Hatinya berdebar-debar.
Masakan tidak! Dilihatnya payau itu terkial-kial melawan arus sungai Segama
yang deras. Arus sungai Segama waktu-waktu hujan lebat begini memang deras.
Malah bukan saja deras tapi deras dan kabut. Ditambah pula dengan hanyutan
batang-batang kayu besar dan kecil. Segala daun dan ranting berceranggahpun
turut serta bergolek-golek dalam tubuh air yang menerpa tidak tertahan-tahan
itu. Belum lagi dikira jerkahan-jerkahan kepala air yang baru. Ini bukan
boleh dijangka-jangka sebab legeh Segama ini luas benar. Hujan yang turun
pula bukannya rata. Sana setompok sini setompok. Anak Segama yang kena
hujan akan menambah kekuatan ibunya apabila airnya sampai ke tubuh Segama.
Di situ nanti muncullah kepala air baru yang akan menjerkah apa saja yang
ada di sepanjang Segama yang berliku-liku itu. Kalau payau itu yang kena
jerkahan kepala air tentulah kelam kabut dibuatnya. Sekarang inipun nampaknya
payah benar ia menokok jarak.
“Betul kau nak terjun?”
Diam.
Soalan Kilos macam mencabar kejantanannya. Bukan sekali dia terjun dan
menangkap anak-anak babi yang sedang menyeberang sungai. Bukan juga sepuluh
kali bahkan sudah berpuluh tahun dan sudah hampir beratus anak babi yang
ditangkapnya. Itupun bukan di sungai lain. Di Segama inilah. Rupanya kau
belum nampak kebolehanku Kilos. Kau tengoklah nanti. Mahu saja diyakinkannya
Kilos dengan kata-kata itu. Tapi ini bukan babi. Bukan juga anak babi.
Ini payau jantan. Tanduknya sudah bercabang tiga. Kalau luruh tanduk yang
ini tentu tumbuh tanduk bercabang empat pula. Payau jantan sedang naiklah.
Kalau diikut-ikut pengalamannya memburu, daging payau sedang naik memang
segar. Tidak liat. Tidak juga lembik. Sedang-sedang eloklah.
“Hai sekejap lagi sampai ke tengahlah tu. Barangkali sudah letih payau
ni!”
Ucapan Judin macam menyuruhnya segera terjun. Memang payau sudah hampir
ke tengah. Tapi kalau dikira-kira, masih jauh lagi untuk sampai ke tebing
sebelah sana. Betul juga kata Judin. Perlahan betul payau itu berenang.
Barangkali lebih perlahan dari renangannya sewaktu ia mula-mula terjun
ke tubuh Segama tadi. Mungkin juga arus di tengah sana lebih laju dari
arus di tepi maka payau itu lebih payah menongkah arus. Dia berenang lebih
laju dari itu. Yang ini dia cukup yakin. Siapa tidak kenal Taran? Anak
jati Kuala Segama.
Taran memang boleh berenang lebih laju dari payau itu, malah lebih laju
dari Judin dan Kilos. Kalaupun payau itu sudah hampir ke tebing seberang
sana, masih sempat dibubutnya. Waktu anak taukeh Chan lemas di Segama lima
tahun lalu siapa yang menyelamatkan? Waktu senapang dua laras kepunyaan
taukeh Chan jatuh ke dasar Segama sewaktu memburu kijang siapa yang menyelam
dan memberi semula senapang itu kepada taukeh Chan? Akulah. Taran, anak
jati Kuala Segama.
Nafasnya ditarik panjang-panjang. Jari-jemarinya menggenggam dan mengepal-ngepal
buku lima seolah-olah mencari semangat tambahan. Tangan kirinya meraba
ke pinggang sebelah kiri. Di sana ada parang kesayangannya. Hulu tanduk
payau itu mengingatkannya kepada Nyaoi yang menghadiahkan parang itu sebelum
dia pulang ke Sibu. Hulu parang itu digenggam kemas-kemas. Cukup sekali
tetak pasti tengkuk payau akan terkulai. Mata parang ini memang sudah
tajam. Pagi tadi sudah diasahnya dan sudah dicubanya pada kuku ibu jari
tangan kirinya. Dia masih ingat melihat habuk-habuk kukunya luruh apabila
mata parang itu dikikiskannya pada kuku. Memang sudah tajam. Ketajaman
mata parang itu bukan persoalannya. Matanya menyorot ke arah payau yang
masih terkial-kial meranduk air. Tanduk cabang tiganya berceranggah ke
kiri dan ke kanan. Kepalanya diangkatnya dan hidungnya nampak terdongak
sedikit supaya tidak terkena air. Matanya liar seolah-olah ia sediri tidak
yakin dia boleh sampai ke seberang.
“Mari kita tengok pancing Los”
Kilos berundur sedikit ke belakang. Judin sudah dua langkah di belakang
Taran. Sial kau Judin! Kau tidak percaya aku dapat menangkap payau itu?
Kau tengoklah nanti. Kalau bukan makan daging payau salai malam ini jangan
panggil aku Taran.
“Mengapa tidak terjun sekarang?”
Taran cuba meneliti suara siapa yang bertanya itu. Bukan suara Judin. Bukan
juga suara Kilos. Itu suaranya sendiri. Cukup jelas di hatinya persoalan
itu dan dia cukup sedar bahawa sudah lama dia memerhatikan payau yang terkial-kial
melawan tolakan arus Segama. Ya, mengapa belum terjun lagi? Kalau benar
anak jati Kuala Segama, mengapa tidak terjun dan tetak saja tengkuk payau
itu?
Arus deras Segama tetap deras. Hujan lebat malam tadi benar-benar menampakkan
kesannya pagi ini. Tentulah pohon-pohonan besar dan kecil yang berjejer
di sepanjang ke dua-dua belah tebing itu yang meluruhkan daun-daun dan
ranting-rantingnya ke tubuh Segama. Daun-daun mati dan ranting-ranting
kayu kelihatan timbul-tenggelam dalam air keruh macam air teh susu itu.
Aliran deras itu menimbulkan pula riak-riak dan ombak kecil yang mengunjur
dari tebing sebelah kiri dan kanan. Riak-riak itu bertemu di tengah-tengah
sungai menjadi bentuk cabang lastik. Di titik-titik pertemuan itu
terbentuk riak yang lebih besar dan berpintal-pintal menimbulkan buih dan
bunyi. Di permukaan air pula kelihatan gelombang-gelombang yang timbul
dari dasar Segama. Tentu arus di bawah permukaan juga deras. Tentu juga
dasar Segama ada batu-batu besar. Bila arus deras melanda batu-batu besar
itu terjadilah gelombang-gelombang yang akhirnya timbul di permukaan air.
Payau itu sudah hampir benar ke tengah sungai. Daun-daun mati itu ada yang
melekat pada lehernya. Ada sehelai melekat pada telinga kanan payau. Serta-merta
telinganya merenjis-renjis lantas tertampar ke mukanya beberapa kali. Kelepap!
Kelepap! Kelepap! Dan daun itu tercampak ke permukaan air lalu terus mengikut
aliran Segama lagi.
“Mengapa tidak terjun sekarang?”
Sekali lagi Taran
menyoal dirinya sendiri. Takutkan aku ini? Masakan! Apa yang hendak ditakutkan?
Sungai dan arusnya yang deras itu sudah jadi sebahagian hidupku! Aku besar
dan dewasa bersama sungai inilah. Aku hidup dan makanpun bersama sungai
ini juga. Apa yang hendak ditakutkan?
Kalau kepala air baru datang menjerkah bagaimana? Kalau ranting besar menyentak
kaki dari bawah bagaimana? Kalau di bawah ada air berpusar dan menyedut
ke lubang bawah tanah bagaimana? Kalau ada lipan bara terapung dan hinggap
lalu menggigit sewaktu sedang berenang bagaimana? Kalau payau itu tiba-tiba
berenang laju bagaimana? Ah, tentu tidak. Mana boleh payau berenang laju?
Dari tadipun begitulah juga renangannya. Tidak pernah bertambah laju. Barangkali
bertambah perlahan. Tapi itu bukan persoalannya. Apa persoalannya? Mengapa
masih belum terjun lagi?
Dia cuba menyelami pengalamannya. Memang sudah banyak binatang yang ditangkapnya
sewaktu sedang menyeberang Segama. Pernah satu peristiwa dia merejam babi
jantan besar dengan bujak. Babi jantan besar bukan alang-alang juga. Taringnya
sudah lebih sejengkal. Itupun mudah saja. Tapi payau? Seingat-ingatnya
belum pernah pula dia menangkap payau yang sedang menyeberang Segama ini.
Sudah banyak juga payau yang diburu tapi ditembak saja dengan senapang.
Kadang-kadang ditembak dengan senapang dua laras kepunyaan taukeh Chan.
Kadang-kadang ditembak dengan bakakuk kepunyaan bapanya. Tapi kali ini
lain. Senapang tidak ada. Bujak pun tidak ada. Yang ada cuma parang tajam
berhulu tanduk payau, hadiah dari Nyaoi. Sahlah, ini pertama kali dia cuba
menangkap payau yang sedang menyeberang Segama. Belum ada pengalamanlah.
Tapi apa jadahnya pengalaman? Kalau setakat berenang menongkah arus deras,
usahkan sekali. Sepuluh kali pulang-balikpun dia tahan. Kalau setakat menahan
nafas dalam air, dialah juara. Pernah dia beradu menyelam dengan Judin
dan Kilos tidak lama dulu. Kilos timbul tidak sampai seminit. Judin khabarnya
begitu juga. Payau boleh menyelamkah? Tidak masuk akal! Mana ada payau
yang menyelam? Sekarang inipun payau itu cuba mengangkat tinggi hidungnya
supaya tidak terkena air. Kalau hidungpun tidak boleh terkena air masakan
payau itu boleh menyelam? Tidak. Payau tidak boleh menyelam. Arus Segama
nampaknya semakin menunda payau itu sedikit ke hilir. Yang timbul cuma
bahagian tengkuk ke atas. Gegaran leher dan kepalanya membayangkan betapa
kerasnya usaha payau itu untuk melawan arus Segama yang deras dan ganas.
“Marilah tengok pancing, Los. Payaupun dah jauh...”
Jelas benar Judin menyindirnya. Kau mencabar aku Din? Inilah aku buktikan.
Kau tidak ingat waktu aku memotong renanganmu bila kau sebenarnya sudah
jauh ke depan? Payau itu? Payau itu akan kutetak tengkuknya dan akan kuheret
ke tebing sebelah sini. Kau tengoklah nanti. Di tebing ini sekejap lagi
kau dan Kilos akan sama-sama menarik tubuh payau naik ke darat. Kau tengoklah
nanti. Tengkuknya tentulah sudah terkulai kesan dari tetakan parang tajam
kuini. Kau akan saksikan kehebatan Taran dengan mata kepalamu sendiri.
Kau akan sedar betapa telahanmu itu meleset. Nanti kau akan bawa pulang
daging, hati dan jantung payau itu. Katakan pada anak isterimu payau itu
dibubut oleh Taran ketika sedang menyeberang Segama lalu ditetak tengkuknya
dengan parang berhulu tanduk payau. Dan nanti tanduk payau bercabang tiga
ini akan kugantung di serambi rumahku sebagai lambang kegagahanku. Ini
Taran, anak jati Kuala Segama. Kau tahu itu?
Dia kini merasa sedikit gementar. Jari-jemarinya yang mengepal penumbuk
itu dibuka dan dikepal semula berkali-kali. Ditariknya nafas panjang persis
orang menyedut asap rokok dalam-dalam. Belum pernah dia menangkap payau
dalam air. Keyakinan dirinya sendiripun bukan tinggi sangat. Tapi Judin
dan Kilos sedang menunggu langkahnya. Judin pula menyindir-nyindir kebolehannya.
Sesungguhnya cabaran Judin harus disahut! Biar dia tahu Taran memang hebat.
Biar dia tahu bahawa dia dan Kilos sebenarnya tidak sehebat dan seberani
dirinya. Kilos! Judin! Kamu berdua memang lemah dan pengecut!
Antara yakin dan tidak dia melejang garang ke dalam arus deras Segama.
Burrr! Senyap. Riak bekas terjunannya segera kembang dan berkecai lalu
hanyut ke hilir. Beberapa depa di hadapan dia timbul dan terus mengayuh
tangan dan kaki menuju ke arah payau yang masih terkial-kial di tengah-tengah
sungai. Di pucuk cengal dan meranti, lotong melolong panjang dan bersahut-sahutan
semacam menyaksikan Taran beradu renang dengan payau jantan. Lotong-lotong
terus melolong. Taran terus berenang gagah. Kemas sekali hayunan tangan
dan kakinya. Pantas betul dia menambah jarak. Dari situ sudah kelihatan
bulu-bulu payau yang kasar dan basah. Jelas benar urat tengkuk payau yang
berdenyut-denyut mengikut irama kayuhan kaki-kakinya. Tapi kadang-kadang
penglihatannya diganggu oleh percikan air dari kayuhan tangannya sendiri.
Air yang berkocak sewaktu tangan-tangannya mencecah air sekali-sekala memercik
ke muka dan matanya. Terasa sedikit pedih. Tentu matanya sudah merah sekarang.
Nafas ditarik. Kepalanya sedikit tenggelam pada dua tiga kali kayuh dan
nafas dilepas ke kiri lalu ditarik lagi. Kayuh lagi. Dalam kedinginan Segama,
semangatnya terus membakar. Degupan jantungnya terasa semakin cepat. Gementar
juga kian melarat. Di tebing, Kilos dan Judin melongo sendiri-sendiri semacam
kagum dengan keberanian Taran.
Hanya beberapa depa saja lagi. Terasa tenaganya masih banyak. Kayuhan tangan
dan kaki yang kemas itu terus menundanya ke hadapan dan terus ke hadapan.
Beberapa detik kemudian dia sudah berada di hadapan payau itu. Renangannya
diperlahankan. Gaya renang laju itu berubah menjadi gaya renangan katak.
Kayuhan kakinya dikembang-kuncupkan. Kayuhan tangannya mengipas di bawah
dada sahaja. Diperhatikannya payau itu dari dekat. Dengusan nafas payau
yang kuat itu mengingatkannya kepada payau jantan yang diikatnya bersama
taukeh Chan sebelum parang tajamnya mengelar dalam leher payau yang berdenyut-denyut
itu. Dengusan yang kuat itu kemudiannya bertukar menjadi semburan darah.
Kali ini darah itu akan menyembur lagi dan akan memerahkan air sungai Segama
yang keruh macam teh susu ini. Tetapi tanduk cabang tiga itu! Libasan cabang-cabang
tajam itu menghalangnya untuk mara lebih rapat. Apa lagi dalam keadaan
sekarang ini. Tangan terpaksa mengayuh dan mengapung. Kaki tidak berpijak
di tanah. Alangkah senangnya kalau ada rakit. Dari atas rakit payau itu
tentu saja boleh ditikam semahu-mahunya. Tapi manalah sempat mengikat rakit
ketika payau itu sudah terjun ke air! Usah fikirkan tentang rakit itu!
Mahu diapakan payau ini sekarang? Ditetak tengkuknya? Tidak mungkin. Libasan
tanduknya itu sangat menakutkan. Kalau singgah di daging muka bagaimana?
Kalau singgah hujung runcingnya pada batang leher bagaimana?
“Kenapa tidak dicuba dari belakang?”
Ya tak ya juga. Dia macam mahu berterima kasih kepada dirinya sendiri di
atas cadangan itu. Bukankah segala sesuatu itu boleh diusahakan? Kalau
tidak dapat dari hadapan mungkin boleh diusahakan dari belakang. Di situpun
tubuh payau juga. Apalah sangat kelebihan tengkuk dari perut? Pokoknya
payau itu tumpas. Janji payau itu nanti kecundang di tangannya lalu dia,
Kilos dan Judin akan sama-sama melapah dagingnya untuk disalai. Tapi yang
lebih penting dari itu adalah payau itu bukannya tumpas di tangan
Judin. Jauh sekali di tangan Kilos. Keberanian, kegagahan dan kehebatan
itu akan menjadi miliknya. Ya, milik aku, Taran, anak jati Kuala Segama!
Bersedialah! Sebentar lagi perutmu akan terburai. Segala pucuk dedaun yang
kau makan hari ini akan terbaur bersama air keruh ini. Aku akan saksikan
itu. Kau juga akan sama-sama menyaksikannya malah merasai ketajaman parangku
ini. Memang langkahmu silap apabila terjun ke sungai ketika aku ada di
sini. Di tengah kegawatanmu itu ada keseronokan bagiku. Keseronokan melihatmu
terkial-kial cuba melepasi diriku. Keseronokan menusukkan mata parang ini
ke perutmu. Ada kepuasan yang tidak terperi bila aku merengkuh mata parang
ini ke kiri dan ke kanan. Mata parang ini akan menetas belulang dan dagingmu
dalam beberapa sentapan. Sungguh, keseronokan itu tidak akan dapat dinikmati
oleh sesiapa kecuali aku. Bukan Judin dan bukan Kilos. Alang-alang pengalaman
pertama, biarlah pengalaman ini menjadi pengalaman yang maha hebat. Yang
tidak tertanding kepuasannya bila-bila masa dan di mana-manapun! Kepuasan
itu bermula dengan hunusan parang kesayanganku ini. Mahu minta nyawa? Oh,
minta maaf. Aku ingin menguasai dan memenangi pertarungan ini. Lawanlah
semahumu! Larilah ke mana hendak lari! Denguslah sekuat hatimu dan kayuhlah
selaju keempat-empat kakimu mengayuh!
Dia berenang perlahan-lahan ke arah belakang payau itu. Arah renangan payau
itu sedikit berpusing. Kira-kira dua depa dari tubuh payau itu dia meraba
pinggang kirinya. Tangan kanannya segera terasa hulu tanduk payau dan mata
parang yang tajam tentulah masih tersarung kemas di celah apitan kayu malam
yang menjadi sarungnya. Hulu yang sejuk itu digenggamnya sekemas mungkin
dan terus disentap keluar. Beberapa detik kemudian parang itu sudah terhunus
di tangan kanannya. Dia sendiripun dapat melihat mata parang yang terpacul
dari permukaan air itu. Ini bukan sebarang besi. Besi pegas lori. Sepuhannya
cukup-cukup. Berat dan panjangnya bagai diatur oleh tukang parang khas
untuk kegunaan dirinya. Mata payau terjuling-juling memandang ke sisi.
Dengusan nafas dan kayuhan kaki yang tidak menentu semakin kelam kabut.
Saatnya sudah hampir benar.
Matanya tepat memandang riak air di atas belakang payau. Bahagian mana
yang hendak ditikam? Di perutnyakah? Di dadanyakah? Tangan dan kakinya
dikayuh dengan berhati-hati tetapi gerakan payau yang berpusing-pusing
itu menyulitkan kira-kiranya. Sial kau! Payau jahanam! Suakan perutmu!
Biar kutikam semahuku! Dalam kegawatan itu parangnya tersentuh sesuatu
lalu terlepas. Sepantas terlepasnya parang itu, dia menyelam cuba mendapatkan
kembali parang kesayangannya yang sudah dimiliki oleh Segama.
Dari tebing Kilos dan Judin kini menyaksikan Taran dan payau berenang berpusing-pusing.
Siapa yang bubut siapa? Ah, tentulah Taran yang membubut payau.
“Los, barangkali dia mahu menetak tulang belakang payau”
“Setahu aku, Taran lebih suka menikam. Di rumahnyapun banyak bujak!”
“Tapi itu parang, bukannya bujak!”
“Bujak dan parang boleh menikam juga. Kau tak pernah menikam dengan parangmu
itu?”
“Tetak saja kan lebih senang? Kalau aku jadi dia sudah lama tulang belakang
payau itu putus olehku!”
“Kalau benar kau berani, kenapa tidak kau saja yang terjun tadi?”
“Kau jangan mencabar aku Los, silap-silap menyesal kau nanti...!”
Suasana di tebing itu menjadi tegang. Judin tersinggung benar oleh sindiran
Kilos itu. Mahu saja dihayun penumbuknya biar singgah di muka Kilos. Tapi
ketegangan itu tiba-tiba terputus. Ternyata telahan Kilos dan Judin meleset.
Taran tidak menetak tulang belakang payau. Tidak juga menikam perut binatang
itu. Dia menyelam pula!
“Los, bodoh benar Taran kalau mahu memegang kaki payau di dalam air!”
Kilos menyedari ketololan Judin. Masakan Taran mahu memegang kaki payau.
Apa lagilah kalau dalam air yang deras lagi kabut ini.
“Aku rasa dia nak tikam perutnya dari bawah supaya payau itu tidak sedar
bila dia rapat...”
Yang ini boleh diterima oleh Judin dan memang masuk akallah. Memang lebih
mudah rapat kalau menyelam sebab payau tidak nampak. Lagipun Taran memang
tahan nafasnya. Pernah ketika beradu menyelam Judin timbul mengambil nafas
ketika Taran masih di dalam air lantas menyambung semula pertandingan yang
telah dibatalkannya itu. Namun Taran tetap juara.
Sudah lebih sepuluh detik Taran menyelam. Payau itu masih juga terkial-kial
menongkah arus. Arah renangannyapun kelihatan sudah terarah ke tebing
sebelah sana. Belum ada tanda-tanda kena tikam oleh Taran. Apa lagi yang
ditunggunya di dalam air sana? Persoalan itu mulai menguja fikiran Kilos
dan Judin. Taran mahu memaut leher payau dari bawahkah? Sekali lagi Judin
merantingkan buah fikirannya.
“Din! Taran timbul...!”
“Pengsan barangkali Los!... Cepat tarik dia!!!”
Burrr! Burrr! Kilos dan Judin segera berenang mendapatkan tubuh Taran yang
tidak lagi mengayuh tangan dan kaki. Ketika hampir, nampak oleh mereka
air di sekeliling muka Taran menjadi merah. Warna merah pekat itu perlahan-lahan
bercabang membentuk tali-tali merah yang lembut di dalam aliran air sungai
Segama lalu hilang dalam kebukatan warna keruh yang pekat itu.
Tubuh Taran ditarik naik ke tebing oleh Judin dan Kilos. Dia dibaringkan
menelentang. Matanya berkelip perlahan dan memandang kosong ke langit.
Mata itu semakin kelam cahayanya. Bibirnya bergerak seperti ingin mengatakan
sesuatu. Tiba-tiba tubuhnya membengkok seolah-olah otot perutnya mengecut.
Darah membuak-buak keluar dari mulutnya. Di dadanya ada kesan merah lebam
separuh bulat dan bilur-bilur bekas tendangan kaki payau.
Di seberang sana, payau perlahan-lahan memanjat tebing. Apabila tubuhnya
benar-benar berada di atas tebing Segama, ia berdiri tegak lalu menggegarkan
seluruh tubuhnya dan air yang melekat pada bulu-bulunya terpercik mengenai
daun-daun di tebing Segama. Sebahagian yang lain terpelanting jatuh ke
dalam tubuh Segama sendiri. Percikan itu membentuk corak bulat-bulat kecil
kemudian semakin besar dan hilang. Payaupun berlalu menyusup ke dalam semak-semak
di tebing Segama untuk meneruskan nyawa yang telah diberikan oleh Taran
kepadanya