Bat Latiff meninggal  : 5 Mei 2005

KUALA LUMPUR: Bat Latiff atau nama sebenarnya Mohamad Ali Abdul Latiff, (gambar) 54, yang terkenal dengan watak Belalang dalam filem arahan Tan Sri P Ramlee, Nujum Pak Belalang, meninggal dunia petang semalam di rumahnya di Desa View, Ampang Hulu Klang, Selangor.

Allahyarham yang belum berkahwin dikatakan menghidap penyakit lemah jantung, lelah, darah tinggi dan kencing manis. Beliau meninggal dunia kira-kira jam 3.15 petang.

Mayat Allahyarham ditemui di rumahnya kira-kira jam 7.15 malam tadi oleh seorang kenalan, Azizi Mohamad Said.

Jurucakap Balai Polis Wangsa Maju, Sarjan Roslan Mahamud, berkata polis mengklasifikasikan kematian Bat sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah.

“Bat dipercayai meninggal dunia kira-kira jam 3.15 petang berdasarkan laporan perubatan dari Klinik Idzham, Taman Melawati, Selangor. Bat mendapatkan rawatan di klinik berkenaan sejak 1997 dan kali terakhir beliau mendapatkan rawatan ialah Julai 2004,” katanya.

Bat yang dilahirkan di Changi, Singapura, pada 10 Jun 1951 adalah anak saudara kepada seniwati veteran, Allahyarhamah Datin Saadiah Baharom, yang baru saja menghembuskan nafasnya pada 26 Februari lalu.

Bat yang juga sepupu kepada pelakon, pengacara dan penyanyi terkenal, Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy), adalah juga seorang pereka tari kumpulan tarinya, Bat Latiff’s Dancer.

Sebelum ini, beliau bertugas sebagai juru tari dan penari sambilan bebas untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Kembali ke muka depan

Hosted by www.Geocities.ws

1