyapkan ratusan bilion dolar aset kewangan negara-negara dalam tempoh yang sangat pendek. Ia  adalah satu lagi contoh betapa kerakusan segelintir manusia boleh membawa bencana besar kepada kehidupan dan tamadun manusia lain. Satu lagi contoh ialah berlakunya cuaca yang panas pada tahun 1996 yang telah menyebabkan kebakaran hutan  meluas di Sumatra dan Kalimantan, lalu berlaku persekitaran yang berjerebu di seluruh Asia Tenggara, menjejaskan kesihatan penduduk dan mendatangkan kerugian yang besar kepada ekonomi serantau. Punca berlaku kebakaran itu adalah juga kerana kecuaian dan ketidakpekaan manusia dalam pengurusan sumber-sumber asli yang dianugerahi.

Tragedi-tragedi yang lain seperti gempa bumi, ribut taufan, banjir dan kemarau, berlaku di sesetengah tempat di dunia, semuanya mempunyai kaitan dengan sumber-sumber asli. Peristiwa-peristiwa itu ditakdirkan berlaku adalah sebahagian daripada ujian Allah tentang kesolehan makhluk manusia khususnya dalam pengurusan diri dan persekitarannya. Peristiwa-peristiwa itu yang berlaku sepanjang zaman adalah suatu daripada bukti yang  nyata tentang kekuasaan Allah serta memberi peringatan dan amaran kepada umat manusia supaya kembali ke pangkal jalan sebelum datang Hari Kiamat.

APAKAH KETERBATASAN SUMBER ASLI DALAM PEMBANGUNAN?

Satu daripada ciri asas pembangunan ekonomi ialah peningkatan jumlah keluaran negara bersih dari tahun ke tahun.  Jumlah keluaran negara bersih bertambah  hanya apabila berlaku penambahan dan penambahbaikan dalam satu atau lebih faktor-faktor pengeluaran; buruh, sumber asli, teknologi dan usahawan, yang digunakan dalam proses pengeluaran.  Oleh kerana itu kewujudan dan perolehan sumber asli yang banyak dan berkualiti memberikan kelebihan kepada suatu umat dalam merealisasikan pembangunan ekonominya.  Walau bagaimanapun semua sumber asli yang dimiliki itu mempunyai ciri keterbatasan atau terhad. Ia akan berkurangan atau kehabisan selepas digunakan. Contohnya, tanah yang subur untuk pertanian akan kehabisan apabila ia digunakan oleh penduduk yang bertambah dan pembukaan ladang-ladang baru dibuka. Kayu-kayan dari hutan akan kehabisan apabila hutan-hutan telah ditebang sedangkan tanaman baru mengambil masa yang panjang sebelum matang. Lombong-lombong  akan kosong apabila segala galian seperti bijih timah dan bijih besi telah habis dikeluarkan.

Keutamaan sumber asli dalam proses pembangunan sesebuah ekonomi tidak boleh dinafikan terutamanya di peringkat awal proses. Selain dapat menyediakan sebahagian besar keperluan asas kehidupan manusia seperti makanan, minuman, tempat kediaman dan perlindungan, ia juga sebagai sebuah sektor yang menyediakan pekerjaan untuk penduduk, menghasilkan pembentukan modal awalan dan memperolehi tukaran asing untuk negara. Namun, sejarah pembangunan ekonomi negara-negara menunjukkan bahawa sumbangan sumber asli sebagai sebuah sektor ekonomi kian berkurangan apabila proses pembangunan meningkat maju. Rumusan tentang sumbangan ini tentunya dilihat hanya kepada nilai tambah sektor sahaja bukan kepada kepentingan hakiki sektor untuk kehidupan manusia.

Perhubungan di antara sumbangan atau nilai tambah sektor pertama dengan keluaran negara kasar (KNK) digambarkan dengan lukisan keluk yang menurun dari kiri ke kanan seperti Rajah 1. Di peringkat awal pembangunan ekonomi (katakan pada tahap t1 paksi datar) peratus sumbangan sektor pertama kepada KNK sangat tinggi, boleh menjangkau lebih daripada 80 peratus (disukat dengan paksi tegak) bagi sesetengah negara. Apabila masa berlalu (paksi datar), pengetahuan manusia bertambah, kemajuan teknologi meningkat, kegiatan perusahaan dan urusniaga semakin rancak, lalu ekonomi semakin maju. Pada tahap ini (katakan pada tahap t2 paksi datar) peratusan sumbangan sektor pertama kepada KNK telah menurun kepada 30 peratus sahaja. Ini juga bermakna bahawa sumbangan sektor kedua (perusahaan atau perindustrian) dan sektor ketiga (perkhidmatan seperti perniagaan dan perdagangan)  menjadi semakin penting pada tahap-tahap pembangunan ekonomi yang lebih maju. Gambaran ini berlaku dalam ekonomi Malaysia. Jadual 1 menunjukkan peratusan sumbangan sektor-sektor kepada KNK 1965 hingga 1998 di mana sumbangan sektor pertama kepada KNK negara telah menurun daripada 31.5% pada tahun 1965 kepada hanya 11.8% pada tahun 1998. Selain sektor perusahaan dan perkhidmatan menjadi penyumbang utama kepada jumlah nilai tambah negara, penurunan peratusan sumbangan oleh sektor pertama adalah juga kerana sesetengah sumber kian kehabisan apabila  digunakan. Inilah yang telah berlaku kepada bijih timah di Malaysia. Keadaan yang sama akan berlaku dalam lingkungan 25 tahun lagi kepada sumber petroleum walaupun  pada masa kini ia menjadi salah satu penyumbang utama kepada hasil eksport negara.  Penemuan sumber-sumber baru adalah terhad kecuali teknologi yang digunakan adalah cukup maju dan dengan keizinan Allah. Oleh kerana itu negara-negara  yang mempunyai dan kaya dengan sumber-sumber asli tidak wajar disalahurus atau tidak berjimat dengan sumber-sumber tersebut.

Rajah 1:  Sumbangan Sektor Pertama (Sumber Asli) Kepada KNK
 

Jadual 1: Peratus Sumbangan Sektor-Sektor Ekonomi Kepada KNK Malaysia Tahun 1965-1998.

Sumber: Chamhuri Siwar et.al., 1985:32, dan Laporan Ekonomi Malaysia pelbagai tahun penerbitan.
 

Walaupun penurunan sumbangan sektor pertama kepada KNK berlaku dalam proses pembangunan, namun ia tidak pula bermakna sumber asli menjadi tidak penting langsung apabila ekonomi telah cukup maju. Pengalaman pembangunan ekonomi negara-negara maju di dunia ini tetap terganggu dan terbantut apabila berlaku kekurangan atau kehabisan sumber-sumber. Contohnya, pada tahun 1970 an ekonomi seluruh dunia telah mengalami kemelesetan apabila penawaran petroleum dunia berkurangan akibat daripada sekatan oleh negara-negara pengeluar petroleum (OPEC) semasa berlaku Perang Arab-Israel. Di sinilah terserlah peranan para pengurus ekonomi khususnya yang bertugas dalam bidang pengurusan sumber asli menonjolkan peranan sektor ini dalam pembangunan ekonomi negara agak tidak berlaku ketakseimbangan yang keterlaluan. Penekanan yang keterlaluan kepada pembangunan sektor bukan pertanian bukan sahaja boleh membawa akibat ketidakimbangan ekonomi tetapi juga menjejaskan sistem  ekologi negara yang tentu boleh mendatangkan banyak bencana kepada manusia.
 

KEPERLUAN DALAM PENGURUSAN SUMBER ASLI

Pengurus Berwawasan

Huraian di atas telah membuktikan bahawa sumber asli yang pelbagai itu amat penting untuk manusia dan pembangunannya. Namun sumber-sumber ini boleh mendatangkan risiko dan bencana  sekiranya manusia tidak mengurusnya dengan baik atau melakukan kemusnahan dan kemungkaran di muka bumi. Maksud firman:

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut kerana perbuatan tangan manusia sendiri”. [18]

Maka manusia yang diutuskan oleh Allah untuk memakmurkan alam ini mesti memainkan peranannya. Sumber-sumber asli yang amat berguna untuk manusia itu harus dimanfaat sepenuh dan sebaik-baiknya bagi pembangunan umat. Tindakan dan peranan manusia soleh sangat bermakna dalam proses pembangunan masyarakat. Mereka boleh menggunakan sumber-sumber yang ada bagi mencapai objektif dan matlamat pembangunan.

Objektif dan matlamat pembangunan Islam, seperti yang dihuraikan oleh Dr. Muhammad Syukri Salleh (1998) adalah tidak terhad kepada pengumpulan kekayaan negara dan menikmati kesenangan dunia semata-mata, sebaliknya objektif pembangunan ialah membina sahsiah manusia yang berakhlak, menggunakan pelbagai sumber dengan baik, mengumpul kekayaan dengan mengikuti prinsip-prinsip yang betul dan mengagihkannya kepada masyarakat dengan adil. Matlamat pembangunan ialah mencari keredhaan Allah bahawa kita telah menepati janji [19] dengan Allah dan melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah-Nya di muka bumi ini dengan sempurna. Pembangunan adalah untuk setiap individu. Merealisasikan objektif dan matlamatnya  memerlukan individu yang soleh. Setiap individu mesti berusaha untuk berperanan sebagai pengurus yang sempurna di semua peringkat yang dilibati. Inilah matlamat pembangunan bagi mendapatkan “kebaikan di dunia dan di akhirat” yang didoakan.
 

Pengurusan Sempurna

Pengurusan sejati atau pengurusan sempurna memerlukan pengurus sempurna. Malangnya hampir mustahil untuk mendapatkan pengurus atau manusia sempurna pada hari ini lebih-lebih lagi jika kesempurnaan itu dinilai daripada perspektif manusia lain. Para Rasulullah yang memang diiktiraf sempurna (kamil) oleh Allah tidak juga disenangi malahan ditentang oleh segolongan umatnya sendiri. Oleh kerana itu kesempurnaan yang dimaksudkan di sini ialah suatu sifat yang ideal berdasarkan kepada syarat-syarat atau ciri-ciri universal yang dituntut oleh agama Islam. Seorang pengurus yang memenuhi syarat-syarat tersebut adalah dimaksudkan pengurus sempurna atau pengurus sejati. Matlamat pengurus sempurna ini ialah untuk mendapatkan kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta terpelihara dari siksa neraka. [20]

Syarat-syarat yang mesti disempurnakan oleh seorang pengurus ialah:
 

  1. Beriman,
  2. Berilmu, dan
  3. Beramal atau bertindak hendaklah selari dengan (1) dan (2).


Beriman semestinya syarat pertama yang mesti disempurnakan oleh seorang pengurus yang mengharapkan kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. Beriman menjadi asas bagi segala perlakuan dan pelaksanaan manusia untuk layak dipertimbangkan oleh Allah sebagai memenuhi tanggungjawab sebagai khalifah-Nya di muka bumi. Tanpa beriman segala amal dan tindakan adalah sia-sia di sisi Allah di akhirat kelak. Habuannya di dunia harus ada dan segala usaha akan berhasil  oleh kerana kurniaan Allah yang bersifat Maha Pemurah (Ar-Rahman) kepada seluruh makhluknya. Perkara ini dijelaskan oleh Allah bahawa manusia yang hanya mencari dunia semata-mata akan tiadalah bahagian mereka di akhirat. Malahan golongan yang tidak beriman akan di azab di akhirat kelak. [21]

Beriman bermaksud satu sistem kepercayaan dan keyakinan bahawa wujud Tuhan Yang Esa atau  Allah yang memiliki nama-nama yang baik dan sifat-sifat yang terpuji dan sempurna, memiliki seluruh makhluk ini dan diturunkan wahyu-Nya melalui malaikat-Nya yang sentiasa taat kepada-Nya, disampaikan kepada para Rasul yang dipilih-Nya dari kalangan manusia supaya dihayati dan dijadikan pedoman dalam kehidupan bahawa segala suatu yang terjadi adalah mengikut qada’ dan qadar-Nya, manakala natijah terakhir kehidupan ditentukan-Nya pada Hari Akhirat. Sistem kepercayaan ini membentuk satu kerukunan yang dikenali sebagai enam rukun iman.

Syarat kedua yang mesti dipenuhi oleh seorang pengurus yang bermatlamat memperolehi kebaikan di dunia dan di akhirat ialah berilmu. Ilmu yang paling utama ialah yang membolehkan individu mengenali Tuhannya lalu dirinya tunduk dan sujud sebagai hamba kepada-Nya. Ilmu-ilmu lain yang boleh mendatangkan kebaikan kepada diri dan kepada masyarakat baik di dunia ini mahupun di akhirat wajib juga dipelajari oleh Muslim [22] selagi ianya tidak menyimpang dari jalan Allah.  Inilah gesaan Allah supaya manusia membaca (menuntut ilmu) dengan nama Tuhan Yang menciptakan manusia, (dan) Yang mengajar mereka tentang apa-apa yang tidak diketahuinya. [23]

Natijah kepada beriman dan berilmu adalah beramal. Hanya melalui beramal dapat diketahui sama ada hasilnya baik atau buruk, sejahtera atau bencana. Islam yang bermaksud kesejahteraan semestinya terletak pada amal atau tindakan yang dilaksanakan. Seandainya tindakan adalah selari dengan tuntutan beriman dan berilmu (syarat pertama dan kedua) maka natijah beramal pasti kebaikan dan kesejahteraan. Seorang pengurus sumber asli yang bertindak selari dengan ilmu yang dikuasainya sama ada dalam bidang pengurusan untuk menghasilkan makanan atau bahan mentah atau sebagainya akan memperolehi hasil mengikut kadar usahanya. Lebih tinggi, tekun dan efisien tingkatan usaha, lebih tinggi dapat dijangkakan natijah produktiviti yang akan diperolehi. Tingkatan usaha yang tinggi memerlukan penguasaan dan pengamalan pelbagai ilmu; misalnya ilmu agama berhubung dengan halal dan haram sesuatu tindakan serta selalu berhasrat untuk beribadah melalui zakat, ilmu pengurusan berhubung dengan pembentukan organisasi dan perhubungan industri, dan ilmu ekonomi berhubung dengan pemilihan alternatif penggunaan sumber-sumber supaya tercapai matlamat pengurangan kos dan memperolehi pulangan tertinggi.
 

PRINSIP-PRINSIP ASAS DALAM ORGANISASI PENGURUSAN ISLAM

Satu daripada tindakan awal dan asas ke arah pengurusan sumber asli yang baik, betul dan sempurna ialah mengambil hak milik ke atas sumber asli secara yang sah di sisi syarak. Perolehan hak milik ini boleh berlaku dalam beberapa bentuk proses. Islam tidak mengiktiraf perolehan milik walaupun sedikit melalui paksaan, pencerobohan, penipuan, pencurian, perjudian, rasuah dan cara-cara lain yang tidak berakhlak. Sebaliknya Islam iktiraf pemberian yang sah, penerokaan yang betul, pembelian dan penyewaan yang sah, pewarisan yang hak, dan perkongsian yang betul. Pemilikan yang sah atau betul adalah asas dalam segala urusan perekonomian dan pengurusan secara Islam. Pengurusan sumber atau harta yang bukan hak milik yang sah adalah haram di sisi Islam. Walaupun hasil pengurusan harta tersebut boleh berkembang maju berlipat kali ganda namun keberkatannya tiada. Justru itu harapan untuk mendapat balasan kasih sayang atau kerahiman Allah di akhirat akan meleset.
 

Milik Yang Sah

Kedatangan Islam telah mengubah sistem pemilikan tanah atau sumber asli. Masyarakat Arab sebelum Islam tidak kenal dengan konsep milik tanah dan asing dengan konsep pemilikan individu. Kabilah-kabilah dilaporkan berperang antara satu sama lain bertujuan menakluki dan menguasai kawasan hanya sebagai memenuhi kepuasan dapat menggunakan kemudahan-kemudahan asas yang terdapat di kawasan itu; umpamanya sumber air dan kawasan yang lapang untuk pengembalaan binatang-binatang ternakan mereka (Sobri Solomon, 1989:86). Sistem Tanah Hima atau Tahjir iaitu tanah-tanah simpanan yang dianggap suci dan khas bagi ketua-ketua kabilah telah ditukar oleh Islam dengan Sistem Tanah Iqta’ (pemberian hak milik). Sistem Tanah Hima akhirnya terhapus sepenuhnya pada zaman pemerintahan Islam  Sayidina Umar ibn Khattab. Sistem Tanah Iqta’ telah ditafsirkan oleh ulamak-ulamak sebagai meliputi juga tanah-tanah dara dan terbiar (Ali Abd. al-Kader, 1960:5-6)
 

Milik Mutlak Dan Milik Sewa

Sistem Tanah Iqta’ telah dimulakan oleh Rasulullah apabila Baginda memberi lot-lot tanah kepada para sahabat yang memerlukan tanah untuk diusahakan. Walaupun tidak dikenakan sebarang cukai (kharaj) namun sahabat-sahabat yang mengusahakan tanah-tanah tersebut telah digalakkan bersedekah. Sistem tanah tersebut telah dinamakan oleh sebilangan ulamak sebagai iqta’ tamlik atau milik mutlak (Ibid: 4-5). Namun  Sayidina Umar telah mentafsir hak milik tersebut sebagai milik sewa atau iqta’ ijarah, dan beliau telah mengambil balik (sebahagian) tanah yang pernah diserahkan oleh Nabi kepada Bilal serta berkata: “Dia (Nabi) memberi tanah kepada engkau untuk diterokai; oleh itu ambillah setakat yang engkau boleh kerjakan, dan pulangkan bakinya kepada negara” (Sobri Salomon, 1989:87).
 

Pemilikan Tanah Menerusi Penerokaan

Isu penerokaan tanah secara “haram” telah lama berbangkit di negara ini. Sesetengah peneroka sebenarnya tidak mempunyai tanah lain untuk diusahakan manakala ada sesetengah yang lain mengambil kesempatan dari keadaan. Ulamak-ulamak mempunyai pandangan berbeza mengenai perkara ini. Majoriti ulamak fiqh tradisional dari mazhab Hanbali, Shafie, Hanafi dan Maliki berpendapat bahawa individu dibenarkan memiliki tanah-tanah dara atau terbiar asalkan ia tidak termasuk dalam kategori tanah kharaj (kerajaan) dan ia tidak membahayakan ummah (Sobri Salomon, 1989:83). Ini bertepatan dengan sebuah hadis Nabi yang dijadikan sandaran oleh Imam Syafie diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Nasa’i dan ibn Hibban yang bermaksud: “Bahawa barang siapa membuka tanah mati, maka tanah itu baginya” (Abdul Salam, 1996:31). Manakala ada ulamak-ulamak berpandangan lain mengenai isu tanah terokaan ini. Ulamak mazhab Imamiyah dan sebilangan ulamak fiqh ahli sunnah (al-Awza’i dan Saqyan) berpendapat bahawa setiap tanah yang tidak atau belum dimiliki serta belum diterokai oleh sesiapa adalah di bawah milik negara, dan ia tidak boleh diterokai oleh sesiapa pun kecuali dengan izin pemerintah kerana memikirkan kepentingan seluruh ummah atau bangsa (Sobri Salomon, 1989:83).

Ulamak-ulamak kontemporari lebih cenderung kepada pendapat kedua kerana pengurusan tanah-tanah tersebut lebih munasabah dan selamat jika terletak di bawah pengurusan kerajaan. Kerajaan adalah bertanggungjawab terhadap kepentingan ummah atau bangsa itu. Kerajaan juga mempunyai kuasa sama ada hendak memberi milik kepada pengusaha individu, syarikat dan sebagainya atau tidak mahu diberi milik. Malahan tanah yang telah diberi milik boleh diambil balik oleh kerajaan pada bila-bila masa sekiranya ada keperluan dan kepentingan awam. Berhubung dengan tanah yang berada di bawah kawalan kerajaan dan tindakan memberi milik olehnya, Imam Abu Yusuf menulis: “Saya tidak nampak ada logiknya bahawa seorang Imam (ketua kerajaan) akan membiarkan tanah terbiar dan tidak dibangunkan sehingga ia serahkan kepada seseorang yang mampu membangunnya demi untuk kemakmuran negara dan penghasilan cukai yang banyak.” (Sobri Salomon, 1989:85). Penerokaan merupakan satu proses ke arah memperolehi hak milik tanah. Pemilikan menerusi cara ini melalui tiga peringkat iaitu, peringkat penentuan tanah dan ukurannya, peringkat kerja-kerja penerokaan, dan peringkat penanaman dan penghasilan. Majoriti (jumhur) ulamak berpendapat bahawa penerokaan mesti memenuhi tiga syarat. Pertama, dengan keizinan kerajaan, kedua, tanah tersebut belum dimiliki oleh sesiapa dan bukan tanah kegunaan awam, dan ketiga, tanah itu tidak berada berhampiran dengan kawasan khas bagi kemudahan awam.

Syarat keizinan kerajaan dimestikan oleh ulamak fiqh mazhab Imamiyah dan Imam Abu Hanifah. Alasannya, Islam mengharamkan penerokaan tanah milik orang lain tanpa keizinan tuannya terlebih dahulu, dan kerajaan mempunyai tanggungjawab memikirkan persoalan pengagihan tanah secara adil. Sebaliknya, ulamak-ulamak fiqh mazhab Zaidiyah dan Imam Syafie berpendapat bahawa keizinan itu tidak mesti kerana penerokaan tanah adalah bertujuan memakmurkan alam dan memakmurkan alam adalah tugas kolektif (fardhu kifayah). Mereka berpegang depada kaedah usul fiqh bahawa “asal sesuatu hukumnya harus kecuali ada nas yang menegahnya.”  Ulamak bersepakat bahawa pemberian hak milik individu adalah tertakluk kepada pertimbangan kepentingan masyarakat. Jika ada keperluan dan kepentingan sama ada masa sekarang atau masa depan, maka tanah yang telah dikenalpasti untuk simpanan itu tidak boleh sama sekali dimiliki oleh orang perseorangan. Ia disandarkan kepada prinsip syarak “kepentingan individu tidak boleh mengatasi atau mendahului kepentingan orang ramai”.  Prinsip ini juga boleh digunakan oleh kerajaan Islam bagi mengambil balik tanah yang telah diberikan hak milik kepada individu. Kes pengambilan balik sebahagian tanah yang dimiliki Bilal oleh Khalifah  Sayidina Umar adalah satu contoh.
 

Milik Negara

Negara memberi milik kepada pihak-pihak tertentu bagi mengusahakan kawasan-kawasan sumber (tanah) berkenaan, manakala sebahagian kawasan yang lain  tidak diberikan milik  kepada mana-mana pihak. Ia ditetapkan sebagai milik negara di atas sebab-sebab tertentu. Antara  kawasan-kawasan yang tidak diberi milik oleh negara ialah kawasan hutan simpanan, kawasan tadahan hujan, pinggiran laut dan sungai, kawasan laut dan sungai,  ruang udara, dan jalan raya. Kawasan-kawasan ini tidak diberi milik usaha  kepada individu atau syarikat-syarikat di atas sebab-sebab strategik dan kepentingan umum.  Barangan ini dikenali juga dengan barangan awam.  Jika berlaku keperluan terdesak yang memerlukan kawasan itu dibangunkan atau diusahakan, kerajaan mesti menimbang pelbagai alternatif cara pembangunan yang patut dilaksanakan supaya impak negatif atau kos ke atas masyarakat adalah minimum.
 

PRINSIP – PRINSIP YANG LAIN

Selain mendapatkan hak milik atau milik usaha yang sah ke atas sumber atau harta, pengurus sempurna hendaklah sentiasa memberi keutamaan kepada perkara-perkara berikut:
 

Mengutamakan penyuburan atau pemakmuran, dan bukan kerosakan dan pemusnahan

Kewajipan menyubur dan memakmurkan alam ini terkandung dalam firman Allah yang bermaksud:

“Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya”. [24]

Pada masa yang sama dilarang melakukan kerosakan atau kemusnahan:

“Jangan kamu merosakkan bumi”. [25]

Rasulullah juga sangat menggalakkan umatnya menyubur dan memakmurkan bumi dan jangan meninggalkan tanah-tanah terbiar. Baginda memberi  pengiktirafan kepada orang-orang yang menghidup atau mengusahakan tanah-tanah mati atau terbiar dengan sabda yang bermaksud:

“Barang siapa yang menghidupkan tanah mati, maka ia adalah baginya”.[26]

Dalam hadis yang lain Baginda bersabda, maksudnya:

“Setiap muslim yang menanam sayur atau tanam-tanaman yang hasilnya dimakan oleh haiwan, burung atau manusia maka ia direkod sebagai ganjaran pahala bersedekah baginya” [27]
 

Sekiranya firman Allah dan sabda-sabda Nabi itu dihayati oleh pemilik-pemilik dan pengurus-pengurus sumber, dunia Islam tidak akan menghadapi kekurangan makanan atau keperluan-keperluan asas yang lain sebagaimana yang dialami sekarang. Mereka yang dikurniakan dengan penghasilan yang melimpah dan berlebihan tidak akan bertindak memusnahkannya semata-mata kerana takutkan harga pasarannya akan jatuh.
 

Mengurus secara berhemat dan bukan secara rakus dan boros

Tindakan berhemat dapat mengurangkan risiko dalam pengurusan dan justeru itu boleh meningkatkan probabiliti kejayaan. Pengetahuan dan kemahiran teknikal seperti pengurusan kewangan, perakaunan, pengurusan risiko atau bidang-bidang lain yang berkaitan perlu digunakan dengan bijaksana. Tindakan-tindakan melulu dan rakus harus sentiasa dielakkan kerana tindakan-tindakan ini akan terdorong kepada pemborosan dan pembaziran. Sedangkan pemborosan dan pembaziran dilarang oleh Allah dengan firman-Nya yang bermaksud:

“….. janganlah kamu membazir (boros). Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, dan syaitan itu amat engkar akan Tuhannya.” [28]

Kepekaan Rasulullah mengenai amalan berhemat khususnya berjimat cermat berlaku dalam semua keadaan. Baginda telah dilaporkan pernah menasihati sahabat Baginda daripada melakukan pembaziran sewaktu mengambil wuduk, walaupun menggunakan air sungai yang mengalir (Abdul Salam, 1996:38).

Termasuk dalam kategori pengurusan berhemat ialah berhati-hati daripada terjebak dengan perasaan bangga dan riyak di samping berhati-hati daripada menanggung risiko kewangan yang tinggi.  Risiko kewangan berakhir dengan kerugian kewangan, sekiranya projek pembangunan terkandas. Risiko ini jelas dan dapat dilihat segera di dunia. Kerugian kewangan yang amat besar kadang-kadang mempengaruhi psikologi, mental malahan nyawa  seseorang. Contohnya, kegawatan ekonomi yang berlaku pada tahun 1997 telah membawa padah yang amat besar ke atas negara-negara Jepun, Korea, Thailand dan Indonesia. Berpuluh-puluh orang pelabur di Jepun dan juga Korea telah membunuh diri akibat menanggung kerugian besar kesan kegawatan. Pemerintahan  Suharto tumbang di Indonesia dan ratusan rakyat negara itu mati kerana rusuhan kesan kegawatan. Kesan kegawatan ekonomi tidaklah sedemikian dahsyat sehingga  berlaku pembunuhan di Malaysia, tetapi tekanan mental dan psikologi pasti telah juga berlaku. Risiko berbangga dan riyak ialah kerugian di akhirat. Allah memberi peringatan bahawa segala amalan yang bertujuan berbangga dan riyak bukan sahaja akan tertolak atau sia-sia di akhirat tetapi akan menerima padah kecelakaan daripada Tuhan. [29]
 

Mengutamakan kepentingan atau maslahah awam daripada kepentingan peribadi.

Islam yang bermaksud kesejahteraan semestinya amat menekankan aspek-aspek keselamatan dan kesejahteraan, lebih-lebih lagi apabila ada hubungan dengan masyarakat. Oleh kerana itu Islam menuntut supaya para pengurus sentiasa peka akan keselesaan dan keselamatan awam. Sebagai contoh  kepekaan Nabi akan keselesaan masyarakat ialah apabila baginda memarahi individu yang membuang najis di tempat mandian, di jalanan dan di tempat-tempat berteduh (Abdul Salam, 1996:29). Sebaliknya individu yang membuang duri, batu atau tulang dari jalanan dimaklumkan sebagai memenuhi satu daripada tujuhpuluh cabang keimanan, dan individu itu diberi ganjaran pahala seperti pahala bersedekah [30] (Ibid.). Pada situasi yang lain baginda menasihati supaya berhati-hati apabila bermain api kerana menurut baginda “Api adalah musuh bagi kamu. Apabila kamu tidur, padamkan ia” [31] (Abdul Salam, 1996:30).
 

Sentiasa mempunyai hasrat untuk beribadat menerusi pengurusan

Sebaik-baik bidang pengurusan sumber asli ialah yang menghasilkan sumber makanan asasi untuk diri dan penduduk, terus berjaya melaksanakan ibadah berzakat seperti zakat pertanian dan ternakan. Selain emas dan perak, sumber-sumber asli yang harus juga berjaya memenuhi syarat berzakat apabila ia diurus dan diusahakan sebagai bidang komersial.
 

ORGANISASI PENGURUSAN

Pengurusan yang berjaya memerlukan sebuah organisasi pengurusan yang sesuai. Sumber asli yang dimiliki mesti diekploitasi dan diurus dengan cara terbaik bagi  memperolehi pulangan maksimum dan barakah. Organisasi pengurusan merupakan penggabungan terbaik faktor-faktor pengeluaran, menggunakan teknologi yang sesuai bagi mencapai objektif pengeluran. Selain itu pengurusan yang sempurna akan menghindarkan daripada terjebak ke dalam perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah seperti penggunaan modal berunsur riba, penipuan dan penindasan pekerja, pelarian zakat dan sebagainya.

Terdapat beberapa bentuk organisasi pengurusan yang wujud secara tradisi dalam sejarah pembangunan ekonomi Islam dan terdapat juga bentuk-bentuk organisasi moden yang sesuai dilaksanakan. Bentuk-bentuk organisasi pengurusan tradisi Islam ialah organisasi pemilik tunggal, organisasi mudharabah dan organisasi musyarakah. Manakala organisasi yang dipopularkan pada zaman moden ini dan sesuai diambil pakai dalam pengurusan Islam ialah organisasi perbadanan atau korporat, dan organisasi koperasi. Organisasi-organisasi ini, walau bagaimanapun mestilah dipastikan mempunyai prinsip-prinsip yang tidak bertentangan dengan syariah Islam (M. Umer Chapra, 1990:271).
 

Organisasi Milik Tunggal

Organisasi ini amat praktikal dan mudah diwujudkan kerana ia tidak terlibat dengan pihak-pihak lain kecuali pemilik sumber itu sendiri. Pemilik sumber mesti memilik modal sendiri dan bersedia mengeksploitasi dan mengurusnya sendiri. Pekerja-pekerja boleh diambil bekerja atau digaji dalam organisasi ini jika diperlukan. Walau bagaimanapun bentuk organisasi ini sering menghadapi kekangan modal apabila hendak dilakukan pembesaran skel  perusahaan.

Organisasi Mudharabah

Organisasi mudharabah memerlukan perkongsian di antara pengusaha dengan pembiaya atau pembekal modal bagi melaksanakan sesuatu perusahaan dengan persetujuan kedua-dua pihak bahawa keuntungan dibahagikan di antara mereka mengikut syarat dan persetujuan nisbah yang telah dimeterai sebelum perusahaan dimulakan. Dalam konteks ini, jika pengusaha selaku pemilik sumber asli ingin memajukan sumber tersebut bolehlah berkongsi dengan pihak yang sanggup membekalkan modal sama ada individu atau syarikat kewangan dengan syarat-syarat yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Oleh kerana organisasi ini mempunyai kesempatan mendapatkan pembiaya modal maka kekangan modal dapat diatasi apabila ada usaha-usaha untuk membesarkan skel operasinya.

Organisasi Musyarakah

Organisasi musyarakah boleh diwujudkan apabila terdapat dua atau lebih pihak yang sanggup berkongsi dalam memajukan sumber-sumber. Organisasi jenis ini pernah diamalkan pada zaman Nabi apabila baginda menggabungkan golongan Ansar (penduduk Islam Madinah) yang memilik tanah dengan golongan Muhajirin (penduduk Islam Mekah yang baharu berpindah ke Madinah) bagi memajukan pertanian di Madinah. Musyarakah boleh wujud dalam beberapa bentuk, iaitu

Syarikah Mufawadah

Syarikah ini  memerlukan persamaan dalam semua perkara termasuk sumbangan modal, hak, tugas, keuntungan dan kerugian. Setiap ahli syarikah mesti orang dewasa dan aktif dalam kegiatan syarikat.
 

Syarikah Inan

Syarikah jenis ini tidak mensyaratkan sumbangan atau penyertaan yang sama di kalangan ahli-ahli pekongsi. Jika ada keuntungan, ia dibahagikan berdasar kepada bilangan unit saham yang dimilik oleh ahli-ahli pekongsi.

Syarikah Abdan

Syarikat ini memberi peluang seluas-luasnya kepada ahli pekongsi menyumbangkan kepakaran masing-masing.

Syarikah Wujuh

Syarikah ini diwujudkan bertujuan menyediakan kemudahan pinjaman atau kredit kepada pihak yang memerlukan modal kewangan.
 

PERKONGSIAN YANG MEMBAWA BARAKAH

Perkongsian untuk memajukan sumber-sumber boleh berlaku di peringkat orang perseorangan, syarikat-syarikat, perbadanan dan koperasi sama ada milik swasta mahupun milik awam. Perkongsian yang paling baik dan diutamakan ialah perkongsian sesama Muslim kerana diandaikan setiap Muslim mempunyai akhlak yang terpuji dan memahami tanggungjawab masing-masing. Natijahnya ialah barakah – ganjaran di dunia dan di akhirat. Walau bagaimanapun perkongsian Muslim dengan bukan muslim dibolehkan juga selagi kedua-kedua pihak berada dalam rukun kedamaian serta memenuhi syarat-syarat yang tidak bercanggah dengan syariah dan tidak ada atau susah mendapatkan umat Islam yang berupaya menerokai dan memajukan sumber-sumber secara aktif.  Imam Syafie menulis yang diterjemahkan seperti berikut:

“Boleh diadakan perdamaian dengan orang-orang musyrik, apabila mereka memperolehinya dan tidak diperolehi kaum muslimin” (Imam Syafie, 1982:307).

Perdamaian di sini boleh berlaku dalam bentuk “penyewaan” (ijarah), atau dalam bentuk perkongsian (tathawwu’) (Imam Syafie, Ibid)
 

MENGUASAI ILMU-ILMU TEKNIKAL

Di samping memahami dan menghayati hukum-hukum syarak, pengurus Islam perlu juga menguasai ilmu-ilmu teknikal dalam bidang-bidang yang diceburi.  Dalam bidang pengurusan, ilmu-ilmu teknikal seperti analisis kos-faedah, analisis keberkesanan kos, pemprograman linear, belanjawan prestasi (performance budgetting) dan perakaunan adalah di antara yang asas. Pengurus Muslim dan juga pelajar-pelajar ekonomi dan pembangunan patut menguasai ilmu-ilmu ini  untuk dijadikan panduan atau diaplikasikan apabila ada kesempatan dan bersesuaian.

Tugas-tugas pengurus yang perlu diperhatikan dalam pengurusan tradisional, sepertimana yang di senarai oleh Dr. Muhammad Abdul Mun’im Al-Jamal (1992:91) ialah:
 

  1. Menentukan jenis pengeluaran yang dikehendaki mengikut perancangan dan jumlahnya.
  2. Mengenal pasti pasaran tempat menjual barangan dan juga suasana permintaan dan penawaran yang wujud dalam pasaran.
  3. Mengadakan perjanjian dan persetujuan dengan pihak pemilik bahan-bahan pengeluaran dan menentukan upah pekerja.


Kadar kejayaan seorang pengurus mendapatkan keuntungan adalah bergantung kepada kebolehan dan kemampuan membuat perhitungan dan jangkaan ekonomi dalam semua masalah yang berkaitan dengan perancangannya.
 

CIRI-CIRI PENGURUS SEMPURNA

Perlu ditegaskan  bahawa tujuan bekerja, berusaha, mentadbir atau mengurus dalam Islam adalah pelaksanaan tanggungjawab dan kewajipan untuk mendapatkan kesejahteraan dan kebahagian di dunia dan di akhirat. Untuk itu para pengusaha dan pengurus mesti memiliki ciri-ciri tertentu dalam melaksanakan tanggungjawab ini secara berkesan. Selain memiliki sifat-sifat yang lazim dibincangkan dalam pengurusan moden seperti  berminat, tekun dan bersungguh-sungguh, pengurus sejati mesti memiliki ciri-ciri tanggungjawab serta mengamalkannya. Ciri-ciri tanggungjawab pengurus sejati ialah: beriman atau bertaqwa, berilmu dan berpengetahuan, berakhlak, adil dan ehsan.
 

PENUTUP

Pengurus sejati atau pengurus Muslim mempunyai tanggungjawab yang wajib disempurnakan. Selain menunaikan kewajipan diri (fardhu ‘ain) dalam bentuk ibadah khusus seperti sembahyang, puasa dan berzakat, ia wajib juga berusaha mendapatkan rezeki yang halal sekurang-kurangnya untuk diri dan keluarga. Justeru itu Nabi bersabda yang maksudnya:

“Mencari yang halal adalah wajib sesudah yang wajib.” [32]

Kewajipan pertama ialah menunaikan sembahyang manakala kewajipan kedua ialah bekerja mendapatkan rezeki yang halal. Sehubungan dengan ini, Allah berfirman yang bermaksud:

“Apabila selesai solat, bertebaranlah kamu ke seluruh pelusuk bagi mencari habuan Allah.” [33]

Seterusnya peringatan Allah perlu dihayati sentiasa, iaitu:

“Peliharalah diri kamu dan ahli-ahli kamu daripada azab api neraka.”[34]

Seterusnya di peringkat makro akan tercapai matlamat

“Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah.” [35]

Penghayatan segala peringatan daripada Allah dan Rasulullah  adalah bergantung kepada tahap keimanan dan ketaqwaan setiap individu. Qur’an sebagai sumber ilmu yang utama dan pertama dalam semua tindakan Muslim wajib dirujuk dan dihayati sepenuhnya. Pengurus sejati pasti tidak ragu dengan keterangan-keterangan Qur’an dalam usaha-usaha pembangunan dan mencari kebahagian kakiki. Keterangan Allah pasti benar bahawa

“Kitab (al-Qur’an) ini tidak ada keraguan padanya, jadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa; iaitu orang-orang yang beriman kepada yang ghaib, mendirikan sembahyang dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan orang-orang yang beriman kepada (Kitab) yang diturunkan kepada engkau (ya Muhammad) dan (Kitab-Kitab) yang diturunkan sebelum engkau, dan lagi mereka yang yakin akan adanya Hari Akhirat. Mereka itu sesungguhnya berada di atas petunjuk Tuhan dan mereka akan memperolehi kemenangan.” [36]
 

NOTA

[1] Diterangkan oleh Allah dengan firman-Nya dalam Qur’an yang bermaksud: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”, Al-Qur’an dan Terjemahan, Surah al-Baqarah; 2:30. Tugas khalifah termasuklah mengurus dan memakmurkan alam, ibid, Surah Hud; 11:61.

[2] Penegasan Allah tentang tujuan manusia dicipta-Nya terkandung dalam Qur’an, Surah adz-Dzaariyat; 51.56

[3] Berdasarkan kepada maksud hadis Rasulullah: “Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan kamu bertanggungjawab terhadap orang-oang di bawah pimpinan kamu”.

[4] Banyak ayat-ayat Qur’an menerangkan hal ini. Antaranya, Surah al-Sajdah; 32:4, Surah Ali’Imran; 3:109, dan Surah An-Nisa; 4:126.

[5] Rujuk misalnya al-Qur’an dan Terjemahan, Surah a-Baqarah; 2:22 dan 29.

[6] al-Qur’an dan Terjemahan, Surah al-Baqarah; 2:36.

[7] Maksud hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Sayidatina Aisyah yang dipetik oleh Afzal-ur-Rahman (1991:175)

[8] al-Qur’an dan Terjemahan, Surah Hud; 11:61.

[9] al-Qur’an dan Terjemahan, Surah al-Hadid; 57:25.

[10] al-Qur’an dan Terjemahan, Surah an-Naazi’aat; 79:32-33.

[11] Afzal-ur-Rahman (1991:176)

[12] Dirujuk kepada maksud hadis Nabi yang dirawayatkan oleh Imam Bukhari.

[13] Ibid.

[14] al-Qur’an dan Terjemahan, Surah al-Jumu’ah; 62:4.

[15] Ibid, Surah Yaasin; 36:34.

[16] Ibid, Surah al-Baqarah; 2:11 dan 60.

[17] Ibid,  Surah al-‘Araf; 7:96.

[18] Ibid, Surah Ar-Ruum; 30:41.

[19] Janji dan pengakuan pertama manusia dengan Allah ialah semasa manusia itu berada di alam roh lagi. Selain dari itu terdapat juga janji-janji lain seumpama yang sering diucapkan, umpamanya ketika sembahyang: “Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah Tuhan Semesta Alam”. Lafaz perjanjian dan pengakuan ini diucapkan hampir setiap hari atau setiap kali solat didirikan oleh seorang muslim.

[20] Allah menerangkan bahawa sebahagian manusia hanya mengharapkan dunia semata-mata dengan berdoa “Ya Tuhan kami berilah kami (kebaikan) di dunia”. Golongan ini tiadalah bahagian di akhirat. Manakala sebahagian lain berdoa: “Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka”. Doa yang kedua itu adalah doa yang sebaik-baiknya bagi seorang muslim. Rujuk al-Qur’an dan Terjemahan, Surah al-Baqarah; 2:200-201 dan notakaki 127.

[21] Rujuk al-Qur’an, Surah al-Baqarah; 2:200 berkenaan dengan kerugian orang yang berdoa untuk dunia semata-mata, dan Surah Ash-Shaaffaat; 37:20-39 berkenaan azab golongan yang tidak beriman di akhirat.

[22] Maksud hadis: “Menuntut ilmu itu adalah fardhu (wajib) ke atas setiap muslim lelaki dan perempuan”.

[23] Maksud al-Qur’an, Surah Al-‘Alaq; 96”1-5.

[24] Al-Qur’an dan Terjemahan, Surah Hud; 11:61

[25] Ibid, Surah al-Baqarah; 2:11

[26] Abdul Salam, 1996:31. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Nasa’I dan ibn Hibban.

[27] Ibid. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim.

[28] Al-Qur’an dan Terjemahan, Surah al-Israk; 17:26-27)

[29] Ibid, Surah Al-Maa’uun; 107: 4-6.

[30] Maksud hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmidhi.

[31] Maksud hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim

[32] Maksud hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim

[33] Al-Qur’an dan Terjemahan, Surah al-Jumu’ah; 62:10.

[34] Al-Qur’an dan Terjemahan.

[35] Al-Qur’an dan Terjemahan, Surah al-Rum; 30:41

[36] Al-Qur’an dan Terjemahan, Surah al-Baqarah; 2:2-5
 

BIBLIOGRAFI

Abdul Salam Al-Abbadi,  “Religious Teaching on the Use of the Earth’s Resources: A Muslim Perspective” dalam  Religion and the Use of the Earth’s Resources: Acts of A Christian-Muslim Colloqium, Rome, Italy, 1996.

Abu Yusuf, Kitab-ul-Kharaj, Terjemahan Dr. Abid Ahmad Ali. Edisi Pertama (Inggeris), Islamic Book Centre, Lahore, Pakistan, 1979.

Ali Abd. Al-Kader , “Land Property and Land Tenure in Islam” , Islamic Quarterly, May 1960.

Imam Syafie @ Abdullah Muhammad bin Idris Asy-Syafie, Al-Umm (Kitab Induk), Buku Kelima, Terjemahan Prof. Tk. H. Ismail Yakub. Cetakan Pertama, Penerbit C.V.Faizan, Jakarta Selatan, Indonesia, 1982.

Muhammad Abdul Mun’im Al-Jamal, Ensiklopedia Ekonomi Islam Jilid I. Penterjemah Salahuddin Abdullah. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1992.

Muhmoud Abu al-Saud, The Exploitation of land and Islamic Law”, The Islamic Review, March, 1952.

Mahmud Muhammad Babilli, “Bahasan Kelima: Hasil Mahsul Ekonomi” dalam bukunya Ekonomi Dari Kacamata Islam, Terjemahan Ismail Mohd. Hassan. Penerbitan Yayasan Islam Terengganu, Kuala Terengganu, 1981.

Mahmud Yunus , Tafsir Qur’an Karim, Penerbit al-Azhar, Kuala Lumpur, 1987.

Imam Malik @ Malik ibn Anas, Al-Muwatta, (Bab 31-35), Terjemahan Inggeris oleh Aisha Abdurrahman Bewley, Kegan Paul International, London, 1989.

M. Umer Chapra, “Mudarabah, Syarikah dan Perbadanan – Lampiran H” dalam bukunya Ke Arah Sistem Kewangan Yang Adil, Terjemahan  Ismail Omar. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1990.

Muhammad Syukri Salleh “Mengurus Pembangunan Secara Islam” kertaskerja yang dibentangkan dalam Seminar Pengurusan Pembangunan di Kota Bharu, 25 April 1998.

M. Hasan-uz-Zaman, The Economic Functions of the Early Islamic State, (Terutama Chapter 5 dan Chapter 8), International Islamic Publishers, Karachi, Pakistan, 1981.

Sobri Salomon , Ekonomi Islam: Pengenalan Sistem dan Kemungkinan (Terutama Bab 3, Bab 4, dan Bab 5),  Ar-Rahmaniah, Petaling Jaya, Selangor, 1989.
 
 

1

Hosted by www.Geocities.ws

1