TAMBUN! TAMBUN! TAMBUN!
Oleh:
Abdul-Hamid Ahmad
 

Kata orang tua-tua; jauh perjalanan luas pengalaman. Namun ada kalanya pengalaman baru tidak menuntut perjalanan yang terlalu jauh, apatah lagi kalau cuma untuk melihat khazanah warisan di tanahair sendiri yang selama ini belum pernah kita temui. Catatan pengalaman ini mendedahkan satu lagi warisan alam semulajadi yang menakjubkan.

Kira-kira 50 kilometer ke baratdaya Kota Kinabalu terletak sebuah pulau seluas 600 hektar yang dikenali sebagai Pulau Tiga. Ia adalah pulau terbesar antara tiga buah pulau yang membentuk Taman Pulau Tiga; masih tidak terganggu dan tidak terusik pohon-pohon kayunya meskipun pernah beberapa kali terbakar. Kebakaran paling buruk terjadi sekitar tahun 1930an hingga memusnahkan hampir separuh pulau ini. Terdapat juga rintis yang dibuat mengelilingi pulau di samping beberapa rintis yang turut dibuat merentas hutan di tengah-tengahnya.

Ketika berjalan sepanjang pantainya yang bersih dan indah itu, sekali-sekala saya meninjau ke dalam hutan berhampiran. Di sana kelihatan beberapa buah busut besar dan kecil. Bukan busut jantan atau betina. Bukan juga busut milik sang semut atau anai-anai. Malah bukan kepunyaan binatang yang saya tahu membina busut dalam hutan di Malaysia tercinta ini. Itu busut burung. Begitu kata renjer yang menemani saya. Bagaikan tersalah dengar, saya tanyakan semula: busut burung?

Ya, percaya atau tidak, sememangnya busut-busut itu hak punya burung. Mari kita ke Pulau Tiga sekarang ini dan boleh intai kalau tidak percaya! Burungnya tidaklah begitu besar, kecil sedikit sedikit daripada ayam kampung. Penduduk yang tinggal di pulau-pulau sekitar Sabah menyebutnya ayam tambun atau ayam menambun. Beberapa suku kaum di Filipina pula menyebutnya tavon. Digelar begitu kerana tabiat ayam ini yang akan mengais pasir, tanah, kayu dan ranting reput untuk membina busut. Busut itu berbeza saiz, ketinggian, bahan binaan serta kedudukannya. Ada yang ukurlilitnya cuma dua setengah meter tapi ada juga yang mencapai ukurlilit hampir 40 meter. Sesetengahnya landai tidak sampai setengah meter tetapi ada yang betul-betul membukit sehingga hampir dua meter tingginya. Bergantung kepada jaraknya daripada pasir pantai, bahan binaan busut itu turut akan berubah. Jika dekat dengan pantai, busut banyak mengandungi pasir dan warnanya juga cerah. Yang agak jauh dari pantai banyak mengandungi tanah dan habuk kayu maka warnanya menjadi coklat kehitaman. Lalu? Untuk apa busut ini dibina?

Kisahnya bermula bilamana seekor ayam tambun jantan berkenalan dengan ayam tambun betina dan mereka berjanji untuk sehidup-semati (menurut kajian saintifik, ayam tambun mengamalkan konsep monogami). Pasangan itu akan ke sana ke mari, mencari makan dan berehat bersama-sama. Juga akan berganding sayap mengais dan membina busut. Menghairankan, terlalu menghairankan, bagaimana burung kecil tidak sampai sekilogram itu dapat mengais pasir dan membina busut besar yang berat pasirnya tidak kurang 3 tan! Tepat benarlah pepatah Melayu; sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit. Rupa-rupanya pasangan ayam tambun ini mula mengais sedikit demi sedikit, kadangkala setiap hari, kadangkala di selang pula dua atau tiga hari. Ada masanya mereka menghabiskan masa sehingga 5 jam dalam sehari.

Maka mengaislah pasangan itu sehingga kira-kira sembilan bulan lamanya. Apabila sampai saat dan ketikanya, burung betinapun gelisah untuk bertelur. Kalut-kalut ia menggali sebuah lubang yang dalam menuju ke pusat busut. Burung jantan pula, dengan kejantanannya, memandang awas ke kawasan sekeliling hingga terginjat-ginjat kakinya dan tercangak-cangak lehernya. Burung betinapun bertelurlah dan lubang itu dikambus bersama. Dalam masa beberapa hari beberapa biji telur dikeluarkan. Tetapi bagaimana telur-telur itu akan menetas jika tidak dieramkan? Bukankah setiap burung yang bertelur mesti mengeram? Bagaimana…bagaimana?

Ternyata kais ayam tambun bukan sebarang kais. Busut bukan sembarangan. Harus lengkap ramuannya. Cukup bahan organiknya, sesuai nisbah pasir, tanah dan lembapannya. Begitu amalan ayam tambun turun-temurun. Bahkan harus diperiksa suhunya! Kata para saintis yang mengkaji busut ini, semua busut mempunyai suhu dalaman yang malar 34 darjah Celcius. Pelik tetapi benar, burung yang namanya ayam tambun ini bijak sekali menggunakan haba yang terhasil daripada proses pereputan bahan organik dalam busut itu untuk “mengeramkan” telurnya. Tidak cukup begitu, setiap pagi atau selang dua atau tiga pagi, pasangan ayam itu akan sama-sama memeriksa busut. Dikais agar kekal gemburnya (supaya cukup aliran udara), ditambah daun dan ranting reput (jika suhu terturun), dikais pula sampah di atas busut (jika suhu terlebih naik).

Semakin lama telur “tereram”, semakin kurang pula pasangan itu memeriksa busutnya. Sehinggalah pada suatu ketika, kira-kira tiga bulan selepas ditelurkan, menetaslah anak-anak ayam tambun ini di dalam busutnya. Sebaik menetas, anak ayam ini akan mula menendang dan mencakar ke atas sehingga keluar daripada busut tempat ia “dieram” selama ini. Berbeza dengan anak-anak burung yang lain, anak ayam tambun tidak pernah kenal induknya. Malah mereka tidak perlu kenalpun kerana di saat ia tiba di permukaan busut, ia lantas terbang dan mencari makan sendiri-sendiri. Berdikari. Rupa-rupanya dalam hidup ini ada macam-macam cara untuk berjaya. Lihat saja si ayam tambun. Jika betul usahanya dan terancang kerja-kerjanya, masih boleh berjaya biarpun agak ganjil cara-caranya.

Demikian secebis kisah yang terjadi di bumi warisan keramat ini. Di Malaysia, ayam tambun hanya ditemui di negeri Sabah sahaja, itupun cuma di beberapa buah pulau. Tidak ada di negeri lain. Ayam tambun yang ada di Malaysia adalah sebahagian daripada populasi ayam tambun yang banyak terdapat di kepulauan Filipina. Cuma di Pulau Tiga sahaja ayam tambun ini dilindungi dalam kawasan taman negara. Di pulau-pulau lain yang bukan taman negara, busut-busut yang dibina sekian lama itu di korek dan telur-telur yang ada di dalamnya dicuri untuk dimakan atau dijual. Tidak cukup lagi, burung-burung dewasa ditembak, dijerat dan diperangkap pula. Tidak cukup lagi, kawasan tempat bertelur itu dibakar dan ditebas sehingga tidak ada lagi tempat untuk bertelur. Akan terwariskan ayam tambun kepada anak-cucu Malaysia?

Januari 1999
Pulau Tiga, Sabah

 
KEMBALI KE ARTIKEL
HOME
Hosted by www.Geocities.ws

1