TUGASAN ILMIAH

Pengaruh Teknologi Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Matematik

Arus teknologi maklumat ( IT ) pada masa kini kian deras menerjah dalam semua lapangan termasuklah dalam duniapendidikan. Ini memberikan satu perspektif baru dalam pendidikan dewasa ini. Kesan dari pengaruh teknologi maklumat ini memberikan dimensi baru kepada guru untuk menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih kreatif dan berinovasi. Selain itu ia juga mengurangkan beban guru untuk mengajar,di mana pada peringkat ini guru lebih banyak bertindak sebagai fasilitator atau pemudahcara. Antara penggunaan teknologi yang biasa digunakan ialah komputer dan juga kalkulator.

Komputer seperti yang telah kita ketahui ia mempunyai banyak perisian atau software yang boleh kita gunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran seharian. Antaranya ialah authorware, LOGO, GSP dan internet. Penggunaan teknologi ini banyak membantu guru-guru dalam mewujudkan suasana yang menarik dan kondusif untuk murid-murid belajar. Sesuai dengan saranan kerajaan dimana sebuah rumah sebuah komputer. Ini diikuti dengan pengeluaran wang KWSP bagi pembelian komputer,guru tidak harus menolak kehadiran komputer dalam dunia pendidikan dengan mengatakan teknologi ini sukar didapati,mahal, tidak sesuai untuk murid-murid tahap rendah dan sebagainya. Kewujudan Sekolah Bestari juga menunujukkan kerajaan bersungguh-sungguh mahu menjadikan komputer sebahagian dari teknologi pendidikan.

Penggunaan authorware misalnya memberi peluang kepada murid untuk belajar sendiri mengikut tahap mereka sendiri. Ini kerana program ini akan memberikan keputusan samada latihan yang dijawab oleh murid itu betul atau salah.Sekiranya jawapan yang diberikan betul, komputer akan memberikan kata perangsang seperti syabas, tahniah atau sebagainya. Sekiranya jawapan yang diberikan oleh murid itu salah, komputer akan mengatakan salah dan akan memberikan jawapan sekiranya diminta. Selain itu, program ini boleh dibuat sendiri oleh guru dan boleh menjadikan perisian ini lebih menarik dengan gambar-gambar dan grafik yang sesuai . Selain itu, ia juga boleh dimasukkan audio yang bersesuaian seperti bunyi binatang, alam sekitar seperti bunyi guruh dan sebagainya. Terdapat banyak perisian yang boleh kita dapati di pasaran sekarang bagi tujuan tersebut antaranya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Sains, Matematik dan lain-lain lagi. Ia boleh kita dapati dengan mudah di kedai software komputer dan harga yang ditawarkan juga berpatutan.

Perisian GSP dan LOGO pula banyak membantu dalam mata pelajaran matematik dan seni di mana murid boleh meneroka bentuk dan corak yang boleh mereka cipta di samping mencari konjektur di antara objek yang telah mereka bina. Selain itu , perisian ini juga dapat menambahkan lagi kefahaman murid, membina konsep yang jelas tentang bentuk–bentuk geometri, luas dan perimeter objek yang dilukis dan perbezaan antara objek yang dilukis . Perisian ini juga menggalakkan murid berfikir secara kreatif dan kritis seperti yang dikehendaki dalam kurikulum kita sekarang . Ini kerana program ini amat mudah untuk dikendalikan oleh murid dan ia tidak memerlukan proses yang rumit untuk melukis sesuatu bentuk geometri. Murid juga dapat mewarna objek atau bentuk yang telah mereka lukis dengan program itu. Sekiranya program ini tidak ada dalam komputer, anda masih boleh menggunakan perisian GSP dengan melayari internet. Program ini beleh digunakan tetapi tidak boleh didownloadkan kerana telah dilindungi. Jadi, kita hanya dibenarkan menggunakan program GSP ini di internet sahaja.

Bagi penggunaan internet pula, seperti yang kita semua maklum internet adalah lautan maklumat yang hampir semua yang kita perlukan ada di internet . Hanya taip sahaja tajuk atau maklumat yang diperlukan pasti kita akan mendapat maklumat itu . Terdapat banyak bahan–bahan interaktif yang boleh kita perolehi dalam internet dan kita hanya perlu rajinuntuk meneroka dan melayari halamanberkaitan dengan pelajaran yang kita ajar, di samping itu terdapat juga isu–isu tentang dunia pendidikan yang sedang diperkatakan sekarang. Antara laman yang boleh kita layari ialah mengenai pembinaan konsep sesuatu tajuk, teknik pengajaran, bahan bagi kita mengajar, maklumat yang sesuai dengan tahap murid dan permainan menarik dan inovatif yang pastinya menyeronokkan dan menjadikan murid kita lebih berminat untuk belajar. Melalui penggunaan internet dalam pengajaran dan pembelajaran, murid dapat belajar secara berdikari dan ia bersesuaian dengan tahap murid itu sendiri .

Kalkulator juga merupakan satu lagi teknologi yang dapat meningkatkan lagi keseronokkan dan motivasi murid untuk belajar .Selain itu ia juga dapat merangsang pemikiran murid . Malangnya ramai guru – guru yang beranggapan bahawa kalkulator ini akan merosakkan daya pemikiran murid kerana murid akan menjadi malas kerana mereka tidak perlu berfikir . Selain itu , guru juga merasakan murid yang menggunakan kalkulator mungkin tidak pandai atau lemah dalam menjalani algoritma kertas pensil yang biasa yang melibatkan empat operasi asas iaitu tambah, tolak, darab dan bahagi; seterusnya mereka mungkin kurang faham dengan konsep asas nombor . Ramai juga guru yang beranggapan masa yang sesuai bagi murid untuk murid menggunakan kalkulator ialah sekolah menengah. Sebenarnya penggunaan kalkulator boleh dimulakan sejak sekolah rendah lagi. Penggunaan kalkulator perlu ada kaedah yang betul agar ia benar-benar membantu murid dalam pembelajaran dan juga guru semasa menjalankan proses pengajaran. Guru perlu menggalakkan murid untuk menganggar sebelum mengira dengan kalkulator dan menentukan kemunasabahan jawapan yang diberikan oleh murid itu. Melalui kalkulator juga murid boleh melihat pola dengan lebih jelas lagi dan boleh menguji jawapan dengan segera tanpa bantuan dari guru . Ini akan meningkatkan daya saing dikalangan murid dalam menyiapkan kerja atau latihan yang diberikan guru.

Penggunaan kalkulator juga akan dapat menjadikan individu itu seorang pengguna yang bijak,memberikan peneguhan pembelajaran operasi asas ( tambah , tolak ,darab dan bahagi ). Selain itu , ia dapat memperkembangkan kefahaman algoritma pengiraan secara mengulangi operasi – operasi, menyemak jawapan dengan cepat , menggalakkan murid menjawab soalan secara berdikari dalam penyelesaian masalah. Kalkulator juga memudahkan murid untuk melihat pola sesuatu nomboratau generalisasi dan mengurangkan masa untuk menyelesaikan masalah yang rumit dan juga soalan yang terlalu mudah untuk dikira dengan kertas pensil.

Sebagai seorang guru kita tidak boleh cepat melatah dan berfikiran sempit, jumud dan tidak mahu menerima sebarang perubahan lain kerana merasakan semua itu membazir,tidak sesuai dengan kaedah pengajaran kita sekarang, merasakan teknologi akan menjadikan murid kita malas dan kurang berdaya fikir dan lain-lain lagi. Semua ini dapat kita elakkan jika kita dapat menggunakan teknologi yang ada sekarang dengan baik dan berhemah. Teknologi yang ada sekarang banyak membantu guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran seharian. Kita sebagai seorang guru perlu pantas mengejar teknologi agar tidak ketinggalan dalam arus teknologi maklumat. Jadi dapatlah disimpulkan di sini, bahawa penggunaan teknologi banyak membantu guru dalam proses pengajaran seharian. Sama ada teknologi itu hadir sebagai lawan ataupun kawan, ianya banyak bergantung kepada kita sendiri dalam mengendalikan kaedah dan cara kita menyampaikan kepada murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran seharian.

BIBLIOGRAFI

v James T.Feg, Christian R. Hirsch (1992), Calculator In Mathematics Education , Virginia, NCTM

vPeter Kelmen, Art Bardige, Jonathan Choate, George Hanify, John Richards, Nancy Roberts, Mary Kay Tornrose, Joseph Walter, (1983), Computer In Teaching Mathematics, Canada, Addison- Wesley Publishing Company

vLeone Burton, Barbara Jowarski (editor) , (1995),Tecnology In Mathematics Teaching – a bridge between teaching and learning , Old Orchard , Chartwell- Bratt.

vLim Chap Sam , Kalkulator Elektronik Kawan Atau Lawan ?,Berita Matematik (1996)

vSharifah Norul Akmar Bt. Syed Zamri, Penggunaan Kalkulator Dan Kesannya Ke Atas Kurikulum Matematik Sekolah, Berita Matematik (1985 )

Hosted by www.Geocities.ws

1