F-5E Tiger II

oleh
Prof. Madya Ahmad Faisal Alias


Northrop F-5E/F Tiger II

Pesawat pejuang F-5E/F Tiger II mula menjadi tunggak utama sistem pertahanan ruang udara Malaysia pada tahun 1975 apabila TUDM menerima 14 buah pesawat jenis tersebut. Pembelian pesawat ini adalah sebagai menggantikan pesawat jet pejuang Avon F-86 Saber yang telah digunakan sejak tahun 1969 (Perajurit Ogos 1998) dan sebagai penyokong kepada pesawat CL-41G Tebuan (Squadron No. 6 dan No. 9) yang telah dibeli dari Kanada.

f5e Keupayaan pesawat F-5E amat diperlukan dalam peranan pertahanan udara kerana pesawat Tebuan berperanan utama sebagai pesawat bantuan serangan ke bumi (ground attack) dan giat digunakan dalam usaha memerangi kegiatan pengganas komunis (counter-insurgency-COIN) pada ketika itu. Penggunaan pesawat F-5E ini juga mula memperkenalkan TUDM kepada era pesawat supersonik dan sistem 'avionic' dan suite-suite elektronik yang canggih.

Sejarah dan Perkembangan F-5E

Sejarah dan perkembangan pesawat F-5E bermula pada tahun <>1963 apabila pihak Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) mengumumkan sebuah 'pertandingan' untuk menghasilkan sebuah IFA (International Fighter Aicraft) untuk menggantikan pesawat generasi F-5A/B Freedom Fighter. Tumpuan utama IFA adalah sebagai sebuah pesawat 'air-superiority'dan bukan sebagai pesawat pejuang tempur taktikal sebagaimana peranan F-5A/B. Pelanggan-pelanggan yang berpotensi untuk pasaran pesawat baru ini adalah negara-negara yang menghadapi ancaman dari lawan yang menggunakan pesawat MiG-21 generasi terkini buatan Rusia.

Empat syarikat telah menghantar penyertaan masing-masing untuk pertandingan ini. LTV (Ling-Temco-Vought) telah mengemukakan sebuah pesawat yang telah diperkembangkan dari pesawat F-8 Crusader, Lockheed dengan pesawat CL-2000 Laser, model yang diperkembangkan dari F-104 Starfighter, McDonnell Douglas pula dengan versi F-4 Phantom II yang lebih ringkas manakala Northrop dengan versi F-5A/B Freedom Fighter yang telah dipertingkatkan.

Penyertaan yang terpilih untuk perkembangan lanjut adalah dari syarikat Northrop yang dikenali sebagai F-5A-21, sempena penggunaan enjin General Eletric J85-GE-21A turbojet yang lebih berkuasa dengan keupayaan tujahan statik pada 5,000 lb dengan 'afterburning' setiap satu. Seperti saudara F-5A sebelumnya, F-5E juga dilengkapi dengan 2 enjin untuk tambahan kuasa dan 'survivability under hostile combat situation'. Bahagian penerima udara (air-intake) perlu diperbesarkan untuk membekalkan lebih udara kepada enjin dan bahagian fuselage terpaksa dibina lebih lebar untuk memuatkan tahap kompresor tambahan bagi enjin J85-GE-21A yang baru ini. F-5A-21 adalah 15 inci lebih panjang dari F-5A dan bahagian fuselage yang lebih panjang membolehkan tangki minyak yang lebih besar dipasangkan, bermakna lebih banyak bahan api boleh di bawa dari 586 kepada 671 gelen U.S. (2344 kepada 2684 liter). F-5A-21 dibina dengan mementingkan 'maneuverability' berbanding kelajuan yang tinggi dengan menambah keluasan kawasan sayap kepada 186 kaki persegi.

Walaupun F-5A mempunyai kelengkapan elektronik yang agak asas dan terhad, dengan pembidik meriam optikal dan 'radar-ranging' yang agak kurang canggih, namun F-5A-21 dilengkapi kelengkapan 'avionics' yang termaju yang akan memberikannya kebolehan pertempuran udara-ke-udara yang lebih baik. Ia dipasangkan dengan radar Emerson Electric 'X-band pulse radar' yang lebih kecil dan ringan untuk pencarian udara dan mengesan jarak (air search and range tracking). Radar kawalan tembakan di bahagian muncung akan diselaraskan dengan AN/ASG-31 'lead computing optical gunsight'. Pembidik optikal ini menggunakan input dari radar ini untuk melancarkan peluru berpandu udara-ke-udara (AIM-9 Sidewinder) atau menembak meriam 20mm, dan memberikan 'roll-stabilized manually-depressible recticle aim reference' untuk melancarkan senjata-senjata udara-ke-bumi.

F-5A-21 juga telah menggabungkan beberapa ciri-ciri terbaru lain yang direka khas untuk pesawat-pesawat F-5A kepunyaan Kanada, Belanda dan Norway seperti gear pendaratan (landing gear) dua-kedudukan bahagian hadapan yang akan menambah 'wing angle of attack' di atas tanah sebanyak 3 darjah. Ciri baru ini membantu mengurangkan jarak berlepas. Pencangkuk tali mendarat (runway arrester hook) untuk kegunaan di landasan pendek juga telah ditetapkan sebagai alat yang standard.

Sebuah pesawat demonstrator F-5B (nombor serial 63-8445) dengan dua tempat duduk telah diubahsuai oleh syarikat General Electric sebagai pesawat ujian untuk menguji enjin J85-GE-21A dan dikenali secara tidak rasmi sebagai F-5B-21. Ia telah diterbangkan buat pertama kalinya pada 28 Mac 1969 dengan John Fritz sebagai juruterbang. Semasa ujian-ujian penerbangan dilaksanakan, gear pendaratan untuk tayar hadapan dan pepintu 'auxiliary air intake' pada fuselage di belakang sayap utama telah ditambah.

Pada 20 November 1970, penyertaan Northrop telah diisytiharkan sebagai pemenang pertandingan IFA dan pesanan awal telah dibuat untuk 5 buah pesawat percubaan dan perkembangan serta 325 buah pesawat pengeluaran. Pada Januari 1971, F-5A-21 telah dikelaskan semula sebagai F-5E manakala F-5B-21 dikelaskan sebagai F-5F. Walau bagaimanapun ia lebih dikenali sebagai 'Tiger II' sempena menyambung nama gelaran 'Tiger' yang diterima oleh F-5A di Vietnam berikutan penggunaannya di dalam program 'Skoshi Tiger' di mana Vietnam Selatan telah menerima bantuan ketenteraan yang besar dari Amerika dalam usahanya menentang pengaruh komunis di Asia Tenggara dan kemaraan angkatan bersenjata Vietnam Utara.

Sebenarnya F-5E (no. siri 71-1417) yang pertama diterbangkan pada 11 Ogos 1972 oleh juruterbang ujian Hank Chouteau. Tidak lama selepas itu, USAF telah menjalankan ujian-ujian penilaian ke atas pesawat ini di Edwards AFB sebelum Tiger II yang pertama sampai kepada 425th Tactical Fighter Training Squadron di Chandler AFB, Arizona pada 4 April 1973. Squadron ini telah dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan latihan-latihan kepada krew-krew yang akan menerbangkan dan menyelenggara F-5E di bawah program Mutual Assistance Pact (MAP). Di bawah program ini, negara-negara terbabit (lazimnya sekutu-sekutu Amerika Syarikat) akan menerima bantuan ketenteraan samada dalam bentuk kredit, latihan atau peralatan. Secara rasminya, F-5E telah dipertontonkan kepada bakal-bakal pelangganya buat pertama kali di 1973 Paris Air Salon. Pesawat dengan nombor siri 72-1390 ini diterbangkan dengan jayanya oleh juruterbang ujian North America, Bob Hoover.

Di samping kelengkapan-kelengkapan dan suite-suite elektronik asas yang dibekalkan oleh pihak pengeluar, sesetengah pelanggan merasakan perlu bagi memasang kelengkapan dan peralatan tambahan menurut keperluan dan peranan yang akan dimainkan oleh F-5E masing-masing. Oleh itu terdapat beberapa F-5E yang telah diubahsuai oleh pengeluar pesawat ini sebelum dihantar kepada pelanggan dan juga terdapat pelanggan yang telah mengubahsuai pesawat mereka selepas ianya diterima untuk meningkatkan keupayaan dan pengendalian serta sistem persenjataan. Pesawat F-5E yang terakhir dibina oleh Northrop adalah 86-0409 yang telah dibekalkan kepada Singapura.

Spesifikasi Northrop-Grumman F-5E/F Tiger II

Jenis : Pesawat pejuang 'air-superiority'
Krew : F-5E - 1; F-5F - 2
Enjin : 2 x General Electric J-85-GE-21A turbojet
@ 5,000 lb.s.t (2272.73 kg) dengan 'afterburning'

Prestasi

Kelajuan max : Mach 1.63 pada ketinggian 36,000 kaki (11,000m)
Kelajuan 'cruise' max tanpa 'afterburning': Mach 0.98 pada 36,000 kaki
Ketinggian max: 51,800 kaki (15,800m)
Jarak penerbangan dengan bahan api maksimum: 1543 batu (2468.8km)
Radius Kombat: 195 batu (312km) dengan 5200 lbs ordnan, bahan api maksimun dan 2 Sidewinder
:656 batu (1049.6km) dengan bahan api maksimum dan 2 Sidewinder
Berat kosong : 9,683 lbs (4401.36kg)
Berat kombat : 13,350 lbs (6068.18kg)
Berat kasar : 15,745 lbs (7158.82kg)
Berat berlepas maksimum : 24,676 lbs (11,216.36kg)

Dimensi

Lebar sayap : 26 ka 8 in (8.13 m)
Panjang : 48 ka 2 in (14.68m)
Tinggi : 13 ka 4 in (4.06m)
Keluasan sayap: 186 ka persegi

Persenjataan

2 x meriam 20mm M39A2 dengan 280 butir setiap meriam pada bahagian muncung
2 x peluru berpandu udara-ke-udara AIM-9 Sidewinder pada hujung sayap utama
5 x pylon boleh memuatkan sehingga 7,000 lb (3181.81kg) ordnan atau tangki bahan api

  • 1 di bawah fuselage
  • 4 di bawah sayap utama

  • Perkhidmatan

    F-5E telah berkhidmat dalam lebih 20 buah angkatan udara di seluruh dunia dan telah mencapai rekod perkhidmatan yang baik walaupun mempunyai rekod kombat yang terhad. Negara-negara yang pernah/masih menggunakan pesawat ini adalah Arab Saudi, Bahrain, Brazil,Chile, Indonesia, Iran , Jordan, Kenya, Korea Selatan, Malaysia, Mexico, Morocco, Singapura, Sudan, Switzerland, Taiwan, Thailand, Tunisia, Vietnam Selatan.

    Semasa peperangan Vietnam, kebanyakan kombat udara Tentera Udara Vietnam Selatan (SVNAF) disertai oleh pesawat F-5A/B kerana model E/F hanya sampai sejurus sebelum Vietnam Selatan tewas kepada Vietnam Utara. Sebanyak 22 buah F-5E dan 4 buah F-5A sempat dilarikan ke Thailand dan dikembalikan ke Amerika Syarikat.

    f5enorwWalau bagaimanapun 87 F-5A dan 27 F-5E jatuh ke tangan Vietnam Utara apabila bandaraya Saigon (sekarang Ho Chin Minh City) jatuh ke tangan tentera Vietnam Utara dan kerajaan Vietnam Selatan melarikan diri pada tahun 1975. Pesawat-pesawat ini telah terus digunakan oleh Tentera Udara Rakyat Vietnam (VPAF) dan dilaporkan pernah digunakan semasa tentera Vietnam menceroboh ke Kampuchea pada tahun 1978. Kerajaan Vietnam juga dilaporkan pernah menawarkan untuk menjual pesawat-pesawat F-5E dan A yang ditawan kepada negara-negara lain, namun tiada kerajaan yang berminat (kemungkinan kerana larangan dan tekanan Amerika Syarikat). Oleh kerana kesukaran untuk mendapatkan alat gantian, F-5E Vietnam terpaksa ditamatkan perkhidmatannya.

    Kesukaran mendapatkan alat gantian akibat sekatan ekonomi Amerika Syarikat juga menyebabkan Tentera Udara Revolusi Islam Iran (IRIAF) tidak dapat menggunakan F-5E/F mereka dengan efektik semasa peperangan Iran-Iraq 1980-1988. Pesawat-pesawat ini diperolehi semasa pemerintahan Shah Iran yang merupakan sekutu kuat Amerika Syarikat di rantau teluk suatu masa dahulu sebelum beliau melarikan diri pada tahun 1979. Sejumlah 166 buah F-5E/F telah dibekalkan selepas Iran melepaskan model A/Bnya kepada Greece, Vietnam Selatan dan Jordan. Di peringkat awal konflik tersebut, F-5E dilaporkan menguasai ruang angkasa padang pasir dan Teluk Parsi dan berjaya memusnahkan banyak jet-jet Iraq dengan bantuan peluru berpandu Sidewinder.

    Walaupun F-5E tidak pernah dimasukkan ke dalam inventori pesawat barisan hadapan Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) namun ianya digunakan secara efektif sebagai pesawat khusus untuk latihan-latihan 'dissimilar air combat training' - DACT. Dengan saiz dan ciri-ciri prestasinya yang hampir mirip MiG-21, ianya telah digunakan untuk membentuk Aggresor Squadrons yang meniru gaya, doktrin dan taktik yang digunakan oleh angkatan udara negara-negara Pakatan Warsaw (Komunis), lengkap dengan warna skima-skima samaran (camouflage) di dalam latihan-latihan pertempuran udara yang realistik. Latihan-latihan ini (dinamakan Red Flag) sering diadakan di ruang udara padang pasir Pangkalan Tentera Udara Nellis, Nevada. Lebih 70 buah pesawat F-5E digunakan untuk latihan-latihan ini. Beberapa squadron Aggresor juga telah ditubuhkan untuk latihan-latihan DACT di Eropah (527th Aggresor Squadron, United Kingdom) dan di Timur Jauh 26th Aggresor Squadron, Filipina).

    US Navy Fighter Weapons School di Miramar Naval Air Station (lebih dikenali dengan 'Top Gun') juga telah menggunakan 10 buah F-5E dan 3 buah F-5F untuk DACT sebelum ianya di pindahkan ke unit unit lain US Navy, termasuk pasukan U.S. Marines (USMC) dan digantikan dengan pesawat-pesawat F-16N.

    F-5E TUDM

    TUDM memulakan menggunakan pesawat F-5E Tiger II pada tahun 1975 apabila menerima 14 buah pesawat jenis ini bagi menggantikan pesawat Avon F-86 Saber Jet. Pada masa ini tujuh buah pesawat F-5E TUDM (Disember 1997) dioperasikan di bawah Squadron No. 12 yang berpengkalan di Pengkalan Udara Butterworth bersama-sama dengan 2 buah pesawat dua tempat duduk (pelatih) F-5B sebelum pesawat-pesawat F-5B tersebut di pindahkan kepada Tentera Udara Di Raja Thai (RTAF) dan digantikan dengan 4 buah pesawat F-5F (Squadron No. 11) sebagai unit pertahanan udara. Sebahagian dari F-5E TUDM juga pernah digunakan untuk misi-misi mengebom/bantuan udara ke atas kedudukan pengganas-pengganas komunis di samping digunakan untuk rondaan maritim. Semenjak tahun 1975, squadron ini telah kehilangan beberapa buah pesawat akibat kemalangan dan menerima beberapa buah lagi sebagai gantian dan tambahan:

    RF-5E Tigereye

    Pada tahun 1980an squadron No. 11 TUDM telah menerima 2 buah pesawat RF-5E Tigereye II. Pesawat ini pada asasnya adalah pesawat versi F-5E Tiger II namun ianya telah diubahsuai dengan dilengkapi peralatan-peralatan kamera dan pengesan khusus bagi menjalankan tugas-tugas perisikan dan peninjauan.

    f5enorwUsaha menghasilkan pesawat ini adalah suatu usaha persendirian syarikat Northrop untuk memenuhi keperluan angkatan-angkatan udara negara-negara yang memerlukan pesawat khas jenis ini pada harga yang tidak membebankan. Pesawat percubaan untuk pesawat ini adalah F-5E 74-1420 yang dilengkapi dengan bahagian muncung baru yang 10 kaki lebih panjang yang menyediakan ruang tambahan seluas 26 kaki persegi bagi memuatkan peralatan kamera. Sebuah kamera KS-87B boleh dipasangkan di bahagian depan muncungnya yang mempunyai tingkap yang secara optiknya adalah rata. Sebagai senjata untuk mempertahankan diri, meriam 20mm berkembar di bahagian muncung ini dikekalkan di samping masih boleh membawa kelengkapan peluru berpandu udara-ke-udara biasa walaupun di dalam peranan barunya ini, besar kemungkinan sistem senjatanya tidak diperlukan.

    Pesawat 74-1420 melakukan penerbangan pertamanya pada 29 Januari 1979 di mana ujian dan penilaian penebangan dilakukan di Pengkalan Tentera Udara Edwards. Pelanggan yang membeli pesawat jenis ini adalah Malaysia dan Arab Saudi di mana pesawat bernombor siri 80-0333 dan 80-0334 diserahkan kepada TUDM sebagai M29-19 dan M29-20.

    Masa Depan F-5E/F

    Dalam usianya yang agak lanjut, F-5E masih boleh memainkan peranan yang berkesan walaupun di dalam persekitaran kombat moden yang lebih mencabar. Beberapa buah syarikat ada menawarkan pakej-pakej baik-pulih (refurbishment) dan peningkatan taraf (up-grades) bagi suite-suite 'avionics' dan elektronik (ESM dan ECM), enjin, mahupun kerangka udaranya (air-frame) dan sistem persenjataan. Di antara pemodenan sistem persenjataan yang dilakukan adalah peningkatan untuk membolehkan pesawat-pesawat ini melancarkan peluru-peluru berpandu Hughes AGM-65 Maverick dan Matra R.550 (buatan Perancis) di samping dilengkapkan dengan 'laser designator' untuk membolehkan mereka melancarkan 'laser-guided munitions'.

    Sebagai contoh, Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) sedang/telah mengubahsuai enam dari F-5Enya bagi tujuan peninjauan (reconnaissance) dengan memasangkan peralatan Forward Looking Infra-Red (FLIR) dan IRLS manakala 2 squadron telah dinaikkan taraf (dan dinamakan F-5S) di samping menawarkan pakej yang hampir sama kepada Taiwan (F-5T). Di antara ubahsuaian yang dibuat adalah susunatur cockpit yang baru dengan sebuah 'multifunction display' (MFDs) warna dan sebuah MFD monochrome 5x5 inci, sebuah 'head-up display' (HUD) dan sistem kawalan 'hands on throttle and stick' (HOTAS) dan lain-lain lagi. Beberapa buah negara juga telah melengkapkan F-5E mereka dengan alat 'midair refuelling probe' bagi membolehkan pesawat-pesawat ini mengisi minyak dalam penerbangan bagi membolehkan mereka meningkatkan keupayaan jarak dan tempoh penerbangan.

    Pihak TUDM juga pernah menyatakan bahawa ia akan mendapatkan pakej terbaik untuk menaikkan taraf pesawat-pesawat F-5E/Fnya dengan memasang sistem 'nav-attack' dan suite peperangan elektronik yang baru selaras dengan perkembangan semasa. Pesawat ini juga akan digunakan sebagai pesawat latihan peralihan (di samping pesawat-pesawat MBB-339A dan Hawk-100 dan -200) bagi para juruterbang TUDM menyesuaikan diri dengan pesawat-pesawat baru yang lebih canggih seperti MiG-29N 'air-superiority fighter' dan Boeing-McDonnell Douglas F/A-18D Hornet 'maritime strike-fighter'. Walaupun tugas-tugas utama F-5E/F TUDM telah diambil alih oleh pesawat-pesawat moden perolehan terbaru TUDM, namun dengan peningkatan taraf yang dilaksanakan oleh TUDM akan menyaksikan pesawat-pesawat F-5E/F ini terbang ke alaf yang baru.


    Created: 12 September 1999
    Updated: 23 Mac 2002

    Prof. Madya Ahmad Faisal Alias
    Universiti Teknologi MARA Cawangan Perak
    Kampus Seri Iskandar
    32600 Bandar Seri Iskandar
    Perak
    e-mail: [email protected]
    Kembali Ke Laman Utama

    Hosted by www.Geocities.ws

    1