ELLA DIAM YANG
BERISI
Oleh Khadijah Ibrahim
Dalam tempoh tiga tahun menyepikan diri dari dunia rakaman dan persembahan hiburan,
Ella sering diaju pertanyaan oleh peminat tentang album barunya. Dalam senario
muzik tempatan, tanpa album baru seseorang penyanyi akan kehilangan banyak peminat.
Kini Ella yang dikatakan Ratu Rock Malaysia itu memenuhi permintaan peminat
untuk menikmati nyanyiannya dalam album terbaru. Ella mempersembahkan Ilham
Bicara. Ella antara penyanyi besar yang pernah dimiliki oleh negara ini. Dia
juga pernah berada di puncak populariti sebelum menyepikan diri tiga tahun lalu.
Album Ilham Bicara yang sudahpun berada di pasaran itu memuatkan 14 buah lagu,
11 daripadanya adalah lagu baru dan dua lagi lagu berbentuk karaoke. Ini diibaratkan
kembalinya Ella di pentas muzik tempatan. Lahirnya album Ilham Bicara ini adalah
kesinambungan penguasaan Ella terhadap lagu-lagu berentak rock di negara ini.
Ella dilihat akan membuatkan banyak penyanyi lain tergugat kerana peminatnya
yang dulu. Buat pertama kali juga Ella yang popular dengan lagu Sembilu dan
Bila Cinta Berakhir bekerja sama dengan lapan orang komposer popular tanah air
dalam album ini.``Sebelum ini saya lebih senang bekerjasama dengan seorang penerbit.
Untuk mendapatkan cita rasa berbeza saya bergabung tenaga dengan ramai komposer
dan ternyata cubaan itu memberi kesan positif,'' jelas Ella. Ella yang pernah
muncul dengan album berbentuk eksperimen seperti 30110 dan El, kini kembali
kepada landasan asal. Kata Ella, sudah cukup eksperimen yang dilakukan dan kini
dia ingin kembali ke konsep rock yang pernah menjulang namanya dulu. Penyanyi
yang semakin matang itu tetap mengekalkan gaya suara serak-serak basahnya serta
rentak lagu yang sememangnya sudah menjadi kegilaan peminat-peminatnya. Tambah
Ella, kebanyakan lagu-lagu dalam album ini ada hubungan kait dengan dirinya
dan sebab itulah dia begitu menjiwainya. ``Semua lagu yang dimuatkan dalam album
ini ada membayangkan diri saya yang sebenarnya. Terpulang pada pendengar untuk
mentafsirkan mengikut pandangan masing-masing. Yang penting saya harap peminat
akan terhibur dengan hasil kerja ini,'' katanya terus terang. Menerusi album
ini juga Ella telah mengenengahkan kakaknya, Jojie yang selama ini menjadi pengurusnya.
Dalam album Ilham Bicara, Jojie bersama Rez Da'Joint berduet dengan Ella menerusi
lagu Nan Berbeza, ciptaan Ajai dan Kelly. Selain itu Ella yang sejak dulu memang
mengagumi penyanyi Ramli Sarip telah berganding suara dengan penyanyi tersebut
menerusi lagu Dia Lelaki. Biar pun Ella sinonim dengan irama rock namun sebagai
penyanyi serba boleh dia telah menunjukkan bakatnya mendendangkan lagu berentak
Melayu asli berjudul Jauh Di Mata yang digubah mengikut konsep muziknya. Menerusi
lagu tersebut juga Emmette penyanyi dari kumpulan Butterfingers telah menunjukkan
bakatnya bermain biola. Sementara itu lagu Tinggal Tanda Tanya yang semakin
mendapat tempat di hati peminat itu sekali dengar terdapat sebaris lirik yang
seakan sama dengan lirik lagu dendangan Deja Moss yang berjudul Di Matamu Aku
Di Jiwamu Dia. Biarpun ada sedikit persamaan dari segi lirik namun cara penyampaian
mereka berbeza. Apa yang pasti Ella tetap kekal dengan gayanya yang tersendiri
dan menerusi album ini juga dia telah meluahkan segala isi hatinya. Antara lagu-lagu
yang dimuatkan dalam album ini ialah Kerlipan, Tak Kisah, Retak, Cendawan &
Serangga, Nekad, Retak dan Kau Tak Tahu.