B. LATAR BELAKANG
Sebelum
menjanakan sebarang proses pengajaran - pembelajaran, adalah wajar seorang
guru itu meneliti pengetahuan sedia ada pelajar (PSA). Dalam tugasan
ini, PSA yang perlu ada pada setiap pelajar adalah (1) sifat dan
jenis segitiga, iaitu jumlah sudut dalam segitiga adalah 180o,
segitiga kaki sama mempunyai dua sisi yang sama panjang, segitiga sama
mempunyai semua sisi yang sama panjang dan seumpamanya; dan (2) sifat dan
jenis sudut. Kedua-dua PSA ini akan digunapakai dalam membentuk hubungkait
di antara poligon dengan segitiga.
Rekabentuk
tugasan ini menjurus kepada pembinaan konsep berpandu secara berkumpulan.
Implikasinya adalah pelajar akan bekerja dalam kumpulan, dalam 4 -5 orang
dalam satu kumpulan. Ini untuk adalah memberi peluang atau pendedahan
pembelajaran kolaboratif dan koperatif di kalangan pelajar. Implikasi
yang kedua pula, pelajar akan dipimpin oleh soalan-soalan yang diajukan
dalam lembaran tugasan, bukannya secara langsung dari guru. Dalam
tugasan ini, guru akan bertindak sebagai pemudahcara atau fasilitator.
Guru akan memberi peluang kepada pelajar untuk membuat penerokaan dan lanjutan
daripada itu membina konjektur hasil daripada perbincangan ahli-ahli perbincangan.
Setelah dibuat konjektur, guru akan memberi peluang kepada pelajar untuk
menyiasat keesahan dan kebenaran konjektur yang mereka bina. Guru
tidak akan memberi jawapan kepada mana-mana soalan kognitif, sebaliknya
mengajukan soalan tersebut kepada ahli kumpulan untuk dibincangkan.
Dalam pada itu, adalah disarankan agar pengajuan kembali soalan hendaklah
tidak menggunakan sintaksis ayat yang sama yang digunakan oleh pelajar.
Sebaliknya, adalah lebih afdal sekiranya guru memberi sedikit pendapat
tetapi pendapat tersebut hendaklah tidak menjurus secara langsung kepada
jawapan yang dikehendaki.
Selain
daripada itu, adalah disarankan agar guru bergerak dari satu kumpulan ke
satu kumpulan yang lain dan membuat pemerhatian secara aktif terhadap aktiviti-aktiviti
yang dilibatkan oleh pelajar. Sekiranya didapati pelajar tidak mencapai
tahap penerokaan atau penyiasatan (pembelajaran) yang dikehendaki, maka
wajarlah guru itu mula menanyakan soalan-soalan yang berbentuk konstruktif
untuk membina perkembangan aras kognitif pelajar.
Tugasan
ini juga mengintegrasikan kegunaan teknologi seperti kalkulator grafik,
dan komputer dengan perisian Geometer's Sketchpad (GSP), dan Microsoft
Excel (MS Excel). Selari dengan pengintegrasian tersebut,
adalah afdal sekiranya guru mencuba terlebih dahulu menggunakan teknologi
yang terbabit untuk menyelesaikan masalah yang diajukan dalam tugasan ini
bagi membina keyakinan guru untuk melaksanakan proses pengajaran - pembelajaran.
Tidak dinafikan yang kemungkinan pelajar akan bertanya dari sudut teknikal
itu ada, walau bagaimanapun, ianya hendaklah tidak dijadikan tumpuan utama
pengajaran-pembelajaran. Untuk mengurangkan penggunaan masa untuk
menerangkan aspek teknikal penggunaan teknologi ini, guru bolehlah mengedarkan
lampiran teknologi kepada pelajar untuk mereka rujuk. Perlu diingatkan
pengintegrasian teknologi ini bertujuan untuk membolehkan pelajar melihat
perkaitan (pola) dengan lebih konkrit lagi. Ianya bukanlah satu-satunya
wacana yang boleh digunakan, tetapi tidak dinafikan ianya merupaka wacana
yang paling murah dari segi masa dan tenaga guru dan pelajar.