Chat Room Guestbook Contact

Menu

 
::Artikel::>::2003::>::ExistsTidakpentingkandirisendiri:

Exists -- Tidak pentingkan diri sendiri

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
Kumpulan Exists.

DALAM usaha untuk mengekalkan populariti Exists sehingga kini, kesemua anggota kumpulan tersebut berusaha sedaya upaya agar tidak mementingkan diri sendiri.

Justeru, jika ada penganjur yang ingin mendapatkan khidmat vokalis sahaja, maka Ezad akan berbincang dengan rakan anggota lain. Sekiranya dipersetujui oleh Musa, Ujang dan Along, barulah Ezad akan berani membuat keputusan sama ada menerima tawaran itu atau sebaliknya.

Menurut Musa yang bertindak sebagai ketua kumpulan, bukan niat mereka untuk menyekat rezeki Ezad tetapi setiap keputusan yang dibuat ada iktibarnya.

``Kalau penganjur asyik ambil seorang anggota saja, apa pula akan terjadi dengan yang lain. Lagipun kekuatan sesebuah kumpulan bukan didukung oleh individu tetapi peranan semua anggota adalah penting.

``Bagaimanapun, jika ada sesuatu yang penting atau alasan yang logik kami akan memberi keizinan kepada Ezad untuk mengadakan persembahan secara solo,'' katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Berdasarkan kerjasama itulah sehingga kini kumpulan yang ditubuhkan sejak 10 tahun lalu itu hanya berganti seorang penyanyi sahaja iaitu dari Mamat kepada Ezad.

Musa yang juga bertindak sebagai A & R Eksekutif di Nar Records Sdn. Bhd, sering berpesan kepada rakan-rakan yang lain bahawa perjuangan Exists tidak akan bermakna sekiranya dibuat reunion pada masa hadapan. Untuk mengelak perkara tersebut, beliau dan rakan-rakan sering berbincang dan berusaha menyelesaikan sebarang masalah yang timbul.

``Saya sering ingatkan mereka, buat apa kita mengadakan reunion. Yang penting kita terus kekal seperti sekarang. Jika kita bersatu seperti sekarang sehingga 10 tahun akan datang, pasti orang akan hormat kumpulan Exists,'' katanya yang mengagumi penyanyi Mick Jagger yang masih lagi bertahan dengan kumpulan Rolling Stones sehingga kini.

Exists yang sedang rancak mengadakan promosi untuk album terbaru, Seperti Dulu, berharap album tersebut juga mampu meraih kejayaan seperti Ada yang berjaya dijual melebihi 70,000 unit.

Kumpulan yang turut mendapat perhatian di Singapura dan Indonesia ini sering melakukan perubahan terhadap album baru yang dihasilkan.

``Setiap album yang dibuat pasti ada kelainan agar peminat tidak jemu mendengarnya. Dengan cara itu juga kami dapat mencuba melodi baru,'' katanya.

Walaupun Exists mempunyai kelompok peminat sendiri di Indonesia namun mereka tidak akan menghasilkan muzik mengikut selera peminat di sana.

Kata Musa, matlamat utama Exists adalah untuk menguasai pasaran tempatan dan kemudian barulah di luar negara.

Ternyata populariti Exists juga telah mendorong beberapa pihak menawarkan mereka untuk berlakon tapi tawaran tersebut ditolak.

Penolakan tersebut dibuat kerana Exists tidak mahu melakukan sesuatu yang tidak diyakini. Lagipun kesemua anggota Exists melainkan Ezad lebih senang menumpukan perhatian sebagai pemuzik undangan.

Biarpun begitu, mereka tidak melarang Ezad dari berlakon asalkan jadual kerjanya tidak bercanggah dengan aktiviti Exists.

 

 

 
Hosted by www.Geocities.ws

1