BAT LATIFF MENINGGAL DUNIA

Oleh
Hanim Mohd Saleh (Cyberita Singapura)


PELAKON, penari dan pereka tari profesional yang pernah mencipta nama sebagai bintang cilik dunia perfileman Melayu, Bat Latiff, telah ditemui meninggal dunia di rumahnya di kondominium Desa View dekat Jalan Genting, Kuala Lumpur, lewat petang semalam.

Mayatnya ditemui seorang kru televisyen selepas beberapa panggilan telefon daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM) kepadanya tidak berjawab.

Adik tirinya, penyanyi Rahimah Rahim, memberitahu Berita Harian beliau terkejut mendapat panggilan mengenai kematian Bat kerana baru berbual-bual dengannya Sabtu lalu ketika di KL.

'Bat sihat seperti biasa. Dia kata dia sibuk dengan show RTM. Saya suruh dia banyak berehat. Maklumlah, umur pun 'dah 53 tahun,' kata Rahimah, teresak-esak dalam perjalanan ke KL ketika dihubungi.

Jenazah Allahyarham telah dibawa ke rumah Allahyarham Sadiah (ibu saudaranya) di Jalan Melawati. Jenazah akan dikebumikan hari ini.

Kembali ke muka depan
Hosted by www.Geocities.ws

1