Chat Room Guestbook Contact

Menu

 
::Artikel::>::AlbumTheBestOfExists::

Album The Best Of Exists

 

Mungkin anda masih ingat lagi lagu Untukmu Ibu yang suatu ketika dulu cukup popular bukan sahaja di kalangan remaja, malah juga popular di kalangan kanak-kanak dan orang dewasa. Lagu ini juga berjaya mengangkat populariti kumpulan Exist yang ketika itu dianggotai oleh lima orang anak muda belasan tahun iaitu Mamat, Ajai Musa, Shah, dan Along. Kini hampir sepuluh tahun sudah berlalu. Kumpulan yang dulunya dianggotai oleh anak muda belasan tahun kini sudah meningkat dewasa.

Jangka masa sepuluh tahun yang dihadapi telah cukup mematangkan mereka. Walaupun dalam jangka masa tersebut bermacam dugaan yang mereka hadapi termasuklah pengunduran Mamat(vokalis) dan Shah (gitaris) daripada kumpulan ini, namun mereka tetap tabah menghadapi sehingga kini mereka berjaya menempa nama bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara jiran Indonesia. Boleh dikatakan Exist adalah antara artis Malaysia yang paling berjaya di Indonesia pada masa ini. Album mereka yang ketiga Dianmu Gunung Berapi, yang dipasarkan di Indonesia dengan menggunakan judul album Mencari Alasan, berjaya dijual lebih daripada 600 000 unit.

Manakala album keempat (Jangan Gentar) dan kelima mereka (Mutan), juga berjaya meraih jualan sebanyak 600 000 dan 100 000 unit. Gandingan mantap mereka dengan menampilkan Ezad sebagai penganti kepada Mamat ternyata berjaya menggegarkan industri muzik di Indonesia apabila kebanyakan lagu-lagu mereka berjaya menguasai carta-carta lagu di Indonesia. Kini album terbaru mereka, The Best Of Exist, yang baru memasuki pasaran telah berjaya mengulangi kejayaaan album-album terdahulu. Album ini berjaya dijual sebanyak 25 000 unit bagi melayakkan mereka untuk menerima anugerah cakera emas.

Dalam majlis yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini, Pihak BMG Record telah menyampaikan anugerah tersebut kerana kejayaan album The Best of Exist . “Kita memang bangga dengan pencapaian yang di tunjukkan oleh kumpulan Exist lebih lebih lagi dengan keadaan industri muzik sekarang yang belum begitu pulih dengan kegawatan ekonomi dan masalah cetak rompak. Kalau boleh memang kita ingin menganugerahkan sesuatu yang lebih berharga seperti rumah ataupun kereta seperti yang lazim dilakukan di barat. Namun bagi kita, perkara ini masih baru tetapi tidak mustahil suatu hari nanti kita juga akan melakukannya,” ujar Johari The, Pengarah A&R dan Pemasaran BMG Music.

Album ini memuatkan rangkaian lagu-lagu hits Exist dari album pertama sehingga kelima seperti Untukmu Ibu, kapal Terbang Kertas, Siapa Selain Aku, Alasanmu, Emily, Jangan Gentar, Anugerah, Dirantai Digelang Rindu, Hani Lempengnya Hangus dan banyak lagi. Turut dimuatkan di dalam album ini dua buah lagu baru iaitu Tak Ku Biar ciptaan dan lirik Akma dan lagu Bunga ciptaan J.S Kevin dan lirik oleh Musa Exist. Secara tidak langsung, kejayaan Exist dapat dibanggakan kerana tidak ramai di antara artis kita yang berjaya menembusi pasaran muzik di Indonesia. Walaupun kumpulan ini terpaksa menghadapi beberapa masalah lain termasuk masalah pembayaran royalti, namun mereka tidak pernah serik untuk terus mempromosikan album mereka di Indonesia.   -- infotainment Bernama

 

 

 
Hosted by www.Geocities.ws

1