Chat Room Guestbook Contact

Menu

 
::Artikel::>::2003::>::KomunikasiExistsLemah:

Komunikasi Exists lemah


PLANET Hollywood melalui program Sunday Nite Live terus membuka ruang untuk artis-artis tempatan membuktikan kemampuan mereka beraksi secara langsung di depan peminat mereka. Justeru, gunakanlah peluang ini sebaik mungkin, tonjolkan kewibawaan anda!

Sepanjang Mac ini, Exists mengambil ‘kuasa’ pentas premis hiburan itu dan Ahad lalu, ratusan peminat mereka membanjiri Planet Hollywood untuk menyaksikan artis pujaan mereka lebih dekat lagi.

Ujang, Along, Musa dan Ezad ternyata hebat malam itu, malah pilihan lagu sebagai repertoire persembahan mereka juga tidak dinafikan, menghiburkan. Dari rangkaian lagu-lagu popular mereka hinggalah ke zaman Beatles dipersembahkan malam itu.

Sayangnya ‘kecantikan’ permainan mereka dicacatkan dengan komunikasi Ezad kurang sempurna. Kadang-kadang tak sampai apa yang cuba diperkatakan Ezad, dia cuba bergurau tetapi malu-malunya masih menebal.

Selama lebih dua jam berada di pentas, kata-kata Ezad yang popular malam itu ialah ‘lagu seterusnya ialah...’. Kadang-kadang ini menimbulkan bosan dan mungkin juga Ezad ‘gentar’ dengan kehadiran band hebat Indonesia, Dewa yang turut menyaksikan persembahan mereka.

Bagaimanapun ini bukan alasan jitu untuk digunakan. Ezad perlu mahir berkomunikasi, tidak semestinya dalam bahasa Inggeris, bahasa Malaysia kita pun sudah cukup tetapi Ezad gagal menghidupkan pentas dengan ‘gurauan’.

Tidak hanya Ezad, Along dan Musa juga perlu berperanan dalam hal ini. Persembahan Sunday Nite Live bukan sekadar promotion show di foyer kompleks beli belah.

Bagaimanapun nasib baik, permainan muzik mereka sekurang-kurangnya menyelamatkan keadaan, biarpun sedikit kebosanan menyelimuti segelintir penonton.

Exists yang baru muncul dengan album baru, Seperti Dulu memulakan persembahan dengan lagu Jangan Gentar sebelum meneruskan Mama Tolonglah Percaya, Jesnita dan Tak Tahu Harga Cinta.

Tidak ketinggalan mereka membangkitkan nostalgia Exists ‘dulu-dulu’ melalui lagu Untukmu Ibu, Rahsia Pohon Cemara, Langkah Seiringan, Masih Terserlah Ayumu dan Mengintai Dari Tirai Kamar.

Selepas Ruff Edge dijemput berganding dalam lagu Julia, Ezad meneruskan segmen ‘Beatlemania’ sebagai penutup tirai set pertama malam itu.

Set kedua diharapkan hangat dengan kehadiran Sarah Raisuddin yang menyumbangkan lagu Cemburu, bagaimanapun lagu ini bagaikan tenggelam kerana entah di mana silapnya ‘minus-one’. Tetapi Sarah menyelamatkan persembahannya dengan alunan bertenaga lagu Beautiful (Christina Aguilera).

“I’m not beauty queen, I’m a singer,” jelas Sarah yang cuba kaitkan dengan ‘gurauan hidung’ melalui SMS.

Difahamkan malam itu juga, Once daripada Dewa disenaraikan berduet dengan Ezad melalui lagu Separuh Nafas tetapi dibatalkan di saat-saat akhir.

Muzik hasil komposisi Exists malam itu benar-benar bagus, serlahkan kehebatan permainan mereka yang bukan hanya dalam album saja.

 

 

 
Hosted by www.Geocities.ws

1