KELUANG!  KELUANG!
Oleh:
Abdul-Hamid Ahmad

    Barangkali masih ramai yang tidak kenal keluang sebenar. Pastinya jauh berbeza daripada Keluangman! Bukan saja lantaran tidak prihatin tentang alam haiwan tetapi juga kerana keluang ini sudah payah benar diketemu. Tidak seperti dahulu. Saya masih ingat ketika masih kecil di kampung pada akhir tahun 70an. Ada beberapa kali orang-orang yang menyandang senapang patah masuk ke kampung kami. Mereka datang berkereta. Apakala hari senja dan semakin gelap, tahulah saya tujuan sebenar mereka datang ke situ. Rupa-rupanya ada keluang. Ya, ribuan keluang terbang merentas kampung kami.  Entah dari mana datangnya tidaklah saya ketahui. Banyak sekali. Terlalu banyak sehingga lama juga saya mendongak ke langit. Bila leher menjadi lenguh, saya terus saja baring di rumput. Orang-orang yang bersenapang patah itu mula menembak das demi das ke arah keluang yang bertali arus yang terus juga terbang tanpa henti itu. Seekor demi seekor keluang malang gugur terkena peluru lalu berpusing-pusing jatuh dan tersepuk di celah-celah batang padi di sawah kami. Terkiak-kiak suara keluang kesakitan. Tentulah ia masih lapar kerana belum dapat makan malam itu. Pun demikian, demi segigit rezeki dan perjuangan hidup, ledakan senapang pemburu tidak sedikitpun mengubah arah haluan terbang mereka. Sang keluang terus saja terbang hingga hilang ditelan kehitaman malam. Akhirnya para pemburu berhentilah menembak. Mereka masuk meredah petak-petak sawah kami. Mereka menguak rumpun-rumpun padi kami dan mengutip keluang-keluang yang telah mereka bunuh senja itu.

Kuat dan kentalnya semangat keluang untuk hidup dan meneruskan hakikat wujud mereka, tak terlawan juga desakan serakah manusia yang laparkan dagingnya. Ah!, mungkin mereka cuma seronok membidik dan menembak. Bidik lagi! Tembak lagi!. Tembak! Tembak! Tembak! Asyiknya rasa memisahkan nyawa dari tubuh keluang yang sedang terbang. Tahun-tahun berikutnya, apabila saya semakin dewasa, saya tidak lagi ingat jika masih ada keluang yang terbang merentas ruang udara di senja hari. Sudah tak ada lagi. Ya, keluang sudah tidak terbang lagi di kampung kami…

Hanya ketika berada di Sabah, saya dapat menikmati semula kenangan manis itu. Di sini keluang masih terbang di waktu senja dan kembali pulang ke tempat tidurnya ketika dinihari. Tidak ada kereta pemburu dan tidak ada letusan senapang patah. Sudah tentu tidak ada keluang malang yang gugur ditembak ketika terbang dengan perut keroncong. Rupa-rupanya warisan itu masih kekal di sini.

Senja di Pulau Tiga pasti menjanjikan pemandangan indah. Di sana, setiap senja ditemani oleh kemerahan mentari yang segar, boleh jadi pemandangan senja yang tercantik pernah dilihat. Sebaik mentari terbenam, keluang-keluang mula terbang merentas ruang udara pulau. Seperti senja-senja kelmarin, keluang tetap akan terbang juga pada hari ini, esok dan lusa. Tak pernah mungkir!

Paling enak ketika melihat keluang-keluang bergayut di pohon tempat mereka tidur dan berehat di siang hari. Ribuan jumlahnya. Kadang-kadang sayap kulit yang dikembangkan itu menjadi kemerah-merahan bila dipanah sinar cahaya. Di kedinginan pagi, sayap menjadi selimut. Dalam kepanasan lit-lit sang mentari, sayap itu akan dikibas-kibaskan ke tubuh mereka. Keluang-keluang betina didakap oleh anak-anak di dada. Yang jantan ketara sombong dengan bulu tengkuk kemilau keemasan. Dan mereka terus bergayut dan bergayut. Sesekali himpunan itu menjadi gempar dan kelam-kabut. Ada perkelahianlah di sana-sini. Riuh-rendah jadinya. Tentu saja jeritpekik sang keluang menjadi tenar lalu menampan dan melanda segenap rimba. Yang lain ikut berteriakan panjang macam siamang kenyang. Alam begitu mesra di sana.

Di saat mendongak melihat ribuan keluang yang tidur dan bersenda gurau itu, saya menghimbau rasa syukur. Bahawa bumi keramat ini masih berisi dan hidup. Saya menjadi insaf dan semakin mengerti, bahawa keluang, pohon-pohon, daun-daun, hutan dan sekelian alam hijau ini adalah warisan, adalah kecintaan, adalah kemesraan, adalah alam yang segar dan berjiwa. Siapakah yang akan membelanya?
 

Januari 2000
Pulau Tiga, Sabah

KEMBALI KE ARTIKEL
HOME
Hosted by www.Geocities.ws

1