Lagu
asli dalam album baru
Oleh ROSLI MANAH
PELBAGAI reaksi diterima oleh peminat apabila penyanyi yang digelar ratu rock tanah air, Ella menyanyikan sebuah lagu asli di dalam album terbarunya. Ella merakamkan semula sebuah lagu yang dipopularkan oleh Sharifah Aini pada tahun 70-an berjudul Jauh Di Mata dengan gaya yang tersendiri. Banyak peminat terkejut apabila dia menyanyikan lagu tersebut di dalam sebuah album yang dipenuhi lagu-lagu pop rock. ``Saya bukannya ingin menukar konsep, sebaliknya sekadar ingin membuat pembaharuan,'' kata Ella mengenai lagu itu. Ella tidak nafikan ada juga peminat yang suka dengan gayanya menyanyi lagu tersebut, jelasnya. ``Gaya nyanyian rock saya tetap terserlah di dalam lagu itu,'' kata penyanyi yang berasal dari Klang, Selangor itu. Malah, kata Ella, tidak mustahil untuknya menyanyikan lagu berkonsep R&B pada masa akan datang. ``Terdapat komposer yang mengatakan saya ada gaya menyampaikan lagu berentak R&B, namun buat masa sekarang, saya tidak bersedia melakukannya,'' jelas Ella lagi. Dia tidak mahu dikatakan hilang identiti apabila menyanyikan lagu yang lari daripada konsep rock yang telah lama diperjuangkan olehnya.
LAGU ASLI DALAM ALBUM BARU
``Saya tetap setia pada lagu-lagu rock kerana jiwa saya menyintai irama ini,'' katanya yang kini sedang popular dengan lagu Tinggal Tanda Tanya dan Ilham Bicara itu.Menurut Ella, semasa pembikinan album berjudul Ilham Bicara itu, dia merakamkan lebih 15 buah lagu. Lagu yang tidak dimuatkan di dalam album ini akan dimasukkan pada album akan datang. ``Kami memang sengaja merakamkan banyak lagu dan lagu selebihnya akan dimuatkan di dalam album akan datang,'' jelasnya lagi. Ia bukan lagu-lagu yang ditolak, sebaliknya kesemua telah dipilih daripada puluhan lagu yang tersenarai akhir,'' jelas penyanyi itu lagi. Sementara itu, ditanya persiapan Hari Raya, kata Ella, dia akan berhari raya bersama keluarga di kampungnya di Klang. ``Setiap tahun, saya akan bersama keluarga,'' kata Ella. Dia juga hanya menyambut Hari Raya secara sederhana sahaja dan persiapan dilakukan oleh keluarganya.