Payah juga mahu percaya; orang menjual ikan puyu di tamu. Berbakul-bakul. Sungguh ni! bukan bohong. Sila datang ke Tamu Pekan Kuala Penyu kalau mahu lihat sendiri! Datanglah. Sila ikut jalan Kampung Pimping yang aspalnya cuma sekerat-sekerat. Jika sayang absorber kereta, lupakan saja. Jika tidak, cuba ikut jalan baru Beaufort-Kuala Penyu. Tapi awas bila sampai di Kota Klias, silap-silap sangkut di lumpur! Ah, itu cuma cabaran kecil. Ini cerita ikan puyu yang sememangnya jenuh di sini. Jika tidak masakan ada kampung yang dinamakan Kampung Kerukan.
Ikan puyu disebut “karuk” dalam loghat tempatan di sini. Seekor dua, ia bukanlah istimewa. Paling-paling dipelihara dalam botol atau akuarium dalam rumah, buat tangkal pukau kononnya. Jika tidak, karuk hanya nama sejenis ikan di air, tidak lebih dari itu. Tapi jika boleh dipukat? Jika sudah berbakul-bakul dan berbaldi-baldi? Jika dijual tiga ringgit sekati? Jika ada di mana-mana taliair dan menggetus setiap mata kail berduri bersalut nasi? Tentulah luar biasa juga ceritanya.
Semenanjung Klias yang kaya dengan paya dan rumbia itu amat luas. Air sungainya hitam seperti teh keras. Sungai Binsuluk, Sungai Sinapokan, Sungai Klias, Sungai Padas Damit, semuanya berair hitam. Menurut pengkaji, air hitam ini tidak banyak mengandungi Oksigen, lantas tidak banyak hidupan yang menghuninya. Lagipun kawasan paya tidaklah begitu subur dengan bahan makanan kerana cahaya matahari kurang sampai ke dasar sungai. Tentulah mereka tidak berbohong, tapi bagaimana tentang karuk yang banyak itu? Bagaimana?
Sabarlah, kerana Allah Maha Pemurah. Diwariskannya ikan karuk kepada penduduk Semenanjung Klias. Jika tidak, barangkali tinggal rumbia sajalah. Makan ambuyat sajalah. Tinggal air hitam sajalah. Dan sungai berair hitam itu akan tinggal begitu sajalah. Mati begitu sajalah. Kerna tak ada lagi yang istimewa. Bukankah sesuatu yang tidak istimewa itu layak di buang begitu saja?
Mencari karuk bukan perlu masuk sungai besar. Tidak perlu terjun ke Sungai Klias yang sememangnya berbuaya itu. Pergi saja ke becah atau parit-parit. Di depan rumah sanapun ada. Itu, di tepi jalan dekat pondok tunggu bas itu. Ada! Boleh pancing sambil bertinggung di bangku. Di becah dan paya, orang merambat dan memukat. Kena pakau rambat mata haluslah. Jika tidak cuma dapat ranting mati saja. Ikan karuknya terlepas. Tapi kalau diumpan dulu dengan menabur nasi sisa makan tengahari tadi, kemudian rambat... Bah! Silap-silap sampai senja baru habis melepaskan ikan. Sungguh ni!
Paling banyak pada musim hujan. Bila air di parit naik sedikit. Biasanya pada hujung tahunlah ketika Semenanjung Klias menerima hujan yang banyak. Kalau musim kemarau tiba pada bulan Januari dan membawa ke April bersama angin Utara, air paritpun cetek dan karukpun hilanglah. Cuma tinggal seekor dua. Sudah tidak seronok lagi memancing, merambat atau memukat. Tunggu musim hujanlah!
Rupa-rupanya ikan karuk ini menyimpan rahsianya sendiri. Tidak pernah diberitahu kepada sesiapapun. Di musim kemarau, karuk menghilangkan diri. Tapi bukannya masuk laut atau berpindah ke Kota Kinabalu. Tidak. Mereka masuk ke dasar paya, ke dasar parit. Masuk dengan dalam dan akhirnya mereka bertapa di sana. Lendir-lendir tubuhnya akan dikeluarkan dan menjadi likat lalu kering di sekeliling tubuhnya. Berdiam dirilah karuk di dalam kelongsong lendirnya sendiri. Tak makan. Tak minum. Tak bergerak. Jika perlu, mereka akan bertapa berbulan-bulan lamanya sehinggalah mereka kurus. Tapi jaga! Bila banjir tiba dan air parit naik dan paya tenggelam, karuk akan berpesta lagi. Cuma pesta merambat karuk lewat sedikitlah. Jika terlalu cepat dirambat, dapat karuk kepala besarlah. Manakan ada isi, Dang!
Demikianlah karuk, sejenis ikan kecil yang berduri , bersisik tebal dan bertulang tajam. Yang bertapa dan berpuasa. Yang tahan banjir dan tahan kemarau. Yang (juga kononnya) tahan puaka dan ilmu pukau. Yang menjadikan air hitam lebih indah dari air jernih kemilau. Berduit juga Bu Dayang selepas musim kemarau.
Kampung Kayul, Kuala
Penyu
Sabah
Februari 2000.