Chat Room Guestbook Contact

Menu

 
::Artikel::>::2002::>::JuaraLagu2002::

Jesnita & Julia ke Separuh Akhir

Juara Lagu 2002

Oleh
Utusan Malaysia

2002

MASALAH kekurangan album baru di pasaran turut menjejaskan pertandingan Juara Lagu yang dikendalikan oleh stesen TV3. Daripada lebih 400 penyertaan setiap tahun, kali ini hanya 387 sahaja. Itupun setelah dilonggarkan syarat, sesebuah album boleh mencalonkan enam buah lagu.

``Kami terpaksa membenarkan pencalonan enam buah lagu dalam setiap album berbanding sebelum ini yang hanya empat lagu sahaja,'' kata Penolong Pengurus Penerbitan Hiburan TV3, Fadzliniza Zakaria.

Menurutnya, membenarkan tambahan dua lagu memandangkan bilangan album baru yang dihasilkan semakin menurun.

``Ini sebagai tanda kami memberi sokongan sepenuhnya kepada perkembangan industri hiburan tanah air,'' tegas Fadzliniza dalam sidang akhbar mengumumkan 30 buah lagu yang layak ke pusingan separuh akhir Juara Lagu 2002.

Fadzliniza berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 175 buah lagu bertanding dalam kategori balada, 173 buah dalam kategori pop rock dan hanya 37 buah lagu dalam kategori Irama Malaysia.

Peringkat separuh akhir kategori irama Malaysia akan disiarkan secara langsung pada pukul 4 petang 28 Oktober ini diikuti kategori Pop Rock keesokannya dan kategori Balada pada 30 Oktober. Pertandingan akan diadakan di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Lagu-lagu yang layak ke separuh akhir kategori irama Malaysia ialah Bagai Gahara (Ziana Zain), Nirmala (Siti Nurhaliza), Tenung Tenung Renung Renung dan Dendang Pusaka (Syura dan Datuk M. Daud Kilau), Hala Timur (Noraniza Idris) dan Cinta Wayang (Samsudin Lamin).

Turut layak lagu-lagu Joget Langkah Delapan (Syazliana), Joget Madah Bicara (Anis Suraya), Dabus Jodoh (Salwa) dan Putus Kasih (Amilah Amir).

Kategori pop rock pula mempertandingkan lagu-lagu Jesnita dan Julia (Exists), Indahnya Percintaan (Siti Nurhaliza), Cinta (Flop Poppy), Jatuh Cinta (Liza Hanim) dan Aladin (Spider).

Lagu-lagu lain termasuk Permata (Anuar Zain), Slumber (OAG), Akan Datang (Amy Mastura) dan Keliru (Ajai dan Nurul).

Kategori balada pula menampilkan Ziana Zain dengan lagu-lagu Menadah Gerimis dan Terkenang Jua dan Siti Nurhaliza dengan lagu Bicara Manis Menghiris Kalbu.

Liza Hanim turut mempertaruhkan lagu Gelisah Mimpi serta lagu duet bersama Zulkifli Majid berjudul Kau Tetap Di Hati.

Lagu-lagu lain yang layak ialah Niat (Elyana), Retak (Ella), Asmara Ini (Fazley), Duhai Malam (Intan Sarafina) dan Syair Si Pari-Pari (Zamani).

Lagu-lagu tersebut dipilih berdasarkan kedudukan dalam carta Juara Lagu mulai 9 Februari hingga 10 Oktober lalu.

Fadzliniza berkata, kategori pop rock menampakkan perubahan besar dengan penyertaan lagu yang berbeza daripada sebelum ini.

``Terdapat beberapa penyanyi baru yang berjaya seperti kumpulan Spider, OAG dan Flop Poppy,'' jelas Fadzliniza lagi.

Selain nama-nama lazim dalam Juara Lagu, terdapat beberapa nama baru seperti Elyana, Syura, Amilah Amir, Samsudin Lamin, Syazliana dan Fazley yang layak ke pusingan separuh akhir.

Melihat kepada senarai lagu-lagu yang layak, kategori pop rock memperlihatkan saingan yang sengit dengan lagu-lagu yang berlainan.

Lagu-lagu yang bertanding dalam kategori pop rock rata-ratanya menampilkan sentuhan baru di dalam perkembangan muzik tanah air. Tidak mustahil kalau Juara Lagu yang sebelum ini dimonopoli oleh lagu-lagu Irama Malaysia dan Balada, kali ini beralih kepada lagu pop rock.

Lagu-lagu Aladin (Spider), Cinta (Flop Poppy), Jesnita (Exists), Julia (Exists) ,Slumber (OAG) dan Keliru (Ajai dan Nurul) adalah antara lagu yang menggerakkan industri muzik Malaysia ke hadapan.

Kelainan muzik pada lagu-lagu itu menarik perhatian pendengar yang sebelum ini diulit dengan lagu-lagu balada cinta.

 

 

 
Hosted by www.Geocities.ws

1