![]()
Kertaskerja I:
Pengurusan Sumber Manusia
Dr Nailul Murad Mohd Nor,
Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh,
Universiti Sains Malaysia
dan
Dr Hanapi Md. Noor,
Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan,
Universiti Sains Malaysia.
Kertas kerja ini bertujuan untuk menerangkan konsep pengurusan sumber manusia daripada perspektif Islam. Perbincangan bermula dengan melihat siapakah manusia dan pengertian pengurusan. Diikuti dengan asas Tauhid Uluhiyyah dan Rubbubiyyah yang menjadi tunjang kepada pengurusan sumber manusia. Sumber-sumber ambilan asas pengurusan seperti Al-Quran, As-Sunnah, Ijma’, Qias dan lain-lain lagi akan diperkatakan. Seterusnya perbincangan akan menumpukan kepada asas-asas dan perlaksanaan pengurusan yang akan dilihat daripada sudut makro (negara) dan mikro (organisasi/firma). Aspek pembangunan sumber manusia seperti pendidikan dan latihan juga akan disentuh.
Kertaskerja II:
Pengurusan Kemiskinan
Prof Madya Dr. Muhammad Syukri Salleh,
Ketua Projek Pengurusan Pembangunan Islam (IDMP),
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan,
Universiti Sains Malaysia
dan
Fadzila Azni Ahmad,
Projek Pengurusan Pembangunan Islam (IDMP),
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan,
Universiti Sains Malaysia.
Pengurusan sesuatu perkara mustahil berkesan kecuali para pengurusnya mengerti dengan faham dan tepat tentang apa yang diuruskannya. Begitulah juga dengan kemiskinan. Ia tidak mungkin berkesan kecuali erti kemiskinan sebenarnya dapat dimengerti. Setakat ini, usaha-usaha lazim mengatasi masalah kemiskinan dirasakan tidak memenuhi kriteria ini.
Berdasarkan kepada pandangan Islam, kertas ini akan mencari semula erti kemiskinan, meneliti kaedah-kaedah mengatasinya dan mencadangkan satu model pengurusan kemiskinan.
Kertaskerja III:
Pengurusan Sumber Asli
Profesor Madya Haji Ismail Omar,
Pengerusi, Bahagian Ekonomi,
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan,
Universiti Sains Malaysia.
Allah SWT selaku Pemilik Mutlak seluruh sumber alam khasnya sumber asli mengizinkan manusia yang soleh memilikinya secara amanah untuk diterokai, diusaha, disuburkan, dan diurus sesuai dengan tanggungjawabnya sebagai Khalifah Allah di muka bumi. Tugas manusia sebagai Khalifah dalam mengurus dan menyuburkan sumber-sumber itu akan pasti berjaya apabila pengurus itu menguasai ilmu-ilmu teras yang berpaksikan keimanan, berpandukan syariah dan bercerminkan akhlak.
Kertas ini akan membincangkan beberapa aspek utama yang berkaitan dengan ilmu-ilmu yang perlu dikuasai oleh pengurus bagi membimbing mereka ke arah memahami dan menghayati kaedah pengurusan sumber asli secara Islam.
Kertaskerja IV:
Pengurusan Pembiayaan Awam
Profesor Madya Haji Sibly Maros,
Pengerusi Bahagian Ekonomi,
Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh
dan
Dr Ku Azam Tuan Lonik,
Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh,
Universiti Sains Malaysia.
Kertas ini dimulakan dengan membincangkan konsep pembiayaan awam menurut
pemahaman 'conventional' dan Islam. Kepentingan pembiayaan awam akan disentuh
dari perspektif peranan dan tanggungjawab pemerintah dalam usaha
membangunkan ummah dan negara. Seterusnya perbincangan akan ditumpukan
kepada sumber pembiayaan tersebut menurut pandangan Islam. Kertas ini juga
akan menyentuh aspek perbelanjaan awam dan prinsip-prinsip keadilan dalam
pengagihan pembiayaan awam tersebut menurut perspektif Islam.
Kertaskerja V:
Pengurusan Perniagaan dan Perindustrian
Profesor Madya Dr Moha Asri Haji Abdullah,
Timbalan Pengarah, Pusat Penyelidikan Dasar,
Universiti Sains Malaysia
dan
Dr Atikullah Haji Abdullah,
Pemangku Pengerusi Bahagian Pengajian Islam,
Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan,
Universiti Sains Malaysia.
Manusia telah ditentukan oleh Allah sebagai khalifah dan hambanya di
alam ini. Kedudukan ini menghendaki manusia menggunakan segala potensi
yang ada padanya bagi mentadbir dan mengurus alam dalam kepelbagaian bidangnya
secara bijak dan berkesan dengan berpandukan kepada ketetapan dan garis
panduan yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Perniagaan dan perindustrian
yang merupakan sebahagian dari komponen utama dalam aspek mu‘amalat menurut
ajaran Islam sudah tentu tidak terlepas dari garis panduan tersebut.
Ini bermakna persoalan mengenai ketuhanan, amanah dan nilai merupakan antara
perkara yang dasar dan sentiasa diamati pada semua peringkat dalam proses
perniagaan dan perindustriaan menurut Islam. Sesungguhnya hakikat inilah
yang membezakan falsafah perniagaan dan perindustriaan Islam dengan falsafah
konvensional yang sangat menekankan matlamat untuk memaksimakan keuntungan.
Bertitik tolak
dari perbezaan pada peringkat falsafah yang menjadi dasar kepada operasi
dalam bidang perniagaan dan perindustrian, maka di samping berkongsi beberapa
nilai-nilai dan ciri-ciri yang bersifat sejagat, ahli perniagaan dan usahawan
Muslim juga mesti memiliki ciri-ciri khusus yang semestinya menepati tuntutan
bagi melaksanakan tugas mereka sebagai agen dan hamba Allah di muka bumi
dan memakmurkannya mengikut kaedah dan acuan yang dikehendaki Nya. Kertas
ini akan cuba secara ringkas membincangkan falsafah perniagaan dan perindustrian
menurut ajaran Islam dan kemudiannya beberapa konsep dan ciri-ciri khusus
yang menjadi keunggulan dan keistimewaan sistem perniagaan dan perindustrian
Islam pada peringkat operasinya dibincangkan.