OLEH:
A. H. AHMAD
Aku kira siapapun tak suka pada Black. Aku sendiri sungguh benci pada
Black. Kawan-kawanku juga benci. Malah semua pelajar tingkatan satu di
sekolah kami memang benci dan meluat pada Black. Akupun hairan. Sungguh-sungguh
tak adil. Mengapa manusia samseng macam Black ini boleh belajar di sekolah
berasrama penuh?
Entah mengapa aku juga amat takut pada Black. Suara Black nyaring. Selalu saja berteriak itu dan ini. Panggil dan tengking siapa saja yang dia suka. Aku gerun melihat mata Black. Mulutnya. Tangannya. Bayangnya. Aku ketar kalau Black naik ke bilik kami di tingkat empat bangunan asrama. Malah aku jadi kecut biarpun cuma melihat Black tarik nafas sekalipun. Kukira tak ada manusia yang lebih ganas daripada Black di sekolah kami. Jika boleh, aku tak mahu bertembung dekat atau bertembung jauh dengan Black. Tapi jika Black memanggilku, sumpah! Aku tak berani lari. Aku memang takut pada Black.
Black sudah tingkatan lima. Black abang senior. Dan Black juga berkuasa.
Semua orang takut pada Black. Dengar kata Black ini juga ada kawan kaki
pukul di bandar. Jangan siapapun melawan. Silap-silap nanti kena henyak
oleh kawan-kawan Black sewaktu keluar ke bandar. Apalagi! Bengkak-bengkillah.
Dan gigi berlumba-lumba masuk dalam perutlah. Demikian kata kawanku Yusri.
Katanya, Abang Black itu seorang "taiko". Aku tidak pernah cuba mencari
makna sebenar perkataan taiko itu tapi bunyinya sudah cukup merisaukan
aku. Black suka ketawa kuat-kuat. Black akan buka mulut luas-luas. Bila
Black tutup mulut, senyum sudah tak ada lagi di bibirnya. Yang tinggal
cuma kebengisan. Bila Black angkat jari, pasti kami akan jadi mangsanya.
"Woi!, freshie!" Dan seorang kawanku akan tertunduk-tunduk macam
ayam kebasahan berjalan ke arah Black.
"Assalamualaikum, Abang Black..."
"Hapa slamelekom, slamelekom!? Pergi ambik air panas!" Dan kawanku
akan mengambil bekas plastik dari tangan Black dan pergi ke dewan
makan. Di sana kawanku akan meminta Arumugam, tukang masak kami, menuangkan
air panas. Kawanku akan hantarkan air panas ke tepi katil Black. Nanti
Black akan halau kawanku keluar. Kawanku segera cabut. Kemudian Black akan
merendam mi segera kegemarannya.
Pernah sekali Yusri melawan cakap Black. Black suruh Yusri membangunkannya
tepat jam tujuh pagi. Agaknya Black memang tak pernah sembahyang subuh,
fikirku. Esoknya Yusri sengaja tidak pergi. Apa lagilah, pada malam
itu Black mengirim utusan memanggil Yusri ke biliknya. Bencanapun terjadilah
pada Yusri. Yusri pulang lewat ke katil. Yusri menangis dalam kelambu.
Kata Yusri, Black suruh dia buat "helikopter". Lama betul, kata Yusri.
Hingga Yusri jadi pening-pening dan tumbang beberapa kali. Yusri muntah
di lantai bilik Black kerana pening kepala. Bila sudah lega, Black menengking
Yusri dan suruh bersihkan muntahnya sendiri dengan baju yang dipakainya.
Abang-abang senior yang sebilik dengan Black gelak sampai keluar air mata.
Esoknya, tepat pukul tujuh pagi, Yusri pergi mengejutkan Black dari tidur.
Yusri juga terpaksa ambil nasi lemak dan air teh susu dari dewan makan
untuk Black pagi itu. Dan Yusri tak berani lagi melawan Black. Demikian
Yusri menceritakan padaku.
"Woi!" Pekik Black satu pagi. Aku menoleh ke arah suara Black.
"'Nkau, mari sini!" Kata Black terus membengkokkan jari telunjuknya
padaku. Cepat-cepat aku pergi kepadanya.
"Assalamualaikum, bang..." Kataku antara takut dan meluat.
"'Nkau nak mampos ke? Cakap betul-betul!" Balas Black pantas.
Kurasa bagaikan mahu melompat lari keluar dari tubuhku.
"Assalamualaikum, Abang Black..." Kataku membetulkan salam untuk
taiko sekolah kami.
"Ambil roti dengan air kopi! Kalau lambat 'nkau jaga..." Tegas
Black lalu pergi ke bilik mandi. Dan selepas makan minum ala kadar, segera
kususun enam keping roti. Kusapukan kaya dan kukepilkan roti itu dua-dua
keping. Kemudian kucuci cawanku bersih-bersih dan kutuangkan air kopi susu
lalu kuhantarkan semuanya ke tepi katil Black. Black memang bangun lewat
dan mandi lewat.
Pada cuti hujung minggu, aku tak berani merayau-rayau dalam bangunan asrama. Aku lebih suka duduk di kelas atau bermain di padang. Bukan sangat untuk belajar atau untuk bersukan, tetapi aku takutlah kalau-kalau Black memanggilku ke biliknya dan suruh macam-macam. Cuti hujung minggu jangan main-main. Macam-macam boleh terjadi. Black selalu menjadi lebih samseng dan buat sesuka hatinya. Black akan keluar dari biliknya di tingkat bawah asrama dan berdiri di gelanggang sepaktakraw yang diapit oleh dua blok asrama putera. Bila ganasnya tiba, ada kalanya Black panggil dua-tiga orang sekaligus! Suruh urut belakanglah. Cuci kain bajulah. Kemaskan katillah. Cuci tingkaplah. Paling tidak menyuruh kawan-kawanku menjadi jaga atau "spy" ketika Black dan kuncu-kuncunya merokok di belakang almari dalam biliknya.
Kadang-kadang aku terfikir juga betapa untungnya menjadi orang yang ditakuti di asrama. Aku ingin juga berkuasa seperti kuasa yang ada pada Black itu. Masakan tidak? Tak payah ke dewan makan. Tak perlu cuci baju. Tak perlu bangun awal. Ada orang urut belakang. Boleh buat apa saja dan tidak ada orang yang berani cakap apa-apa. Tak ada orang yang berani lapor pada sesiapa. Semua orang tak boleh angkat muka. Pengawaspun tak berani menegur Black kerana Black lebih berkuasa dari pengawas. Ketua Murid Agung yang sentiasa kemas dengan "blazer" dan tali lehernyapun kukira sengaja tutup mata. Atau mungkinkah Ketua Murid Agung juga kecut dan berpeluh sejuk bila berhadapan dengan Black?
Entahlah!. Bila aku termenung memikirkan kesamsengan Black, aku jadi loya dan mual. Kebencianku meluap-luap pada manusia bergelar Black ini. Sering kubayangkan Black menjadi lintah kerbau yang selalu kuterbalikkan tubuhnya dengan lidi sebelum kucucukkan pada pagar kawat duri atau kurendam dalam cuka getah. Biar mampus. Mengapa tidak saja Black ini mati dilanggar lori ketika keluar ke pekan? Alangkah indahnya jika Black ini tiba-tiba menjadi manusia kudung, buta dan bisu.
Pagi itu pagi Isnin. Kami sudah sedia dengan pakaian sekolah yang kemas
dan bersih. Semua orang bertali leher dan mula turun menuju ke dewan makan
untuk bersarapan pagi. Menu pagi itu, nasi lemak dengan sambal tumis ikan
bilis dan air teh susu. Ketika sampai di tingkat bawah asrama, aku berjalan
rapat-rapat di celah rakan-rakanku. Bukan apa. Aku bimbang betul kalau-kalau
Black muncul dari biliknya dan suruh aku ambil nasi lemak dan teh susu
untuknya.
"Woi!" Suara Black nyaring. Aku kaget dan rasanya kakiku sudah tak
lagi mencecah simen kakilima. Aku pura-pura memandang longkang dan pokok
bunga sambil cuba menyusup di celah kawan-kawanku.
"Woi!, celaka! Pandang sini!" Ah! Aku tak mampu lagi berpura-pura.
Bila aku menoleh ke arah Black, matanya baru saja beralih memandangku.
Serta-merta jarinya telunjuknya menuding lurus.
"Ei, Bangang, mari sini!" Dan aku benar-benar terasa bangang kerana
menoleh kepadanya tadi. Aku sedar Black cuma main serkap jarang. Siapa
menoleh, dialah yang kena. Tapi aku sudah tak berdaya lagi mengelak dan
akupun berpecahlah daripada kumpulan kawan-kawanku. Selama hidupku di asrama
dan rasa takut pada Black yang selalu sahaja menghantuiku, aku sudah dapat
menjangka kata-kata kesat Black dan arahan serta ancaman yang bakal kuterima
pagi itu. Black baru saja keluar dari bilik mandi. Black masih bertuala
dan berselipar jepun. Rambutnya masih basah dan tidak berbaju.
"Assala..." Kalimatku terpancung. Belum sempat habis kalimatku,
lidahku tiba-tiba kelu. Langkahku terhenti dan serta-merta juga mulutku
terlopong bila memandang ke arah Black.
Kup-kup!... Kup! Kepala Black diluku tiga kali. Black tertunduk ke hadapan dan hampir terjatuh dalam longkang di depanku. Aku menyaksikan malapetaka yang menimpa Black pagi itu di depan mata kepalaku sendiri. Pengetua kami, Cikgu Hanif, yang dari tadi memerhatikan perangai Black tiba-tiba bertindak tanpa disedari oleh Black. Black pusing ke belakang dengan pantas dan garang tetapi disambut lagi dengan tiga kali luku keras dari tangan kanan Cikgu Hanif. Mulut Black yang selalu becok itu terkunci rapat. Ajaib sungguh penangan Cikgu Hanif! Tubuh Cikgu Hanif yang kurus itu sekonyong-konyong berubah menjadi terlalu gagah. Rambut Black ditarik ke hadapan dan sepantas kilat pula ditolak semula ke belakang. Black hampir tersungkur di atas simen gelanggang sepaktakraw. Ketika itu tuala mandi Black terlondeh dan hampir jatuh. Aku nampak daging punggung Black yang hitam legam. Untunglah tangan Black sempat mengepit hujung tuala mandinya lalu terselamatlah kemaluannya daripada terdedah. Dua blok bangunan asrama putra empat tingkat itu meletup dengan gelak ketawa. Dengan segera Black mengikat semula tuala itu dipingangnya dan terus tunduk semacam pasrah terhadap apa saja tindakan Cikgu Hanif pagi itu.
Pang! Pang! Muka Black menerima tamparan Cikgu Hanif kiri dan kanan.
Black tunduk. Rambutnya yang masih basah terjuntai di depan dahi.
"Oo..., samseng ya? Samseng?" Soal Cikgu Hanif dan...Kup! Lukunya singgah
di kepada Black untuk kesekian kalinya. Perlahan-lahan Black mengangkat
tangan kirinya dan mula mengesat mata. Nafasnya sersenggut-senggut. Pah!
Aku macam tak percaya! Black - taiko sekolah kami - menangis kena luku!
Yakinlah aku sesungguhnya tangan kanan dan kiri Cikgu Hanif memang ajaib.
Tak ada benda yang lebih ajaib daripada itu.
Aku tak ingat lagi apa yang berlaku antara Black dan Cikgu Hanif pada pagi itu kerana apabila Cikgu Hanif mengangkat muka ke arah kedua-dua blok asrama, semua murid menjadi kelam-kabut. Kami takutlah, salah langkah kami pula yang kena luku. Kami semua berpusu-pusu meninggalkan asrama dan masuk ke dewan makan untuk bersarapan pagi. Ternyata, suasana dalam dewan makan pagi itu bising sekali.
Subuh esoknya aku lewat ke surau. Ketika aku sampai, jemaah sudah masuk
rakaat ke dua. Aku mengambil tempat di saf belakang tetapi...Pah! Di sebelahku,
Black - samseng kampungan itu - datang sembahyang subuh! Gulung kainnya
besar dan senteng, tidak berkopiah. Kepalanya tunduk. Selepas mengangkat
takbiratul-ihram dan meletakkan tangan di atas pusat, kurasakan perutku
menjadi keras dan tersentak-sentak. Rasanya bagaikan mahu meletup. Mukaku
terasa panas. Aku terkial-kial cuba mengunci mulut. Dalam kegelian hati
yang menggigit-gigit tangkai hati dan menggaru sudut-sudut jantungku, aku
cuba tumpukan perhatianku kepada solat subuh yang kurasakan begitu lambat
selesai.