EPIZOOTIK
OLEH A. H. AHMAD

    Biasa saja. Di taman-taman bunga, di taman-taman perumahan, di kampung-kampung biasa dan kampung-kampung setinggan - banyak sekali kampung setinggan. Malah di dalam bandar juga sama. Seluruh kawasan penuh dengan sampah. Di padang-padang, di atas jalan, di tepi jalan, di dalam longkang, di sepanjang pantai, di bawah-bawah kolong dan di mana-mana saja, begitulah keadaannya. Sampah, sampah, sampah.
     Di dalam rumah juga ada sampah. Tetapi sampah itu segera dihumban ke luar tingkap. Kemudian dikumpulkan dan dihumban pula ke luar pagar. Di luar sana ada orang lain yang akan jaga. Di dalam kereta juga ada sampah. Tetapi sampah itu segera dihumban ke luar tingkap. Tin dan plastik minuman, kulit rambutan, kotak rokok dan mancis, kertas pemusi muka dan macam-macam serbanika sampah. Dihumban dan dihumban ke luar tingkap kereta. Biasa saja semacam tiada apa-apa. Lalu bertambah-tambahlah sampah di seluruh kawasan.
     Biasa saja. Dan tiada siapapun yang ambil peduli. Sampah sudah menjadi sebahagian dari hidup manusia di sini. Sampah juga sudah menampung kehidupan makhluk-makhluk bukan manusia di sini.
     Lihatlah di waktu pagi. Gagak-gagak yang hitam itu mengonggong makanan dari timbunan sampah. Suara ucapan terima kasihnya kepada para manusia parau saja. Ramai juga yang tidak suka kepada haiwan-haiwan hitam itu tetapi sama-sama menyara kehidupannya. Cebisan roti, mee goreng dan nasi goreng yang tidak habis di makan, sisa-sisa lauk yang lazat-lazat disedekahkan kepada gagak. Mudah saja. Persembahkan saja di tepi-tepi jalan, di tepi-tepi longkang dan di luar-luar tong sampah. Gagak-gagak akan menerimanya macam biasa.
     Lihatlah anjing-anjing dan kucing-kucing kurap entah kepunyaan siapa. Mengorek, mencakar dan menyondol-nyondol sampah. Makan apa saja yang boleh di makan. Setelah kenyang akan duduk tersepuk di mana-mana sambil menggaru-garu kurap dan kutu tak henti-henti. Kadang-kadang saling bercakaran sesama sendiri berebut makanan. Kadang-kadang - setelah kenyang - berkejar-kejaran pula jantan dan betina. Melampias naluri alamiahnya lalu berkembang-biaklah sekelian anjing dan kucing menghasilkan lebih banyak makhluk bukan manusia yang disara oleh makanan di dalam sampah itu. Semuanya berkurap dan berkutu.
     Tiada siapapun yang ambil peduli kepada ribuan tikus yang merayap di malam hari. Mencari habuan masing-masing di celah-celah timbunan sampah yang memang menjadi pandangan biasa di sini. Tikus mondok, tikus padi, tikus tanah; semuanya sama-sama mencari makanan yang lebih mudah di dalam timbunan-timbunan itu. Keluarlah dan makanlah apa yang ada. Tikus sememangnya bebas merayap-rayap di mana-manapun selagi mentari belum timbul. Sesekali tikus berhenti menggaru-garu perut akibat getisan kutu yang nakal-nakal.
     Demikianlah hidup dan kehidupan di sini. Biasa saja dan tiada siapapun yang ambil peduli. Manusia dengan hal masing-masing. Makhluk bukan manusia juga dengan hal masing-masing. Kekotoran dan keindahan sama saja nilainya. Barangkali manusia dan haiwan hampir sama darjatnya.
         Tiada siapapun yang tahu apabila sebahagian tikus mati di celah-celah timbunan sampah. Bau bangkai tikus larut di dalam bau-bauan yang memang lebih kuat dan lebih biasa di sini. Tikus-tikus tiba-tiba semakin banyak yang mati. Mati begitu-begitu saja. Terbungkang kaki mengadap langit dan darah cair meleleh perlahan-lahan dari hidung dan mulut. Bukan tidak nampak. Ramai  manusia yang nampak bangkai-bangkai tikus yang bergelimpangan di tepi-tepi jalan tetapi tidak memperdulikannya. Sekurang-kurangnya sekarang tikus tidak lagi membuat bising di atas loteng sewaktu nyenyak tidur.
     Kematian semakin melarat lalu melanda pula masyarakat kucing dan anjing yang biasa berkeliaran di sini. Pun tiada siapa peduli. Yang lalu-lalang hanya menekup hidung sebentar kemudian lepas semula.
     Manusia di rumah-rumah setinggan sudah mula tidak lelap tidur. Malam-malam kulit gatal digetis kutu. Kutu-kutu itu nakal benar. Sudah payah mencari makan sekarang sebab makhluk-makhluk bukan manusia sudah banyak yang mati. Cuma darah manusia saja yang mudah dihisap sekarang. Dan tergaru-garulah masing-masing di dalam tidur. Dua tiga hari kemudian iapun menjadi biasa dan kehidupanpun pulihlah semula tanpa tikus, tanpa kucing dan tanpa anjing. Yang tinggal hanya manusia dan kutu-kutu. Sampah semakin bertimbun tetapi tiada lagi yang datang mengorek, mengais atau menyondol-nyondol.
     Epizootik telah melanda kalangan masyarakat tikus. Itulah buktinya - kematian yang banyak dalam masa yang amat singkat! Tiada siapa yang tahu tentang bengkak-bengkak yang timbul di tubuh-tubuh tikus kerana tikus mati adalah perkara biasa di sini. Bengkak-bengkak itulah bubo. Memang sahlah sudah, bubonic plaque  - penyakit purba itu muncul kembali. Kali ini baru melanda masyarakat tikus yang banyak di timbunan sampah. Kemudian melanda pula masyarakat kucing dan anjing. Tubuh-tubuh kejang berjungkangan di sana-sini. Ribuan mahkluk bukan manusia di timbunan sampah itu habis mati dalam beberapa hari. Kuman Yersinia pestis  itu benar-benar menunjukkan belangnya setelah beratus-ratus tahun pendam. Tiada siapapun yang peduli.
     Begitulah sedikit perubahan dalam dua tiga hari itu. Sedikitpun tidak menjejaskan kehidupan manusia di sini. Bau-bau yang tengik dan maung memang dirasakan tetapi itu bukanlah keadaan luar biasa. Memang sudah lama benar ada bau-bauan seperti itu di dalam lingkungan hidup di sini.
     Kutu-kutu berperut kembung merayap keluar dari lembah kematian tikus, kucing dan anjing. Sudah tiada lagi darah segar yang dapat disedut. Di usus kutu, kuman berkembang-biak. Lalu kembunglah perut-perut kutu diasak oleh jutaan kuman. Di tempat-tempat tidur manusia, kutu menghisap darah ke dalam perut tetapi memuntahkan kuman ke dalam darah manusia. Maka terpindahlah kuman yang membunuh masyarakat bukan manusia itu ke dalam tubuh manusia pula. Tiada siapapun yang yang tahu kerana tiada siapa yang mahu ambil peduli. Semuanya macam biasa saja. Getisan kutu dan kegatalan kulit sememangnya bukan perkara luar biasa.
     Di kampung-kampung setinggan sudah ada orang yang demam, sakit kepala, kadang-kadang sejuk menggigil tiba-tiba dan sakit di leher, di celah kangkang dan celah ketiak. Ah, sakit-sakit begitu bukankah perkara biasa? Selama inipun pendudu-penduduk kampung setinggan memang tidak kering sakit. Sakit itupun boleh kebah sendiri bila dibiarkan lama-lama. Kehidupanpun berlangsung lagi beberapa hari dan ketika itu satu demi satu terlantar di rumah-rumah setinggan. Yang terlantar tidak keluar bekerja.Yang lebih dahulu terkena penyakit kini hanya mampu bernafas. Menyedut udara dan menghembus kuman dari paru-paru. Maka bertaburanlah kuman-kuman di dalam udara.  Udara itu-itu jugalah yang disedut oleh orang-orang di sekeliling mereka dan kumanpun turut dikongsi sama. Yang belum sakit terpaksa keluar mencari rezeki.
     Demikianlah demam merebak ke seluruh kawasan. Ke kampung-kampung dan ke bandar. Pun begitu belum ramai yang peduli. Ah, orang demam hantarkan saja ke rumah sakit!
     Di rumah-rumah sakit ramai yang berbaris meminta ubat demam. Selama inipun memang ramai manusia demam-demam.
 “Apa sakit, Pak?”
 “Saya demam, Tuan Doktor”
 “Oh, tidak apa. Ini demam biasa. Memang ramai yang kena”
 “Ya, memang ramai yang kena, Tuan Doktor”
 “Bapak boleh ambil ubat di luar. Datang balik lepas tiga hari, ya?”
 “Terima kasih”
Dalam beberapa hari semakin ramai yang demam. Khabarnya sudah berpuluh orang yang mati di kampung-kampung setinggan.
     Oh, keadaan sudah jadi luar biasa! Kematian semakin meningkat. Orang sudah mati di kampung-kampung. Buruh-buruh ramai yang mati di tapak pembinaan. Para gelandangan sudah mati di lorong-lorong. Mayat-mayat manusia sudah berjungkangan macam bangkai-bangkai tikus, kucing dan anjing beberapa hari yang lalu!
     Malapetaka apakah ini? Cerita sudah tersebar di kertas-kertas surat khabar dan di kaca-kaca tv. Berita-berita ngeri berkumandang di corong-corong radio. Manusia ternganga-nganga. Berkat teknologi yang ada, penyakit purba itu dapat dikenal lalu namanya diterjemah sebagai hawar berdarah. Hawar berdarah sudah menjadi wabak yang amat cepat merebak. Sebarannya cukup mudah. Tariklah nafas dan manusia yang tidak sakit akan sakit. Yang mengerti dan yang tidak mengerti menjadi tidak keruan. Penyakit hawar sudah melanda! Hawar yang dulu pernah membunuh dua juta rakyat Eropah. Akan matikah penduduk bandar ini?
     Manusia di sini menjadi kelam-kabut. Lari! Lari dari sini! Maka berlarianlah masing-masing keluar dari bandar ini. Yang kaya lari berkenderaan. Yang miskin memikul dan menjunjung barang lalu menapak perlahan-lahan. Ada yang lari ke bandar lain. Ada yang lari pulang ke kampung. Lari dari kematian?
 Hawar berdarah mewabak dan mewabak. Teknologi yang mengenalnya. Teknologi yang menyebarkan beritanya dan teknologi juga yang menyebarkan wabaknya.
     Itulah dalam beberapa hari sudah tersebar berita kematian di bandar-bandar lain pula. Mungkin banyak juga kematian di kampung-kampung. Kematian manusia sudah melarat ke seluruh negeri! Kekalutan merebak ke negara-negara jiran dan segera tersebar ke jagatraya. Pihak berkuasa yang baru celik kuasa kalut-kalut bertindak.
“Sekat semua jalan masuk dan keluar!”
“Tutup pelabuhan!”
“Tutup lapangan terbang!”
“Tutup semua jalan darat!”
Tutup! Tutup! Tutup!
     Dan segala-galanya terhenti. Manusia sudah kecut ketakutan. Melihat bangkai-bangkai haiwan yang berjungkangan di mana-mana, kematian dirasakan semakin hampir. Gagak-gagak semakin galak berterbangan. Hidup mewah menggonggong cebisan-cebisan daging yang memang sudah bersepah di sana-sini. Suara-suara parau itu ada di tanah, di atas pokok dan di angkasa.
     Di situlah kuburmu! Di celah timbunan sampah itulah! Sungguhlah sudah ada mayat-mayat manusia yang bergelimpangan di padang-padang dan di lorong-lorong dan di hospital-hospital. Epizootik benar-benar sudah pasang dan mengamuk. Sudah beratus-ratus manusia mati dalam masa beberapa hari. Keadaan sudah menjadi sungguh luar biasa.
     Maka bantuanpun mula datang mencurah-curah. Segala manusia pakar datang untuk mengubat manusia yang masih hidup di sini. Hospital-hospital semakin sesak dan khemah-khemahpun didirikan. Bahan anti-kuman beraneka jenis diterima dan diagih-agihkan. Streptomycin. Kanamycin. Gentamycin. Chloramphenicol.  Semuanya digunakan. Lalu manusia yang tidak matipun pulih perlahan-lahan.
     Pihak berkuasa sibuk menanam orang-orang mati. Mereka ditanam di dalam kubur-kubur yang besar. Lubang-lubang yang besarpun digali untuk menanam bangkai-bangkai binatang yang sudah mereput. Sampah yang bertimbun-timbun juga ditanam di dalam lubang-lubang yang lebih besar dan lebih dalam. Padang-padang, jalan, longkang, pantai, bawah-bawah kolong dan seluruh kawasan sudah dibersihkan semula. Dan papan-papan tanda yang pernah tumbang bertahun-tahun dahulu kini tercacak kembali. Di atasnya tertera: DILARANG MEMBUANG SAMPAH MERATA-RATA. DENDA $500.00. Sesungguhnya kini papan-papan tanda itu sudah tidak perlu. Manusia di sini sudah benar-benar faham erti kebersihan dan erti kekotoran.
     Gagak-gagakpun semakin tenggelam punca kerana sudah tiada makanan yang dipersembahkan lagi. Tidak berapa lama, gagak-gagakpun hilang entah ke mana. Demikianlah alam mengajar dan mengingatkan manusia.

 
KEMBALI KE CERPEN
Hosted by www.Geocities.ws

1