PENGENALAN
Dalam dunia hari ini terdapat pelbagai jenis cara, kaedah atau strategi
dalam mengajar kemahiran Matematik. Hanya kita sahaja perlu memilih mana
yang patut dan sesuai untuk mengajar murid kita. Kita sebagai guru seharusnya
tahu apakah kehendak murid kita. Kitalah orang paling hampir dengan mereka
selain ibu bapa dan ahli keluarga mereka. Persekitaran mereka serta sedikit
sebanyak tabiat dan perangai mereka dapat kita tahu melalui perhubungan
kita sebagai guru kepada mereka. Bukannya penggubal kurikulum atau dasar
pendidikan negara. Oleh itu, kita sebagai guru mestilah bergerak seiring
dengan strategi serta kaedah pengajaran yang baru dan telah dikaji oleh
para pengkaji di dunia hari ini.
Hasil kajian yang telah mereka jalankan boleh kita perolehi daripada
berbagai sumber yang ada seperti buku, majalah, jurnal, internet atau sebagainya.
Kita beruntung kerana tanpa perlu membuat sebarang kajian yang terperinci
sekalipun kita masih boleh gunakan hasil kajian mereka untuk mengajar murid
kita. Sebenarnya kita juga membuat kajian dengan murid kita dalam kita
mencari strategi yang paling berkesan. Kita harus sedar keadaan ini, cuma
bezanya kita tidak dokumentasikan apa yang kita buat ke atas murid kita
dan kita hanya mencuba ke atas sebilangan kumpulan murid sahaja tidak mencakupi
satu kelompok murid yang besar.
Strategi pengajaran dulu hanya memusatkan guru semata-mata dan murid
hanya menjadi pendengar yang setia. Tetapi oleh kerana kaum pendidik menyedari
bahawa manusia boleh mempelajari ilmu melalui kelima-lima pancaindera yang
mereka ada maka strategi pengajaran mula diubah. Manusia mengkaji pembelajaran
banyak berlaku melalui mata (penglihatan) maka kaum guru mencipta alat
bantu untuk menyampaikan pengajaran dalam kesemua subjek. Ini merupakan
perkembangan yang amat positif. Selepas itu kajian dibuat lagi bahawa sekiranya
murid yang melakukan aktiviti pembelajaran mereka lebih memahami pengajaran
yang hendak disampaikan oleh guru. Sekali lagi ia mengubah strategi pengajaran
guru.
Perkembangan teknologi juga banyak mengubah strategi dan teknik pengajaran kaum guru. Ini dapat kita lihat bagaimana perkembangan dunia Teknologi Komuikasi dan Maklumat (ICT) hari ini telah mengubah cara manusia berfikir. Tidak ketinggalan juga kaum guru dalam mendidik murid ke arah kejayaan. Di Malaysia perkembangan ICT ini telah memberi idea kepada Kementerian Pendidikan untuk menjelmakan penubuhan sekolah bestari dari segi istilahnya. Ini dapat kita lihat dan dengar dari mana-mana sahaja dan ke mana sahaja kita pergi. Dari orang tua sehinggalah kepada kanak-kanak sudah pandai menyebut sekolah bestari. Timbullah pula bermacam-macam andaian dan pandangan daripada masyarakat tentang sekolah bestari dan kesannya kepada anak-anak di masa akan datang. Berbagai reaksi yang positif dan negatif dilemparkan kepada pihak kerajaan yang menggubalkan dasar tersebut. Termasuklah kaum guru. Walhal bila kita selidik lebih jauh masyarakat kita sendiri amnya dan kaum guru khasnya tidak begitu tahu apakah isi kandungan yang terdapat dalam kurikulum sekolah bestari. Begitu juga daripada segi strategi pengajaran pembelajaran yang berkonsepkan bestari. Oleh itu kita sebagai kaum guru mesti mendalami isi kandungan kurikulum sekolah bestari terlebih dahulu sebelum kita menolak apa yang dikatakan bestari. Tidak cukup dengan hanya kita dengar daripada rungutan dan sungutan masyarakat tanpa kita merujuk kepada pihak-pihak yang berwajib. Oleh itu kita perlu mencari, memahami serta menelitinya. Setelah itu sekiranya ia sesuai untuk murid kita maka boleh kita cuba.
Ramai orang bila sahaja menyebut perkataan BESTARI maka terbayanglah
oleh mereka tentang ICT dan Komputer. Jika tidak ada komputer di sekolah
maka pengajaran matematik yang bestari tidak boleh dijalankan. Pernyataan
ini sememangnya tidak benar. Dalam strategi pengajaran kemahiran Matematik
yang bestari bukanlah komputer yang menjadi perkara paling pokok. Ada beberapa
teknik yang perlu kita beri penekanan iaitu:-
PENYELESAIAN MASALAH.
Strategi penyelesaian masalah boleh dikatakan nadi penggerak dalam pengajaran Matematik yang bestari. Bukannya cara lain tidak penting tetapi teknik ini amat menggalakkan murid untuk berfikir. Banyak contoh yang boleh kita perolehi daripada buku-buku ataupun internet tentang bahan untuk penyelesaian masalah.
Dalam teknik ini murid diberikan satu masalah dan mereka akan menyelesaikan sama ada secara individu atau kumpulan. Kebiasannya setiap masalah yang diberikan mempunyai banyak cara penyelesaiannya. Daripada penyelesaian yang pelbagai itu juga membolehkan murid mempelajari sesuatu. Setelah itu guru memberikan lagi masalah yang lain tetapi masih bercirikan masalah yang pertama tadi. Murid akan cuba untuk menyelesaikannya dengan cara mereka sendiri atau mungkin dengan cara yang ditunjukkan oleh kawan mereka. Setelah itu murid diberikan lagi satu masalah yang hampir sama sehinggalah mereka dapat menemui satu pola yang membolehkan mereka membentuk formula sendiri. Setelah mereka dapat membentuk formula maka jika masalah yang lebih rumit diberikan mereka boleh menyelesaikannya. Maknanya di sini mereka menggunakan Matematik untuk belajar bukannya mereka belajar Matematik berbeza dengan keadaan kita di masa dahulu semasa kita di bangku sekolah. Keadaan ini sebenarnya sama dengan dengan ahli sains atau ahli matematik yang cuba menyelesaikan masalah yang mereka temui dan seterusnya berjaya menjumpai formula-formula tertentu yang menyebabkan mereka masyhur dan terkenal.