TUKANG SI TUKANG
Oleh:
Abdul-Hamid Ahmad
 

    Pernahkah anda mendengar bunyi si burung tukang? Saya teringat kisah semasa kecil lebih dua puluh tahun yang lalu. Ketika duduk di tangga rumah sambil berpangku di peha datuk, kami sama-sama mendengar titikan suara burung tukang. Datuk bercerita: bahawa burung tukang sebenarnya sedang sibuk bertukang, membina rumah tetapi tidak pernah siap-siap hingga ke hari ini. Semenjak ia wujud sampailah sekarang, setiap malam burung tukang terus bertukang. Bahkan pada malam esok, lusa, tulat dan tungging, si burung tukang akan terus bertukang juga, menggodam dan menukul rumahnya yang tak pernah siap.

Daripada sudut pandangan yang lain, burung tukang atau nama saintifiknya (Caprimulgus macrurus), adalah sekeluarga dengan burung taptibau yang sering bertingkah suara pada waktu senja. Seperti taptibau, burung tukang bukanlah burung yang boleh bermegah dengan warna menarik seindah warna ekor dan jambul merak, semerah dada burung pacat atau sehening kehijauan kepak teripos. Bahkan burung tukang tidak perlu mempunyai warna secantik itu kerana ia hanyalah makhluk penyeri malam. Menyerikan setiap malam yang gelap bumin itu dengan bunyinya yang kuat dan nyaring: kang! kang! kang! Sehinggalah burung tukang hanya dikenal pada suaranya, bukan pada rupanya.

Namun sejauh mana kita mengenal warisan penyeri malam ini? Burung tukang bersarang di atas tanah. Warna bulu pelepahnya yang kelabu coklat dan berbirik-birik menyebabkan ia sukar dibezakan ketika berada di celah-celah daun kering. Hanya ketika kita melangkah terlalu hampir dengan tempat rehatnya (ada kalanya hampir terpijak) barulah ia kelam-kabut terbang dan ketika itu jugalah kita akan terperanjat dan terpinga-pinga kerana pertemuan yang tidak disangka-sangka itu. Apa lagi kalau tempat di mana kita menemuinya adalah satu tempat yang tidak pernah kita sangka akan dihuni oleh burung tukang. Burung tukang adalah burung yang menghuni kawasan pinggir hutan dan kawasan kampung. Tetapi anda tentu tidak menyangka akan melihatnya bersarang di pasir pantai!

Hakikatnya, itulah yang terjadi. Ketika beberapa orang pekerja di Taman Pulau Tiga sedang membersihkan kayu-kayu di tepi pantai, mereka terserempak dengan seekor burung tukang yang sedang berehat di sarangnya sambil mengeram sebiji telur. Kulit telurnya berwarna sedikit perang, berbintik kasar serta halus. Besarnya hampir sama dengan telur puyuh yang banyak dijual di pasar. Demikianlah prinsip ekologi bertindak: ketika beburung lain di hutan tanah besar mengkhusus untuk mengelakkan persaingan dengan haiwan lain, haiwan di pulau nampaknya lebih fleksibel dalam pemilihan habitat. Sehingga burung tukang yang biasanya ditemui di pinggir hutan boleh bersarang di tepi pantai apabila berada di pulau. Ringkasnya, di pulau, persaingan antara haiwan menjadi rendah (kerana kepelbagaian yang rendah) dan mereka lebih bebas memilih gaya hidup.

Keesokkan harinya ia bertelur sebiji lagi menjadikan jumlahnya dua biji. Kemudian ia mula mengeram. Sepanjang siang dan sebahagian besar daripada waktu malam, ia duduk di sarangnya sambil matanya tertutup separuh. Kadang-kadang mulutnya terbuka sedikit sambil kepalanya terdongak ke atas, seolah-olah kerja mengeram telur ini adalah satu kerja yang amat berat dan menyiksakan. Ya, memang kerja mengeram telur ini satu kerja yang berat dan menyusahkan.  Mesti duduk di sana biar telur sentiasa suam, biar terus berkembang sampai menetas. Lagi pula, kalau tidak dijaga, telur-telur itu pasti akan dicuri oleh tikus, biawak atau monyet yang memang gemar mencuri telur apa saja, apa lagilah kalau tidak dijaga.

Namun saya semakin sangsi untuk memanggilnya burung tukang. Melihat kepada bentuk "sarang" tempat ia bertelur, kesangsian itu menjadi semakin menebal. Masakan tidak? Burung tukang tak pernah bertukangpun! Sarang burung tukang bukanlah sarang dalam ertikata yang sebenar. Ia bertelur terus di atas pasir! Ya, tanpa daun, tanpa lapisan bulu. Tiada alas apa-apapun!. Lalu bagaimana kita akan memanggil tempat bertelur ini sebagai sarang yang telah dibina oleh seekor tukang?

Begitulah tukangnya si tukang. Sekali imbas dan dua kali imbas, ternyata amat tepatlah simpulan bahasa "indah khabar dari rupa". Tukang yang disangka mahir, cuma pandai menuturkan bunyi penggodam dan penukul saja.

Demikianlah secarik kisah yang mendewasakan pengalaman. Hutan, sungai, laut dan pulau yang diwariskan dengan segala keindahan warna dan kewangian puspa; yang diiramakan oleh pekikan satwa dan unggas, tetap menggamit dan melambai untuk diinsafi. Untuk direnung dan dinikmati. Agar kita lebih mengerti betapa luas dan agung warisan anugerah Ilahi di bumi keramat ini. Ketika arus kemodenan semakin mengecil dan memencilkan warisan ini, kita mungkin tidak akan peduli di saat si tukang sudah tidak bertukang lagi.

September 1998
Pulau Tiga, Sabah
 

 KEMBALI KE ARTIKEL
HOME
Hosted by www.Geocities.ws

1