McDonnell Douglas AV-8B Harrier II



Perkembangan AV-8B Harrier II

Sejak U.S. Marine Corp (USMC) menerima pesawat-pesawat Harrier AV-8A (sering digelar 'jump-jets) lagi, mereka telah mula menggarap nilai-nilai taktikal dan keupayaan pesawat-pesawat Vertical Take Off and Landing (VTOL) dalam operasi-operasi pesawat milik mereka selain dari pesawat bersayap rotor (helikopter). Di antara ciri-ciri pesawat pejuang VTOL adalah kelajuannya yang tinggi dan dengan ini membolehkan mereka sampai ke lokasi yang memerlukan bantuan mereka dengan lebih pantas. Keupayaan mereka membawa lebih banyak muatan ordnans dan persenjataan membolehkan mereka bertindak sebagai platform bantuan rapat udara (close air support) yang amat efektif. Namun faktor yang paling penting adalah dengan keupayaan VTOL, pesawat-pesawat ini boleh dioperasikan hampir dengan barisan hadapan yang lazimnya tidak mempunyai landasan pendaratan yang sempurna sejurus selepas pertempuran untuk menawan kawasan tersebut (landing beach head) berlaku.

Keupayaan VTOL juga membolehkan mereka dilancarkan dan mendarat dari atas geladak kapal-kapal sokongan yang lebih kecil tanpa memerlukan kapal induk yang lebih besar milik U.S. Navy. Hakikat ini telah dibuktikan oleh jet-jet Sea Harrier milik Royal Navy ketika berlakunya Peperangan Falklands di antara Britain dan Argentina. Selain dilancarkan dari kapal-kapal induk ringan komando HMS Invincible dan HMS Hermes, jet-jet Sea Harrier tambahan juga di bawa ke medan pertempuran dan dilancarkan dari kapal pembawa kontainer yang dipajak, Atlantic Conveyor (Atlantic Conveyor telah karam setelah terkena bedilan peluru berpandu Exocet yang dilancarkan oleh pesawat Super Etandard Argentina bersama-sama sebuah helikopter Lynx dan enam buah helikopter Wessex. Enam buah Sea Harrier terselamat kerana telah dilancarkan sejurus sebelum serangan). Sejurus selepas landasan terbang di Port Stanley jatuh ke tangan Komando Royal Marines, beberapa buah jet Sea Harrier telah mendarat, diselenggara dan seterusnya dilancarkan semula untuk menyerang kedudukan askar-askar Argentina yang sedang berundur.

USMC telah menjalankan kajian-kajian awal tentang pesawat Harrier sejal pertengahan tahun 1970an di mana prototaip YAV-8 telah melakukan penerbangan sulung dari kilang McDonnell Douglas Corporation (MDC; sekarang telah bergabung dengan Boeing) sebagai kontraktor utama program Harrier di St. Louis, Missouri pada November 1978. MDC telah menjalin usahasama rakan kongsi dengan British Aerospace (kini dikenali sebagai BAe Systems) untuk membangunkan versi Harrier yang lebih baik.

Pihak USMC telah memesan sebanyak 328 unit Harrier II (AV-8B), termasuk 28 buah pesawat pelatih dua tempat duduk TAV-8Bs untuk menggantikan pesawat-pesawat A-4 Skyhawk yang telah berusia agak lanjut. Selain dari digunakan sebagai pesawat pelatih, TAV-8B masih mengekalkan sistem-sistem avionik dan keupayaan tempurnya dan boleh dioperasikan pada bila-bila masa tanpa perlu sebarang pengubahsuaian. Penghantaran pertama Harrier II kepada USMC adalah pada Januari 1984 kepada Squadron VMAT-203 yang berpangkalan di Cherry Point, North Carolina bagi menggantikan pesawat AV-8A yang telah digunapakai selama beberapa tahun.

Walaupun pesawat Harrier mempunyai keupayaan VTOL sepenuhnya, ia lebih kerap dioperasikan dalam mod STOVL (Short Take Off Vertical Landing). Dengan mod ini Harrier akan menggunakan kurang bahan api semasa dilancarkan di samping boleh membawa muatan ordnans yang lebih tinggi. Dengan menggunakan enjin pelbagai-vektor Pegasus, Harrier boleh berlepas dari kapal komando dengan bantuan meluncur di atas 'ramp' pada sudut 23 darjah pada kelajuan hanya 55 bsj (110 kmj). Enjin pelbagai vektor Harrier juga boleh digunakan untuk mengelirukan bidikan pesawat musuh dengan keupayaannya memperlahakan kelajuannya secara mengejut dan membuatkan pesawat musuh terlajak ke hadapan sebelum menyerang balas dari belakang menggunakan peluru berpandu AIM-9 Sidewinder atau AIM-120 AMRAAM atau meriam GAU-12/U 25mm (berbentuk Gatling dengan lima laras).

Pada tahun 1984 pihak MCD telah diberikan kontrak untuk membangunkan Harrier versi serangan pada waktu malam (Night Attack). Versi ini dilengkapi dengan peranti Forward Looking Infra-Red )FLIR) dengan juruterbangnya akan memakai Night Vision Goggles. Selain dari membangunkan dan membina pesawat baru dengan keupayaan Night Attack, MCD juga diberikan kontrak untuk menaikkan taraf semua pesawat Harrier II dalam inventori USMC ke standard Night Attack.




Spesifikasi

Kontraktor
  • McDonnell Douglas Corporation, St. Louis Missouri
  • British Aerospace Kingston-upon-Thames, Surrey

  • Jenis:
  • Pesawat Bantuan Udara Rapat Satu Tempat Duduk STOVL


  • Enjin:
  • 1 x Rolls Royce F402-408 turbofan tujahan vektor @ 23,400 paun

    Dimensi:
  • Sayap: 30ka 4in
  • Panjang: 47ka 9in
  • Tinggi: 11ka 8in
  • Luas Sayap: 230ka per

  • Prestasi:
  • Kelajuan Max: S/L 602kt pada ketinggian
  • Paras Siling: 50,000ka


  • Persenjataan
  • 1 x 25mm GAU-12/U meriam lima laras dengan 300 butir
  • Gabungan peluru berpandu Maverick dan Hellfire Udara-ke-Bumi
  • Gabungan Udara-ke-Udara 6 x AMRAAM dan Sidewinder


  • Sejarah:
  • Penerbangan Sulung 9 November 1978
  • Memasuki Perkhidmatan 1983

  • Pengguna:
  • United States Marine Corp (USMC)





  • Ke Laman Utama
    Hosted by www.Geocities.ws

    1