Chat Room Guestbook Contact

Menu

 
::Artikel::>::2003::>::ExistsCalonPopular:

APM: Exists calon popular

Harian Metro

ARTIS Malaysia menerima 33 pencalonan bagi bersaing merebut 12 Anugerah Planet Muzik 2003 (APM 2003) yang akan berlangsung 15 Mac depan di Stadium Putra Bukit Jalil.

Kumpulan Exists mengepalai calon dengan mendapat lima pencalonan diikuti Sarah Raisuddin, kumpulan Flop Poppy dan Spider masing-masing tiga pencalonan.

Exists tersenarai merebut anugerah Kumpulan Terbaik, Album Terbaik, Lagu Terbaik (Julia), Kumpulan Paling Popular dan Lagu Paling Popular (Jesnita).

Lagu nyanyian penyanyi utama mereka Ezad bersama Iva Virginia, Dua Insan turut tersenarai merebut anugerah Lagu Paling Popular.

Anugerah tersebut mempertandingkan penyanyi serantau termasuk Indonesia dan Singapura merebut anugerah yang dipertandingkan.

Ia dianjurkan oleh Media Corp Radio bahagian Melayu dengan kerjasama Naga DDB, Malaysia. Anugerah itu disokong oleh Astro, Persatuan Industri Rakaman Malayisa, Yayasan Akademi Muzik Indonesia dan beberapa lagi.

Sarah bersaing dalam kategori Artis Baru Wanita Terbaik, Artis Wanita Terbaik dan Lagu Paling Popular (Kesetiaan).

Dalam kategori artis baru Sarah bersaing dengan Misha Omar serta tiga penyanyi Indonesia, Tere, Audi dan Vivi manakala Liza Hanim, Siti Nurhaliza, Andien dan Kris Dayanti turut bersaing dalam kategori Artis Wanita Terbaik.

Melihat kelayakan Sarah dalam kategori Artis Wanita Terbaik, dia hampir pasti membawa pulang anugerah Artis Baru Terbaik kerana hanya dia dalam kelompok itu layak ke pencalonan utama.

Artis Lelaki Terbaik pula menyaksikan persaingan Yasin, Ramli Sarip, Jai, Yana Julio dan Anang manakala kumpulan terbaik turut disaingi Flop Poppy, Spider, Dewa dan Sheila On 7.

Kumpulan Baru Terbaik pula menamakan Phyne Ballerz, Tribe, Moluccas, Lakuna dan Apel sebagai calon manakala Artis Baru Lelaki Terbaik pula menampilkan Thariq, Guz, Jai dan Ian Priggadani.

Selain lagu Julia, Lagu Terbaik turut disaingi oleh Seberapa Pantas (Sheila On 7), Ada Apa Dengan Cinta (Melly/Ari Lasso), Hanya Memuji (Shanty/Marcell), Pupus (Dewa) dan Cinta (Flop Poppy).

Calon-calon lain kategori Album Terbaik pula menampilkan album Spider, Sheila On 7, Dewa dan Naif.

APM 2003 turut menyediakan persaingan empat kategori popular. Artis Lelaki Popular menyaksikan persaingan Ajai, Anuar Zain, Aqasha, Yasin, Ari Lasso, Iwan Fals, Jai, Marcell, Ramli Sarip dan Rio Febian.

Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Ella, Erra Fazira, Noraniza Idris, Kris Dayanti, Melly Goeslow, Rossa, Andien dan Shanty pula calon kategori wanita.

Kumpulan Paling Popular pula menyaksikan persaingan Exists, KRU, Newboyz, Spider, Dewa, Jamrud, Shiela On 7, Slank, T-Five dan Tribe.

Lagu Paling Popular pula turut disaingi lagu-lagu Ada Apa Dengan Cinta, Seberapa Pantas, Cinta, Hanya Memuji, Aladin (Spider), I Miss You But I Hate You (Slank), Kau (T-Five), Keliru (Ajai/Nurul) dan Mak Minah (Triple Noise).

Anugerah itu turut menyediakan tiga anugerah khas untuk penyanyi Singapura iaitu Album Terbaik, Lagu Terbaik dan Artis Terbaik.

Aznil Nawawi, Linda Onn, Najip Ali, Sarah Sechan dan Syed Ibrahim akan bertindak sebagai pengacara.

 

 

 
Hosted by www.Geocities.ws

1