AIR MATA PENYU
Oleh:
Abdul-Hamid Ahmad
 

Penyu menangis siapa yang tahu?
Hmm... tiada siapapun yang tahu apa sebabnya, lebih daripada itu, tiada siapapun peduli jika penyu benar-benar tahu menangis. Menangis atau tidak, sama saja. Siapa mahu tahu? Hari ini kita masih makan nasi macam biasa. Tak ada apa-apa yang asing jika penyu menangis bukan? Penyu, oh penyu. Sudah tiada sesiapakah lagi yang kasihan padamu?

Sebenarnya saya tidak bermaksud untuk menjadikan artikel ini bernada puitis. Jauh sekali untuk menjadikan ruangan ini sebagai pentas sajak atau seloka. Saya ingin mencatat pengalaman yang boleh dikongsi dan diinsafi, sekurang-kurangnya oleh diri sendiri. Inilah secebis kisah yang ingin saya coretkan buat tatapan para pembaca agar kita lebih kenal harta warisan yang kita sama-sama miliki. Kisah ini kisah penyu. Ya, penyu itulah! Binatang ganjil, yang saling tak tumpah haiwan pra-sejarah yang masih bertahan menongkah kepupusan.

Seperti manusia yang bersuku dan berbangsa, penyu juga begitu. Di perairan kita di Malaysia, ada empat jenis penyu; penyu belimbing, agar, lipas dan sisik. Penyu belimbing begitu terkenal kerana saiznya yang besar. Tubuhnya juga berat. Lebih tiga tan kadang-kadang. Telurnya besar, sebesar bola tenis. Dulu banyak yang mendarat untuk bertelur di Rantau Abang. Kini Rantau Abang hanya mampu menanti ibu penyu belimbing yang kian lenyap. Sabah tidak pula diwariskan dengan penyu belimbing tetapi masih ada agar, lipas dan sisik.

Banyak juga pulau yang menjadi tapak pendaratan penyu bertelur. Di Sabah, sebut saja Pulau Selingan, banyak penyu bertelur di sana. Bila malamnya tiba, ibu penyu akan merangkak, mengheret tubuhnya di pasir pantai. Sesekali berhenti rehat dan merangkak lagi hingga ke hujung pasir yang lepas dari takat pasang perbani. Di situ siibu penyu akan menggali lubang di pasir. Pasir digali  perlahan-lahan, lubang itu pula kemudiannya dibulatkan dan didalamkan sekira-kira tubuhnya sendiri menjadi agak tergantung. Selesai menggali, bertelurlah siibu penyu. Mengenang nasib barangkali, setiap ibu penyu pasti menangis. Berketul-ketul air matanya meleleh lalu jatuh terbenam ke dalam pasir. Selesai bertelur, dikambuslah lubang itu lalu perlahan-lahan siibu penyu merangkak turun ke laut meninggalkan nasib anak-anaknya pada alam. Kasihankah alam pada sang penyu?

Mengenang nasib yang menimpa makhluk warisan bernama penyu ini, patut benarlah jika timbul rasa kasihan. Daripada beratus biji yang ditelurkan dan menetas, hebat sangatlah jika seekor anak dapat hidup hingga dewasa. Laut terlalu banyak pancarobanya. Lantas sudah pastilah ibu penyu yang bertelur itu telah hidup atas kematian beratus-ratus malah beribu penyu yang lain. Atas kejayaan itu, masih perlukah dia menangis? Mengapa tidak? Kerana hari ini mati seekor Agar, esok mati seekor Lipas, lusa mati seekor Sisik. Dosanya cuma kerana ia bertemu manusia ketika ia masih hidup! Mari! Mari kita tengok di pantai-pantai, di pulau-pulau dan arus laut. Bulan lalu seekor Agar terdampar di pantai Papar. Belakangnya dikapak dan dagingnya diambil. Dua minggu lalu Agar yang lain terdampar di Pulau Keraman, Kepalanya hancur. Hari ini seekor Sisik terlentang di Pulau Tiga. Lemas barangkali. Kelmarin seekor Lipas kering di Pulau Mengalum. Sudah dipanggang orang di tepi pantai! Cuba tanyakan pada manusia; Pasal apa penyu itu mati? Kata manusia itu; Ah! penyu itu memukul kepalanya sendiri!

Pengalaman di Pulau Tiga selama dua tahun ini sudah cukup memilukan. Penyu mati tiap-tiap bulan. Leher patah, kepala bersepai, badan terbelah, ada yang dibakar dan di makan begitu saja. Ada yang mati lemas. Lemas? Jangan hairan. Penyu akan mati lemas jika terperangkap dalam pukat tunda terlalu lama kerana tidak dapat timbul menghela nafas. Diterpa maut dalam keadaan yang sungguh tersiksa.

Entahlah! Pabila melihat air laut membiru laksana batu manikam, lagi jernih indah dan mempersonakan, saya masih bisa merenggut ekor kekejaman yang bersembunyi di sana. Rupa-rupanya manusia tidak sudi diwariskan dengan penyu. Lalu penyu akan merayu dan merayu agar diberikan kesempatan secubit waktu. Cuma secubit waktu! Sungguh, bila berdetak jantung Si Penulis itu, beribu titisan tinta mendayu-dayu; Oh manusia, janganlah hatimu sekeras batu. Namun segeluk tinta masih gagal menghurai seketul air mata penyu.
 

Februari 2000
Kuala Penyu, Sabah.
 

KEMBALI KE ARTIKEL
HOME
 
Hosted by www.Geocities.ws

1