MEROYAN

Meroyan merupakan salah satu penyakit gangguan mental yang serius. I a bemula dalam masa antara 2 hingga 3 hari selepas seseorang wanita bersalin. Namun ia boleh berlarutan untuk jangka masa yang lama sekiranya tidak mendapat rawatan. Biasanya, ia dialamai oleh wanita yang pertama kali bergelar ibu. Bagaimanapun, gangguan ini jarang terjadi. Dianggarkan hanya seorang atau dua saja wanita yang mengalaminya dalam setiap 1,000 wanita yang melahirkan anak.

Biasanya mereka yang mengalami masalah ini sering kali merasakan diri tidak bagus dan tidak layak menjadi ibu. Pada peringkat awal mereka berasa sedih, enggan makan dan minum. Lama-kelamaan merasakan ada orang yang ingin mencederakan atau membunuh bayi dan dirinya.

Gangguan mental yang lebih dikenali sebagai meroyan di kalangan orang Melayu ini juga mempunyai banyak nama lain dalam istilah perubatan. Ia juga dikenali sebagai peuperal psikosis atau postpartum psikosis. Risiko kemungkinan seseorang mengalami meroyan ini lebih tinggi dan meningkat menjadi 2 kali ganda di kalangan wanita yang pernah mengalami psikosis. Manakala, wanita yang mengalami gangguan bipolar pula dianggarkan antara 20 hingga 50 peratus lebih tinggi daripada wanita yang mempunyai sejarah skizofrenia.

Psikosis, merupakan satu keadaan di mana individu terbabit  'hilang' sentuhan dengan dunia nyata. Wanita terbabit biasanya mendengar suara-suara halus, melihat 'sesuatu' yang tidak dapat dilihat orang lain juga sering rasa bersalah tanpa sebab.

Pesakit dapat dikesan melalui gejalanya. Mereka biasanya mengalami gangguan mood, tingkah laku yang pelik, syak wasangka yang keterlaluan dan gangguan tidur. Kecenderungan mereka yang mengalami masalah ini juga terlalu rendah, iaitu 1 dalam setiap 50,000 kelahiran. 

Menurut Dr. Nor Hayati, seorang pakar psikiatri di Hospital Kuala Lumpur, secara biologinya, wanita lebih mudah terdedah dan mengalami kemurungan walaupun mereka tidak hamil. Sepanjang kehamilan, paras hormon wanita meningkat pada paras yang tinggi. Sebaik saja malahirkan anak, paras hormon progestron dan estrogen ini akan menurun secara mendadak. Terdapat segelintir wanita yang sensitif kepada perubahan hormon ini, lalu menyebabkan mereka mengalami rasa sugul dan kemurungan. 

Sebahagian besar wanita menyemai persepsi bahawa status menjadi ibu adalah satu detik paling indah dan cukup menggembirakan. Sebaliknya, tidak ramai yang menyedari bahawa apabila telah mempunyai anak, ia menuntut banyak perubahan, pengubahsuaian dan pengorbanan. Kehidupan dengan kehadiran orang baru sebenarnya sesuatu yang mencabar, penuh dengan tekanan dan kita mula mempelajari banyak perkara baru.

Pada ketika ini, wanita juga mengalami banyak perubahan fizikal dan emosi semasa hamil dan selepas melahirkan. Perubahan ini, secara tidak langsung menyebabkan ibu-ibu baru ini berasa sedih, resah, keliru, terasing dan sebagainya. Sehubungan itu, bakal-bakal ibu dinasihatkan supaya membuat persediaan mental melalui pembacaan, berkongsi pendapat dengan keluarga serta rakan-rakan.

Secara umum, selain meroyan, gangguan mental yang berlaku selepas bersalin terbahagi kepada :

Rasa sugul (postpartum blues - PPB )

Rasa murung (postpartum depression - PPD )

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mendefinasikan tempoh postpartum ini sebagai 6 minggu pertama selepas bersalin.

POSTPARTUM BLUES

Kesugulan yang dialami ini dikategorikan sebagai masalah gangguan mental yang paling ringan. Boleh dikatakan, ia berlaku kepada hampir sebahagian besar wanita yang baru pertama kali menjadi ibu.

Ketika dalam pantang antara gejalanya wanita terbabit sering menangis, rasa resah, mudah tersinggung, mengalami gangguan tidur dan mood yang tidak menentu.

Gejala ini biasanya bermula antara 3 atau 4 hari selepas bersalin. Biasanya gejala ini akan hilang seminggu kemudian. Bidan atau jururawat desa dapat membantu mengenal pasti gejala-gejala yang dialami ini.

POSTPARTUM DEPRESSION

Ia berlaku selepas bersalin, tanpa mengira anak yang ke berapa. Gejalanya tidak banyak dengan sugul selepas bersalin tetapi lebih berat.

Gejalanya dapat dikenal pasti antara 3 hingga 9 bulan selepas bersalin. Terdapat juga wanita yang mengalami PPB melarat hingga menjadi PPD. PPD menyebabkan wanita terbabit gagal menjalankan rutin hariannya. Wanita yang berisiko mengalami PPD ini biasanya mempunyai sejarah dan gejala kemurungan semasa hamil.

Wanita yang pernah mengalami gejala ini selepas melahirkan anak sulung berisiko untuk mendapatnya apabila melahirkan anak yang seterusnya.

Sebaiknya dapatkan sokongan suami dan keluarga untuk mendapatkan rawatan sewajarnya. PPD, dikategorikan sebagai satu gangguan yang serius. Pesakit boleh dirawat dengan ubat-ubatan dan kaunseling.

 

hpa produk intibah petua diagnos penyakit artikel beli keahlian cadangan
Hosted by www.Geocities.ws

1