Sepet ketawa besar bila kuberitahu padanya bahawa tak lama lagi sekolah
kami akan ada kadet bomba.
"Ni siapa punya cadangan bodoh ni?" Tanya Sepet padaku.
"Eh, apa pulak cadangan bodoh. Kan elok kalau ada Kadet Bomba?" Balasku.
Sepet memang begitu.
Semua benda nak jadi bahan gelak ketawa. Belum pernah aku rasa Sepet ini bercerita
tentang benda-benda yang ada faedah. Dengar cerita nenek Budut matipun
Sepet boleh gelak.
"Bolehlah atok kau kawin lagi, ha! ha! ha!" Kata Sepet tak lama dulu.
Entahlah. Aku rasa Sepet ni macam sewel sikit. Tapi sewel-sewel Sepetpun,
dia adalah kawanku. Kami sekelas dalam tingkatan lima Al-Ahzan. Kiranya
kelas kami itu kelas yang bagus jugalah. Akupun kadang-kadang heran, sewel-sewel
Sepet, dia pandai juga dalam pelajaran. Cuma perangainya saja yang sinting.
Duduk sebelah Sepet adalah Budut. Budut dan Sepet ini, kalau bersembang,
jangan ambil kisah sangat. Lebih banyak batil daripada yang hak. Terlalu banyak buih-buihnya. Cuma aku
saja dalam "clik" kami yang lurus sikit - aku rasalah. Aku suka berkumpul
dengan mereka kerana mereka ini selalu ceria. Tak pernah susah hati.
"Kadet Askar pegang M16, Kadet Polis pegang pistol, Kadet Bomba main air
pancutlah... he he.." Sampuk Budut dengan muka selambanya.
Aku taklah ambil berat sangat gurauan Sepet dan Budut ini tapi dalam hatiku,
aku heran juga. Apa salahnya kalau ada Kadet Bomba. Kan elok kalau ada?
Boleh selamatkan orang. Boleh lawan api yang ganas. Bukan senang nak padamkan
api. Bukan boleh main simbah-simbah dengan air saja. Apa kata kalau makmal
fizik tiba-tiba terbakar? Apa kata kalau dewan makan tiba-tiba kena perun
dan api menjulang tinggi? Bagaimana kalau asrama dijilat api? Tentulah
Kadet Bomba berguna ketika itu.
"Ei, Pet, kaupun bukan sempat jadi Kadet Bomba. Tahun depan baru mula.
Tahun ni kita SPM. Lepas tu kitapun cabut. Kau dengan Budut takkan nak
lepak sini lagi?" Kataku menerangkan keadaan.
Tapi Sepet dan Budut dah tak peduli padaku lagi sebab dua-dua sudah kejang
ketawa. Entah apa yang kelakar sangat akupun tak tahu. Agaknya aku terlepas
gurauan mereka tadi.
Masa itu sudah bulan September. Kamipun sudah tak banyak lagi aktiviti.
Masing-masing sibuk dengan ulangkaji. Silibuspun dah hampir habis. Pelajar
tingkatan lima sekarang ini sudah boleh balik lewat setengah jam dari kelas
persediaan malam. Aku memang selalu belajar bersama Sepet dan Budut. Sepet
pandai kimia. Biologi, aku boleh tahan. Budut selalunya hanya tanya soalan.
Dia selalu tak faham. Tapi sebut fasal matematik, jangan lawan Budut. Add
Math. Modern Math. Berasap!
Sepet dan Budut cuma nama gelaran. Nama Budut Badrul Hisham. Nama Sepet
Khairul Anwar. Cuma Budut ini agak gendut sikit. Sikit sajalah gendutnya.
Bukan banyak sangat. Sepet memang sitap matanya. Kalau buka kacamata, mata
Sepet cuma tinggal dua calit di bawah keningnya.
Satu petang Sepet pangil aku dan Budut bersembang di tepi padang. Mukanya
nampak serius, tapi, tidaklah serius sangat. Masih tebal pura-puranya.
"Habis, kau nak ambil SPM dua kali ke?" Tanya Budut mula buat dajal.
"Agaknya seronok juga main fire extinguisher" Balas Sepet tidak melayan
gurauan Budut.
Budut senyap. Aku bingung. Tempohari tak suka. Sekarang dia kata seronok.
Apa, dia ingat Kadet Bomba tu belajar nak padamkan api saja ke?. Orang
cerita Kadet Bomba. Dia seronok nak main fire extinguisher pulak. Aku kira
itulah kali pertama Sepet kurang bergurau bila bergebang. Aku tak tahu
apa yang ada dalam kepala Sepet tapi petang itu Sepet asyik cakap pasal
alat pemadam api saja.
"Agak-agak dalam sekolah ini ada berapa buah?" Tanya Sepet pada kami.
"Oi.. banyaklah. Di asrama saja dekat-dekat dua puluh buah," Kata Budut.
"Kau nak jual ke?" Tanya Budut sambil mencuit ketiak Sepet.
"Woit, gelilah! Aku nak kira saja. Tak boleh ke?" Balas Sepet.
"Kalau nak tahu tanya Cikgu Yeohlah. Dia warden. Dia mesti tahu" Kataku
sambil bangun.
Loceng di dewan makan
sudah berbunyi. Menu minum petang adalah roti kaya dan air kopi susu.
Yeoh adalah satu-satunya warden asrama yang duduk di asrama. Biliknya tak
jauh dari bilikku. Kami baik juga dengan Cikgu Yeoh. Dia ajar fizik. Aku
rasa Cikgu Yeoh adalah guru fizik terhandal di sekolah kami. Keluar kelas
boleh buang nota. Faham semua. Tapi Cikgu Yeoh lebih manjakan Rashid, rakan
sekelasku. Rashid selalu belajar di bilik Cikgu Yeoh dan kadang-kadang
naik kereta Cikgu Yeoh pergi makan roti canai di pekan Kuala Pilah. Masa
SPM, bila semua pelajar lain balik, hanya pelajar tingkatan lima yang akan
tinggal di asrama. Cikgu Yeoh terpaksa tinggal juga sebab dia warden asrama.
Dalam kesibukan mengulangkaji,
aku rasa masa begitu cepat berlalu. Persoalan tentang Kadet Bomba sudah
tak lekat lagi diingatanku. Aku sibuk. Semua orang juga sibuk. Soalan-soalan
SPM yang lalu sudah hampir habis aku buat. Sepet dan Budutpun samalah.
Kamipun dah tak banyak masa lagi untuk bersembang. Kadang-kadang saja,
itupun sekejap. Kami tahu, masa tinggal sedikit saja lagi. Peperiksaan
tak pernah ambilkira kalau kami sempat bergurau atau tidak, sempat rehat
atau tidak. Rehat atau tak rehat, SPM akan datang juga. Dan kami kenalah
bersedia.
Satu hari ketika sarapan pagi, kami nampak Budut telan pil putih dua biji.
"Oo.. kau telan "pil pandai" ya? 'Nkau nak lulus SPM sorang-sorang ya?"
Perli Sepet.
"Aku sakit kepalalah, Pet. Kalau kau nak ada lagi dua biji..." Kata Budut
serius.
"'Nkau jaga baik-baik, Dut. Esok SPM" Kataku.
"Alah, sikit saja..." Jawab Budut.
Dan SPMpun tiba. Berat juga soalan-soalannya. Dah enam matapelajaran berlalu.
Aku kira, aku, Budut dan Sepet taklah teruk sangat. Kami masih bertenang.
Sekali-sekala kami main bola sampai dekat senja. Lepaskan tensionlah konon.
Itulah, satu malam ketika peperiksaan SPM, Sepet buat perangai lama. Hari
itu hari Jumaat. Cikgu Yeoh terpaksa balik kampung petang itu sebab ibunya
meninggal dunia. Dia balik naik bas ekspress malam. Dan malam itu tak ada
warden yang bertugas di asrama. Sabtu dan Ahad tak ada peperiksaan. Tiba-tiba
asrama jadi riuh rendah.
"Kadet Bomba! Kadet Bomba!" Teriak Sepet.
Aku nampak Sepet sudah terkinja-kinja di gelanggang sepaktakraw yang diapit
oleh dua blok asrama kami. Di tengah-tengah gelanggang itu, Sepet sudah
membuat unggun api yang besar. Sepet bakar kerusi dan tilam-tilam buruk
yang sudah lama berlonggok di tepi stor. Asap sudah berkelun-kelun, hitam
dan naik memenuhi ruang antara bangunan asrama. Sepet belari-lari di keliling
unggun api itu. Macam Red Indian. Memang Sepet ini sewel, fikirku.
"Kadet Bomba! Kadet Bomba! Toloong! Hoo! Ha! Ha!" Teriak Sepet lagi sambil
gelak besar-besar.
Dari tingkat tiga asrama itupun aku masih nampak mulut Sepet yang ternganga
luas. Kemudian Sepet terus berlari ke arah dinding kaki lima dan mengambil
alat pemadam api yang tergantung di situ.
"Yaa...! Kadet Bomba datang! Bertenang! Bertenang!..." Teriak Sepet sambil
mengangkat kedua-dua tangannya.
Kami semua tengok saja. Apa nak buat lagi? Api sudah menyala. Sepetpun
dah ambil pemadam api. Biarlah dia padamkan sendiri.
Sepet meletakkan pemadam api di atas gelangang sepaktakraw. Kemudian dia
memukul-mukul penutup picu alat itu. Ketika itulah bala turun pada Sepet.
"Pongg!..." Bunyi benda meletup dan serta-merta Sepet rebah.
Tangannya menekup mata kirinya. Dan serentak itu kulihat satu benda meluncur
di hadapanku tegak ke atas dan beberapa saat kemudian jatuh berdentang
di atas atap asrama.
Cepat-cepat aku turun. Risau juga aku melihat Sepet berguling-guling kesakitan.
Bila aku sampai di bawah, Rashid dan beberapa pelajar lain sudah memapah
Sepet ke kereta Cikgu Yeoh. Rupa-rupanya Cikgu Yeoh betul-betul manjakan
Rashid. Kunci keretanyapun ditinggalkan pada Rashid! Dan Sepetpun terus
dihantar ke hospital. Bila aku menoleh ke gelanggang sepaktakraw, unggun
api yang dinyalakan oleh Sepet sudahpun dipadamkan oleh pelajar lain. Dari
tempatku berdiri, aku dapat lihat titisan darah Sepet yang berceceran memanjang
daripada kawasan unggun api ke arah tempat letak kereta Cikgu Yeoh. Tong
alat penadam api sudah tumbang. Buih masih membuak-buak keluar. Bingkai
cermin mata sepet yang sudah bersepai tersepuk saja di situ. Perutku serta-merta
jadi kecut. Akan matikah Sepet malam ini? Akan butakah matanya?
Aku mula terbayang betapa kuat besi penutup tong pemadam api itu menghentam
dahi sepet. Pongg! Dan serentak itu tulang dahi Sepet terbelah. Retaknya
segera tersebar bercabang-cabang ke tulang tengkorak, lalu otak Sepet luka-luka.
Urat-urat darahnya putus-putus dan ada yang bersepai begitu saja. Darah
meluru keluar di celah-celah rekahan tulang tengkorak sahabatku Sepet.
Kata Cikgu Aloyah, jika otak berdarah, orang itu akan segera mati. Sepet
juga akan segera mati kerana otaknya berdarah dihentam oleh besi.
Dan malam itu aku tak boleh belajar. Aku sembahyang dan berdoa lama-lama.
Aku mohon agar Allah Taala panjangkan umur sahabatku Sepet. Jangan dia
mati malam itu. Belum ada kawanku yang meninggal dunia, rasaku. Jikapun
ada, malam itulah akan terjadinya. Aku minta agar Allah Taala janganlah
rosakkan matanya yang memang sitap itu. Dan juga aku minta agar Allah Taala
memberikan kesempatan agar Sepet dapat terus mengambil peperiksaan yang
akan disambung hari Isnin. Aku tak dapat bayangkan lagi kalau tulang dahi
sepet betul-betul pecah dan Sepet akan meninggal dunia pada malam itu.
Roh Sepet akan keluar dari celah rekahan ubun-ubunnya yang ternganga. Betapa
siksa kematian sahabatku Sepet. Akhirnya aku terlena di tikar sembahyang.
Bergulung saja aku di situ.
Pagi besoknya, Rashid memberitahuku, kening Sepet kena jahit lapan liang.
Petangnya aku mengajak Budut melawat Sepet di hospital. Aku sudah belikan
buah epal dan limau manis untuk Sepet. Mahal juga harganya. Tapi bila mengenangkan
Sepet yang terlantar sakit, apalah salahnya dia merasa buah-buahan yang
enak sikit. Lagipun Sepet kawan baikku.
"Wad A8, katil 31" Kata misi. Manis sekali misi itu. Merah bibirnya dan
matanya bulat. Senyumannya membuat aku terasa bahawa sahabatku Sepet belum
lagi meninggal dunia. Dia masih hidup. Masih kuat merapu barangkali.
Sampai di Wad A8, katil Sepet kosong saja. Tak ada tanda-tanda Sepet berada
di situ. Aku naik heran. Mana dia pergi?
"Kalau tak ada di sini, baik kita tengok di Bilik Mayat..." Cadang Budut.
Dus! Budut! Mahu saja
aku luku kepala Budut. Orang risau, dia masih nak bergurau. Bila aku toleh
ke muka Budut, dia cuma tersengih macam kerang reput.
"Nasib baik bingkai kacamataku besar. Kalau tidak, dah pecah tulang dahiku"
Kata Sepet pada petang Ahad. Dia balik kampung. Bapanya yang ambil di hospital.
Kening kirinya merening dan lebam. Dia pakai kacamata baru. Bingkainya
besar dan tebal juga.
"Pet, seronok ke jadi Kadet Bomba?" Tanya Budut.
"Woi! Celaka!" Kata Sepet pantas lalu melondehkah seluar pendek Budut.
Aku nampak daging
punggung Budut yang banyak isinya.
Pulau Tiga,
Sabah
Mac 2000.