Ahlan wa sahlan fii Putri PerSoNaL BLoG
Assalamu'alaikum WeLcOmE To My UkHTi BLoggER
Senjata biologi :Pemusnah masa depan?
photo
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

?Dan sediakanlah untuk menghadapi mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggentarkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang tidak mengetahuinya sedangkan Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah, nescaya akan dibalas dengan cukup kepada kamu dan kamu tidak akan dianiayai (dirugikan)? (Surah al-Anfal: 60)

Saban hari kita terbaca atau terdengar pelbagai insiden dan ancaman keganasan berlaku di dunia ini dan tidak kurang juga dengan kempen dan deklarasi anti keganasan. Keganasan yang dilakukan tidak kira atas apa jua alasan sekalipun adalah kejam dan tidak berperikemanusiaan kerana telah mengakibatkan kesan yang sangat dahsyat seperti kematian dan kemusnahan harta benda dan alam sekitar. Kita bersyukur dengan keamanan yang wujud di Malaysia setelah 47 tahun merdeka dan tidak pernah terlintas di fikiran kita akan berlakunya peperangan dan keganasan apatah lagi yang melibatkan senjata pemusnah besar-besaran seperti sejata kimia dan biologi. Kenyataan Persatuan Perubatan Malaysia agar pakar perubatan sentiasa bersedia dengan kewujudan penyakit yang tidak diketahui puncanya dan kematian misteri yang mungkin angkara pengganas bio harus diberi perhatian oleh masyarakat umum dan bukan di kalangan pengamal perubatan sahaja. Orang ramai berhak untuk mengetahui tentang bahaya agen bio dan bagaimana mengenali simptom-simptomnya dan seterusnya apa yang harus dibuat pada saat-saat kecemasan serta bagaimana mendapatkan bantuan.

Sebenarnya penggunaan agen biologi dan kimia telah.dikesan semenjak tahun 1919 lagi dan yang terbaru penggunannya oleh tentera Rusia di sebuah panggung teater di Moscow di mana lebih 118 orang terbunuh dan beratus lagi di masukkan ke hospital. Penghasilan senjata jenis ini walau dilarang oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) namun ia tetap juga dihasilkan bukan sahaja di kalangan pengganas bahkan oleh negara-negara besar seperti Amerika dan Rusia. Tahap keselamatan haruslah dipertingkatkan di tempat-tempat yang berpotensi boleh menyebabkan kehilangan kehilangan nyawa besar-besaran seperti industri berasaskan bahan kimia, pusat penyelidikan atau perkhidmatan berasaskan bakteria dan virus serta pusat pelupusan sisa toksik bagi mengelakkan bukan sahaja daripada serangan pengganas senjata biologi malah dapat mengelakkan kemalangan akibat kecuaian dan ketidakprihatinan manusia. Suatu masa dulu kita pernah dikejutkan dengan penemuan berpuluh-puluh tong sisa potasium sianida terbiar di Pangkor pada 1999 yang mampu membebaskan hidrogen sianida dan boleh membunuh seluruh penduduk Pulau Pinang dalam masa yang singkat. Seharusnya kita semua perlu mempunyai kesedaran tentang betapa berbahayanya senjata biologi agar kita sentiasa berhati-hati.

Senjata biologi ialah agen toksin sama ada dari kumpulan bakteria, kulat, virus atau toksin dari haiwan dan tumbuh-tumbuhan di mana kadar toksinnya akan menyebabkan kematian dan kerosakan sama ada sementara atau kekal. Kejadian pencemaran oleh senjata biologi agak sukar dikenali kerana ia tidak mempunyai ciri-ciri fizikal yang jelas seperti bau. Gejalanya hanya timbul setelah beberapa jam atau beberapa hari. Insiden biologikal selalunya merangkumi kawasan yang lebih luas kerana pergerakan individu yang tercemar tanpa disedari. Secara amnya kejadian pencemaran oleh senjata biologi dikenali melalui kewujudan dan pertambahan mendadak sesuatu jenis penyakit di kalangan populasi yang sihat, mangsa menghadapi simptom seperti masalah pada sistem pernafasan, sakit di bahagian perut dan demam, kewujudan penyakit yang lazimnya berlaku (endemik) tetapi tidak pada masa dan corak yang sepatutnya, kewujudan penyakit yang biasanya tidak normal pada geografi sesuatu negeri, corak rintangan antibiotik yang tidak normal, kematian atau kecederaan spesies haiwan dan ikan serta kemunculan kumpulan serangga tertentu.

Di antara contoh senjata biologi ialah toksin Botulinum atau Clostridium botulinum yang mana simptom-simptomnya ialah mangsa akan mengalami sakit perut, cirit birit, gangguan penglihatan, pening dan lemah otot dalam masa 1 hingga 3 hari. Setelah beberapa hari, sistem pernafasan dan lain-lain fungsi badan akan lumpuh dan menyebabkan kematian. Selain itu, Salmonella enteritidis juga boleh digunakan sebagai senjata biologi yang mana boleh menyebabkan simptom-simptom seperti demam, perut memulas dan cirit-birit yang bermula di antara 12 hingga 72 jam dan berakhir di antara 4-7 hari. Ia boleh menyebabkan kematian jika tidak dirawat dengan segera.

Agen oren yang diberi nama sempena jalur oren di botolnya, merupakan salah satu racun yang disembur di Vietnam mulai tahun 1961 hingga 1971 yang digunakan bagi memusnahkan kawasan pertanian yang digunakan oleh komunis Vietnam bagi tujuan persembunyian dan makanan. Kesan dari semburan racun ini mengakibatkan ribuan rakyat Vietnam hidup dalam keadaan abnormal, mengalami kerosakan otak dan kecacatan tubuh badan sejak dilahirkan. Dianggarkan seramai 2.1 hingga 4.8 juta orang telah terdedah secara langsung kepada agen oren ketika perang Vietnam berlaku. Kesan daripada penyemburan agen oren ini turut memberi kesan buruk kepada generasi kedua dan ketiga rakyat Vietnam akibat pencemaran makanan serta air yang diminum oleh ibu mengandung. Andrew Wells-Dang, wakil Tabung Permuafakatan dan Pembangunan

badan bukan kerajaan (NGO) Amerika menyatakan bahawa 10 peratus tanah di selatan Vietnam terdedah akibat agen oren dan terdapat wilayah yang 50 peratus tanahnya tandus.

Selain itu, gas mustard telah dikesan dalam peperangan teluk di antara Iran dan Iraq di antara 1985-1988. Analisa air mani, pengukuran hormon dan ?testicular biopsy? telah dijalankan ke atas 81 orang setelah pendedahan selama 3 tahun bagi penentuan ketidaksuburan. Keputusan mendapati 34 orang tidak mempunyai sperma langsung di dalam air maninya dan 47 orang mengalami kekurangan bilangan sperma. Saintis tersebut mengaitkan insiden tersebut dengan pendedahan ke atas gas mustard.

.Selain itu, virus penyakit cacar (Smallpox) juga ditakuti akan digunakan sebagai senjata biologi. Penyakit cacar ini sebenarnya telah musnah pada tahun 1977. Sejak itu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengarahkan kepada semua makmal-makmal untuk memusnahkan virus Smallpox ini baik sampel virus yang diambil daripada pesakit atau yang digunakan untuk penelitian, atau menyerahkannya kepada Institut for Virus Preparation di Moscow atau CDC (The Centres for Disease Control and Prevention) di Atlanta. Walaupun demikian, Amerika Syarikat dan beberapa Negara sekutunya mendeklarasikan bahawa masih ada lagi virus Smallpox yang belum diserahkan untuk dimusnahkan, jadi dibimbangi virus ini akan sampai ke tangan orang atau kelompok tertentu yang berkepentingan untuk digunakan sebagai senjata biologi. Untuk menghindari ketakutan ini ada beberapa usaha yang dilakukan oleh Amerika di antaranya melakukan imunisasi cacar terhadap warganegaranya. Amerika telah menandatangani kontrak sebesar US 343 juta dengan sebuah perusahaan Bioteknologi untuk menghasilkan vaksin sebanyak 40 juta dos. Usaha lain yang dilakukan oleh Amerika ialah melakukan penelitian terhadap mikroorganisma yang berkemungkinan boleh digunakan sebagai senjata biologi. Amerika telah mengeluarkan dana yang banyak untuk membiayai penelitian ini. Penyelidikan menumpukan untuk menguji sejauh mana virus boleh dibuat secara tiruan tanpa menggunakan DNA atau RNA dari virus asalnya sebagai bahan dasar. Jika virus ini berjaya disintesiskan, ini menunjukkan bahawa ada kemungkinan senjata biologi boleh dibuat walaupun mereka tidak mempunyai virus tersebut.

Selain itu, Anthrax yang disebabkan oleh bakteria Bacillus anthracis telah digunakan sebagai senjata biologi yang disebarkan kepada pihak tertentu. Sebenarnya sejak berabad-abad yang lalu, antraks sudah menjadi penyakit yang membawa kematian pada binatang dan meyebabkan penyakit serius pada manusia hingga boleh membawa maut jika gagal mendapat rawatan segera. Penelitian terhadap antraks sebenarnya sudah dilakukan sejak 80 tahun dahulu. Sifat antraks yang mampu membawa ?maut? ini mendorong sesetengah pihak menggunakannya sebagai bahan senjata. Antraks dalam bentuk spora Bacillus anthracis mampu hidup lama pada pelbagai keadaan. Bakteria ini bersifat virulen yang mempunyai kaitan erat dengan timbulnya gejala penyakit dan mempunyai kapsul yang mengelilingi bakteria tersebut menyebabkan sel-sel imun badan tidak dapat bertindak ke atas bakteria tersebut. Spora antraks boleh masuk ke dalam tubuh manusia melalui 3 saluran, iaitu melalui sistem pernafasan, termakan (melalui sistem pencernaan) dan melalui kulit yang terluka. Antraks yang masuk melalui sistem pernafasan jika tidak dirawat dalam tempoh 24 hingga 36 jam, boleh menimbulkan kesulitan untuk bernafas yang akhirnya boleh membawa maut. Antraks yang telah masuk ke dalam tubuh seseorang mampu berkembang biak dengan sangat cepat, sehingga dalam 1 hingga 2 hari jumlahnya boleh mencapai ribuan lalu merembeskan toksinnya yang berbahaya ke dalam saluran darah manusia.

Sesungguhnya senjata antraks mampu memakan korban yang besar. Seorang pakar dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan, sebuah pesawat udara yang melepaskan 50kg antraks di kawasan yang populasi penduduknya lima juta orang akan mengenai 250,000 orang di mana 100,000 orang akan menemui maut tanpa sempat diubati. Laporan oleh anggota Kongres Amerika Syarikat bidang Pengkajian Teknologi pada tahun 1993 menyatakan bahawa 130,000 hingga 3 juta kematian boleh diakibatkan oleh pelepasan 100 kg spora antraks di atas kota Washington, DC sama kesannya dengan letupan sebiji bom hidrogen. Bagi mengawal penggunaan senjata biologi, telah diwujudkan Protokol Geneva 1925 dan Konvensyen Senjata Biologi 1974 yang membataskan penyimpanan, pengembangan dan penyebaran senjata ini, iaitu hanya untuk tujuan mempertahankan Negara, namun hanya terhad kepada bakteria atau virus yang tidak membawa kepada kematian. Sebenarnya antraks hanya memberi jangkitan kepada manusia jika bakteria itu hadir dalam jumlah yang tertentu, namun apa yang dikhuatiri jika gen bakteria antraks ini boleh dimasukkan ke dalam bakteria atau kuman lain yang memang hidup dlam tubuh manusia. Teknik rekombinasi DNA boleh dilakukan di mana gen suatu spesies digabungkan dengan gen dari spesies lain yang mana gen baru yang terhasil mampu mengubah sifat asal spesies tersebut contohnya dapat meningkatkan aya kekebalan dan rintangan terhadap ubatan dan vaksin tertentu.


2006-05-13 17:52:54 GMT
 
Hosted by www.Geocities.ws

1