BAGAIMANA UMAT ISLAM HADAPI
GLOBALISASI
Muhammad Syukri Salleh
Pada pagi Sabtu 22 Julai 2000 ini, satu Wacana Pemikir akan diadakan di Dewan Kuliah A Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang, anjuran bersama Jurnal Pemikir dan Projek Pengurusan Pembangunan Islam (IDMP) Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia.
Ahli-ahli panelnya terdiri dari Rektor Universiti Islam Antarabangsa Profesor Muhammad Kamal Hassan dan Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategi Universiti Malaya Profesor Madya Muhammad Abu Bakar. Wacana ini akan dipengerusikan oleh Timbalan Naib-Canselor Penyelidikan dan Pembangunan Universiti Sains Malaysia Profesor Md. Salleh Yaapar. Tajuk perbincangannya ialah "Pembangunan dan Dilema Ummah di Malaysia".
Kenapa pembangunan dan dilema ummah di Malaysia? Apakah dalam keadaan Malaysia yang pesat membangun dan mampu mengatasi pelbagai cabaran masih ada lagi dilema di kalangan ummah Islamnya? Kalau masih ada, dari manakah puncanya dan apakah bentuk-bentuknya? Bagaimanakah pula ianya mesti diselesaikan? Barangkali inilah persoalan-persoalan yang akan diwacanakan di majlis itu.
Secara sepintas lalu, ternampak bahawa ummah Islam di Malaysia memang masih belum bebas sepenuhnya dari dilema pembangunan. Puncanya, antara lain, barangkali datang dari perkaedahan pembangunan yang dipakai itu sendiri.
Telah menjadi pengetahuan umum bahawa perkaedahan pembangunan yang dipakai di Malaysia adalah didominasi oleh kaedah yang berdasarkan falsafah pembangunan pasca-klasikal. Perkaedahan ini, yang dilaksanakan melalui teori pembangunan Pertumbuhan dan kemudiannya teori pembangunan Pengagihan-Dengan-Pertumbuhan, bersifat sentrik-ethno-Barat (western ethno-centric) atau paling tidak sentrik-Eropah (Euro-centric). Ia menuntut pemusnahan masyarakat dan budaya tradisi serta menjadikan peningkatan pengeluaran, pendapatan, kuasa beli dan kepenggunaan sebagai petunjuk pembangunan.
Di Malaysia, melalui perkaedahan ini, ternyata pembangunan telah dicapai dengan agak mengkagumkan. Namun begitu, dalam keadaan pencapaian peningkatan pembangunan kebendaan itu, ummah Islam menghadapi, antara lain, paling kurang dua bentuk dilema.
Pertama, bolehkah perkaedahan itu dipakai, walaupun terbukti telah mencapai matlamat pembangunan kebendaannya, sedangkan intipatinya, sama ada dari segi epistemologi atau falsafahnya, tidak berlandaskan kepada Islam? Kedua, berbaloikah ummah Islam di Malaysia memusnahkan masyarakat dan budaya tradisi mereka semata-mata kerana ingin membangun, yang petunjuk pembangunan itu pula ditetapkan oleh falsafah yang diasaskan di luar paradigme Islam?
Secara teoritikal, dilema pertama itu barangkali tidak timbul kerana sesetengah orang boleh beranggapan bahawa yang dipakai ialah kaedahnya, bukan kepercayaannya. Tetapi dalam realiti pelaksanaannya, kaedah dan kepercayaan ini nampaknya tidak banyak terpisah atau dipisahkan.
Keyakinan falsafah pembangunan neo-klasikal, umpamanya bahawa setiap pembangunan mesti meniru sejarah dan jejak langkah negara-negara Barat dan bahawa halangan budaya tradisi mesti dihapuskan, tetap dipegang kejap, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Petunjuk-petunjuk pembangunan, seumpama peningkatan pengeluaran, pendapatan, kuasa beli dan kepenggunaan tidak didefinisi semula mengikut budaya dan tradisi tempatan. Malah pengertian tentang pembangunan itu sendiri dipakai terus dari apa yang didefinisikan oleh falsafah pembangunan neo-klasikal tersebut tanpa banyak pendefinisian semula.
Hal ini menjadi semakin kukuh dalam era globalisasi sekarang, kerana globalisasi itu sendiri didominasi oleh Barat. Akhirnya, corak pembangunan lahir dalam bentuk yang asing dari bentuk yang sepatutnya dilahirkan oleh acuan Islam.
Dilema begini membawa kepada dilema yang kedua, yakni demi pembangunan, ummah di Malaysia terpaksa pula mengorbankan cara hidup masyarakat dan budaya tradisi ummah itu sendiri. Perkara ini sememangnya satu tuntutan falsafah pembangunan pasca-klasikal sebagaimana dinyatakan di dalam hipotesis halangan budayanya (cultural block hypothesis). Budaya dan amalan hidup tradisi dianggap sebagai penghalang kepada kemajuan dan oleh itu mesti dimusnahkan agar petunjuk pembangunan seperti peningkatan pengeluaran, peningkatan pendapatan dan kuasa beli serta akhirnya peningkatan penggunaan dapat dicapai.
Pencapaian petunjuk-petunjuk pembangunan ini, selain memerlukan kecekapan dan teknologi, memerlukan juga masa yang cukup banyak. Sebahagian besar dari masa seharian ummah di Malaysia sedikit demi sedikit terpaksa tertumpu kepada usaha mencapai petunjuk-petunjuk pembangunan di atas. Sesetengah mereka, terutamanya di bandar-bandar besar seperti di Kuala Lumpur yang mengalami masalah kesesakan lalu lintas, terpaksa bertolak ke tempat kerja sebelum subuh dan pulang ke rumah selepas maghrib. Hari demi hari, secara sedar atau tidak, mereka terpaksa menghabiskan usia mereka menjadi pengeluar dan pengguna.
Ini cukup memberi kesan kepada corak kehidupan ummah di Malaysia, sama ada dari segi ibadah, perhubungan kekeluargaan, pergaulan sosial dan sebagainya. Dari segi ibadah misalnya, oleh kerana terpaksa menghabiskan waktu sembahyang di perjalanan ke pejabat atau pulang dari pejabat, tidak sedikit yang terpaksa qadha' atau meninggalkan terus sembahyang lima waktu. Dari segi kekeluargaan dan pergaulan sosial pula, tidak sedikit juga yang renggang tali kekeluargaan, di samping ada anggota-anggota keluarga ummah di Malaysia yang terlibat dengan pelbagai permasalahan dan gejala sosial.
Ironinya, permasalahan ini timbul dalam keadaan ummah Islam di Malaysia hidup dalam keadaan yang boleh dikatakan selesa dari segi kebendaan, hasil dari pemakaian perkaedahan falsafah pembangunan pasca-klasikal tadi. Dalam suasana sedemikian, ummah Islam di Malaysia yang prihatin menghadapi dilema yang cukup besar, yakni dalam memilih antara keselesaan kebendaan yang mengorbankan tradisi budaya hidup Islam mereka, dengan kehidupan yang mungkin tidak membangun dari segi kebendaan tetapi tetap kejap berpegang kepada tradisi budaya hidup Islam. Walaupun secara logiknya pemilihan terbaik ialah berusaha membangunkan kebendaan dengan berpegang kejap kepada tradisi budaya hidup Islam, hal ini tidak mudah dilakukan dalam keadaan tersangat dominannya falsafah pembangunan pasca-klasikal.
Oleh itu ummah Islam di Malaysia tersepit antara dua pilihan. Memilih hidup dalam keselesaan kebendaan dan meninggalkan tradisi budaya hidup Islam seringnya membawa kepada masalah hedonisme dan pelbagai kesan sampingan yang lain, manakala mempertahankan tradisi budaya hidup Islam dan hidup dalam keadaan kurang kebendaan dianggap sebagai anti-kemajuan.
Pemilihan terhadap kedua alternatif ini membawa pula kepada dilema yang lebih besar. Tarik tali pengaruh antara kedua kumpulan yang berpegang kepada kedua pendirian yang bertentangan ini kian hari menjadi kian ketara. Masing-masing bersaing mencari pengaruh dan persaingan itu pula sedikit sekali berdasarkan kepada persaingan yang sihat. Perpaduan ummah di Malaysia boleh jadi retak kerana persaingan mencari pengaruh yang tidak sihat ini.
Permasalahan yang dibincangkan di atas hanyalah secebis dari dilema pembangunan yang dihadapi ummah Islam di Malaysia masakini, megikut pendapat saya. Ahli panel dan para peserta Wacana Pemikir pada 22 Julai 2000 nanti tentu mempunyai pendapat yang jauh lebih banyak dan bernas dari ini.
Dilema-dilema ini penting dibincang dan difikirkan kaedah mengatasinya, agar segala hasil pembangunan di Malaysia dapat dinikmati oleh ummah Islam dengan tenang dan meyakinkan. Bagi mereka yang berminat menyertai wacana ini, sila hubungi Syukri atau Sukainah di talian 04-6577888 sambungan 3638 atau 3443, atau email kepada [email protected] atau [email protected]. Untuk maklumat terkini tentang wacana ini, ziarahi http://www.geocities.com/idmpusm/wacana2000.html.
- Dr Muhammad Syukri Salleh ialah Profesor Madya dan Ketua Projek Pengurusan
Pembangunan Islam (IDMP) di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti
Sains Malaysia, Pulau Pinang (http://www.geocities.com/muhammadsyukri/).