Watak Belalang akan terus dikenang
Belasungkawa Bat Latiff (1951-2005)
KELMARIN, industri filem Malaysia kehilangan sebutir lagi permata yang pernah menerangi zaman awal filem Melayu era 50-an dan 60-an. Pelakon kanak-kanak yang terkenal dengan watak Belalang menerusi filem Nujum Pak Belalang, Bat Latiff meninggal dunia dalam keadaan mengejutkan. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Desa View, Ampang Hulu Klang, Selangor. Allahyarham dikatakan meninggal dunia pada jam 3.15 petang, akibat penyakit lemah jantung, lelah, darah tinggi dan kencing manis. Kali terakhir dia ditemui media ialah ketika majlis Anugerah Tinta Seniman 2005. Kedaannya yang sihat dan ceria ketika itu tidak menampakkan dia mempunyai beberapa penyakit hinggalah kematiannya diketahui lewat petang kelmarin. Sesuatu yang mungkin terkilan ialah hajat Bat tidak kesampaian untuk mengambil semula dua trofi yang pernah dimenanginya dalam Pesta Filem Asia di Tokyo (1961) dan Pesta Filem Asia di Seoul (1963). Bat pernah meluahkan rasa kecewa yang amat sangat kerana trofi Pelakon Kanak-Kanak Terbaik yang dimenanginya menerusi filem Lela Manja dan Gerhana itu kini berada di luar negara dan disimpan di pejabat Shaw Brothers di Hong Kong, iaitu penerbit filem berkenaan ketika zaman Old Singapore pada era kegemilangan filem Melayu. “Sepatutnya dua trofi yang saya menang itu disimpan dalam muzium kita, ia kejayaan peribadi saya dalam kerjaya lakonan. Ini sejarah seni budaya kita. Tetapi sayangnya saya tidak tahu ke mana dua trofi itu, apa yang saya tahu Shaw ada menyimpannya di Hong Kong. Saya harap kerajaan dapat bawa balik trofi itu ke negara kita sebab ia adalah hak kita,” kata Bat ketika ditemui wartawan Persada Seni, suatu ketika dulu. Bat dikenali menerusi lakonan ketika beliau di zaman kanak-kanak dan kemudiannya mencipta nama dalam bidang tarian di negara ini. Pemergian Bat atau nama sebenarnya Mohamad Ali Abdul Latiff pada usia 54 tahun, cukup dirasakan oleh segenap lapisan penggiat seni dan warga filem kerana Bat seorang yang mudah mesra, lemah lembut dan suka berbual. Allahyarham dilahirkan di Changi, Singapura pada 10 Jun 1951. Bat adalah anak saudara kepada seniwati veteran, Allahyarhamah Datin Saadiah Baharom yang meninggal dunia 26 Februari lalu. Bat yang juga sepupu kepada pelakon dan pengacara terkenal, Fauziah Ahmad Daud (Ogy), mula diperkenalkan ke layar perak menerusi filem Batu Belah Batu Bertangkup pada 1959 arahan Jamil Sulong. Bagaimanapun, filem Lela Manja menaikkan nama Bat sebaris pelakon kanak-kanak popular di Asia ketika itu, termasuk pasangannya dalam filem terbabit, Habibah dan Tony Castello yang membintangi Anakku Sazali. Menerusi filem itu juga Bat dinobatkan Pelakon Kanak-Kanak Terbaik Festival Filem Asia 1960 dan filem itu sendiri diumumkan sebagai Filem Komedi Terbaik pada festival sama. Nujum Pak Belalang adalah filem yang banyak mempopularkan nama Bat kerana watak Belalang yang dibawanya, iaitu anak kepada Pak Belalang (lakonan P Ramlee) meninggalkan kesan mendalam kerana keletahnya yang mencuit, pandai membuat helah dan bijaksana. Teringat jelas dialog yang diucapnya pada penghujung babak filem itu: “Belalang pun ahli nujum juga pak....” Selain Batu Belah Batu Bertangkup, Singapura Dilanggar Todak, Lela Manja dan Gerhana, Bat juga pernah membintangi Si Tanggang, Bidasari, Kasih Ibu dan Seri Tanjung. Satu Titik Di Garisan adalah filem terakhirnya ketika berusia 21 tahun apabila studio Jalan Ampas ditutup pada 1967. Sebaik saja era studio Jalan Ampas berakhir, Bat beralih karier sebagai penari dan koreografer tarian. Bakat sebagai penari dipupuk ibu saudaranya yang menubuhkan Saadiah Dancers. Kemudian, jiwa seninya terus membawa Bat ke puncak kejayaan dengan menubuhkan kumpulan tarinya sendiri, Bat Latiff’s Dancers. Saat-saat terakhir hayatnya, arwah masih lagi aktif sebagai koreografer dengan membimbing peserta Bintang RTM musim terbaru dan kumpulan penari cilik, Anak-Anak Belalang. Bat juga dikatakan dalam perbincangan mereka tari persembahan muzikal P Ramlee yang bakal dipentaskan SW Show Productions di Istana Budaya. Mungkin juga ramai yang tidak tahu, Bat pernah merakam sebuah lagu berjudul Hanya Sekali pada 1970-an. Menurut adik angkatnya, Mohd Afandi Ghazali, 23, yang juga jurukamera RTM, sehari sebelum meninggal dunia, arwah mengadu sesak nafas dan kekejangan. Beberapa jam sebelum menghembuskan nafas terakhir, arwah kelihatan tidak bermaya. Namun dia masih cuba menyembunyikan keadaan kesihatannya. “Saya mula rasa tidak sedap hati, tetapi arwah berpesan jangan bimbangkan dirinya kerana dia ada menyimpan bekalan ubat. Kali terakhir dalam jam 7 pagi, arwah menelefon saya dan berpesan supaya menjalankan tugas dengan baik.” katanya. Afandi memberitahu, kebelakangan ini, arwah kerap membelinya hadiah dan pada malam sebelum meninggal dunia, arwah kelihatan terlalu gembira. Tidak seperti selalu di mana Allahyarham menghabiskan masanya di bilik untuk menyiapkan skrip bagi projek Lagu-Lagu Nostalgia anjuran Papita, pada malam itu, arwah meluangkan masa berbual dengannya. “Arwah seperti mengenang kembali nostalgia lalu dengan melihat kepingan slide berkaitan Allahyarhamah Saadiah yang dia sediakan sendiri. Arwah juga begitu gembira dapat melihat gambar-gambar lama. Tidak sangka rupanya arwah seperti sudah tahu dia akan kembali ke rahmatullah,” katanya. Afandi juga berkata, dia ada menelefon arwah antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari untuk membawanya keluar makan tengah hari tetapi tiada jawapan. Disebabkan rasa tidak puas hati, Afandi ke rumah Allahyarham dan memanggil nama arwah namun tiada sebarang maklum balas. Hampir tiga jam menanti, Afandi kemudian menghubungi penari Bat untuk tindakan selanjutnya. “Mereka juga mengadu Bat tidak menjawab panggilan kerana arwah sepatutnya berada di RTM untuk sesi latihan bersama peserta Bintang RTM,” katanya. Jenazah Allahyarham ditemui di kediamannya kira-kira jam 7.15 malam kelmarin oleh saudara terdekatnya, Azizi Mohd Said. |
|
| Kembali ke muka depan |