De Havilland Canada DHC-4 "Caribou"
dehavilland_caribou.jpg, 30K


Program pembangunan pesawat DHC-4 Caribou telah bermula pada 1957 apabila firma de Havilland Canada (DHC) mula berjinak-jinak menghasilkan pesawat berenjin kembar. Dalam usaha untuk menempa nama dan mengaut keuntungan dalam pasaran pesawat pengangkut 'terulung' bagi pasukan tentera darat, DHC telah mengorak langkah untuk menghasilkan sebuah pesawat pengangkut dalam kelas berat tiga tan, bersayap tinggi dengan pintu muatan di bahagian belakang. Pesawat DHC-4 Caribou direkabentuk sebagai pesawat pengangkut taktikal dengan keupayaan berlepas dan mendarat di landasan yang pendek (STOL - Short Take Off/Landing) dan primitif yang panjangnya kurang dari 1,000 kaki. Ia boleh membawa penumpang, anggota infantri atau para, pesakit dalam usungan atau kargo. De Havilland Canada mereka bentuk Caribou setelah mendapat permintaan dari U.S. Army (yang kemudiannya menjadi pengguna terbesar Caribou dengan 164 buah) untuk sebuah pesawat berkeupayaan STOL.

Prototaip pertama (designasi AC-1) telah melakukan penerbangan sulungnya pada 30 Julai 1958, dalam tempoh tidak sampai 7 bulan selepas program tersebut dimulakan menggunakan enjin radial Pratt & Whitney R-2000-7M Twin Wasp. Kejayaan tersebut tercapai apabila para pekerja DHC --- setelah mendapat gesaan pihak U.S Army yang inginkan pesawat itu dapat terbang secepat mungkin -- membangunkan beberapa kaedah pembinaan, pembuatan dan pengujian yang baru.

U.S. Army telah mencuba menggunakan Caribou dalam beberapa tugasan termasuk penghantaran bekalan dan latihan anggota para. Walaupun mendapat penilaian dan pengiktarafan yang tinggi oleh anggota-anggota U.S. Army tentang penggunaannya, namun masalah pengiktirafan oleh FAA dan pertelingkahan politik yang tidak membenarkan U.S Army membeli lebih banyak pesawat dari Canada, hanya lima buah Caribou (U.S. Army memberinya designasi CV-2A) sahaja yang dibeli. Pada masa yang sama DHC telah menghadapi krisis kewangan yang kian meruncing sehingga hampir muflis dan telah berusaha gigih untuk memasarkan pesawat Caribou.

Walaubagaimanapun, setelah penilaian lanjut dan beberapa siri demonstrasi tentang keupayaan STOLnya dibuat, pihak Amerika Syarikat telah membeli 159 buah lagi Caribou menjadikan 164 buah kesemuanya bagi kegunaan U.S. Army. Walaubagaimanapun, operasi 133 buah Caribou telah dipindahkan kepada U.S. Air Force pada 1966 (dan ditukarkan kepada designasi C-7A) manakala selebihnya dikekalkan dalam perkhidmatan U.S. Army untuk kegunaan sokongan. Pemindahan ini dibuat setelah berlaku perbalahan di antara USAF dan U.S. Army tentang siapa yang lebih berhak mengendalikan pesawat bersayap kejur (fixed wing aircraft)--- U.S. Army tewas. Sebanyak 50 buah C-7A telah kemudiannya dipindahkan kepada Tentera Udara Vietnam Selatan. Apabila kerajaan Saigon jatuh ke tangan tentera komunis, kebanyakan pesawat Caribou yang masih tinggal telah ditawan. Walaubagaimanapun, 10 buah telah dapat diselamatkan dan dikembalikan kepada USAF.

Caribou berupaya membawa sehingga 32 orang penumpang atau 26 orang askar payung terjun atau 20 pesakit dalam usungan atau kargo seberat 8,740 paun. Reka bentuknya yang mempunyai ruang kargo berbentuk kotak yang luas, pintu muatan kargo di bahagian belakang dan bahagian ekornya tinggi memudahkan kerja-kerja pemindahan muatan masuk atau keluar dari pesawat. Faktor ini terbukti amat penting dalam khidmatnya di Vietnam kerana dalam beberapa insiden 'Bou' terpaksa mendarat, memunggah dan menerima kargo dan kemudian berlepas ketika kawasan pendaratan sedang dihujani peluru senjata ringan, mortar dan roket VC/NVA. Walaupun mampu mendaki sehingga ketinggian melebihi 7,000 meter namun kabinnya yang tidak bertekanan (unpressurised) dan kokpitnya tidak dilengkapi tangki oksigen menyebabkan Caribou lazimnya beroperasi pada ketinggian di antara 3,000 hingga 3,500 meter.

Semasa di Vietnam, Caribou U.S. Army (kemudian U.S. Air Force) telah digunakan dengan meluas menghantar bekalan ke pangkalan-pangkalan hadapan dan terpencil tentera serta pasukan penasihat khas Amerika (seperti Green Beret dan A-Team) dari tanah rendah delta Sungai Mekong hingga ke kawasan tanah pergunungan tinggi berhampiran sempadan Laos dan Kemboja. Terdapat juga beberapa buah Caribou (sebahagian darinya 'dipinjamkan' dari U.S. Air Force dan masih mempunyai skima penyamaran tentera) yang digunakan oleh 'syarikat penerbangan awam' Air America di kawasan operasi yang sama. Air America sebenarnya adalah sebuah syarikat hadapan milik CIA yang menjalankan operasi sulit melatih dan membekalkan senjata (dan mengangkut keluar dadah?) kepada penduduk pribumi Laos dan Kemboja untuk menentang kegiatan gerila Viet Cong (VC) dan anggota regular Tentera Vietnam Utara (NVA). Di kalangan anak-anak kapalnya, ia lebih dikenali dengan panggilan 'Bou'.

Tidak berapa lama selepas mendapat tempahan besar dari Amerika, DHC telah berjaya mendapatkan kontrak untuk membekalkan Caribou kepada Tentera Darat Canada dan beberapa negara lain seperti Australia, India dan Malaysia. Caribou telah dieskport secara meluas ke seluruh dunia. Lain-lain negara yang pernah atau masih menggunakan pesawat Caribou adalah Liberia, Sepanyol, Canada, Kenya, Abu Dhabi, Zambia, Tanzania, Oman, Thailand, Cameroon, Kuwait, Uganda dan Vietnam Selatan. Kesemuanya, sebanyak 307 buah Caribou telah dibina oleh de Havilland Canada untuk kegunaan awam dan ketenteraan. Di sepanjang tempoh pengeluarannya sehingga 1973, Caribou tidak banyak berubah secara fizikal dari model terawalnya kecuali penambahan satu radome di bahagian muncungnya bagi menempatkan radar cuaca dan penerbangan. Masih lagi terdapat banyak pesawat Caribou yang telah ditamatkan perkhidmatan ketenteraan mereka telah dibaikpulih dan diubahsuai sebagai pesawat kargo atau 'bush transport' di kawasan-kawasan pedalaman dan terpencil di Canada.


DHC-4  Caribou TUDM

  TUDM juga telah menggunakan pesawat Caribou secara meluas dalam operasinya di seluruh negara. Caribou pertama TUDM (4 buah pemberian kerajaan Canada) telah dioperasikan oleh Skuadron 8 yang berpangkalan di TUDM Sungei Besi, Kuala Lumpur pada 1966. Pesawat-pesawat ini telah diterbangkan pulang terus dari Stesen RCAF, Trenton, Canada pada 26 April 1966 dan selamat sampai di Kuala Lumpur pada 15 Mei 1966. Setelah ditauliahkan beroperasi, Caribou Skuadron 8 telah dipindahkan ke Pangkalan TUDM Labuan. Suatu masa dahulu, Caribou adalah nadi penyambung utama di antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak) sebelum TUDM menerima pesawat C-130 'Charlie' (bapa saudara penulis telah terbunuh apabila sebuah Caribou yang dinaikinya terhempas di Teluk Cowie, Sabah pada 1970). Deruman enjin radial berkembarnya sering kedengaran di ruang angkasa negara. Sebahagian dari Caribou TUDM juga dioperasikan oleh Skuadron 1 dan ditempatkan di bawah Markas Bantuan Udara yang berpangkalan di TUDM Kuching, Sarawak sehingga ditamatkan perkhidmatannya.

Keseluruhannya, TUDM mempunyai 18 buah Caribou yang telah dibeli di antara 1969 dan 1973. Caribou digunakan untuk mengangkut anggota-anggota tentera, kargo ketenteraan dan kemanusiaan termasuk di kawasan-kawasan pedalaman, sebagai platform penerjunan anggota para serta membuat penerbangan-penerbangan ehsan membawa bantuan bencana alam dan pesakit-pesakit kritikal yang memerlukan rawatan segera. Di antara khidmat terakhir yang dilakukan oleh Caribou TUDM adalah tugas-tugas pembenihan hujan di serata tempat ketika seluruh negera sedang dilanda masalah jerebu pada 1997 dan krisis air pada 1998. Satu perkara yang menarik di sini adalah salah satu dari Caribou TUDM merupakan unit terakhir yang dibina oleh DHC.

Caribou

caribou_tudm

Setelah mengjangkau usia yang agak lanjut, pesawat-pesawat Caribou TUDM telah mula menunjukkan tanda-tanda 'fatigue'. Setelah terbabit dalam beberapa siri kemalangan terhempas, Caribou TUDM telah ditamatkan perkhidmatannya dan digantikan oleh pesawat CN-235 buatan Industri Pesawat Terbang Nusantara (IPTN) dari Indonesia (6 buah CN-235 telah diterima, walaupun berlaku kelewatan penghantaran). Kebanyakan dari pesawat-pesawat ini masih dapat dilihat di Pangkalan TUDM di Kuching sementara menunggu sekiranya ada pembeli yang berminat untuk membaik pulih kerangka-kerangka udara dan enjinnya. Terdapat juga beberapa buah Caribou di tempat-tempat lain seperti pangkalan TUDM Labuan dan sebuah di Muzium TUDM Sungei Besi.


dehavilland_caribou-s.gif, 29K

Data Spesifikasi DHC-4A Caribou

Krew: 3 (Juruterbang, Pembantu Juruterbang, Quartermaster)
Penumpang: 32
Enjin: 2 x Pratt & Whitney R-2000-7M Twin Wasp @ 1,081kW
Lebar Sayap: 29.15m
Panjang: 22.12m
Tinggi: 9.68m
Luas Sayap: 84.72m2
Berat Berlepas: 12,927kg
Berat Kosong: 8,283kg
Kelajuan max: 348kph
Kelajuan kruise : 293kph
Ketinggian Max : 7,560m
Jarak dgn muatan max.: 689km


Created: 12 Januari 2002
Updated: 23 Mac 2002

Ahmad Faisal Alias
Universiti Teknologi MARA Cawangan Perak
Kampus Seri Iskandar
32600 Bandar Seri Iskandar
Perak
Kembali Ke Laman Utama

Hosted by www.Geocities.ws

1