HARI INI KITA
MENGHINA SEORANG MANUSIA
Oleh:
A. H. Ahmad
Hujan lebat. Petang
semalam hujan lebat begini juga. Besar-besar titisannya. Anginpun kuat.
Hujan dan angin lantas melanda dinding-dinding dan atap-atap kemah yang
didirikan di sekeliling padang tak jauh dari tebing Sungai Kiulu. Para
belia dan beliawanis yang menyertai Perkhemahan Belia Negara itu hanya
berkumpul, berteduh di bangsal urusetia. Bercerita itu dan ini. Barangkali
sedang menumpahkan rasa kecewa kerana hujan lebat petang itu.
Keindahan Sungai Kiulupun sudah disembunyikan oleh aliran air yang banyak
dan deras dari ulu. Keindahan sudah benar-benar ditenggelamkan, sudah dibaluti
oleh air yang coklat dengan ranting-ranting kayu berceranggah, daun-daun
mati dan sampah sarap. Semuanya berlumba-lumba ke hilir macam dihalau-halau
oleh aliran air Sungai Kiulu yang garang dalam hujan lebat.
Memang tiada keriangan yang diharap-harapkan. Tidak kelihatanpun keindahan
yang mempersona. Semua aktiviti terhenti. Pegawai-pegawai sedang berbual-bual
sesama sendiri sambil menghisap rokok lepas sebatang, sebatang. Sekali-sekala
berderai ketawa yang kuat yang kadangkala bunyinya macam sengaja dikuat-kuatkan.
Senang hati sungguh bila tidak perlu bekerja barangkali. Hanya perlu menghibur
hati di bangsal khas. Balik nanti boleh tuntut elaun perjalanan dari kerajaan.
Yang lain duduk bermalas di pangkin-pangkin kayu sambil berpeluk tubuh.
Jika tidak akan memasukkan tangan ke dalam poket lama-lama, memegang entah
apa-apa yang ada di sekitar poket-poket seluar.
Cuma itulah saja yang ada, kelihatan dan kedengaran: hujan lebat, air kotor
dan sampah-sarap, pegawai-pegawai yang ketawa berderai-derai, asap rokok
yang berkepul-kepul, orang-orang yang memeluk tubuh dan tangan-tangan yang
menyeluk-nyeluk poket. Di bangsal urusetia para belia dan beliawanis semakin
lemas dipeluk kedinginan, kebosanan dan kemalasan.
_______ *** _______
Hujan
lebat sudah reda. Angin mula mengarak awan ke tempat lain dan mungkin akan
mencurahkan air di tempat lain pula. Pastilah suasana suram di tebing Sungai
Kiulu petang itu akan timbul di tempat lain pula. Yang ada di tebing Sungai
Kiulu mula mendongak-dongak ke langit. Langit makin cerah. Gelak ketawa
pegawai-pegawai perkhemahan yang senang hati itu sama saja kuatnya macam
tadi. Sehinggalah seorang pegawai yang lain memberitahu mereka hujan sudah
reda barulah hilai ketawa itu surut sedikit-demi sedikit. Kemudian masing-masing
keluar perlahan-lahan ke tepi bangsal khas dan sama-sama mendongak ke langit
macam yang lain-lain. Memang langit semakin cerah.
Hujan sudah berhenti. Pegawai-pegawai Perkhemahan Belia Negara mula menyarung
kemeja-T rasmi yang diperuntukkan oleh kerajaan. Kemudian mula membelek-belek
buku aturcara. Pura-pura belum tahu lagi apa acara petang itu. Ada juga
yang masih mendongak-dongak ke langit. Mana tahu hujan mahu turun semula.
Kalau hujan turun semula, batalkan saja acara petang itu. Para belia dan
beliawanis yang sedari tadi bersedia dengan pakaian riadah sudah mula membelek-belek
kertas yang ada senikata lagu Belia Harapan Negara. Sepatutnya petang itu
semua peserta akan menyanyikan lagu itu sebagai persediaan hari penutup
yang akan dirasmikan oleh Menteri.
Di sudut padang sebatang tubuh kurus kerimping menapak perlahan-lahan.
Melangkah beberapa tapak kemudian berhenti lalu menoleh ke belakang ke
arah bekas-bekas tapak kakinya. Macam ada benda yang tercicir pula. Bila
sudah sah tak ada yang tercicir, dia melangkah lagi sambil menggaru-garu
pinggulnya yang timpus. Kurap dan daki sama tebalnya. Dia berhenti lagi.
Toleh ke belakang lagi. Memang sah tak ada harta-bendanya yang keciciran.
Kakinya yang tidak beralas apa-apa itu kelihatan kembang dan kematu. Kuku-kukunya
hitam. Dengan kaki itulah dia melangkah ke dalam padang lalu menghentak-hentak
kakinya ke atas padang sampai terpercik air yang masih tergenang di celah-celah
rumput. Dia ketawa kerana berjaya mengacau kedamaian air yang sedang seronok
bersembunyi di celah-celah rumput. Dia hentak lagi. Air terpercik lagi.
Dia hentak lagi. Dan ketawa lagi. Seronok sungguh menyakat air yang sedang
berpaut pada rumput-rumput di padang. Dia sudah tidak peduli kalau ada
harta kepunyaannya cicir sekalipun kerana sekarang itu tidak penting lagi.
Air yang sedang duduk nyaman-nyaman itu mesti di ganggu dan di sakat. Itu,
semua air yang ada di seluruh padang itu mesti diganggu dan disakat. Biar
bertempiaran dan terpercik semuanya.
Perbuatannya mengganggu air di celah-celah rumput itu tidak lama kerana
dia berhenti melakukannya secara tiba-tiba. Dia sudah hampir di tengah
padang. Padang itu sudah tidak seperti biasa lagi. Sudah ada banyak benda
di sekelilingnya. Banyak betul. Jauh lebih banyak dari jumlah jari-jari
tangan dan kakinya. Ada yang merah. Ada yang biru. Ada yang kuning. Macam-macam
warna pula. Damai sekali benda-benda itu semua terletak di sekeliling padang
macam diatur-atur layaknya. Keseronokan memercik air di rumput sudah tidak
berkesan di hatinya lagi. Perubahan besar pada suasana padang yang saban
hari dilawatinya itu sungguh-sungguh luarbiasa. Kakinya yang tidak beralas
dengan kuku-kuku yang hitam itu dibiarkan terendam di dalam air di
bawah paras bukulali.
Dia melihat pula orang berjalan perlahan-lahan ke arahnya. Semuanya muda-muda
belaka. Ada perempuan. Ada lelaki. Nampaknya macam takut benar orang-orang
itu memijak air yang sedang bersembunyi di celah-celah rumput itu. Mahu
saja dipekik kepada mereka supaya di tampankan tapak kaki kuat-kuat pada
permukaan padang biar bertempiaran air yang sedang bersenang-lenang itu.
Usah dibiarkan air itu berseronok-seronok saja! Kakinya dihentak-hentak
semula dan air memercik kian membasahi hujung kaki seluar yang semakin
kembang dakinya.
Di bangsal urusetia, para belia dan beliawanis dengan pakaian ehsan kerajaan
itu sudah mula berjalan perlahan-lahan masuk ke dalam padang. Habis basahlah
kasut-kasut sebab air hujan tadi masih bertakung di celah-celah rumput.
Berdecap-decaplah bunyi langkah masing-masing. Yang konon pembersih dan
penggeli berjalan terjengket-jengket: air di padang ini kotor, jangan sampai
terkena pakaianku. Ada yang merungut-rungut kerana terpaksa berbasahkasut
pula. Mana ada masa nak keringkan kasut kalau hujan-hujan begini? Besok
sewaktu majlis penutup yang dilakukan oleh Menteri, tentu kasut masih lagi
basah. Macam-macam bunyi dan sungutanlah yang ada di dalam kumpulan itu
yang tak tentu biji butirannya macam bunyi ikan sembilang di dalam lubang.
Sungutan itu tiba-tiba menjadi keriuhan pula bila kumpulan belia dan beliawanis
berada di tengah padang. Kadang-kadang ada bunyi bertanya: Apa tu? Siapa
tu? Apa dia buat di sini? Tak lama kemudian ada pula bunyi bertanya lebih
lanjut: Suku sakat siapa ni? Bapak siapa ni? Datuk siapa ni?
“Ini tentu datuk si anu!” Kata seorang belia mengusik seorang beliawanis.
“Eh, eh, bukan datukku, ini kan bapa kau!” Jawab si anu pantas.
Yang ada di sekelilingpun mula ketawa. Mula-mula sedikit saja yang ketawa.
Bila ramai yang sudah tahu, semakin kuat pula bunyi ketawa sampai riuh-rendah
di tengah padang yang becak dan lecah itu. Susuk kurus kerimping yang hodoh
dan kotor itu lalu ditonton beramai-ramai. Kasut yang basah sudah tidak
dipedulikan lagi. Tak ada lagi kalangan yang konon pembersih dan penggeli
yang berjalan terjengket-jengket. Masing-masing tersenyum sumbing dan ketawa.
Sekali-sekala ketawa besar berderai bila usikan-usikan betul-betul mengusik
tangkai hati. Macam ada hiburan baru pula di padang tak jauh dari Sungai
Kiulu itu.
Dia hairan melihat begitu ramai orang. Pakaian mereka nampaknya sama saja.
Seluarpun sama. Kasutpun nampak sama dan sama-sama basah. Tapi lain sekali
kalau dibandingkan dengan pakaiannya sendiri. Baju mereka putih, bajunya
kupam. Seluar mereka baru, seluarnya senteng bercapuk-capuk. Yang lebih
menghairankan lagi, orang-orang yang ramai itu sibuk pula berdiri di sekelilingnya.
Semuanya melihat kepadanya. Apa yang menarik sangat? Dia tersengeh menampakkan
giginya yang sudah rompong sedikit-sebanyak. Gigi dan tunggul gigi yang
masih ada jelas menampakkan pelbagai warna: kuning, putih dan hitam. Seorang
yang di sebelah kanan angkat-angkat jari telunjuk manuding-nuding kepadanya.
Kemudian yang lain-lain buka mulut besar-besar. Ada pula yang memegang
perut lalu terkinja-kinja macam monyet nampak ular sawa. Kemudian seorang
menuding pula. Yang lain-lain buka mulut lebih besar.
“Ha Ha Ha...!”
“Ha Ha Ha...!”
Pegawai-pegawai perkhemahan yang baru mahu mengarahkan para belia dan beliawanis
supaya berkumpul di tengah padang menjadi hairan. Belum sempat disuruh
semuanya sudah di tengah padang. Tapi bukan bersedia untuk menyanyikan
lagu Belia Harapan Negara. Mereka berkerumun pula! Apa pula yang riuh rendah
di sana itu? Ketua urusetia lantas mengambil pembesar suara baru yang diperuntukkan
oleh kerajaan. Suaranya dilepaskan seraya memberi arahan.
“Sila berbaris untuk menyanyi!”
Tiada seorang yang menaruh perhatian. Riuh rendah semakin pasang.
“Sila berbaris! Berbaris!” Kata Ketua urusetia lagi sedikit geram kerana
arahannya tidak diendahkan.
Para belia dan beliawanis terus juga berkerutung di tengah padang macam
ada sesuatu yang sangat menarik. Para pegawai dan Ketua urusetia lantas
berjalan ke arah kumpulan itu. Berdecap-decap bunyi tapak kaki yang menimpa
air di celah-celah rumput. Geram ada. Marahpun ada. Air terpecik kuat sampai
membasahi kasut dan hujung kaki seluar getah yang diperuntukkan oleh kerajaan
sempena perkhemahan itu.
“Hei! Mengapa tidak bersedia untuk nyanyi?” Tengking Ketua urusetia sebaik
sampai di tepi kumpulan belia dan beliawanis.
“Bapa si anu datang melawat kita, Encik!” Teriak seorang belia.
“Ha Ha Ha...! Ha Ha Ha...!”
Beberapa detik
kemudian fahamlah oleh Ketua urusetia bahawa ada seorang manusia kurus
kerimping yang comot dan menjijikkan di tengah-tengah kumpulan itu. Orang
itu tersengeh-sengeh. Kadang-kadang menggaru-garu ketiak dan pinggulnya
yang timpus. Yang ada di sekelilingnya itu semuanya menonton pada seorang
manusia itulah macam menyaksikan pertunjukkan sarkas pula. Timbul pula
rasa lucu di hati Ketua urusetia.
Entah orang gila mana yang terlepas ke sini. Tubuh kurus melidi dan kotor
pula. Kurap. Daki. Panau. Kapang. Semuanya ada untuk menggenapkan kehodohannya.
Mengacau saja. Lalu dia mengangkat alat pembesar suara yang baru dan membawa
dekat pada mulutnya.
“Ini barangkali bomoh hujan kita!” Katanya menyertai keriuhan petang itu.
“Ha Ha Ha...!” Sambut para belia dan beliawanis.
“Ha Ha Ha...!” Sambut para pegawai perkemahan.
“Ha Ha Ha...!” Sambut orang kurus kerimping yang di tengah-tengah kumpulan.
Pandai sungguh Ketua urusetia membuat kelakar petang itu.
Dia menjadi bertambah hairan. Ada pula orang yang menapis mulut bila bercakap.
Yang aneh lagi, suaranya tambah kuat bila ditapis dengan benda yang macam
corong itu. Belum pernah dia mendengar bunyi yang terpelancut dari penapis
serupa itu. Kuat dan lunak pula bunyinya. Orang itu datang dekat padanya.
Melihat tubuhnya. Ke atas. Ke bawah. Kadang-kadang disengetkan tubuhnya
untuk melihat sisi sebelah kiri dan kanan. Mahu tengok ketiakkah? Dia mengangkat
ketiaknya tinggi-tinggi lalu kelihatanlah bulu ketiak yang kasar-kasar
dan melekat-lekat. Yang ada di sekeliling paling muka, naik geli melihat
tayangan hodoh yang tidak disangka-sangka.
Orang itu lantas mengangkat penapis mulutnya. Muncung penapis disua dekat
mukanya lalu terpelancutlah bunyi yang kuat yang cukup enak didengar: Bomoh
hujan! Bomoh hujan! Bomoh hujan! Ah, bingit pula telinga mendengar bunyi
yang keluar dari penapis itu. Lalu telinganya dipekup. Dia tersengeh-sengeh
dan ketawa.
Keriuhan semakin menjadi-jadi. Ada pula para belia dan beliawanis yang
berpegangan tangan lalu bertandak di sekeliling manusia comot itu sambil
mengarang lagu jenaka yang ada kena-mengena dengan kehodohan yang terhidang
di hadapan mereka. Yang lain-lain seronok memerhati. Senyum. Ketawa. Terhibur
sungguh mereka pada petang itu.
Dalam keriuhan itu datang seorang belia menerpa perlahan-lahan penuh sopan
ke arah Ketua urusetia. Dia tersenyum tawar separuh gugup agaknya.
“Encik, boleh saya pinjam alat pembesar suara sekejap?”
“Ah, boleh... Kau mahu buat lagu baru? Silakan...”
Belia itu menyambut alat pembesar suara dari ketua Urusetia.
Antara gugup, geram dan sayu dia membawa alat pembesar suara dekat pada
mulutnya. Corong pembesar suara diarahkan ke pada para belia dan beliawanis
yang sedang menari-nari berpegangan tangan di keliling manusia comot yang
kurus di tengah padang. Suis alat pembesar suara ditekan terus dengan jari
telunjuk dan dia mula bersuara.
“Saudara, tolong hentikan semua ini!” Degupan jantungnya serta-merta menjadi
pantas. Entah sebab marah, entah sebab gugup. Tetapi dia yakin pesanan
itu mesti disampaikan segera. Tak boleh lewat sedikitpun!
“Hentikan! Hentikan kegilaan itu!” Ulangnya deras apabila dua tiga orang
masih lagi terkinja-kinja tak puas-puas.
Ketua urusetia merasa kaget dan rasa mahu mengambil semula alat pembesar
suara yang dihulurkannya tadi. Sangkaannya meleset sama sekali. Tapi tidak
jadi dia meneruskan niatnya itu bila mula terasa kehodohan perangainya
sebentar tadi. Sesungguhnya kehodohan lakunya jauh lebih hodoh dari bulu
ketiak yang melekat-lekat kepunyaan manusia comot yang dipersendakan itu.
Suasana menjadi sunyi degan tiba-tiba. Yang kedengaran cuma suara hembusan
nafas dari manusia comot yang masih lagi tersengeh-sengeh di tengah-tengah
kumpulan. Para belia dan beliawanis yang mengambil bahagian dalam tarian
sebentar tadi cepat-cepat mencari tempat sembunyi di celah-celah rakan-rakan
yang ramai itu. Padang yang dilanda oleh kaki-kaki mereka sewaktu menari
tadi sudah lecah dan berlumpur. Warna lumpur yang coklat likat itu jelek
sekali, sejelek kelakuan mereka yang baru tamat dua tiga detik yang lalu.
“Tujuan kita datang berkemah di sini adalah untuk memurnikan hidup supaya
tidak membuat kerja-kerja yang tidak berfaedah dan meruntuhkah moral. Kita
hendak membetulkan disiplin yang tidak betul. Hendak menyediakan diri menjadi
harapan negara. Bukannya berperangai serendah ini!” Laung belia itu melalui
pembesar suara milik kerajaan.
“Tidak ada gunanya kerajaan menghabiskan duit pada hari ini jika kita hanya
seronok mempersendakan orang yang tidak siuman ini” Katanya lagi.
“Biarkanlah dia, dia tidak bersalah...” Katanya separuh sebak. Air jernih
mula menitis dari bibir matanya.
Bila belia itu berhenti bersuara sebentar, suasana benar-benar bisu. Sebisu
air yang tergenang di padang itu. Hilai ketawa, riuh rendah, lagu-lagu
jenaka dan segala macam kejelekan laku sudah hilang dimamah kebisuan itu.
Ketua urusetia dan para pegawai memandang-mandang antara satu sama lain,
menaik-naikkan kening dan kemudian tunduk malu kepada diri sendiri.
“Tidak ada guna kita berkemah begini kalau yang mengepalai kitapun berperangai
buruk. Saudara-saudara sudah lihat tadi dan saudara-saudara sudah
mengikutnya!. Hari ini kita menghina seorang manusia. Manusia yang tidak
siuman ini sudah menelanjangi hati kita semua!” Sambung belia itu tersekat-sekat
lantas menyerahkan kembali alat pembesar suara milik kerajaan itu kepada
Ketua urusetia. Dia lalu lari ke kemah kepunyaannya.
Ketika orang kurus kerimping itu menoleh ke belakang untuk memastikan tiada
hartanya yang keciciran, belia itu sudah menahan sebuah kenderaan untuk
pulang ke Kota Kinabalu.
KEMBALI KE CERPEN
HOME