MAIN

 

ASSALAMUALAIKUM WBTH.
Anak-anak buahku yang sangat aku rindu dan sayang. Apa khabar agaknya di kampung? Cuti sekolah sekarang ini ketika abang dan kakak yang besar sudah habis peperiksaan apa yang mereka buat? Adik-adik yang masih kecil apa yang mereka buat? Mengisai? Hmm... kalau dah tak ada kerja sangat, marilah ke sini dan duduk dekatku ini. Adik kecil mari sini duduk di pangku pakcik. Aku ingin bercerita perihal ketika aku masih kecil dahulu. Ketika itu umurku masih seperti kamu semua. Ini cerita lama, cerita lebih duapuluh tahun yang lampau. Yang nak aku ceritakan pada hari ini adalah tentang perasaan gembira dan hiba yang selalu sahaja hadir di dalam benakku ini pabila kenangan-kenangan lama muncul sekali-sekala dalam ingatan. Aku hendak ceritakan tentang beberapa permainan yang aku mainkan ketika aku masih kecil lagi. Permainan itu kebanyakannya sudah tak ada lagi sekarang kerana dah ramai yang tidak tahu memainkannya. Lagipun sekarang ini terlalu banyak permainan yang lebih mudah dan lebih menyeronokkan kamu semua. Walaupun begitu, bagiku permainan zaman kanak-kanakku itulah permainan yang maha menyeronokkan. Yang tak boleh dilawan oleh segala macam permainan zaman moden yang ada di mana-mana zamanpun.

Ya memang tak banyak permainan yang ada ketika itu. Yang masih aku ingat adalah ketika aku main minyak tar. Sudah aku ceritakan dahulu bagaimana rupanya jalanraya yang pertama dalam kampung kita yang aman damai itu. Tentang tompok-tompok minyak tar yang selalu mengelembung macam penganan kondal di waktu tengahari. Ketika aku tak duduk di rumah, aku akan merayau-rayau sehingga ke jalanraya itu. Di sana aku akan mencungkil minyak tar yang sudah menjadi lembik akibat panahan cahaya matahari. Aku akan patahkan ranting keluduk yang memang banyak tumbuh di sepanjang jalanraya. Sesudah itu aku akan cungkil keluar minyak tar itu dan aku akan uli menjadi bulat. Kemudian aku jadikan pula lebar, panjang, berpintal-pintal, bergulung, bengkok dan lurus. Kemudian aku jadikan macam-macam pula daripada minyak tar itu. Kadang-kadang aku jadikan patung gambar anak kerbau. Lagi aku jadikan anak patung hitam lengkap dengan tangan, kaki dan kepalanya sekali. Kemudian aku uli semula menjadi bentuk bulat. Puas aku bermain dengan minyak tar itu, aku akan humbankan ketulan minyak tar bulat itu ke dalam bondar. Kadang-kadang aku cucuk ketulan itu dengan ranting keluduk dan cacakkan di tepi kubang kerbau.

Sekali peristiwa, selepas aku puas bermain dengan minyak tar di jalan raya, aku menjadi sayang pula kepada ketulan itu kerana minyak tar pada hari itu amat lembut dan mudah dibentuk. Lalu aku ingin menyimpan ketulan itu untuk aku main lagi pada besoknya. Lalu aku masukkan seketul minyak tar ke dalam poket seluarku. Seluar pendekku itu cuma ada sebuah poket di belakang. Lepas itu aku merayau lagi mencari permainan lain. Entah berapa hari lepas itu barulah aku ingat bahawa aku ada menyimpan seketul minyak tar di dalam poketku! Bila aku tengok semula minyak tar itu telah menjadi leper dan penyek di dalam poketku. Malah poketku juga sudah melekat dan tak boleh diisi apa-apa lagi. Minyak tar itupun sudah keras macam batu. Maka kekallah minyak tar itu di situ. Aku masih lagi memakai seluar itu untuk beberapa ketika sehingga seluar itu koyak dan tak boleh dipakai lagi. Dulu aku tak banyak seluar. Bila satu seluar itu koyak dan tak boleh dipakai lagi atau apabila seluar itu hilang dan tak jumpa-jumpa lagi, barulah aku ada can untuk mendapat seluar yang baru.

Namun begitu permainan minyak tar ini terhenti ketika ku sudah besar sikit dan ketika itu jalanraya itupun sudah diturap semula. Dah tak ada lagi tompok-tompok minyak tarnya.

Sekali-sekala kami akan berkumpul beramai-ramai untuk mencipta permainan. Entah bila masa aku tak berapa ingat, satu jenis permainan menjadi amat popular. Itulah permainan yang terkenal dengan nama “main kombet”. Lagi sekejap aku ceritakan tentang permainan ini. Perkataan kombet itu adalah daripada nama satu siri telivisyen yang bernama “Combat” yang selalu budak-budak tengok di rumah Joseh di Logong. Aku sendiri cuma sekali berpeluang menonton cerita kombet ini.

Nak jadi cerita, pada suatu petang, kawan-kawanku merancang untuk ke rumah Joseh pada malam itu untuk menonton cerita kombet. Mereka mengajak aku pergi. Memang aku tak pernah pergi ke mana-mana sesudah malam hari kecuali untuk ke surau hitam di rumah Cuasin. Tapi malam itu ingin juga rasanya untuk ke sana. Untuk mengelakkan rasa bersalah yang keterlaluan, aku ajak Pak Itammu ikut sama. Pak Itammu setuju saja! Maka awal petang lagi kami sudah mengayuh beramai-ramai ke sana. Ada lebih kurang 8 orang semuanya kalau tak silap akulah. Kebanyakan mereka lebih tua daripada aku, termasuk juga Pakcik Rohim anak Tuk Amat Kobok. Ada yang naik sorang, ada yang naik berdua. Aku mengayuh basikal dan Pak Itammu duduk di gad belakang.

Di pendekkan cerita, maka kamipun menontonlah cerita kombet ini. Nampaklah olehku orang yang nama Vick Morrow itu. Nampaklah olehku mereka berperang dengan pasukan German. Aku juga nampak betapa bodohnya pasukan askar German dalam cerita itu dan akhirnya pasukan Vick Morrow menang. Maka kamipun turunlah nak balik. Ketika mula mengayuh pulang baru aku teringat bahawa basikalku tidak ada lampunya! Dan jalanraya di Logong itu tak ada lampu jalan macam sekarang ini. Gelap. Tapi aku kayuh juga basikal itu mengikut budak-budak yang ada di depan. Sampai saja di jambatan yang tak jauh dari Bukit Simpul, entah siapa yang ada dalam kumpulan itu mula buat bising menakut-nakutkan kami kononnya ada hantu dari dalam semak tepi sawah sebelah kanan jalan. Lalu masing-masingpun kayuh laju-laju. Banyak manalah sangat tenaga yang ada pada kaki kecilku yang pendek itu kalau nak dibandingkan dengan dengan kaki budak-budak yang dah naik sekolah menengah? Tambahan pula aku naik berdua dan basikalku pula tiada berlampu. Breknya juga tak berapa makan. Tentulah aku ketinggalan. Terkial-kial aku mengayuh sekuat tenaga dalam keadaan yang gelap bumin itu. Dengan takdir Allah, berlakulah perkara yang malang pada malam itu. Kaki Pak Itammu tiba-tiba tersepit di celah tayar basikal dan kami berdua terjatuh di tengah-tengah jalanraya. Pak Itammu menjerit menangis. Aku menjerit sekuat hatiku meminta tolong. Nasib baik mereka terdengar jeritanku lalu mereka berpatah balik. Salah seorang yang lebih besar pada malam itu memijak tayar basikal sehingga renggang tempat kaki Pak Itammu yang tersepit itu. Bolehlah kakinya ditarik keluar. Nasib baik tiada luka besar atau jari kaki yang patah atau putus. Kemudian kamipun mula berkayuh semula. Oleh kerana hatiku yang sudah gementar akibat peristiwa malang itu dan juga cerita hantu yang digembar-gemburkan sebentar tadi, segenap tubuhku menjadi menggigil. Kaki dan tanganku menjadi tak tentu arah lagi. Sekali-sekala kakiku terkeluceh daripada pedal basikal sehingga kakiku tergantung dan aku terduduk di atas paip basikal. Tulang tongkengku terhenyak pada paip basikal itu dengan amat kuat. Aduh... sakitnya tidak terkira. Aku menyumpah berkali-kali dalam gelap itu. Budak-budak yang lain masih lagi mengayuh denga laju dan meninggalkan kami. Bangangnya mereka. Dan bangangnya aku kerana mengikut mereka. Akhirnya dengan susah payah, sampai juga kami ke rumah. Aku tidak ingat lagi apa yang berlaku selepas peristiwa itu. Aku sendiri tidak pernah menceritakan kisah ini pada sesiapapun. Tak tahulah kalau-kalau Pak Itammu ada bercerita pada orang lain. Hari inilah pertama kali aku menceritakan kisah ini pada kamu semua. Semenjak peristiwa itu aku tak pernah lagi ke rumah Joseh untuk menonton cerita kombet. Kecuali pada beberapa malam Sabtu kami sekali-sekala pergi juga ke kodai Gahim untuk menonton tayangan gambar Melayu atau Indonesia di sana. Itupun selalu kena marah juga.

Balik kepada cerita main kombet itu. Antara orang yang amat gemar bermain kombet adalah Cajul anak Kosom. Cajul ini kulitnya putih dan matanya perang. Aku selalu bermain dengannya. Tetapi Makcekmu tidak suka aku berkawan dengan Cajul. Katanya Cajul itu kena “sakit kuning” sebab itu matanya kuning. Kadang-kadang aku mahu percaya juga dengan cerita karut Makcekmu itu tetapi ternyata bermain dengan Cajul ini amat menyeronokkan. Aku tak pernah berhenti bermain dengan Cajul ini sehingga dia besar dan tak sesuai lagi bermain dengan budak kecil seperti aku. Beberapa tahun dulu aku mendapat tahu bahawa Cajul ini sudah bekerja menjadi pemandu lori syarikat Gardenia.

Main kombet dimainkan oleh dua pasukan. Satu pasukan Amerika dan satu pasukan German. Pasukan Amerika sudah tentu diketuai oleh Vick Morrow. Cajul biasanya menjadi Vick Morrowlah. Sepanjang ingatanku aku rasa Cajul memang tak pernah jadi askar German. Banyak juga perkataan Inggeris yang diingat oleh Cajul daripada kisah dalam telivisyen itu termasuklah istilah panggilan radio seperti “Check-mate King to Check-mate King.. over!”. Kata Cajul pula “cek mai king tu cek mai king to ove ove..”. Sungguhpun Cajul gagal menyebutnya dengan betul, aku cukup kagum dengannya sehingga aku juga pandai meniru Cajul dan berangan-angan menjadi Vick Morrow pula. Pabila sudah bersedia, salah satu pasukan akan pergi bersembunyi dalam semak. Masing-masing akan membawa “senapang” berbagai jenis termasuklah “bishinggan”/machine-gun dan pistol. Bilamana kami terserempak dengan pasukan lawan, kami akan “tembak” dengan bunyi mulut seperti “truuuuuuut tut tut tut” atau “bishj shj shj shj....piauuuuu” dan siapa yang tembak dulu mesti kata “kau mati!”. Orang yang kena tembak harus keluar dari hutan dan pergi ke kawasan lapang tempat permainan bermula.

Sekali peristiwa kami bermain kombet di hutan lahulu. Kebetulan aku termasuk dalam pasukan askar German. Cajul yng sudah tentu menjadi Vick Morrow pada hari itu menjadi Askar amerika. Dan pasukan Kamipun bersembunyi. Kalau nak cari tempat bersembunyi, kenalah cari tempat yang orang tak tahu. Kebetulan hutan lahulu itu aku amat biasa sebab aku selalu ikut Arwah Atuk Tua mencari dan menjemput kerbau balik ke kandang. Di sana ada sepohon rambutan masam yang di batangnya ada sarang penyengat hitam. Sarangnya berkeping-keping macam kerak nasi. Akupun bersembunyi di sana sebab memang tak ada “askar Amerika” yang berani datang ke situ. Maka permainanpun bermulalah. Tidak berapa lama kemudian aku lihat “Vick Morrow” sedang bergerak menuju ke tempat persembunyianku. Hatiku berdebar-debar kerana aku pasti kali ini “matilah” Vick Morrow di hujung bishingganku. Setelah Vick Morrow betul-betul hampir dengan tempat persembunyianku aku tiba-tiba terfikir, kalau aku buran Vick Morrow dengan bishingganku tentulah askar Amerika lain akan mendengar dan cepat-cepat datang dan menyerang tempat persembunyianku itu. Lalu aku mengeluarkan pistol supaya aku boleh tembak dengan sedas sahaja dan tak payah buat bunyi kuat-kuat... Dan akupun menembak... “Tam!... Cajul mati!” kataku perlahan. Dengan segera Vick Morrow merebahkan badannya dan serta-merta membalas tembakanku dengan bishinggannya..  “Ah! pakai pistol tak mati,...Pruuuuuuuuut pruuuut prut prut!...Amit, kau mati”. Aku ingin membantah sebab kataku tadi aku tembak sedas tetapi betul-betul tepat kena kepala kau! Tapi Vick Morrow tidak peduli dan dia tidakpun menunjukkan tanda-tanda cedera. Vick Morrow kemudian segera mengendap terus mencari askar German yang lain dan meninggalkan aku terpinga-pinga di pangkal pokok rambutan masam yang berpenyengat hitam itu. Beberapa minit kemudian akupun keluar, dan aku menyesal tidak menembak Vick Morrow dengan bishingganku.

Sebenarnya permainan kombet ini tidak bertahan lama kerana tak banyak perkara menarik selain daripada menembak dan bersembunyi. Yang paling menarik adalah mandi bonda.

Dulu aku dah ceritakan perihal mandi bonda ini. Tetapi di bonda itu, selain daripada boleh mandi, ada lagi permainan lain yang juga menarik. Sebenarnya dalam bonda itu banyak lagi makhluk Allah Taala yang hidup dan mencari makan. Selain ikan terbul, ikan kepala batu dan ikan godeng, ada juga lintah kerbau. Lintah kerbau ini pantang ada saja orang turun ke dalam bonda, ia akan berenang ke arah betis dan terus melekat. Memang lintah kerbau banyak dalam bonda itu. Sampaikan kadang-kadang naik gerun juga untuk mandi dalam bonda. Ada orang-orang tua yang cuba menakut-nakutkan kami. Kata mereka, lintah kerbau ini boleh masuk dalam putul dan akan masuk dalam perut dan hisap darah di sana. Oleh kerana terlalu banyak lintah kerbau di sana, dan sering sahaja mengganggu aku yang terlalu ingin untuk mandi bonda, aku lantas naik meluat dengan lintah-lintah kerbau ini. Setiap hari aku berfikir macam mana caranya untuk membuli lintah kerbau ini. Pada suatu hari aku tangkap seekor lintah kerbau. Rupa-rupanya lintah kerbau tak ada lubang buntut. Lintah kerbau akan makan di mulut dan berak juga di mulut! Aku tahu sebab aku ambil sekerat ranting keluduk dan kemudian aku cucuk bahagian buntut lintah itu. Kemudian aku terbalikkan isi perut lintah itu, isi perut keluar, kulit ke dalam, macam kita terbalikkan stokin. Kemudian aku titiskan getah keladi gatal pada perut lintah itu dan aku lepaskan kembali dalam keadaan terbalik. Aku tak tahu apa jadi pada lintah terbalik itu tetapi aku puas hati kerana dapat menyiksa lintah yang sememangnya ganas dan amat gemar menghisap darah itu. Ish... jijik juga bila terkenang kepada permainan jenis ini tetapi ia sudah menjadi sejarah hidupku dan tidak boleh lagi diubah. Cuma sekarang ini nak jumpa lintah kerbaupun sudah susah kerana air bonda itu telah penuh dengan segala jenis racun dan baja. Biar seganas manapun lintah kerbau, ia tetap terukir dalam ingatanku dan telah menjadi kenangan yang amat manis; kenangan yang telah menjadikan aku sebagai anak Semerbok yang amat rindu kepada kampung halamannya.

Banyak lagi ingatanku yang bersangkutpaut dengan lintah kerbau ini. Pernah satu ketika aku kutip dan rabut lintah kerbau yang sudah kenyang dan tergayut pada pusat kerbau Arwah Atuk Tua kita. Lintah itu aku kumpulkan dalam tempurung. Kemudian aku cucukkan lintah-lintah itu pada pagar kawat duri yang memang ada di sekeliling porak dan sawah. Aku biarkan lintah-lintah itu terjemur di sana beberapa hari di tengah panas terik sehingga akhirnya ia menjadi kecut dan keras dan tak boleh ditanggal lagi daripada kawat duri itu. Dua tahun yang lalu aku berjumpa dengan seorang benggali yang berasal daripada Tuaran Sabah. Dia menceritakan kepadaku tentang bagaimana dia mencucukkan lintah kerbau pada pagar kawat duri di kampungnya. Oh, rupa-rupanya permainan ini juga dimainkan oleh orang-orang walau di manapun mereka berada.

Kalau kamu semua nak tahu, permainan yang kami mainkan sewaktu kecil dahulu penuh berbaur dengan suasana gembira, hilai ketawa dan juga perkelahian. Bila seronok kami akan ketawa dan tersenyum beramai-ramai. Malah kadang-kadang kami akan menyanyi beramai-ramai. Ada satu ketika aku masih ingat lagi. Ketika itu atukmu baru saja menebang pokok-pokok besar di ladang arwah Atuk Tua kita di lahulu. Dulu ladang itu adalah ladang getah tua. Di dalamnya ada beberapa pokok petai dan juga beberapa pokok besar lain. Antara pokok besar yang ada adalah sepohon pokok sebilik yang sangat besar. Padanlah namanya “sebilik”. Atukmu yang memberitahuku nama pokok ini. Kalau tak caya boleh tanya pada Atukmu di dapur sana. Pada hari itu ada seorang yang aku tak kenal membawa gergaji mesen. Maka meraunglah gergaji itu memenggal perdu pokok sebilik. Tak lama kemudian pokok yang amat besar, teguh dan amat kukuh itupun tumbanglah. Pabila tubuhnya menghempap bumi lahulu itu, tanah di sana seakan-akan bergegar dan aku sendiri menyaksikan dan merasa gegaran dan getaran bumi lahulu yang disebat dan disesah oleh pohon sebilik yang amat berat dan lurus itu. Bersepai rumpun bertam yang kebetulan berada tak jauh daripada pokok petai dekat busut jantan di lahulu. Aku nampak daun-daun pokok yang disebat oleh dahan-dahan sebilik itu turut berterbangan dan berpusing-pusing sebentar di udara dan akhirnya turut jatuh bersepah di dalam semak lahulu.

Serta-merta aku merasa kawasan hutan itu menjadi terang benderang seakan baru sahaja siang. Hilanglah teduh yang selama ini menggelapkan dan menghodohkan ladang getah tua arwah Atuk Tua kita itu. Tapi yang paling menarik adalah perdu pokok sebilik yang kena tebang tadi. Tempat yang kena potong itu kini menjadi semacam pentas yang agak tinggi dan pabila aku naik di atasnya, aku dapat memandang jauh dan aku merasa tinggi dan begitu bersemangat. Pada petang besoknya kami beramai-ramai pergi bermain di sana. Antara yang turut pergi ke sana adalah Udo Ranggi anak Atuk Ghani dan juga Azi anak Sinyo. Yang lain ramai lagi tapi aku tak ingat. Aku ingat pada mereka berdua kerana mereka dua orang telah naik ke atas pentas sebilik dan menyanyi di sana. Lagunya adalah  lagu entah apa tajuknya tetapi telah menjadi popular pada masa itu. lagu itu adalah nyanyian J. Mizan. Aku masih ingat sebahagian senikatanya:

Hari iniii kau dataaang riang
tersenyuuum buat kusenaaang
kau hias, diiirimu (kata Pak Itammu: kau riut, diirimu)
membuat haati bertaambah sayaaaang

Tapi wajahmu semalaaam muram
mengapaaa dewi mengapaa
mungkinkah, aku bersalah
cobalaaaah dewi katakaaaan...

Jangaaan dewi jangan BERgituuu
senyuuuum senyumlah selaaluuuu
maniiiiiis, riaaaaang
waajah bertambah jelitaaaaaa

Hmmm... itu saja yang aku ingat. Sedap lagu tu. Mungkin mak-mak atau pak-pakmu masih ingat lagu ini. Tanyalah mereka dan suruh mereka nyanyikan untukmu semua.

Bukan main lagi Azi dan Udo menyanyi. Siap dengan gerak badan lagi, macam betul-betul pertunjukkan pentas!

Pada masa yang lain kami akan bermain kodai-kodai. Aku jarang dapat main kodai-kodai dalam porak rumah sendiri sebab budak-budak lain tak mahu main di porak rumah kita. Mereka takut pada atukmu. Kata mereka atukmu garang. Sebab itu permainan kodai-kodai ini dimainkan di rumah Atuk Ghani atau di rumah Atuk Amat Kobok.

Main kodai-kodai ini senang saja. Kami akan buat kodai olok-olok dan kami akan jual barang. Semua orang akan buat kodai masing-masing dan kami kemudian akan pakat belilah. Macam-macam yang kami jual dan macam-macam juga yang kami beli. Duitnya gunakan daun. Duit kertas kami gunakan daun keluduk hutan. Duit siling kami gunakan kulit kerang. Kadang-kadang budak-budak perempuan yang rajin akan juga menjual kuih-muih yang mereka buat dengan tanah. Bila main kodai-kodai ini biasanya kami akan turut membina pundung untuk menjadi kodai itu. Pundung itu ala kadar saja. Atapnya adalah daun busuk-busuk. Biasanya permainan ini bermula pada sebelah pagi selepas masing-masing makan kuih kodok di rumah masing-masing. Permainan akan berakhir menjelang tengahari apabila omak masing-masing menjerit suruh balik makan. Tapi ada juga masanya permainan ini tamat lebih awal. Biasanya sebab kelahilah.

Pernah satu kali kami berkelahi semasa main kodai-kodai. Aku masih ingat lagi sebab akulah yang menyebabkan perkelahian itu. Ketika itu kami main kodai-kodai di belakang rumah Atuk Ghani. Pundung kodai aku kecil saja. Tapi pundung Udo Ranggi bukan main lawa lagi. Siap dengan tiang tinggi dan meja jualan yang besar. Banyak barang-barang jualannya. Lepas tu ramai pulak budak yang nak main dalam kodainya. Dalam kodai aku cuma aku sorang saja dan tak ada orang yang nak beli barang di kedaiku. Aku dengkilah. Sedang mereka sibuk-sibuk kumpulkan daun keluduk hutan untuk buat duit, aku runtuhkan satu tiang pundungnya. Apa lagi.. rummmm!... runtuhlah kedainya dan cunggang-cunggit meja jualannya. Berterabur kulit kerangnya. Udo Ranggi marah betul dan lolah aku dengan belebas atap.  Akupun apa lagi, tak tangguh-tangguh terus lari ke baruh dan terus masuk dalam bonda. Lepas tu aku tak ingat lagi apa yang berlaku.

Aku dengki bukan tak bersebab. Kamu semua jangan ingat Pakcikmu ini jahat sangat. Budak-budak yang main dalam kodai Udo Ranggi tu eksyen bukan main lagi dengan kodai mereka. Sudahlah pundung kodaiku kecil dan tak banyak barang, mereka ajuk lagi. Kata mereka “Uuuuu... kodai eh kocik, kodai eh tak maju,.. uuuuuk”. Haa... aku sakit hatilaa. Ajuk punya ajuk, hambik kau, aku runtuhkan kodai mereka. Padan muko! Itulah yang dikatakan “kerana pulut santan binasa, kerana mulut pundung binasa...”

Hmm.. sebut pasal main pundung-pundung ini, aku teringat kepada kegemaranku untuk membina pundungku sendiri. Seingat aku ada beberapa buah pundung yang aku bina sendiri. Aku dah ceritakan tentang pundung yang aku bina di atas pokok manggis dekat perigi tongah kan? Ada lagi pundung yang lain. Antaranya termasuklah di bawah pokok limau manis tak jauh daripada pokok kuini (sekarang ini letaknya dekat pokok bedara di sudut laman dekat tempat letak kereta). Bila aku buat pundung aku akan tarik-tarik juga papan buruk yang ada dekat-dekat rumah. Tapi ada juga masanya aku tarik papan baru yang bersusun di bawah rumah. Kadang-kadang aku dapat tarik dan buat pundung. Tapi selalunya akan kena marah oleh makwanmu.  Katanya “Ha.. ha.. habihlah papan elok-elok tu ditarik eh kang tu... Taruh balik!” Dan akupun dengan cinggenya simpanlah balik papan-papan itu dan terpaksalah buat pundung dengan pelepah kelapa sahaja. Memang panas jugs hati bila hajatku untuk menarik papan itu direncat oleh makwanmu tetapi aku turut saja. Tak pernah aku melawan.

Cuma kegemaranku menarik papan ini terbawa-bawa sehingga aku dewasa. Kadangkala bila sekali-sekala aku pulang menziarah kampung halaman di Semerbok, aku akan pandang sekeliling rumah itu. Di sana aku lihat banyak papan buruk bersepah di sekeliling rumah, dekat bilik air lama, bawah pokok kelapa dan durian dan di mana-mana. Inginlah rasanya aku menarik papan-papan itu dan aku mula membuat api untuk membakar papan-papan buruk itu. Malah isteriku yang kamu semua panggil makcik itu juga akan turut sama menarik papan dan menemaniku untuk sama-sama membakar papan buruk. Pernah satu kali kami sedang membakar sampah dekat batu besar tempat ayam yuk Munir selalu bertenggek.  Pabila api sudah mula mengimba, aku mula terpandang beberapa keping papan buruk tak jauh dari reban kambing makwanmu. Maka akupun mula menarik papan ini dan memerunnya dalam api. Kenanganku lantas terhimbau kepada zaman budak-budak, lalu kerja menarik papan itu menjadi begitu seronok dan sukar diberhentikan. Lepas satu-satu papan ku tarik dan ku bakar di dalam api yang kian menggila.

Tiba-tiba pintu dapur dekat bilik atukmu terbuka. Di sana tercuek makwanmu. Di tangannya ada senduk gulai. Tentulah dia sedang mengacau kuah gulai di dapur. Apa lagi, makwanmu terus berleter... “Cilanat boto budak amit ni, habiiiiiih papan elok-elok dibakar eh. Orang dah katokan jangaaan, jangaaan... ei tak iyo deh ghoti ghoti kosan eh doh...” Dan makwanmupun segera meluru ke arah unggun api dan mula menarik papan-papan yang sedang terbakar itu. Ditariknya papan itu satu persatu dan di campakkannya ke pangkal pokok nangka dekat bilik air. Kecil matanya dan tersongge giginya terkena asap api itu. Sekali-sekala dikesatnya peluh di mukanya dengan lengan baju. Aku melihat saja dengan terpinga-pinga. Selesai makwanmu menarik papan, diapun terus mencapai semula senduk gulainya dan masuk semula ke dapur. Tentulah makwanmu akan mengacau semula kuah gulai yang dijerang di tungku untuk kami sama-sama makan tengahari itu.

Entahlah! Perasaanku bercampur-campur melihat telatah makwanmu itu. Perbuatan menarik papan itu dapat membawa aku kembali ke zaman manis ketika aku masih kanak-kanak seperti kamu semua. Zaman yang amat kurindu dan juga zaman yang telah terlalu lama aku tinggalkan. Bagiku papan-papan adalah sumber kenangan silam yang menggamit keseronokkan. Tetapi bagi makwanmu, papan adalah sebuah penghidupan. Ketika makwanmu menarik puntung-puntung papan daripada api yang panas membakar itu, aku sebenarnya sedang melihat makwanmu sedang terkial-kial menyelamatkan sebuah penghidupannya yang akan musnah. Cuma aku sahaja yang gagal menyelami lubuk hati makwanmu yang suci murni itu. Dan ketika aku akan pulang ke Bumi Di Bawah Bayu ini, aku peluk makwanmu dan aku cium wajahnya yang putih bersih dan yang kini telah banyak keredutnya itu.  Aku cium tangannya dan kuucapkan selamat tinggal. Dalam hatiku aku berdoa semoga makwanmu yang juga adalah ibuku yang kini telah tua itu akan mengampunkan dosa anaknya ini. Betapa aku sering sahaja melukakan hatinya dengan puntung papan dan api.

Bila difikir-fikirkan, ada juga permainan yang agak merbahaya. Bahayanya itu bergantunglah. Ada yang sangat bahaya dan ada juga bahaya sedikit. Tetapi antara permainan yang amat menyeronokkan dan juga merbahaya adalah mandi bonda. Sepertimana yang aku katakan tadi, mandi bonda ini adalah antara permianan yang sangat aku gemari. Aku boleh bercerita pasal bonda sehingga mukaku dan mukamu menjadi biru tetapi ada satu peristiwa yang ingin aku sampaikan pada hari ini yang ada kaitannya dengan bonda tongah yang sekarang ini ada dalam ladang kelapa sawit felkra.

Aku tidak ingat aku darjah berapa ketika itu. Cuma yang pasti Pak Andakmu masih lagi kecil walaupun sudah pandai berjalan. Satu hari hujan turun dengan lebat. Lama juga hujan turun. Keesokkan harinya air naik di tengah sawah. Jalan di tengan sawah itu masih timbul tetapi air di dalam bonda tongah sudah penuh. Paras air itu sudah sama tinggi dengan tebingnya. Airnya keruh dan banyak pula lelabah yang terapung memegang pada daun-daun mati yang turut dibawa oleh aliran air bonda tongah menuju ke sungai yang membawa air itu ke Kuala Merbok dan tentulah akhirnya dimuntahkan ke dalam laut. Aku ingin turun melihat air itu. Lalu kubawa Pak Andakmu turun sekali.

Perlahan-lahan aku berjalan memimpin Pak Andakmu menuju ke bonda tongah. Aku tengok Pak Andakmu tak puas-puas melihat air keruh yang ada di dalam sawah. Pabila sampai di tepi tebing bonda tongah, Pak Andakmu menjadi geram tak tentu arah lalu dengan cepat melangkah masuk ke dalam bonda tongah dan melepaskan tanganku!

Seketika aku menjadi kelam kabut tak terkata. Pak Andakmu tersembam ke dalam air. Kedua-dua tangan dan kedua-dua kakinya tenggelam ke dalam bonda. Hanya belakang kepala dan bajunya saja yang nampak. Yang lain tak nampak lagi kerana air bonda tongah itu memangnya sudah keruh. Oleh kerana tebing bahagian bonda itu sudah menjadi lebar, air di situ berpusing-pusing. Pak Andakmu juga nampaknya mula berpusing mengikut pusingan air. Aku tak tangguh lagi lalu terjun untuk menyelamatkan Pak Andakmu yang juga adalah adikku itu. Kupeluk tubuhnya dan cepat-cepat kuletakkan di atas tebing bonda tongah. Dengan kuasa Allah Taala, berjaya juga aku menyelamatkan Pak Andakmu. Air itu taklah berapa dalam, cuma paras perutku sahaja. Tetapi paras itu Pak Andakmu sudah acup.

Sebaik sahaja sudah berada di atas tebing bonda Pak Andakmu terbatuk-batuk dan mula menangis. Merah matanya, hidungnya dan telinganya. Ku nampak air matanya tergenang dan batuk-batuk terus. Tak tahulah aku berapa teguk air bonda tongah yang telah ditelan oleh Pak Andakmu. Tubuhku menjadi menggigil dan rasanya tak lagi dapat lagi memijak tanah. Rasanya macam terangkat-terangkat ke udara. Langkahku bagaikan tidak membawa aku ke mana-mana lagi. Aku terbayang, kalaulah tadi air bonda tongah menjadi begitu kejam lalu menelan terus adikku itu, tentulah kami semua akan menjadi susah. Aku mula terbayang kisah-kisah orang lemas ketika mandi sungai kolam dan laut. Aku mula terbayang betapa aku akan kena marah dan kena besit kerana membawa Pak Andakmu bermain di bonda. Tertunduk-tunduk aku memeriksa muka Pak Andakmu dan bertanya macam-macam. Pak Andakmu menangis saja. Beberapa minit kemudian aku ajak dia balik dan Pak Andakmu mengangguk. Lama aku berjalan perlahan-lahan sehinggalah tangisan Pak Andakmu hilang dan mukanya menjadi jernih seperti selalu. Aku kira Pak Andakmu sudah melupakan cerita itu pabila sampai di rumah dan mendapat susu. Mujurlah Pak Andakmu belum berapa pandai bercakap pada ketika itu. Seingat aku, tidak siapapun yang tahu akan kisah ini kecuali aku seorang. Hari ini, Pak Andakmu itu sudah lulus belajar di universiti dan sudah pula bekerja sebagai seorang pendidik.

Pada firasatku, bonda, sungai, kolam dan laut sama saja. Ada kala dan ketikanya mereka akan menjadi kejam serta ganas, dan menelan apa sahaja yang masuk ke dalamnya. Dan sehingga hari ini aku masih percaya bahawa bonda, kolam, sungai dan laut itu sebenarnya amat merbahaya. Aku percaya bahawa budak-budak kecil tidak boleh mandi bonda, kolam, sungai dan laut kalau tidak ada orang besar yang pandai berenang menemaninya. Untuk kamu semua, anak-anak buahku yang amat aku sayangi, janganlah sekali-kali lupa bahawa permainan di tempat-tempat begitu adalah bahaya. Amat bahaya sehingga ia boleh mengurangkan bilangan adik-beradik dan sedara mara kita. Berhati-hatilah dan beringat-ingatlah!

Memang aku sentiasa ingat dan terkenang kepada zaman kecilku. Dan setiap kali aku terkenang kepada zaman itu aku juga turut teringat kepada semua anak buahku yang semakin ramai di kampung dan di mana-mana. Isteriku, yang kamu panggil makcik itu juga turut terkenang kepada kamu semua. Masa ini, ketika aku sedang menceritakan kisah zaman kanak-kanakku ini, makcikmu sedang sibuk menjahit sehelai baju untuk Dik Ma. InsyaAllah, bolehlah dipakai pada hari raya tahun ini.

Begitulah beberapa kisah yang masih aku ingat sampai sekarang dan pasti kuingat sehingga aku akan menjadi tua. Ketika ini, ketika aku sedang menceritakan detik-detik semasa aku masih kecil seperti kamu semua ini, aku teringat kepada kawan-kawanku yang telah sama-sama mengukir kenangan indah semasa kami kecil-kecil dahulu. Kawan-kawan ku adalah Udin Lahuk anak Atuk Ghani Terajo, Amat anak Pokat, Ari anak Cek Iyash, Rodi anak Sinin yang kadang-kadang balik kampung semasa cuti sekolah, Acat anak Cenggot, Ajul anak Cumar, Tupid anak Cikam dan Along cucu Atuk Jao Amat Teraji. Yang lebih besar sedikit adalah Kamal cucu Uwan Saani Kongkeng. Ada lagi beberapa kawanku yang lain tetapi mereka ini tidaklah serapat Udin Lahuk. Udin ini adalah sahabat karibku semasa kecil cuma Udin jarang-jarang mahu mengikutku bermain di sawah atau di lahulu tempat aku biasanya menghabiskan masa kecilku. Udin adalah anak manja kepada apaknya. Walaupun kami sahabat karib, ada juga masanya aku merasa Udin ini bukanlah sahabat karib dalam ertikata yang sebenarnya. Ketika aku masih kecil, aku sudah merasakan betapa hati manusia ini amatlah cepat terasa. Dan kadang-kadang aku menjadi heran bagaimana orang tidak dapat merasakan perasaan orang lain. Masakan tidak? Setiap kali Asan, Cina penjual aisegirim lalu, Udin Lahuk akan segera meminta duit daripada apaknya. Tentulah ketika itu hari sangat panas dan tentu saja kalau dapat aisegirim itu amat menyegarkan. Apa lagi kalau aisegirim kacang!

Dan apak Udinpun segera mengeluarkan duit dan memberikannya kepada Udin. Udinpun menahan Asan penjual aisegirim dan Asanpun berhenti lalu bertanya “Nnaapo?”. “Aisegirim kacang!” kata Udin sambil bertunjit seolah-olah ingin menyuruh Asan cepat-cepat mengeluarkan aisegirim kacang daripada peti di belakang basikalnya. Di jari Udin, duit sepuluh sen sudah dipegang tinggi supaya senang Asan mengambilnya. Dan aku? Aku tidak pernah membawa sesenpun duit ketika bermain. Memang tak ada duit dan aku sendiripun tidak pernah meminta duit daripada atukmu untuk membeli aisegirim. Jahanamnya mengapa ada cina semacam Asan itu yang selalu sahaja masuk ke kampung dan menjual aisegirim ketika hari sedang panas terik dan ketika kami sedang bermain? Sejak mula ketika Udin bising meminta duit daripada apaknya untuk membeli aisegirim aku sudah tahu bahawa aku harus segera beredar daripada tapak permainan itu. Kerana aku tahu nanti pabila Udin sudah membeli aisegirim, dia akan segera membuka kertas nipis pembungkus aisegirim itu dan tak bertangguh-tangguh lagi terus sahaja memasukkan aisegirim itu ke dalam mulutnya. Dijilat-jilatnya aisegirim yang sudah mula mencair dan mula menitik dan meleleh di jari-jarinya. Berdecap-decup mulut Udin menikmati aisegirim kacang yang manis, lemak lagi dingin dan menyegarkan itu. Tentulah Udin ketika itu tenggelam dalam kehebatan rasa aisegirim kacang yang warnanya merah kelabu. Tentulah juga rasa aisegirim itu amat lazat sehingga Udin terlupa bahawa kami sedang bermain dan aku adalah sebahagian daripada permainan itu.

Dalam ketika seperti itu, aku biasanya sudah berada jauh daripada tapak permainan kami. Kadang-kadang aku sudah berada di bawah lindungan atap bekas kedai atukmu di baruh. Atau aku sudah berada di perigi tongah dan melihat wajahku dalam kejernihan airnya yang membiru. Atau mungkin aku sedang berada di pangkal pokok bacang kopek Atuk Ghani dan memerhatikan dari jauh bagaimana Udin makan aisegirim sehingga aisegirimnya habis. Kemudian Udin akan menggigit pula tangkai aisegirimnya dan mengunyah untuk mencucut segala serbanika rasa enak yang masih ada pada tangkai aisegirim yang hanya diperbuat daripada kayu itu. Di sanalah aku. Menanti bilakah masanya Udin akan menghabiskan aisegirimnya dan bilakah masanya Udin akan terkenang kembali untuk bermain denganku.

Kadang-kadang ketika pulang ke rumah aku akan menceritakan tentang aisegirim yang dibelikan oleh apak Udin untuk anak bongsunya itu. Kataku pada Makcekmu, bahawa dalam tong aisegirim Asan itu ada macam-macam jenis aisegirim. Ada aisegirim kacang, ada aisegirim durian dan ada juga aisegirim mangkuk. Aisegirim mangkuk harganya mahal, sampai duapuluhlima sen. Ada juga aisegirim limabelas sen yang dipotong dan tangkainya adalah tiga batang lidi. Sedapkah aisegirim itu? tanyaku pada Makcekmu. Sebenarnya Makcekmu tahu macam-macam hal tentang aisegirim. Katanya kilang aisegirim itu kotor di rumah cina penjual aisegirim itu. Kata Makcekmu lagi, aisegirim durian itu cuma ada bau durian sahaja. Bau durian itu datangnya daripada biji-biji durian yang dibasuh selepas dimakan oleh cina penjual aisegirim itu. Kata-kata Makcekmu itu masuk juga dalam fikiranku. Dan akupun kononnya tidaklah terlalu “kepingin” untuk memakan aisegirim walaupun pada hakikatnya aku berkali-kali menelan air liurku pabila melihat Udin makan aisegirim. Cuma tidak sampai hati pula aku memberitahu Udin tentang rahsia itu. Biarlah Udin terus makan aisegirim asalkan dia terus akan berkawan denganku.

Pernah satu ketika kami sibuk bermain letup-letup. Permainan letup-letup ini ada kalanya dimainkan beramai-ramai. Letup-letuplah yang menjadi senapangnya. Sebenarnya permainan letup-letup ini lebih dahulu daripada main kombet yang aku ceritakan tadi. Sememangnya sedari kecil aku sudah pandai membuat letup-letup. Kalau tak silap aku, Pakcek Hamdanmu yang ajar aku membuat letup-letup ini. Letup-letup diperbuat daripada buluh kecil.

           Ikat dengan             getah atau
             segirip
 
 
 
 
 
 
 

 pemegang    onta-onta

Inilah rupanya leletup. Pemegang dan laras adalah diperbuat daripada buluh kecil. Onta-ontanya diperbuat daripada buluh juga kemudian dicucukkan dengan ketat ke dalam pemegang. Panjang onta-onta ini harus pendek sedikit daripada laras. Pelurunya adalah kertas rendam ataupun buah cenerai. Peluru kertas tidak berapa kuat bunyinya dan kalau tembakpun tidak berapa perit. Tapi kalau buah cenerai, bunyinya kuat dan kalau kena di kulit memang perit juga. Masalah dengan buah cenerai ini adalah ketika hendak memasukkan pelurunya. Kena ketuk dengan pemegang di pangkal laras. Bila diketuk, buah cenerai akan mengeluarkan getahnya dan getah ini akan merecik pada bajulah. Banyak bajuku yang menjadi kotor kena getah cenerai ini dan langsung tak boleh dibasuh lagi.

Menurut kata Paktehmu, ada seorang kawannya yang pandai membuat letup-letup istimewa. Ia istimewa kerana kawannya yang bernama Utoi ini pandai membuat letup-letup dua laras. Dia juga pandai membuat letup-letup otomatik dan boleh simpan banyak peluru macam bishinggan pula! Memang banyak keistimewaan Utoi ini tetapi Utoi telah meninggal dunia kerana kemalangan jalanraya. Aku masih ingat melihat kain kopannya yang masih berdarah ketika mayatnya diangkat masuk ke liang lahad.

Balik kepada cerita letup-letup ini. Ada satu ketika aku masih ingat lagi. Ketika itu beberapa orang kawanku ingin mencari buluh untuk membuat letup-letup. Aku bersama Pak Itammu. Ketika kami masih kecil aku tidak pernah memanggil Pak Itammu Mahmud tetapi aku panggil adik. Kemudian ada beberapa orang lagi budak-budak lain termasuklah budak-budak yang lebih tua seperti Pakcik Rohim dan Ateh anak Atuk Isa Lana. Kamipun berjalan menuju ke Solok Omang. Puas kami mencari di sana tak juga berjumpa dengan buluh yang sesuai. Ada di antara budak yang lebih tua mencadangkan supaya kami berjalan terus sampai ke sempadan Padang Kerbau. Akhirnya kami berpecah. Kumpulan kami menuju ke Padang Kerbau. Yang satu kumpulan lagi aku tak tahu pergi ke mana. Dalam kumpulan kami itu ada kurang lebih enam orang dan Ateh anak tuk Isa Lana turut sama dalam kumpulan itu. Tempat yang kami pergi itu sekarang sudah menjadi ladang sayur dekat rumah Pakcek Hamdanmu. Dulu hutannya masih tebal juga. Aku biasa ikut jalan itu kerana aku selalu diajak arwah Atuk Tua kita mencari dan menjemput kerbau. Masa itu kerbau atuk ada tigabelas ekor semuanya. Lorong dan denai yang bersimpang-siur dalam hutan itu sudah kuhafal macam aku menghafal alham. Semua aku ingat. Mula-mula jumpa rumah Tuk Talib Jambi. Kemudian masuk ladang getah atukmu. Di sana lorong itu akan melintas paya yang banyak kelubi dan juga banyak babinya. Kadang-kadang beberapa ekor babi yang besar akan berjalan bersama-sama dengan kerbau yang kami halau pulang. Kemudian naik tebing dan masuk sempadan Padang Kerbau. Kemudian akan turun sekali lagi ke dalam paya yang airnya jernih dan amat dingin. Semaknya juga tebal. Tebingnya curam. Di sudut pagar Padang Kerbau itu ada pagar kawat ladang kelapa bali cina yang sudah runtuh dan di sana adalah tempat kerbau turun dan naik. Jalan dalam ladang kelapa bali itupun aku sudah lancar. Jalan itu akan akhirnya keluar di bangsal tempat budak Indonesia yang bekerja jaga ladang kelapa bali itu. Rumah bangsal itu letaknya di tepi jalan tak jauh daripada rumah koling mandor Cikgu Joned. Dulu ada anak koling itu yang menjadi kawan sekolah Pakcek Hamdanmu. Namanya Kerel. Cuba tanya Pakcek Hamdanmu kalau dia masih ingat pada Kerel itu. Yang aku ingat, Kerel ini kepalanya tajam.

Ketika kami sudah berjumpa dengan serumpun buluh yang amat cantik, kamipun berhenti dan mula menebang buluh kesukaan kami. Beberapa orang budak lainpun sibuklah membuat laras, onta-onta dan macam-macam lagi. Aku pun samalah. Tetapi dengan tidak semena-mena aku terdengar bunyi harimau...

“Ngaaaaaaaaaaummmmmmmm!!!!!!....

Kami berpandang-pandangan antara satu sama lain tapi tak berani bercakap atau memberi apa-apa cadangan. Lagipun kami terdengar sekali sahaja. Beberapa detik kemudian budak-budak lain sudah kembali sibuk dengan projek letup-letup masing-masing. Akupun samalah. Tiba-tiba harimau mengaum sekali lagi! Kali ini lebih kuat dan kami semua dapat mendengar!

“Ngaaaaaaaaaaummmmmmmm!!!!!!....

Apa lagi! Kamipun jadi kelam-kabut. Ada yang ajak panjat pokok. Ada yang ajak lari. Ada yang suruh diam-diam. Dalam suasana kelam-kabut itu aku memberi cadangan agar kami semua keluar daripada hutan mengikut jalan ladang kelapa bali. Yang lain memang tak ada cadangan dan yang besar dan yang tuapun terpaksa setuju dengan cadanganku itu. Dan kamipun punggah lari. Semua ikut belakangku. Aku rasa jadi macam herolah. Yang besar dan yang tua risau takut sesat tetapi aku tahu apa yang aku buat. Akhirnya setelah beberapa lama kami berjalan sampailah kami ke tepi jalanraya. Barulah muka-muka yang ada menjadi jernih semula. Dan kamipun berjalan kakilah mengikut jalan raya untuk pulang kembali ke kampung.

Pada pagi besoknya tersebarlah cerita kononnya aku menangis dalam hutan kerana takut pada harimau. Tersebar juga cerita bahawa aku mengatakan rupa muka harimau itu “bobok”. Yang menghebohkan cerita itu adalah Ateh anak Atuk Isa Lana. Tersembur-sembur air liurnya cuba mengeluarkan kata-kata karutnya kerana dia memang gagap sejak kecil lagi. Bukan main lagi dia tersongge-songge menceritakan kononnya bagaimana aku menjadi kecut dan gabra sehingga nak menangis. Bagaimana kononnya aku berkelintau tak tentu arah dalam hutan sehinggalah yang besar-besar dan yang tua-tua ajak kami lari ikut ladang kelapa bali. Maka ramailah yang percaya kepada cerita karut itu sehingga Atuk Isa Lana sendiripun percaya. Betapa pembohongnya mereka itu! Mentang-mentanglah aku lebih kecil daripada mereka yang sudah besar dan dah tua. Senang-senang saja mereka mengubah cerita sebenar yang berlaku. Dan aku, oleh kerana aku masih kecil, tak upayalah aku untuk menentang atau membetulkan cerita karut yang diceritakan semula kepadaku dengan berubi-tubi dan hampir setiap hari pula! Sakitnya hatiku tidak terkira. Walau bagaimanapun aku tidak pula menceritakan kepada orang-orang bahawa mereka itu sebenarnya pembohong kerana aku tahu mereka tidak akan percaya akan kata-kataku itu. Sehinggalah pada hari ini, pabila aku menceritakan kepada kamu semua bahawa merekalah yang gabra dan menjadi kecut sehingga menggelabah nak panjat pokok pula. Merekalah yang sebenarnya nak lari dulu tetapi tak tahu ke mana nak lari. Merekalah yang sebenarnya yang terus-terus sahaja setuju untuk aku membawa mereka keluar daripada hutan ikut jalan denai Padang Kerbau dan jalan ladang kelapa bali cina yang memang aku sudah lancar benar, selancar aku membaca pikullilamhatin bersama atukmu dan Arwah Atuk Tua kita selepas sembahyang maghrib dan isyak di surau hitam. Padahal aku telah melapangkan hati mereka dan membawa mereka keluar dari hutan yang ada harimau di dalamnya. Walau bagaimanapun, aku bersyukur kerana arwah Atuk Tua kita telah menunjukkan jalan dan simpang-perenang dalam hutan Solok Omang itu. Dan aku bersyukur kerana dengan pengetahuanku itu dapatlah aku menyelamatkan rakan-rakanku daripada ketakutan diserang oleh harimau belang.  Wahai anak-anak buahku yang ku sayangi, ingatlah! Janganlah siapa-siapa dalam keluarga kita yang suka menjadi pencipta berita karut kerana lambat-laun orang akan tahu juga. Jikapun orang tak tahu, Allah lebih tahu apa yang ada dalam hati perut kita semua.

Tak lama lagi kita akan menyambut fajar Ramadhan Al-Mubaarak (bulan poso). Bulan penuh berkat  dan rahmat tetapi juga bulan yang penuh dengan dugaan. Dulu ketika bulan poso, aku masih ingat makwanmu akan selalu membuat bubur mi simpul. Kadang-kadang dicampurkan dengan pisang nangka. Uuuu..... sodddddap! Mi simpul ini sememangnya bersimpul. Boleh beli di kodai cina akau. Bila dimasak ia akan terbuka tetapi ada juga yang tidak terbuka sebaliknya terus melekat menjadi sebuku mi. Aturan buko poso ini masih lagi sama macam yang aku ikut dahulu. Mula-mula buko poso. Kemudian sembahyang. Kemudian makan nasik. Kemudian pergi sembahyang terawih. Cuma bezanya sekarang adalah bahan untuk berbuka. Dulu aku tak pernah jumpa montabak, bogol, buah melikai dan taufufa. Tak ada itu semua dulu. Buah koromopun ada kadang-kadang saja. Aku masih ingat Paktehmu memberi aku seulas keromo yang dibelinya entah di kedai mana. Itulah pertama kali aku mengenali buah keromo. Keras bijinya. Cuma keromo yang aku kenal dulu tak macam keromo yang ada sekarang ini. Keromo dulu macam belacan giling saja. Isinya bercampur-campur hancur dengan bijinya. Bijinya saja yang banyak. Bila aku sudah besar sedikit aku nampaklah buah keromo yang dijual di kodai koling di Logong. Buah itu disimpan di dalam karung plastik saja. Bila ada orang beli koling Rohim akan senduk dengan senduk kayu dan keromo itu akan melekat-lekat pada senduk.

Aku mula poso ketika umurku kira-kira 7 tahun. Ini aku masih ingat kerana ketika aku darjah satu aku masih lagi belum cukup poso sebulan. Bila aku darjah dua dan tigapun ada ketikanya aku ponteng poso. Pendek kata aku dulu malaslah juga poso. Kata makwanmu poso yok-yok. Poso tapi buka periok.

Satu hari aku masih ingat lagi. Ketika itu aku dalam darjah dua. Kebetulan bulan poso tahun itu serentak dengan musim buah rambutan. Di sebelah dapur lama kita ada sebatang pokok rambutan dan buahnya bukan main banyak lagi. Keronggonya banyak juga. Merah-merah buahnya. Memang mencabarlah bulan poso tahun itu. Satu hari, entah kena rotan atau kena marah aku tak ingat lagi. Tapi yang aku masih ingat adalah aku menangis dengan lama pada hari itu. Kebetulan ketika itu hari cuti sekolah. Tok Ngahmu juga ada di rumah ketika itu. Aku menangis tak diam-diam. Sampai ketikanya aku berhenti sekejap. Rehat. Lepas tu sambung lagi sekali teran. Kemudian berhenti lagi dan sambung lagi. Sampai Makcekmu sakit hati. Tapi oleh kerana dia sayang padaku dan tidak mahu memukulku, dia takutkan aku dengan cara lain. Kata Makcekmu “Haa.... bia deh... nangih lamo-lamo bona.. dah batal poso eh!” Aku sambung nangis sikit lagi untuk “pastikan” apa yang Makcekmu baru saja katakan padaku sebentar tadi. Tak lama kemudian Makcekmu berkata lagi “Oi.. diamlah.. batal poso!”. Dan akupun mula berfikir apa yang dikatakan oleh Makcekmu itu. Nangih lamo-lamo batal poso. Aku memang dah lama menangis ketika itu, Maknanya posoku dah batallah. Kalau posoku dah batal, maknanya aku tak posolah. Dan kalau aku tak poso, aku boleh makanlah! Yah!.. Betullah! Boleh makanlah sebab dah batal poso! Serta-merta aku berhenti menangis dan meluru keluar dari dapur terus memanjat dan bertinggung di dahan pokok rambutan tepi atap dapur... Di sana aku makan dan makan buah rambutan yang masak ranum dan amat manis rasanya itu. Lepas sebiji, kupetik lagi sebiji. Tak ubah macam koro di kebun lahulu. Sekali-sekala Makcekmu meninjau dari tingkap dapur. Agaknya dia jaki aku makan rambutan. Diapun berkata “Oi.. amit tak poso, makan rambutan!”. Aku diaaaaam saja. Ah, dia juga yang katakan posoku dah batal. Sekarang sibuk-sibuk pulak orang makan buah rambutan. Dan akupun terus saja makan buah rambuan itu. Nak makan nasi, nasi tak ada. Dan tak posolah aku pada hari itu.

Bila sampai waktu untuk berbuka puasa petang itu akupun sudah siap mandi dan pakai kain. Ketika orang sudah duduk keliling makanan di dapur, makcekmu bising-bising. Katanya aku tak poso. Entah berapa kali diulangnya akupun tak tahu lagi. Tapi aku nampak Atukmu diaaam saja. Sebentar kemudian radiopun obanglah. Masuklah waktu boko poso. Dengan tak ku sangka-sangka, Atukmu terus mengeluarkan arahan. Kata Atukmu “Tak poso, jangan datang buko sini. Poi sanun! Duduk kek tanggo tu!”. Tegas betul suara Atukmu dan akupun memang takut dan kecut pabila Atukmu naik marah. Dan akupun dengan cinggenya duduklah di tangga sambil menangis menahan perut yang berkeroncong. Kenyang makan rambutan tadi rupa-rupanya tak tahan lama. Dari tangga batu yang memisahkan dapur dengan tengah rumah lama itu aku nampak orang tunduk-tunduk mendekatkan mulut masing-masing kepada mangkuk mi simpul yang direbus pula dengan pisang nangka. Berlecap-lecup bunyi mi disedut masuk mulut. Paktehmu tak toleh-toleh lagi padaku. Tunduuuk saja dia makan mi. Pakcekmu buat tak tahu saja. Dia makan perlahan-lahan. Tentulah Pakcekmu berpuasa dengan khusyuk dan tawadhuk pada hari itu dan tak sanggup untuk menyakitkan hati adiknya yang sedang terasing duduk di tangga. Makcekmu sekali-sekala “menyedapkan” aku. Katanya “Sodap ann... cepo suruh tak poso...”.

Tiba-tiba orang tambuh pula makan mi. Paktehmu mengangkat punggungnya untuk mencapai senduk mi dan kaut lagi masuk mangkuknya. Tuk Ngahmu dan Atukmu berborak-borak sambil makan apa yang ada pada petang itu. Arwah Atuk Tuapun ada dan sekali-sekala menyampuk juga perbualan Atuk dan Tuk Ngahmu. Makwanmu berbuka sama dan sekali-sekala berjalan ke dapur untuk mengaut lebihan mi ke dalam mangkuk besar yang sudahpun luak dengan banyaknya. Pak Itammu memang tak poso dan dialah yang paling kerap sekali menoleh kepadaku. Sekali toleh, sekali tersongge. Kemudian dia masukkan hujung mi di celah bibirnya dan menoleh kepadaku. Kemudian dia cucut mi itu perlahan-lahan masuk ke dalam tekaknya dan tentulah terus saja ke perut. Bersomumeh bibirnya dengan kuah mi yang dicapur dengan santan dan gula merah. Rupa-rupa siksa sungguh jika tak diberi berbuka bersama. Aku tahu sebab aku dah rasa. Dan akupun menangis semakin kuat. Aku rasa lama juga aku diasingkan di tangga itu. Paktehmu entah sudah berapa kali tambuh akupun tak tahu. Akhirnya Tuk Ngahmupun memanggilku datang makan bersama. Tuk Ngahmu segera memarahkan orang-orang lain yang tidak memperdulikan aku pada petang itu. Kata Tuk Ngahmu dengan kuat “Apo pulak budak di dibia-biakan tak di boghi makan nih?! Meh sini, makan wok... duduk kek Pak ngah ni...” katanya. Akupun tak tangguh lagilah. Cepat-cepat aku meluru dan duduk dekat dengan Pak Ngahku. Bagus juga mereka semuanya “kena marah” oleh Pak Ngahku. Aku rasa yang paling cingge kena “marah” oleh Pak Ngahku adalah Acekku. Padan muka dia! Dan buburkupun disendukkanlah. Malangnya yang tinggal cuma beberapa helai mi yang sudahpun putus-putus. Pisang nangkanya sudah habis. Ada sesimpul daun pandan yang masih terikat segumpal dalam loyang ayan. Yang banyak cuma kuahnya saja. Pak Itammu masih lagi menyepit sehelai mi dan menyucutnya ke dalam tekak. Yang lain sudah mengensot ke belakang kekenyangan. Yang masih lapar cuma aku seorang saja.

Kemudian akupun tidaklah berani lagi untuk ponteng puasa. Lama kelamaan akupun fahamlah bahawa sebenarnya berpuasa itu bukanlah kerana takut pada atukmu atau kerana takut tak kena beri berbuka bersama. Berpuasa ini adalah kerana Allah Taala yang menjadikan kita semua. Allah yang telah membuka hatiku dan hatimu semua agar sentiasa taat kepada segala perintahNya. Dan juga Allah yang telah memberikan perasaan kasih sayang, cinta dan rinduku kepadamu semua.

Seingat aku ketika bulan puasa taklah banyak permainan yang dapat kumainkan kerana bulan puasa adalah bulan yang meletihkan. Apatah lagi kalau ketika itu aku masih bersekolah. Balik-balik saja dari sekolah aku akan tidur di lantai simen dapur kerana lantai simen itu sejuk rasanya. Aku akan tanggalkan baju sekolahku dan humbankan saja beg sekolahku di mana-mana. Lalu akupun baring di lantai itu sehingga petang. Menjelang petang perutku sudah menjadi nipis dan bila berbaring, pusatku sudah hampir kepada lantai simen itu kerana aku telah menjadi terlalu kurus.

Bila malam, kami akan bersama-sama sembahyang isyak dan terawih di surau darat tak jauh dari rumah Atuk Amat Kobok. Mula-mula ramai juga kami sembahyang di sana termasuklah beberapa orang jiran kita yang tinggal berhampiran. Antara kawanku yang ada sembahyang di sana adalah Ari anak Atuk Isa Lana. Kadang-kadang Ari akan obang. Ada masanya aku geram juga pada Ari ini kerana belum sempat aku naik dari kolam tempat ambil air sembahyang dia sudah dahulu obang daripadaku! Ketika aku baru saja nak buka pintu surau dan menanggalkan selipar aku terdengar Ari obang:

Allehuakber Alleeeeeeehakber
Alleeeeeeehuakber Alleeeeeehuakber

Ash-hadu alleeeeeileehaillalleeeeeeh
Ash-hadu alleeeeeileehaillalleeeeeeeeeeeeh

Ash-hadu annaMuhammadurrasululleeeeeeeeeh
Ash-hadu annaMuhammadurrasululleeeeeeeeeeeeeh

Hayya alassoleeeeeeeeeeh
Hayya alassoleeeeeeeeeeeeeeeeh

Hayya alal faleeeeeeeeeeh
Hayya alal faleeeeeeeeeeeeeeeeh

Allehuakber Alleeeeeeehakber
Laaailaha illeeeeeeeeeeh....

Kalau nak tau apa bunyinya obang Ari ini, kamu orang tanyalah pada Pak Itammu.

Dan kamipun sembahyanglah bersama-sama. Memang tak banyak permainanlah bulan puasa seperti itu kecuali jika sudah dekat nak hari raya.

Pabila sudah dekat hari raya kami akan sama-sama buat pelita raya. Pelita raya kami buat daripada buluh. Pakcekmu yang pandai membuatnya. Aku tak tahu bagaimana pak-pak dan mak-makmu yang lebih tua menyambut hari raya ketika mereka masih kecil kerana aku belum ada.

Pakcekmu akan membuat pelita itu daripada buluh yang diambil dari lahulu. Kadang-kadang ada sampai lima atau enam sumbu pada pelita itu. Malah ada pula pelita yang dua atau tiga tingkat! Cantik memang cantik. Tentang bunga api tidak banyak ketika itu kerana tak ada duit nak beli. Yang banyak main bunga api adalah budak-budak di kilir. Mereka ini memang tak ada kerja lain. Asyik main berecun dan bunga api sahaja. Sehingga pada satu ketika abahmu telah bekerja dengan syarikat kapalterbang di Kelumpo. Bila menjelang hari raya, abahmu akan balik kampung naik mutu. Di belakang mutu itu terikatlah beg pakaiannya. Tetapi kamu semua nak tahu? Di dalam beg itu bukan sahaja ada baju raya abahmu tetapi juga ada banyak berecun dan bunga api! Macam-macam jenis yang dibeli oleh abahmu dan kamipun mainlah! Ada berecun das. Ada payung terjun. Ada berecun keluang dan ada juga berecun roket. Ada juga bunga api sembur dan ada juga berecun papan. Selalunya pada tiga empat malam sebelum hari raya aku dah tak peduli lagi untuk ke surau untuk sembahyang terawih kerana sibuk nak main berecun dan bunga api.

Oleh kerana terlalu banyak berecun yang dibelikan oleh abahmu, aku bagaikan mabuk berecun. Tak puas main di malam hari, aku main pula di siang hari. Kadang-kadng aku kumpulkan duit belanja sekolahku untuk membeli berecun sebagai tambahan. Bila sudah puas membakar dan mendengar letupan berecun itu, aku mula bosan mendengar bunyinya. Asyik-asyik Pam! Asyik-asyik Pam! Tak ada bunyi lain. Lalu akupun mula memikirkan bagaimana untuk menjadikan permainan berecun ini lebih menarik. Akupun tangkaplah beberapa ekor cicak dan masukkan ke dalam pot susu. Kemudian aku masukkan sebiji berecun papan dan aku cucuk sumbunya. Lalu meletuplah berecun itu dalam pos susu itu! Dan kamu semua tahu apa yang terjadi? Cicak-cicak itu jongkeh dan badannya tembuk-tembuk terkena serpihan mercun! Tak puas dengan itu, aku ikat pula seekor cicak pada kepala berecun itu dan aku cucuk lagi. Pabila meletup putuslah kepada cicak itu. Tapi lama kelamaan aku menjadi kesian pula pada cicak-cicak yang telah aku bom itu. Dengan takdir Allah Taala, aku akhirnya menjadi insaf dan tidak lagi mahu menyiksa binatang. Aku nasihatkan kamu semua janganlah berlaku kejam macam yang aku lakukan dahulu kerana perbuatan menyiksa binatang ini tak baik. Nanti mahal rezeki.

Hm.... ada lagi beberapa permainan yang belum sempat aku ceritakan pada kamu semua. Tapi aku rasa cukuplah setakat ini dahulu kerana aku rasa tekakku sudah haus kerana bercerita dan akupun sudah puas melihat mulutmu yang ternganga- nganga di depanku ini. Pergilah ke dapur sana dan tengok tivi pulak. Atau kalau ada siapa-siapa yang rajin boleh ke dapur dan buat air teh O. Mari kita minum bersana-sama. Kak Long Ina boleh tolong buat air?

PAKCIK
PULAU TIGA
RAMADHAN 1419 HIJRAH
 

KEMBALI KE CERPEN
HOME
Hosted by www.Geocities.ws

1