Perginya 'Belalang'
Oleh Ellyna Ali

[email protected]



SEBAK...suasana sedih dan pilu di pengebumian Bat Latiff.

  KETIKA Allahyarhamah Datin Saadiah Baharom,67, menghembuskan nafas terakhirnya pada 26 Februari, anak saudaranya, Bat Latiff adalah antara orang terdekat yang paling sukar sekali menerima kehilangan primadona filem Melayu itu.

Bagi Bat, Saadiah adalah segala-galanya dalam hidupnya. Seorang guru, ibu, kakak, teman yang menjadi tempat untuk bercerita, mengadu masalah atau apa saja hal yang ingin diluahkan.

Saadiah juga orang bertanggungjawab menyara dan menyekolahkannya sewaktu tinggal bersamanya. Saadiah jugalah yang memperkenalkan dirnya kepada dunia filem sama ada tarian mahupun lakonan.

Tidak hairanlah mengapa Bat tidak mampu membendung kesedihannya serta tidak mampu mengawal perasaan diri hingga pengsan dua kali apabila terpaksa menerima hakikat pemergian arwah. Bat juga mengatakan dia tidak mungkin mampu menepis segala kenangannya bersama Saadiah.

Mungkin sudah tersurat agaknya bahawa Bat akan pergi mengikut jejak langkah orang yang paling disayangi itu tanpa perlu menyimpan rindu yang lama.

Belumpun cukup 100 hari pemergian Saadiah, Bat atau nama sebenarnya, Mohamad Ali Abdul Latiff, 54, pula menghembuskan nafas terakhirnya secara bersendirian di kediamannya di Desa Hillview Tower, Hulu Kelang, petang kelmarin.

Kematian pereka tari, penari, penyanyi dan pelakon kanak-kanak secara mengejut akibat penyakit lemah jantung, darah tinggi, asma dan kencing manis ini membuatkan segelintir kenalan, rakan perjuangan, ahli keluarga dan saudara mara terkejut tidak percaya.

Namun, kebanyakannya redha dan merelakan pemergian Bat yang disifatkan sebagai satu ketentuan azali. Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Klang Gate, Hulu Klang, kira-kira jam 2.10 petang semalam.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan itu apabila adik arwah, Mohd Rafiq, 52, yang berkerja di Bangkok, Thailand, tidak dapat menahan sebak.

Turut hadir ialah sepupunya, Fauziah Ahmad Daud, Hail Amir, Uji Rashid, Safura, Puteh, Azizul Khamis serta kakitangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta wakil persatuan hiburan tanah air.

Bercerita mengenai Bat, Rahimah berkata, arwah sentiasa menjadi anak kesayangan ibunya, Mariam Baharom atau lebih dikenali sebagai Mariam Tahi Lalat.

“Setiap kali arwah ingin pulang, ibulah orang yang paling gembira sekali. Dia juga sibuk mengadakan persiapan menyambut kepulangan anak yang disayanginya itu termasuklah menyediakan makanan yang digemarinya iaitu karipap India, murtabak serta asam pedas,” katanya.

Tambah Rahimah, arwah seorang yang nampak lembut tetapi tegas dan kalau sesuatu perkara itu salah, dia akan kata salah sebaliknya kalau betul dikatakan betul.

“Tetapi dia tidak pernah menunjukkan rasa marahnya. Sebaliknya dia seorang yang sentiasa ceria, suka berjenaka dan sentiasa membuatkan orang gembira,” katanya.

Kata Rahimah, ibunya juga pernah bertanya arwah mengenai soal perkahwinan dan meminta supaya arwah tidak menunggu lama-lama.

“Kalau sudah ada duit buat apa tunggu lama-lama. Cepat-cepatlah mendirikan rumah tangga. Tapi tahulah arwah, dia seorang yang cukup dedikasi terhadap kerja seninya. Baginya, kerja seni adalah satu keutamaan dan itulah fokus hidupnya,” katanya.

Begitupun, Bat dikatakan hampir ingin dijodohkan dengan penyanyi di Singapura tapi arwah menolak kerana ketika itu dia mahu menumpukan perhatian terhadap kerjaya seninya.

Dilahirkan di Singapura pada 10 Jun 1951, Bat mempunyai tiga beradik hasil perkahwinan ibunya Mariam dengan Latiff manakala dengan Rahim Hamid, Mariam dikurniakan lima anak termasuk Rahimah.

Bat yang terkenal dengan watak Belalang menerusi Nujum Pak Belalang ini, turut membintangi banyak filem iaitu Lela Manja, Singapura Di Langgar Todak, Batu Belah Batu bertangkup, Si Tanggang, Kasih Ibu, Seri Tanjung, Gerhana dan Korban.

Satu Titik Garisan adalah filem terakhirnya ketika berusia 21 tahun selepas studio Jalan Ampas ditutup. Bat pernah menerima pengiktirafan sebagai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik Ke-7 di Tokyo pada 1960 menerusi filem Lela Manja.

Kembali ke muka depan

Hosted by www.Geocities.ws

1