MUSANGKU MUSANGMU

Aku sedang berada di rumah sekarang ini. Entah mengapa kenangan terhimbau kepada Pak Itammu yang kini sedang bersemadi di Alam Barzakh. Tiada niat untuk mencuit perasaan sedih bahkan sebenarnya hatiku amat riang bila mengenangkan peristiwa yang ingin aku ceritakan ini.
 Peristiwa ini sudah lama berlaku, barangkali sudah hampir tigapuluh tahun kerana ketika itu aku memang masih kecil, belumpun bersekolah lagi. Pak Itammu samalah. Masa itu aku masih lagi berjalan ke mana-mana dengan berkaki ayam. Bukan atukmu tidak belikan aku selipar. Dia belikan. Selalu dia beli. Tapi aku yang asyik terlupa di mana aku letakkan. Biasanya bila sudah lama, baru aku jumpa balik selipar itu. Kadang-kadang jumpa di tepi sawah. Dah kutai-kutai dimakan kolingkiak.
 Aku bukan nak ceritakan pasal kolingkiak (walaupun ada juga cerita ini dalam hidupku) tapi aku nak ceritakan tentang hal musang.
 Kalau tak silap aku, aku baru turun dari bermain sorang-sorang di atas poran rumah lama. Agaknya masih awal pagi. Omak bising-bising.
"Hush, apo nak kau gunokan anak musang tu! Campakkan!" Kata makwanmu sambil buat kerja lain (tak minat la tu).
"Mano anak musang, mak?" Kataku mula mengelintin nak tau.
"Wah batang compodak nuaha."
 Aku segera pergi ke sana. Di situ sudah ada Pak Itammu, membelek-belek dua ekor anak musang yang hitam legam. Anak musang itu mencicit-cicit, agaknya lapar. Pada bulu-bulunya sudah ada berenga. Agaknya sudah lama tidak dijenguk oleh induknya. Matanya berkilat dan sudah besar jugaklah. Tak taulah anak musang apa tapi tentulah musang itu yang selalu makan buah kopayo yang tumbuh di tepi kandang lembu belakang dapur. Tempat itu sekarang ini dah jadi selasa tempat makwanmu selalu jerang gulai dan bakar lemang. Betul-betul tepi pokok langsat dekatpintu masuk ke ladang atuk Amat Kobok tu.
 Pak Itammu bersila. Nampaknya macam tak nak beri aku pegang saja. Kedekut juga Pak Itammu tu dulu! Tapi aku pandailah. Kan aku ni abang? Masa itu aku masih lagi paggil Pak Itammu tu "Adik". Dia panggil aku "Ncik". Lama-lama aku berpakat dengan Pak Itammu nak bela musang itu. Aku bela sekor, dia bela sekor. Dia setuju. Dia beri aku sekor. Kami belai-belai dan gosok-gosoklah anak musang masing-masing. Kami buang telur-telur lalat yang ada pada tubuh, pada ekor dan pada lubang jubur musang itu. Macam anak kucing pulak.
 Lepas tu aku ambil susu dan bancuh. Aku suapkan anak musangku. Pak Itammu suapkan anak musangnya. Tapi anak musang tak mau makan. Entah kenapa akupun tak tahu. Heran juga. Kan susu tu sedap? Lama kami suapkan sampai basah-basah leher anak musang itu dan lama-lama susupun sejuk. Bulu anak musangpun sejuk jugalah. Lama-lama aku tengok anak musangku sudah nampak macam sudah lemah saja. Lepai satu macam. Perlahan-perlahan aku bincang dengan Pak Itammu supaya kami bertukar musang. Musang Pak Itammu nampak masih cergas sikit (pada pandanganku sajalah). Termakan gula-gulaku, Pak Itammu setuju. Dan kamipun bertukar musang. Dia ambil musangku, aku ambil musangnya.
 Pak Itammu tak cakap banyak. Dia lebih banyak meluyukan matanya dan memuncungkan mulutnya sambil mengusap-ngusap anak musangku yang baru dipegangnya. Lama-lama aku tengok musangku yang dipegangnya itu macam cergas pulak sedikit dan aku naik jaki semula. Entah macam mana, Pak Itammu setuju untuk kami bertukar musang sekali lagi! Aku ambil musangku, dia ambil musangnya. Puh! Berhasil juga perundingan diplomatik aku.
 Usap-mengusap musang itu berlangsung lama juga. Kalau tak silap sampai awal petang jugalah. Kami ambil daun cempedak dan buat tempat tidurnya di celah batu besar di pangkal cempedak itu. Batu itu sekarang masih ada, tempat ayam yuk Munir selalu bertenggek itulah. Kemudian perut kami jadi lapar. Kami naik makan.
 Dah petang itu baru kami ingat balik pada anak musang itu. Aku ajak Pak Itammu pergi tengok anak musang. Masa kami kisai daun-daun cempedak itu, kami jumpa anak-anak musang kesayangan kami. Dah jongkeh. Di bulu-bulunya sudah ada berenga semula. Tubuhnya sejuk. Kamipun sedihlah. Aku ingat aku dapat bela musang itu sampai besar macam bela kucing. Pak Itammu ajak aku tanam saja anak-anak musang itu. Aku ambil cangkul tangkai kontot milik makwanmu dan aku galilah lubang tak jauh daripada pangkal cempedak tepat kami main musang.
 Bila aku sudah dewasa ini, dan aku fikir-fikir balik, mungkin musang itu memang tak boleh hidup lagi kerana sudah ditinggalkan oleh induknya. Cuma Allah Taala hendak memberikan kami pahala dan menguji kami. Aku bersyukur juga kerana kami sempat memberikan kasih sayang kepada anak-anak musang itu, walaupun untuk beberapa jam saja. Wahai Mahmud, musangku musangmu jua!
 


     Kuala Penyu,
   23 Mac 2000.

KEMBALI
HOME
 
 
 
Hosted by www.Geocities.ws

1