Chat Room Guestbook Contact

Menu

 
::Artikel::>::2003::>::SimpanCita:

Exists simpan cita-cita adakan ‘konsert impian’

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
Kumpulan Exists.

WALAUPUN perjalanannya tidak serancak album Ada, namun cetusan inspirasi serta formula yang membuahkan kejayaan menerusi Jesnita dan Julia dalam album itu dikekalkan Exists untuk buah tangan terbaru mereka, Seperti Dulu.

Album itu juga bagi Exists adalah lambang kematangan mereka selepas lebih 10 tahun dalam arena seni. Ia ditonjolkan bukan saja dari segi persembahan muzik dan bunyian, malah menitikberatkan seni kata sekali pun menjurus tema percintaan.

Justeru kelahiran album itu juga diharap membuka peluang mereka untuk beraksi di pentas lebih mencabar. Impian Exists adalah tampil dengan konsert yang bakal mencatat kenangan dalam diari seni mereka.

Maka, persembahan secara live di Planet Hollywood baru-baru ini dilihat sebagai langkah awal menuju ke arah itu. Malah, ia juga dijadikan sebagai pemangkin sekali gus meyakinkan kepercayaan penaja bagi membolehkan mereka mencapai impian itu.

“Selepas membuat persembahan di Planet Hollywood, kami berharap dapat menjayakan konsert besar pula. Ia adalah peluang kepada kami untuk menonjolkan kelebihan. Memang perancangan untuk konsert ada, cuma belum mendapat kata putus penaja.

“Dalam suasana sekarang, tidak banyak penganjur berani mengeluarkan belanja besar. Mereka bimbang konsert itu tidak mendatangkan pulangan lumayan,” kata vokalisnya, Ezad.

Menurut Ezad, mereka juga berpuas hati dengan kemunculan seperti Ada yang turut mendapat sambutan memberangsangkan di Indonesia. Ia dipasarkan di negara itu seminggu selepas album berkenaan menemui peminat tempatan, Februari lalu.

Katanya, kemunculan itu juga sebagai menyokong penjualan album Ada sekali gus mengukuhkan lagi nama Exists di sana. Proses pemasaran album itu di Indonesia terpaksa dipercepatkan bagi membanteras gejala cetak rompak.

“Irama pop bebas bukan sesuatu yang baru bagi kami. Konsep ini diperkenal sejak album Jangan Gentar. Cuma peminat kurang menyedari kerana sebelum ini kami dikenali dengan lagu ‘meleleh’,” katanya.

Walaupun Ezad kini aktif sebagai pelakon, namun kemunculan Seperti Dulu meletakkan semula dirinya di gelanggang nyanyian. Baginya, dia tidak akan meminggirkan kerjaya nyanyian yang sudah sembilan tahun diceburi kerana undangan berlakon hanya dipenuhi apabila ada kelapangan.

“Saya berlakon apabila tidak terikat dengan komitmen berkumpulan. Sekadar cuba untuk memperluaskan bakat seni,” katanya, memaklumkan Exists juga cuba mencari peluang untuk menghasilkan album runut bunyi.

Exists yang mendaki populariti dengan lagu Untukmu Ibu dan kini dikenali menerusi lagu Percayakan Siti, selain Ezad turut dianggotai Along, Musa dan Ujang. Mereka kini bernaung di bawah payung Nar Records.

 

 

 
Hosted by www.Geocities.ws

1