Tinggal Kenangan bukanlah tajuk sebuah artikel pantun atau sajak. Ia sememangnya sebuah kenangan bagi kami sekeluarga. Kisah ini bermula pada tahun 1975, ketika aku dalam darjah satu di Sekolah Kebangsaan Astana Raja, Kota Negeri Sembilan. Adikku Mahmud yang lahir dua tahun selepas aku, bersekolah TADIKA di Balai Raya Kampung Semerbok, kampung kelahiran kami. Mahmudlah ahli keluarga kami yang pertama masuk sekolah TADIKA. Sebelum itu belum ada sekolah TADIKA. Antara kawan-kawan Mahmud di sekolah itu adalah Jiri anak Cikam yang tinggal dekat Masjid. Gurunya adalah Ustazah Sawiyah, orang Kampung Sawah Raja, yang juga ada bau-bau bacang dengan kami. Ustazah ini suaranya sengau-sengau sikit tetapi baik dan disukai oleh Mahmud. Pulang dari sekolah satu hari, Mahmud sudah mula mengeja,
"Lam Alip Ya Ngo angka dua, layyang-layyang..." katanya sambil meniru sengau-sengau Ustazah Sawiyah. Kami selalu ketawa terutamanya omaklah.
Tak lama kemudian, ada sebuah lagi lagu yang aku kira dinyanyikan juga oleh kanak-kanak di TADIKA lain. Lagunya begini:
Peladang
dalam ladang
Peladang
dalam ladang
Heho
dideyho! peladang dalam ladang
Peladang
bawa isteri
Peladang
bawa isteri
Heho
dideyho! Peladang bawa isteri
Isteri
bawak anak
Isteri
bawak anak
Heho
dideyho! Isteri bawak anak
Anak
bawak kucing
Anak
bawak kucing
Heho
dideyho! Anak bawak kucing
Kucing
tangkap tikus
Kucing
tangkap tikus
Heho
dideyho! Kucing tangkap tikus
Tikus
sudah mati
Tikus
sudah mati
Heho
dideyho! Tikus sudah mati
Peladang
suka hati
Peladang
suka hati
Heho
dideyho! Peladang suka hati
Mahmud akhirnya bertugas sebagai seorang ustaz di Sekolah Kebangsaan Jeroco, Lahad Datu sejak Ogos 1997. Pada awal tahun 1999, dia berpindah pula ke Sekolah Kebangsaan Pekan III Lahad Datu dan mengajar di sana bermula bulan Januari 1999. Bulan Mei 1999 menyaksikan sebuah kenduri kawin terbesar yang pernah diadakan di rumah kami. Hari itu Mahmud mendirikan rumahtangga dengan Ustazah Siti Norlaila Wahab, rakan semaktabnya ketika di Maktab Perguruan Batu Rakit, Terengganu. Oleh kerana proses perpindahan Laila belum selesai, Mahmud lebih dahulu kembali ke Lahad Datu setelah cuti sekolah tamat. Mereka berpisah buat sementara. Aku sempat bertemu dengan Mahmud selama 40 minit sementara menunggu kapalterbang ke Lahad Datu. Entah di mana silapnya, proses pertukaran Laila begitu lambat selesai. Sehinggalah bulan September 1999, ketika hampir cuti sekolah, Mahmud bercadang untuk membawa Laila datang ke Sabah dan melawat Pulau Tiga tempat aku bertugas. Hanya 3 hari sebelum datang ke Pulau, Mahmud tiba-tiba mengubah rancangannya dan pulang ke Seremban untuk menghabiskan cuti sekolah selama seminggu itu bersama Laila. Di sana, Mahmud beberapa kali pergi ke Pejabat Pendidikan Negeri di Seremban untuk menyelesaikan perpindahan Laila. Tamat cuti sekolah, Mahmud kembali lagi ke Sabah, juga tanpa Laila.
Pada Khamis, 22 Oktober 1999, keadaan seperti hari-hari yang lain juga. Aku berada di Banjaran Crocker, menyertai ekspedisi saintifik. Pagi itu aku berkeras untuk pulang ke Kota Kinabalu pada hari Jumaat kerana harus kembali ke Pulau Tiga pada hari Ahad. Banjaran Crocker jauh dan tiada kemudahan komunikasi. Malam itu Laila menalipon Ustaz Nasir di Lahad Datu agar menyampaikan pesan kepada Mahmud bahawa surat perpindahan sudah tiba dan minta tengok dapat sekolah mana. Oleh kerana mereka akan bertemu di sekolah pada esoknya, Nasir tidak pergi ke rumah Mahmud malam itu. Di rumah, Omak sedang menidurkan anak buah kami Nabila. Sambil menghayun buaian, omak menyanyikan lagi Peladang Dalam Ladang sampai tamat dan Nabilapun tidurlah. Di Lahad Datu, Mahmud sendirian di rumahnya.
Jumaat, 23 Oktober, pagi yang sangat dingin di Crocker. Aku bertolak ke Kota Kinabalu petang itu dan bermalam di sana. Ketika berada di bilik hotel, Lili menalipon, suaranya sayu. Rasanya panggilan itu tak akan kulupa sampai bila-bila.
"Bang,
abang jangan terperanjat..."
"Hmm..
kenapa?
"Ni,..
Lili nak bagi tau ni,... Mahmud dah tak ada dah..."
Aku
terdiam lama.
"Dia
meninggal..."
Aku
tak ingat apa lagi yang dikatakan oleh Lili pada malam itu. Rasanya seperti
tidak penting dan tidak mungkin. Manakan mungkin? Pun begitu, aku masih
bertenang dan berdoa kepada Allah agar rahmatNya tercurah kepada Mahmud.
Begitulah.
Mahmud meninggal dunia sendirian di bilik tidurnya pada malam Jumaat itu.
Nasir yang menjumpai jenazahnya di katil pada malam Sabtu. Berkat pertolongan
rakan-rakan, kenalan dan masyarakat Islam di Pekan Lahad Datu, urusan membawa
pulang jenazah adikku itu sempurna dan kami sampai ke Semerbok jam 12.30
awal pagi Ahad. Setelah disembahyangkan sekali lagi di rumah kami, Mahmud
kami hantar ke makam yang sememangnya tidak jauh dari rumah kami. Laila
sudah menanti di sana. Biarlah perincian perasaanku ketika itu kusimpan
sahaja buat masa ini. Dinihari itu, Mahmud kami turunkan ke tempat semadinya,
perlahan-lahan. Kemudian kami ratakan tanahnya, dan kami pacakkan nisan
kayu berbalut kain putih di atasnya. Ramai sungguh yang membantu. Alhamdulillah.
Kemudian kami duduk di sisi pusara Mahmud. Abah yang membacakan talkin
dinihari itu.
"Wahai
Mahmud, anakku sayang...
Wahai Mahmud, anakku sayang..."
Ah!
pasti takkan kulupa talkin abah itu. Suara abah tenar membelah kesunyian
dinihari dan kami kemudiannya berdoa, lalu perlahan-lahan kami tinggalkan
Mahmud di situ.
Sempurnalah tugas kami, sekadar menunaikan amanah fardhu kifayah untuk adikku itu. Di sana, Mahmud bersemadi bersama Atuk, Ongah, PakTeh dan anak buahku Nur Faizah yang meninggal sewaktu belum mengerti apa-apa. Di sana mereka sedia menunggu ketibaan kami dan pastilah kami akan mengikuti jejak langkah mereka, InsyaAllah. Dan setiap pemergian itu akan tinggal menjadi kenangan orang-orang yang menyaksikannya.
