Assalamualaikum wbth.
Anak-anak buahku
yang amat kurindui dan sentiasa menyegarkan ingatan setiap kali aku terkenangkan
kalian semua. Gurausenda, teriaktangis dan kerenahmu itu pasti tak kulupa
sampai bila-bila kerana hanya kalian sahaja anak-anak buahku dan akulah
pakcikmu yang amat kasih dan sayang pada kalian semua.
Mataku ini sebenarnya sudah mula dijenguk oleh rasa mengantuk tetapi entah mengapa, ingatanku menghimbau kepada suasana di kampunglaman, dan serentak dengan itu juga terbitlah segala kenangan yang pernah aku nikmati ketika berada di sana. Ya, ketika di kampung kita yang dulu-dulunya, ketika aku masih kecil dan nakal macam kalianlah. Teringat aku bagaimana aku ke Solokmomang mencari kobau bersama atuk kita. Atuk kita yang bertubuh besar, sasa dan gagah, dipanggil orang Majid Nara itu. Atuk yang amat dihormati kerana sabarnya, kerana taqwanya, kerana tegasnya, kerana kepandaian dan kemustajaban doanya, kerana kuat kerjanya dan juga kerana miskinnya. Itulah atuk kita semua, tampuk asal mula kita di Semerbok itu. Itulah juga atuk yang kini sudah tiada lagi. Sudah enambelas tahun atuk meninggalkan kita semua. Dan atuk kita itu kini sedang bersemadi dengan damai, ditemani oleh para malaikat di alam Barzakh. Sudah tentu kita tidak akan lupa melawat ke maqamnya yang terletak di bawah rumpun bambu di tepi sawah. Pastilah kita sentiasa memanjatkan doa yang tak sudah-sudah kepada almarhum, agar almarhum sentiasa dipelihara dan dikasihi oleh Allah Taala dan sentiasa diberikan rezeki yang tak berputus-putusnya di sana. Apatahlagi, sudah tentulah tempat tinggal almarhum di alam Barzakh sana itu sentiasa terang oleh bacaan al-quran yang kita sedekahkan pahalanya setiap pagi dan petang dan bila kita terkenang kepadanya. Itulah atuk yang telah memimpin tanganku dan sentiasa gembira membawaku ke Solokmomang untuk menjemput kobau dan membawanya pulang untuk dikandangkan di Lahulu.
Yang nak aku ceritakan pada malam ini adalah kisah kobau itulah. Dulunya kobau atuk banyak. Seingat aku, satu ketika jumlah kobau ada tigabelas ekor semuanya. Walaupun tigabelas ekor itu tak dapat melawan jumlah kobau Juhan Celet atau kobau Arup, jumlah tigabelas itu rasa aku sudah cukup banyaklah. Tak cukup jari tangan nak mengiranya.
Sebenarnya kalau tidak silap aku aku hanya dapat berkobau bersama atuk sehingga aku darjah empat. Kerana mata atuk akhirnya menjadi rabun dan kelabu dan tidak dapat melihat dengan baik lagi. Ada juga atuk menjalani pembedahan mata di Kuala Lumpur. Usaha Tukngahmu. Mata atuk baik sekejap tetapi kemudian rabun semula. Semenjak daripada itu atuk tidak lagi dapat berkobau dan aku tidak lagi mengembala kobau bersama atuk.
Dalam banyak-banyak kobau atuk itu, ada dua ekor yang tanduknya mengelebeh. Kobau tanduk leweh, kata makwanmu. Tanduknya bukan naik ke atas, tapi bengkok ke bawah pula. Seekor induk besar dan seekor lagi kobau dara. Yang lain aku tak ingat lagi kerana sudah lama benar. Cuma bila memanggil kobau, aku akan katakan “nit..nit.. nit..!” dan kobau itu akan panggung kopalo dan mula melangkah mencium tanganku. Kalau ada garam atau kuih kodok, akan kuberikan kepadanya dan kobau akan makan dengan lahapnya sambil bernafas degan kuat, sampai menyembur-nyembur lendir dihidungnya yang setiasa basah itu. Atuk lain pula pesennya kalau memanggil kobau. Dia akan bawa sebuah belidi ayan dan diketuknya belidi ayan itu. Bilamana kobau mendengar bunyi belidi ayan yang diketuk, kobau atuk terus macam jadi kobau kono pukau, terus menguak-nguak dan berguduh-guduh menuju kepada atuk. Dan atuk akan berkata kepada mereka “hoho.. hoho.. hoho..” Entah apa ertinya aku taklah tahu, tapi aku nampak atuk gembira sekali, senyum atuk melihat kobau-kobaunya yang jinak-jinak itu. Sampai bergegar-gegar butil loceng yang tergantung di dagu atuk. Ketika itu atuk akan menggosok-gosok paha kobau jinak itu dengan tangannya yang memangpun kasar kesan kerja kuat yang tak pernah berhenti sedari mudanya. Ketika aku sudah dewasa ini, barulah aku perasan bahawa tangan atuk itu saling tak tumpah tangan makwanmu, anak kesayangan atukmu (pergilah tengok tangan makwanmu di dapur sana, begitulah rupanya tangan atuk kita dahulu, pergilah!) Dan makwanmu juga amat sayang kepada apaknya itu. Kobaupun apa lagi, bila saja digosok oleh atuk, ekornya akan terangkat tanda seronok digosok.
Kemudian atuk akan mengumpulkan beberapa batang kayu api yang besar-besar dan mula menghidupkan api di dalam kandang kobau. Kata atuk, kobau suka asap dan nyamukpun kurang. Bila api sudah hidup dan berasap, atuk akan menyodok beberapa longgok tapi kobau dan membakarnya bersama dengan sampah dan rumput-rumput. Asappun berkepul-kepullah memenuhi ruang dan sekali-sekala ditiup angin sehingga bau asap tahi kobau sampai juga ke rumah kita. Aku suka mencium bau asap kandang kobau ini. Sehinggalah sekarang ini pabila aku memelihara arnab, akupun membakar juga tahinya bersama kayu api dan sampah-sampah.
Kemudian atuk akan menepuk-nepuk belakang kobau itu beberapa kali dan lepas itu atukpun baliklah ke rumah. Akupun ikut samalah.
Tentulah atuk akan memakai kain pelihatnya dengan gulung besar dan senteng sampai bawah lutut. Atuk juga akan mengambil kain salnya yang memang sedia tersidai di tepi serambi yang memang menjadi tempat tidur atuk selama berpuluh-puluh tahun. Atukpun selepang kain salnya di bahu dan mula berjalan ke lahulu. Atuk akan singgah sebentar di rumah mesen untuk mengambil sabun cap kapakya di kepala tiang. Aku yang selalu belikan di kodai Ghahin. Limabelas sen seketul. Biasanya dibalut dengan daun keluduk yang memang banyak tumbuh di tepi kolam itu. Sabun cap kapak itu gunanya untuk basuh kain dan mandi. Kemudian atukpun turun ke pigi yang terletak di tebing kolam atukbahmu. Dulu ada sebatang pokok jambu air di tebing daratnya. Di sana atuk akan mandi sehingga tubuhnya bersih kerana selepas itu atuk akan berjalan ke surau hitam di dalam porak Cuasin. Akupun tentu akan turut juga ke sana bersama atukbahmu juga. Di sana nanti akan ada Tuk Lohin, Tuk Atin, Tuk Cuasin dan beberapa orang lagi yang aku tak berapa ingat lagi kerana sudah terlalu lama. Kadang-kadang bila atuk bercerita di sana, ada juga terdengar olehku cerita kobau. Cerita orang curi kobau, kobau beranak, kobau ekor punco, kobau jantan tak bertindik, kobau hilang, kobau makan padi, orang kono tebok dek kobau, moleh kobau dan macam-macam kisah kobau lagi. Payahnya lekang cerita kobau ini kerana kobau adalah harta dan kobau juga adalah penghubung cerita dan penghubung kemesraan juga penghubung permusuhan antara anak-anak buah kampung Semerbok itu.
Hmm.. memang kobau atuk itu dikenal semuanya. Mana induknya, mana anaknya, mana jantanbosanya, mana tanduklewehnya, mana kobau daranya. Semua dikenal, malah atuk tahu siapa anak siapa dan siapa cucu siapa. Ada sekali aku masih ingat lagi, ada seekor kobau atuk yang berkubang di tengah sawah. Pabila petang, kobau-kobau lain semuanya pulang. Petang itu atuk perasan kobaunya hilang sekor, induk tua. Puas juga mencari di sana-sini tak juga berjumpa. Sampai tumpu senja. Nguak suaranyapun tak ada. Atukpun berhentilah mencari kerana hari sudah senja benar dan sekejap lagi nak ke surau pula. Mana boleh urusan dunia yang tak seberapa itu melekakan dan menegah atuk daripada melakukan taat kepada Allah Taala? Tentu tak boleh dan atukpun amat mengerti qada dan qadar Allah, lalu atukpun berserah saja dan malam itu atuk ke surau juga seperti biasa.
Itulah besoknya ada orang berpesan, sekor kobau terpuruk di tengah sawah. Bila atuk pergi tengok, sahlah kobau tua atuk. Dah tak terdaya lagi nak bangkit daripada kubangnya. Entah selut terlampau likat ke, entah kakinya krem ke, entah dah lemah tak terdaya bangun kerana sejuk ke, tidaklah aku tahu. Atukpun mungkin tak tahu tetapi biasanya kalau kobau terpuruk, ada ubatnya. Akupun ada menyaksikan kobau tua yang terpuruk itu. Memang betullah ia terpuruk, dekat separuh badannya tenggelam dalam selut. Kobau itupun tidak pula meronta-ronta, sekadar bernafas macam biasa saja, macam tak ada apa-apa yang berlaku. Dan atuk amat faham dan alim menguruskan hal-hal kobau ini. Dalam senyap-senyap itu dah ada orang yang dimintanya tolong panggilkan Cinoaki. Cinoaki adalah cina tokeh daging kobau paun yang ada kedai di pasar Tampin. Mentari makin naik dan Cinoaki tak juga sampai-sampai. Atukpun memotong beberapa kelopah nyiur dan dicacakkannya di tebing kubang supaya kobau induk tua itu tidak mati kepanasan. Sayangnya atuk pada kobaunya. Bila mentari sudah rembang petang barulah datang lori hijau hak punya Cinoaki. Beberapa orang jiran kitapun ada tolong tarik kobau itu dari kubang. Puas mereka menarik, induk kobau tak juga mahu bangun. Sampai berpusing-pusing kepala ke buntut, buntut ke kepala, tak ada juga gesanya nak bangun. Atukpun fahamlah bahawa kobau itu memang dah tua benar. Cuma nasib atuk masih baik sebab masih dapat lagi dimanafaatkan kobau itu sehinggalah akhir hayatnya. Maka orang-orangpun menanjullah kepala dan kaki kobau itu dan ditarik ramai-ramai keluar daripada kubang berselut likat itu. Semasa menarik itu, Cinoaki yang memimpin kekuatan orang-orang semua. Cinoakipun menjerit dan mengira supaya orang-orang menarik serentak dan kobau dapat ditarik dengan cepat. Aku masih ingat Cinoaki berteriak “SATU LUO TIGOOOOOOH!... SATU LUO TIGOOOOOOH!... SATU LUO TIGOOOOOOH!...” Kobau tua atuk kemudiannya diseret merentas beberapa petak sawah sampailah naik ke atas lori Cinoaki. Entah berapa ringgit atuk jual pada Cinoaki taklah aku tahu. Dengar-dengar khabarnya, Cinoaki ada juga memberi orang-orang yang menolong itu beberapa ringgit, upah tolong tarik kobau. Semenjak peristiwa itu, aku selalu memerhatikan kobau berkubang, manalah tahu kalau-kalau ada lagi yang nak terpuruk, bolehlah aku laporkan segera kepada tuan punya kobau. Tapi tak ada. Sampailah aku dewasa sekarang ini, itulah kali pertama dan terakhir aku melihat kobau terpuruk.
Memang kobau atuk selalu makan di Solokmomang. Tetapi oleh kerana kobau ini sentiasa berjalan-jalan mencari makan, selalu juga kobau atuk meragut sampai ke ladang kelapa bali dekat rumah koling Kerel sahabat Pakcekmu. Yang aku ingat, kepala Kerel ini tajam macam kepala Pa'at. Kadang-kadang sampai ke paya dekat Bukit Panjang di estet cina sanun di Kulu. Yang paling selalu adalah kobau itu akan meragut rumput di dalam ladang kelapa bali cina dekat Padangkobaulah. Di sana itu, ladang kelapa balinya tidaklah besar sangat. Bersempadan pulak dengan tanah Padangkobau dan dekat juga dengan tanah atukbahmu yang sekarang ini sudah ada ladang sayur. Tak jauh daripada situlah dulunya aku disergah oleh harimau belang ketika main letup-letup.
Boleh dikatakan tiap-tiap hari aku akan menunggu atuk bangun daripada tidur tengahari. Atuk selalunya akan tidur sekejap selepas makan tengahari sementara menunggu masuk waktu asar. Setiap petang selepas menunaikan kewajipan sembahyang asarnya, atuk akan berjalan ke dapur dan kami semua duduk di simen dapur beralaskan tikar mengkuang. Ada sehelai tikar mengkuang itu yang aku masih ingat lagi, berkutai-kutai sudut-sudutnya kerana sudah buruk benar. Makwanmu tidak ada masa banyak untuk menganyam tikar mengkuang kerana anak-anaknya ramai tidak terlayan. Tapi kami adik-beradik sedikitpun tidak kisah tentang tikar mengkuang yang kutai-kutai itu. Kami hidup sekadar apa yang ada dan kami sentiasa gembira. Setiap petang enek akan menjerang air dan membuat air teh susu. Kalau kalian mahu tahu, dalam dunia ini tak ada air teh yang lebih sodap daripada air teh yang dibuat oleh enek! Akupun akan sama-sama duduk keliling tikar mengkuang itu dan minum teh yang amat perisa dan nyaman itu. Kadang-kadang kami makan kuih kodok, kadang-kadang ada juga pisang goreng atau biskut bulat. Di sana aku biasanya akan bertanya kepada atuk:
“Tuk, atuk tak poi
joput kobau ko?”
“Poi... lopeh minum
kang atuk poilaaa..”
“Nak ikut...”
Kadang-kadang enek atau omak akan menyampuk “Ha.. apo buek ngikut? Habih di tekedarah dek nyamok kang tu!”
“Orang handa ni yo wok.. ho! ho!” Kata atuk memberi semangat kepadaku sambil tangan kasarkematunya menggosok-gosok belakangku yang tidak balut oleh baju itu. Dan fahamlah aku bahawa untuk ke sekian kalinya aku akan dapat lagi mengikut atuk menjemput kobau balik.
Selesai minum atuk memakai kasut robanya dan akupun memakai seliparku. Sebenarnya seliparku jarang sekali lekat sebab aku selalu lupa di mana aku letakkan. Kadang-kadang aku mengikut atuk ke Solokmomang dengan berkaki ayam saja. Dan kamipun melangkah menuju ke Solokmomang. Kadang-kadang atuk berjalan dahulu. Tetapi selalunya aku akan berjalan dahulu kerana aku ingin menunjukkan kepada atuk bahawa aku sudah lancar benar jalan dan keseluruhan lorong di Solokmomang itu. Memangpun aku lancar semuanya dan aku tahu di mana setiap lorong itu akan tembus. Kalau ikut ladang Tuk Lohin akan melantas ke tanah Seenab dan masuk ke ladang gotah kita yang ada paya kelubinya. Dari sana akan masuk sempadan tanah Padangkobau dan menyelodok pagar untuk masuk ke ladang kelapa bali cina. Dari sana ikut jalan lori kelapa bali dan turun ke rumah budak jawa yang bekerja di ladang itu. Tapi kalau ikut jalan ladang Amat Idol, tembus pula di ladang atuk di atas bukit dan akhirnya akan tembus di rumah Cikgu Kurus.
Biasanya kami akan ikut lorong di lahulu yang banyak pokok manggis. Kemudian lalu pula di bawah pokok kayu ara yang sampai sekarang ini amat menakutkan aku. Rasanya macam ada hantu saja terponggok di atas busut jantan di pangkal pokoknya itu. Aku memang tahu tak ada hantu di situ tetapi entah mengapa sampai sekarang ini, kalau aku lalu di situ, aku pasti teringat dan bulu tengkukku akan meremang dan kulitku akan berberas! Tak lama kemudian nampak pokok tampoi kepunyaan Tuk Matkajang yang kami amat takut untuk mengambilnya. Tuk Matkajang tak bagi! Lagi pula tanah Tuk Matkajang itu semak dan gelaaaaap saja. Apatah lagi bila lalu di tepi pohon enau yang pelepahnya hitam dan berjurai-jurai macam rambut hantu kopek. (Tuk Matkajang meninggal dunia beberapa tahun lalu. Tubuhnya bengkok tak boleh diluruskan kerana terlalu lama terkelepot di tempat tidurnya) Sebaik sahaja keluar daripada tanah Tuk Matkajang, hutan itu terang dan berjumpa pula dengan pokok manggis lagi. Tak jauh daripada itu ada sepohon bedara. Pohon bedara itu bahaya sikit sebab ada penyengat hitam di lubang batangnya. Di sanalah kami akan membelok ke sebelah kiri dan turun ke tepi sawah. Kami akan lalu di atas permatang tepi pagar tapak semaian padi orang kampung kita. Di hujung tapak semaian itu ada sebuah perigi yang amat jernih airnya. Di keliling perigi itu pula ada banyak pokok kalimunting. Sampai saja di sana aku akan berlari dan mencari kalau-kalau ada buahnya yang masak. Di sebelah kanan lorong itu pula ada sebatang pokok sentul yang menjulang tinggi dan beberapa rumpun buluh. Di celah rumpun buluh itu ada dua buah kubur yang besar entah siapa yang punya. Mungkin batu dako Jepun. Atau mungkin juga nenek-moyang yang punya. Aku sendiri tak pernah cuba bertanya kepada atuk. Kalau kalian ingin tahu, tanya pada makwanmu. Pergilah tanya!
Kami akan mengikut lorong itu dan tembus di tepi ladang tuk Lohin yang akhirnya menembus pula di tanah kita. Di sana dulunya ada sebuah pundung tempat kami menunggu padi. Di sana juga ada sebatang pokok leban yang tumbuh membongkok di atas sebuah lubuk. Di pucuk pokok leban itulah tempat aku mengabadikan kisah dan rasa kasih pada akakku yang pernah mengajar aku sebuah nyanyian ketika aku masih kecil dahulu. Biarlah leban itu tungkal sekalipun, ia tetap abadi dalam ingatanku sampai bila-bila!
Tak jauh daripada pokok leban itu pula ada dua batang pokok berangan. Pabila pokok berangan ini berbuah dan buahnya tua, tukbahmu akan memanjat dan mengambil buahnya. Kami akan memungut dan bawa pulang. Di rumah kami akan menggoreng berangan itu dalam kuali besar dicampurkan dengan pasir atau batu-batu kecil. Sedapnya rasa buah berangan Allah Taala sajalah yang tahu kerana aku tidak pernah merasa buah berangan goreng yang lebih sedap daripada buah berangan yang diambil oleh tukbahmu di Solokmomang itu. Daripada sana, aku dan atuk akan mula menumpukan perhatian pada lorong kerana akan mengesan tapak kobau. Jangan siapa-siapa cuba tipu aku kerana aku memang alim tentang tapak kaki kobau dan tapak kaki lembu. Malah aku kenal bau kobau dan bau lembu berserta dengan bau kencingnya. Aku juga dapat mencongak tapak baru dan tapak lama, malah aku juga sangat pandai meniru bunyi nguak induk dan anak kobau.
Ketika itu kami sudahpun masuk dalam ladang Alibosabotih. Entah mengapa orang ini dipanggil Alibosabotih tidaklah aku tahu dan aku juga tidak ingin bertanya. Aku perhatikan botihnya tidaklah sebesar yang disebutkan itu. Anak Alibosabotih ini pernah bersekolah bersama denganku di Logong, namanya Rosnani (lelaki!). Bini Alibosabotih itu pula dulu pernah datang ke rumah kita untuk merisik Makcekmu bagi pihak Pakcek Pozimu! Lepas itu masuk pula ladang Akob. Akob ini tak banyak cakap dan aku juga tidak berapa gemar menentang mukanya kerana raut mukanya yang garang dan hitam berkilat. Lepas itu kami akan tukih pagar untuk masuk pula ke ladang Atuk Ghani yang sekarang ini menjadi jiran kita. Sampai saja di pokok potai tepi ladang itu, kami akan membelok pula ke kiri dan terus masuk ke dalam sawah untuk melintas masuk ke ladang atukbahmu. Di pintu masuk ladang itu ada pokok kelapa, rambai, manggis dan kundang. Kalau tak silap aku pokok kundang dan manggis itu masih ada di pintu pagar kebun sayur abahmu. Enaunya juga masih ada. Lebih duapuluh tahun dulu pokok manggis itu masih rendah dan aku selalu mengambil buahnya bila musim buah.
Ketika kami melalui lorong di ladang gotah itu kelihatanlah bekas tapak kaki kobau. Terkopek-kopek kulit urat gotah dipijak oleh kobau dan gotahnya akan keluar. Kalau gotahnya masih cair, itu tandanya kobau baru saja lalu dan tidak jauh berjalan pasti akan berjumpa. Dari sana kami akan mula mengikut bekas tapak kaki itu sehinggalah kami berjumpa dengan kawanan kobau atuk. Atuk akan menjerit “Nah!...Nah!...Nah!” dan serentak dengan itu para kobau akan angkat kepala, lubang hidungnya kembang, telinganya tegak dan rumput masih berjuntai di mulutnya. Bila dilihatnya atuk bersama aku, perlahan-lahan kobau-kobau itu akan menurunkan semula kepalanya dan meragut sikit lagi sehinggalah kami mula menghalau mereka pulang. Menghalau kobau atuk pulang bukan susah sebab kobau atuk semuanya jinak. Tetapi jaga-jaga bila sampai di paya tepi Padangkobau. Semasa kobau turun untuk melintas paya itu, beberapa ekor babi mungkin akan turut berjalan dengan kawanan kobau itu. Kalau babi jantan ada taring yang panjang. Kadang-kadang babi-babi itu akan terus berjalan bersama-sama dengan kobau atuk sehingga sampai ke paya kelubi di ladang tukbahmu. Sebaik sahaja naik daripada paya kelubi itu, kami lalu di bawah sepohon kundang. Di sana aku dan atuk biasanya berhenti sekejap kerana letih mendaki tebing paya. Sebaik sahaja turun ke sawah, kami akan mengarahkan kobau membelok ke kanan dan ikut sawah sehingga sampai ke tanah kita. Di sana kobau akan mendaki tebing dan naik ke darat melalui jalan tepi pokok berangan. Kadang-kadang ada juga kobau yang nakal. Tiba saja di pangkal pokok berangan itu, terus dia merebahkan badannya dalam bonda itu dan terus berguling dan berkubang! Selalunya atuk dan aku akan bagi can juga kobau itu menyejukkan badannya tetapi kalau dah lewat petang, pastilah kami akan cemat pehanya dan menggelinjanglah kobau itu pulang ke lahulu.
Sebaik saja sampai ke tapak semaian, atuk dan aku akan mula menyebut “Kandang-Kandang!...Kandang-Kandang!...” dan kobaupun mengertilah bahawa aku dan atuk mahu mereka terus jalan ke kandang. Jangan lagi menyimpang-nyimpang kerana hari dah malam. Dan demikianlan kobau itu akan menurut kata sehinggalah semuanya masuk ke dalam kandang.
Sebelum pulang mandi, atuk akan menghidupkan api di tepi kandang kobau. Kata atuk kobau sukakan asapnya kerana angek dan nyamuk juga akan lari bila terkena asap. Pastilah kobau atuk dapat tidur dengan selesa pada malam itu. Dan kamipun pulanglah untuk sekali lagi bersedia mandi dan akan pergi juga lagi ke surau hitam bersama tukbahmu untuk menunaikan sembahyang maghrib dan isyak di sana.
Demikianlah setiap hari ketika atuk masih hidup, saban petang kami akan menjemput kobau dari Solokmomang. Aku kadang-kadang merasakan bahawa pengalaman berkobau bersama atuklah yang membina latarbelakang hidupku. Berkobau bukan sekadar menghantar dan menjemput kobau atau menelek tapak dan tahi dan kencing kobau di hutan, tetapi berkobau juga bermakna aku telah ada bersama atuk kita untuk mengendalikan hartabenda keluarga. Kalian jangan main-main dengan aku kerana aku pasti akan marah kalau kalian tidak pandai dan tidak mahu menghargai harta yang ada! Ada lagi manafaatnya berkobau bersama atuk. Atuk mengajar aku bahawa sebenarnya hutan adalah sebuah padang permainan yang terbuka luas, yang penuh dengan rahsia dan kisah-kisah menarik yang mendewasakan pengalaman. Berkobau bersama atuk juga mengajar aku bahawa hutan adalah sebuah tempat yang kaya dengan kesesatan dan kemerbahayaan yang pasti akan memerangkap aku jika aku terlalai.
Ada juga sesekali aku dan atuk melalui pengalaman yang menakutkan. Pernah sekali ketika kami melintas lorong dalam ladang tuk Lohin, babi tonyok berbunyi dengan kuat dan berulang kali dalam rumpun buluh. Aku menjadi amat takut dan segera berdiri rapat dengan atuk dan memegang seluar guninya. Atuk berhenti berjalan dan memandang tepat ke arah datangnya bunyi babi itu. Atuk tidak pula berkata apa-apa dan tidak juga bercakap dengan aku tetapi terus saja memandang seolah-olah merenung rumpun buluh itu. Sebentar kemudian atuk mengajak aku berjalan semula dan tak ada apa-apa yang berlaku selepas itu. Mungkin atuk ingin memberitahu aku jangan takut, tak ada-ada apa-apa yang akan berlaku.
Tetapi sekali lagi peristiwa, aku masih ingat, ketika aku dan atuk melintas ladang atukbah di Solokmomang ketika balik daripada menjemput kobau. Aku pernah menceritakan kepada kalian tentang ngauman harimau di sana. Tetapi kali ini, ketika aku bersama atuk, harimau itu mengaum sekali lagi. Aku menjadi sangat cemas dan menggeletar. Atuk berhenti berjalan dan merenung tepat ke arah hutan tempat bunyi harimau kedengaran. Tak lama atuk merenung ke sana tetapi atuk tidak berkata apa-apa juga. Atuk senyap sambil merenung terus ke tempat itu. Lepas itu atuk menyuruh aku berjalan terus dan tidak cakap apa-apa lagi. Akupun jalan tak tunggu lagilah kerana takut dan mahu segera sampai ke rumah. Demikianlah tenangnya atuk kita menghadapi suasana cemas semacam itu. Aku tak tahu apa amalan atuk sehingga dia tetap sabar dan tenang. Tetapi aku amat yakin bahawa atuk kita itu amat tinggi takwanya kepada Allah Taala dan telah dipelihara oleh Allah dalam setiap kerjanya dan dalam setiap detik dalam hidupnya.
Agaknya berkat berkobau bersama atuk juga maka sehingga kini aku tidak pernah lekang daripada pergi ke hutan. Malah ketika aku telah dewasa ini, hutan yang kumasuki bukan lagi hutan ladang gotah dan kelapa bali tetapi adalah hutan sebenar yang pohon kayunya lebih dua pemeluk besarnya. Yang kaya dengan air terjun dan gunung-ganang dan margasatwanya. Juga yang penuh dengan pacat yang berjombik dan kayu ara yang berjurai-jurai uratnya macam rambut hantu kopek dan hantu golek.
Sekali-sekala atuk akan memberi kepercayaan kepada aku untuk menarik tali kobau. Induk kobau tua biasanya menjadi ketua kepada kawanan kobau atuk. Yang peliknya, kobau yang bertindik hidung tak pernah melawan orang yang menariknya seolah-olah bila tali tindik hidung itu ditarik, ertinya kobau itu mesti jalan dan tidak boleh melawan. Induk kobau atuk itu tanduknya lebih sedepa panjang. Tajam pula. Tetapi kobau atuk tidak pernah cuba menggunakan tanduk tajamnya untuk melukakan orang. Pabila aku menarik tali induk kobau, aku terasa bahawa aku sangat berkuasa ke atas kobau itu kerana demikian kecil aku ketika itu, kobau besar terpaksa ikut arahanku. Aku masih ingat kobau tua atuk itu tidak mengunakan kelikir lagi. Dah tak payah pakai kelikir sebab lubang kelikir di hidungnya itu sudah cukup besar sehingga tali boleh diikat terus pada lubang itu. Kadang-kadang timbul heran di hatiku bagaimana kobau ditindik?
Selama berkobau bersama atuk aku tidak pernah melihat macam mana orang menindik kobau. Sehinggalah aku hampir darjah enam, barulah aku dapat melihat bagaimana kobau ditindik. Mata atuk kita ketika itu sudah tak nampak lagi. Tukbahmu yang menindik. Ketika itu tukbahmu mengajak Usin Uban dari Padang untuk menolong menindik kobau. Tukbahmu menyiapkan beberapa bilah buluh rencung sebesar jari kelengkeng. Tajamnya Allah Taala saja yang tahu. Selain daripada itu tukbahmu juga sudah membeli beberapa gelung kelikir tembaga dari kodai cino akau di Koto. Beberapa hari sebelum menindik kobau itu, tukbahmu selalu duduk di dapur sambil membelek-belek kelikir dan buluh rencungnya. Sekali-sekali tukbahmu mengambil playar dan mengerat sikit kelikir tembaga itu kerana besar benar lengkungnya, nanti kobau payah nak meragut, kata tukbahmu.
Tukbahmu juga telah menyediakan kandang tindik kobau. Ada sebuah kandang berpagar yang besar dan di dalamnya ada beberapa buah kandang lagi yang semakin kecil. Kandang terkecil terletak di sudut pagar dekat buluh betung. Setiap kandang ada pintu jelujurnya. Bila aku ingatkan kembali kerja-kerja yang tukbahmu lakukan itu, aku menjadi heran. Sesungguhnya tukbahmu itu sangat kuat dan rajin bekerja. Bukan senang nak buat kandang yang besar dan kecil itu kerana setiap kandang memerlukan banyak batang buluh. Kemudian mesti ada tiang ancak pagar yang kuat dan tinggi untuk dibuat dinding. Kandang yang paling teguh adalah kandang tindik yang terletak di sudut pagar itu. Di tengah-tengahnya ada sebatang pokok manggis. Dindingnya dua lapis dan tiang ancak pagarnya rapat, besar dan tinggi. Orang boleh duduk dengan selesa di atas palang pagar itu. Kata atukbahmu, dinding itu mesti kokoh sebab senang nak duduk dan boleh tanjul kobau sambil duduk di atas pagar saja!
Pada hari menindik itu, Usin Ubanpun datanglah. Hari itu tukbahmu ingin menindik tiga ekor kobau, dua ekor kobau jantan dan seekor betina. Kobau jantan itu dengarnya hendak dijual tak lama lagi, jadi tukbahmu ingin menjinakkannya. Maka kawanan kobaupun dihalaulah. Ketika itu jumlah kobau kita sudah lebih tigapuluh ekor semuanya. Kobau yang akan ditindik itupun ditanjul oleh tukbahmu dan Usin Uban. Dipendekkan cerita, kaki dan tangan kobau itu telahpun ditanjul dan kepalanya sekarang ini sudah disimpai pada pangkal pokok manggis itu. Tukbahmu memberikan buluh rencung kepada Usin Uban yang sangat berpengalaman itu. Aku perhatikan Usin Uban melangkah dengan cermat dan penuh yakin. Perlahan-lahan dia meletakkan buluh rencung itu di tepi hidung kobau. Jari ibu dan telunjukkan tangan kirinya merasa-rasa bahagian hidung yang akan ditujahtembus dengan buluh rencung. Serentak dengan itu dan dengan sekelip mata buluh rencung sudah terlekat menembusi lapis tengah antara dua lubang hidung kobau. Kobau menghempas dan menghembus-hembus tetapi dengan segera pula Usin Uban memicit dan memerah buah limau pagar pada tempat tusukan buluh itu dan dengan serta-merta kobau panggung kepala dan mula menjilat-jilat lubang hidungnya. Ketika kobau sedang sibuk menjelir-jelirkan lidah itulah Usin Uban menyambung dawai kelikir tembaga pada buluh rencung dan terus menariknya keluar. Sepantas kilat pula Usin Uban mengambil playar dan terus memiuh dan mengunci kelikir tembaga itu. Maka tertindiklah seekor kobau kita.
Aku masih ingat satu kali ketika atukbahmu menindik kobau seorang diri tanpa bantuan Usin Uban. Kobau itu adalah seekor kobau jantan besar yang tanduknya sudah berkotak dan lehernya berkelasa. Dari awal lagi mata kobau jantan itu sudah menjeling-jeling tanda marah tetapi atukbahmu bukanlah orang yang mudah mengalah pada kobau. Akhirnya dapat juga ditanjulnya kobau jantan itu. Malangnya tanduk kobau itu tersangkut pada palang bawah dinding kandang tindik dan hidungnya pula tertekan ke tanah dan terkeluar di celah dinding kandang. Atukbahmu tidak melepaskan peluang keemasan itu lalu terus menusuktembuskan buluh rencung yang bersambung dengan dawai kelikir tembaga ke hidung kobau jantan. Pantas juga tangan tukbahmu dan boleh dikatakan pakar jugalah! Tetapi sebaik selesai sahaja, sebelum sempat diperahkan asam limau, kobau sudah meronta-ronta cuba melepaskan diri. Dengan sepenuh tenaga, kobau jantan cuba mengangkat kepalanya. Bukan kepalanya terlepas tetapi tiga tiang ancak pagar dinding kandang tindik itu juga terangkat! Berkeriut bunyi buluh pengapit kandang. Aku, tukbahmu dan makwanmu tiba-tiba menjadi kaget dan kaku tak boleh buat apa-apa! Tetapi dengan kuasa Allah Azzawajalla, tanduk kobau itu terlepas dari palang kandang dan dapat berdiri dengan sempurna. Matanya menjeling-jeling tangkas dan hidungnya menghembus-hembus dengan kuat. Terpalit-palit hingusnya pada dinding-dinding kandang tindik itu. Beberapa palitan turut terlekat pada tangan dan bajuku. Tukbahmu segera mengarahkan kami beredar jauh sikit dari kandang tindik dan membiarkan kobau itu sendirian di sana. Pada keesokkan harinya aku nampak atukbahmu sudah memberikan kobau jantan itu makan rumput sabit dan garangnya juga sudah hilang!
Menurut atuk lagi, dulu-dulunya kampung kita itu sememangnya banyak kobau. Tapi ketika itu bukan macam sekarang ini, hutannya masih hutan banat tempat jin beronggeng. Tak ada ladang kelapa bali dan jalan raya macam sekarang. Memang hutan betullah, kata atuk. Dalam hutan itu macam-macam binatang yang ada. Pelanduk, napuh, kijang, rusa dan ayam denak tak payah cerita, melampuh-lampuh. Babi tonyok menggali dan bergelumang lumpur di sana-sini. Dan yang paling terkenal rimaulah. Kata atuk, rimau di kampung kita dulu bukan sahaja makan rusa, kijang dan pelanduk tetapi ada kalanya buat dajal masuk kampung dan peletokkan tengkuk kobau pulak. Kata atuk kobau kita tak pernah kena cekik tetapi kobau orang Kulusorai selalu kena. Konon cerita seekor kobau orang kulu sudah kena peletokkan lehernya oleh rimau. Fuu... orang bukan main takut lagi dan bangkai kobau yang sudah dimakan separuh itu masih ada ditepi hutan tak tertarik oleh rimau kerana tanduknya tersangkut pada urat kayu bosa. Terbunkang saja di sana. Bosa bukan main induk kobau itu. Pehanya dan buntutnya sudah sempong dihepong oleh pak belang. Matanya terbeliak dan lehernya terpiuh.
Ada sorang yang berani, namanya Brahin. Dia ni taklah bercampur dengan orang sangat tetapi dia ada senapang. Brahin telah membuat sebuah pundung menunggu di atas pokok kayu tepi hutan tak jauh daripada bangkai kobau itu terbungkang. Di sanalah dia menunggu sorang-sorang.
Menurut atuk lagi, memang rimau itu datang petang itu juga nak sambung makan. Maklumlah malam tadi tak sempat makan banyak dan kelam-kabut pulak. Bila hari dekat nak senja, pak belang keluar daripada tepat persembunyiannya yang sebenarnya tak jauh daripada bangkai kobau itu juga. Diapun berjalan tertunduk-tunduk dan mencium-cium angin. Bila sudah pasti tak ada sesiapa-sesiapa di sana, pak belang agaknya mula menjilat-jilat bibirnya, maklum sajalah perut dan keroncong. Langkahpun diaturlah. Sederap-sederap langkah pak belang semakin dekat dengan bangkai kobau. Bila sampai di sana memang pak belang tak cari tempat lain lagi. Terus saja ditujunya di bahagian peha dan buntut tempat dia berhenti makan malam tadi. Selepas dua tiga kali jilat, pak belangpun membuka mulut lebar-lebar dan membenamkan taringnya yang memangpun sudah tak berapa tajam itu ke dalam daging bangkai induk kobau itu.
Dalam pundung di atas pokok itu, Brahin sudahpun membidik senapangnya ke arah pak belang. Bukan senang nak tembak pak belang sebab pengalamanpun jarang. Tapi peluang datang hanya sekali dan kalau tak kena, alamat tak mampuihlah pak belang itu dan tak lama lagi adalah kobau lain yang kena cokau. Silap-silap anak buah kampung sendiri yang terpiuh leher masa pergi motong gotah. O.. Tak boleh dibiarkan, tak boleh, fikir Brahin. Degup jantung Brahin mula-mula laju juga tetapi bila mula mengenangkan keganasan pak belang dan bahayanya kepada anak-anak buah Kulusorai, Brahin menjadi marah dan geram tidak terkira. Macam berdendamkesumataksudah pulak dia pada pak belang itu, macam kobau yang terbungkang itu kobau kepunyaannya pula. Rasa benci dan ada juga rasa takut dibaurkan dengan kemarahan yang meluap-luap dan rasa itu merangkai pula ke seluruhan urat darah Brahin dan akhirnya tertumpu pada jari telunjuk kanannya. Ketika itulah picu senapang Brahin dipetik lalu meletus dan meledaklah senapang tua itu serentak dengan meletusnya bisul dendamtaksudah Brahin. Tak cukup sekali, meletup lagi sekali buah peluru senapang Brahin sehingga bergegar kayu tempat dia berlindung itu. Di sebalik asap senapangnya, itu Brahin nampak pak belang sudah terlepok kaku tak jauh daripada bangkai induk kobau yang masih juga terbungkang itu. Matilah pak belang yang sudah mula rajin membahan kobau di kampung kita dulu-dulunya itu.
Tapi bukan di kampung kita saja yang ada rimau. Di kampung tukbahmu di Seraja juga ada rimau. Tak caya cuba tanya tukbahmu. Kata tukbahmu, dulu-dulunya di kampung Conggai, dekat rumah Wanacik tu, banyak rimau. Conggai itu ketika itu memang hutan banatlah. Orang di sana lagi berani. Bila ada saja bunyi kobau mengamuk nak bergaduh dengan rimau, mereka berpakat pasang suluh daun nyiur dan ramai-ramai pulak pergi melolah rimau sampai rimaupun lari susup-sasap dalam hutan Conggai. Poilah tanya pada tukbahmu di dapur tu. Poilah!
Demikianlah cerita atuk dan tukbahmu tentang rimau-rimau ganas yang selalu sahaja berdengki kepada kobau di kampung kita. Memang banyaklah kobau yang menjadi mangsa pakbelang. Tapi itu semua sudah menjadi sejarahlah. Di kampung kita itu sudah tak ada lagi hutan banat. Kalau adapun cuma semakbelukar sajalah. Rimau tak suka duduk dalam semak belukar. Dia suka duduk dalam hutan besar supaya dia boleh benar-benar menjadi raja di sana. Cerita rimau mencuri kobaupun sememangnya sudah lama lenyap dari kampung Semerbok dan Conggai. Tak lama lagi pabila orang-orang tua di kampung kita sudah meninggalkan kita untuk bertemu dengan Allah Taala, ingatan kepada rimau yang mentekedarah kobau juga akan luput dari kenangan. Inilah yang aku ingin ceritkan kepada kalian hari ini agar kalian semua tahu bahawa kampung kita dulu-dulunya adalah kampung yang amat indah dan penuh dengan kisah-kisah menarik yang kini sudah tak ada lagi.
Tapi mencuri kobau ini bukan sahaja rimau yang buat. Orangpun ramai yang jadi rimau dan mencuri kobau orang-orang kampung kita. Pernah atuk menceritakan kepada aku bahawa kobaunya hilang. Tak ada kesan apa-apa dan atukpun mengagak bahawa kobau itu tersesat. Keesokkan harinya atukpun pergilah mencari kobau hilang itu sehingga ke Paya Manis. Tak jauh dari sana terjumpalah kobau itu. Tetapi kobau itu bukan lagi kobau dalam ertikata yang sebenar. Sudah sempong-sempong dan kutai-kutai dilapah orang. Kepalanya dan tulang selangkanya tergantung di dahan gotah. Daging kaki dan tangan sudah tak ada lagi. Sudah dikebas. Dagingnyapun masih merah dan baru. Agaknya pencuri itu baru saja lari membawa daging. Nak angkat semua tak terdaya. Tetapi belek-punya-belek, urat morehnya tak putus. Sembelihannya tak sah dan orang yang makan daging kobau itu samalah macam makan bangkai kobau. Dalam kesedihan dan sakit hati itu, atukpun menanamlah bangkai kobau kesayangannya itu. Tetapi begitulah adat orang berharta. Ada saja orang yang dengki dan khianat.
Tetapi kata orang, malang tak berbau. Kalau tak kena curi, kobau boleh mati juga. Satu hari ketika aku masih kecil dan atuk kita masih ada, kami mendengar khabar bahawa beberapa ekor kobau atuk telah mati termakan racun di ladang kelapa bali cina. Cina itu baru saja meracun rumput di ladang kelapa balinya. Kobaupun makan dan matilah di sana. Terbungkang kojol macam itu saja di bawah pokok kelapa bali. Kamipun bergegas ke sana pada esok paginya. Kami bawa pungkis, cangkul, dan penggali untuk menanam bangkai kobau. Kalau tak silap aku, ada lima ekor semuanya yang mati. Tukbahmu yang menjadi ketua kami. Mail-Betinari pun ada ikut. Sebelum kami tanam bangkai kobau itu Mail-Betinari telah membelah sedikit perut kobau itu dan mengambil isi perut dan hati kobau itu untuk dikajilah agaknya. Tentulah ada urusannya dengan Jabatan Haiwan. Paling dahsyat, peristiwa itu berlaku pada bulan poso! Bayangkan, nak gali lima buah lubang untuk tanam lima bangkai kobau yang bosa-bosa! Poso pulak tu! Tetapi, heran tak heran, atuk dan tukbahmu berjaya juga menanam semuanya sekali. Aku masih ingat tukbahmu menggali lubang itu ikut bentuk kobau itulah supaya tak banyak tanah yang kena gali. Aku tolong sikit-sikit saja kerana aku masih kecil. Aku rasa akupun tak puasa hari itu.
Tak lama kemudian atuk menerima bayaran gantirugi daripada kerajaan atas kematian kobau-kobau itu. Entah berapa ribu aku tak ingat lagi.
Sesungguhnya pengalaman berkobau bersama atuk telah menancapkan erti yang lebih manis dan lebih indah daripada kisah-kisah ini. Lebih jauh, pengalaman berkobau ini telah mengajarku bahawa harta itu harus dijaga dan dipelihara dan disayangi sepenuh hati. Aku telah diajar memelihara dan menghargai binatang-binatang itu; bahawa kobau adalah harta dan adalah kekayaan bagi kita yang sememangnya telah kaya dengan kebangsatan. Dan bahawa hartalah yang telah membawa keluarga kita bertatih dan berjalan, jatuh dan bangun kembali. Darah yang mengalir dalam tubuh kalian itu adalah sedikit-sebanyaknya hasil daripada usaha atuk kita berkobau juga.
Begitulah antara cebisan kisah kobau yang sempat aku nukilkan untuk kalian anak-anak buahku. Inilah saja yang dapat kukirimkan kepada kalian daripada kejauhan ini sebagai pengganti diri dan sebagai tanda sayangku yang berkekalan kepada kalian.
Pabila kalian semua menziarahi pusara atuk yang damai di rumpun buluh itu di pagi atau petang syawal nanti, jangan lupa sampaikan juga salam rinduku yang teramat sangat kepada atuk. Sudah tentu juga aku amat ingat dan rindu kepada adikku yang juga Pak Itammu Mahmud, yang tidak sempat berpuasa, bertarawih dan berhari raya bersama Mak Itammu dan kita semua tahun ini, yang juga satu ketika dulu pernah juga sedikit sebanyak berkobau bersama aku dan atuk. Kini adikku itu sudah berada bersama-sama atuk di maqam itu. Jangan lupa juga kepada Nur Faizah, Tuk Ngah Toboyot dan Tuk Teh. Semua mereka itu, dan arwah-arwah yang kukenal di sepanjang sekelumit hayatku di kampung kita yang damai itu, telah pernah mengajarkan aku erti kehidupan yang amat manis dan indah.
Wahai Allah, tuhan yang menguasai hidup dan kehidupan, mereka itu adalah orang-orang yang amat kami kasihi ketika di dunia, tidak kami ketahui engkau akan menjemput mereka dahulu daripada kami. Wahai Allah, tiada daya dan upaya kami membantu mereka melainkan berkat kasihmu dan rahmatmu jua. Wahai Allah, lapangkanlah kubur mereka dan ringankanlah urusan mereka di alam Barzakh. Jadikanlah kubur mereka sebahagian daripada taman-taman syurgamu. Wahai Allah, sampaikan salam rindu kami, doa, tasbih, tahmid, takbir dan takdis kami kepada mereka. Terangilah kubur mereka dengan nur yang tak berkesudahan, sekekal Barzakhmu itu wahai Allah. Wahai Allah, jadikan kami orang-orang yang berbakti dan ingat kepada mereka, sebagaimana kami ingat kepada panggilan Barzakhmu. Jangan jadikan kami orang-orang yang selalu lupa. Amin!
Wassalam.
PAKCIK
PULAU TIGA, KUALA
PENYU, SABAH.
23 DISEMBER 1999,
15 RAMADHAN 1420H