Chat Room Guestbook Contact

Menu

 
::Artikel::>::2002::>::EzadDalamMamiJarum::

Ezad Dalam Mami Jarum

TAMPIL dalam filem pertama, Mami Jarum, memberikan pengalaman baru buat Ezad Exists. Dia memberitahu SS, perasaannya yang agak takut-takut sewaktu pertama kali beraksi di hadapan kamera.

Kata Ezad, dia jadi posmen dalam filem itu. SS dapat rasakan watak itu sesuai dengan Ezad yang lagaknya ala malu-malu kucing gitu. SS rasa ramai peminat menanti kemunculan vokalis Exists itu di layar perak.

Ujarnya Ezad lagi, dia bergandingan dengan Zahida Rafik. Sesuai ke? Zahida tinggi juga orangnya dan Ezad pula, faham-faham ajelah. Apapun, sutradara filem itu pasti punya resipi sendiri menggandingkan mereka.

Selain itu, SS nak ucapkan tahniah buat Ezad dan Exists kerana jualan album mutakhir mereka, Ada sudah lebih 50,000 unit. Tak lama lagi dapat anugerah platinum.

SS rasa album itu layak mendapat pengiktirafan peminat kerana ia antara produksi terbaik tahun lalu. Rasanya kalau Ada diterbitkan pada 1995 atau 1996, ia senang-senang boleh jual hingga 300,000 unit. Syabas Exists.
 



Antara pelakon Mami Jarum (dari kiri) Ezad,
Norlia, Ismail Din dan Mahadi.


FILEM 'Mami Jarum' yang kini sedang rancak menjalani penggambaran cuba mengangkat kisah wanita yang suka menjaga tepi kain orang dan pada masa sama menganggap anak gadisnya adalah paling cantik.

Ia adalah sebuah kisah sindiran tajam dan diselitkan unsur nasihat, selain memaparkan segelintir kisah masyarakat di bahagian utara di negara ini.

Tetapi ia bukannya lanjutan kisah daripada 'Anak Mami The Movie', meskipun kebanyakan pelakon filem itu kini membintangi 'Mami Jarum' terbitan Metrowealth Movies Productions.

Prof Madya A Razak Mohaideen, yang tampil lagi mengarah karya terbarunya ini turut menyifatkan apa yang mahu dipaparkan dalam 'Mami Jarum' jauh lebih menarik dengan filem 'Anak Mami The Movie', karyanya yang mendapat sambutan hangat sehingga meraih kutipan RM3.3 juta ketika ditayangkan pada Februari lalu.

Katanya, kekuatan dalam filem ini ialah watak dan perwatakannya yang terbina sendiri dalam masyarakat utara.

"Saya yakin 'Mami Jarum' membawa cerita lebih hebat, iaitu kisah wanita pertengahan usia yang suka menjaga tepi kain orang dan mempunyai dua anak gadis. Ceritanya lebih kepada sindiran tajam tetapi ada nasihat yang disampaikan secara komedi kerana kita tahu masyarakat Melayu bercakap secara terus.

"Kita jangka ia siap penggambaran pada Julai ini dan siap sepenuhnya pada Oktober ini. Yang pasti saya akan mantapkan cerita dalam filem ini berdasarkan maklum balas daripada semua pihak menerusi 'Anak Mami The Movie'. Ini masih konsep komedi dalam genre drama yang mementingkan dialog dan ekspresi pelakon," katanya ketika ditemui di pelancaran 'Mami Jarum' di Subang Jaya, baru-baru ini.

Dalam 'Mami Jarum', pelakon yang membintanginya ialah Kartina Aziz, Rita Rudaini, Vanida Imran, Zahida Rafik, Cico, Ezad Exist, Norlia Ghani, Rashidi Ishak, Azizah Ali, Piee, Maidin, Ismail Din, Sheila Mambo, Rosnah Mat Aris, Mahadi dan Jalut.

Pelakon 'Anak Mami The Movie' yang tidak beraksi dalam filem ini ialah Farouk Hussain, Shukor Mohaideen, Naida, Mazlan Pet Pet, Saiful Apek dan Siti Shahriza.

Watak 'Mami Jarum' dibawa oleh Kartina, manakala dua watak anak gadisnya ialah Zahida dan Vanida.

Razak juga berkata, dia menghasilkan filem sedemikian kerana bagi memenuhi citarasa penonton masa kini yang meminati konsep komedi dan mahu berhibur.

"Harapan saya sudah tentunya ia mendapat perhatian seperti mana 'Anak Mami The Movie'. Filem itu sepatutnya lebih banyak sambutan kerana selepas empat hari tayangan, VCD cetak rompak sudah ada di pasaran. Selain itu, ada cuma satu hari cuti am ketika 'Anak Mami' ditayangkan dan selepas dua minggu pula, filem ini terpaksa bersaing dengan Idola.

"Bagi Mami Jarum saya juga berharap kutipan di pawagam nanti ialah sekitar RM3 juta. Walaupun ketiadaan pelakon lain seperti Farouk, ia tak akan jejas penonton kerana wataknya dalam 'Anak Mami' bukan kekuatan utama, lagipun 'Mami Jarum' bukan sambungan cerita 'Anak Mami The Movie', cuma ada kaitan subplot daripada kisah filem ini," kata Razak


Mami Jarum Menghiburkan

SESUAI dengan matlamat untuk mencari hiburan, maka filem Mami Jarum memang menghiburkan penonton dengan kelucuan jalan cerita dan aksi para pelakonnya yang kelihatan ala filem Hindustan.

Boleh dikatakan sepanjang tayangan filem ini para penonton sentiasa ketawa apabila melihat gelagat para pelakon yang bertutur cara orang Pulau Pinang itu.

Namun demikian bukan bermakna Mami Jarum sebagai filem lakonan ala boria, sebaliknya bayangan yang boleh diberikan ialah filem ini mirip kepada acuan Anak Mami terdahulu hasil kerja pengarah yang sama.

Tarikan lain yang ada pada filem arahan Profesor Madya Abdul Razak Mohideen dari UiTM itu ialah dengan menampilkan artis popular Ezad Exists sebagai pelakonnya.

Ezad berpasangan dengan Zahida Rafik yang telah muncul di dalam beberapa buah filem cereka lain.

Ezad yang amat popular dengan lagu Jesnita itu kini sudah tentu berdebar-berdebar menunggu reaksi penonton bagi mengukur potensinya sebagai pelakon pula.

Beliau tidak seharusnya merasa kecut perut dengan situasi itu kerana berlakon di dalam filem komedi adalah satu jalan selamat kepada bintang baru kerana ia jarang dipertikai oleh para peminat.

Lagipun para penonton sekarang sudah berfikiran terbuka dan tidak berminat lagi untuk taksub kepada perkara remeh temeh, sebaliknya menerima tindak tanduk idola mereka itu sekadar perkara biasa.

Mami Jarum turut dimeriahkan oleh bintang popular lain seperti Vanida Imran, Rita Rudaini, Kartina Aziz, Sheila Mambo, Rosnah Mat Aris, Ismail Din, Piee dan ramai lagi.

Menonton secara keseluruhan filem Mami Jarum keluaran Metrowealth ini bukan sekadar untuk hiburan, malah terdapat beberapa mesej tertentu yang diutarakan oleh pengarahnya.

Pun begitu matlamat utamanya ialah untuk mendidik sambil menghibur penonton yang sentiasa dahagakan filem-filem bercorak komedi.

 

 

 
Hosted by www.Geocities.ws

1