KASIH BERPUTIK DI PADANG BOLA
Satu ketika dulu, Ella tinggal di Teluk Gadong, Selangor dan berhampiran rumah ada sebuah paidang bola yang menjadi tumpuan berkumpul dan bermain bola. Ketika itu, hampir setiap petang Ella menantikan kehadirannya. Lenggoknya menggelecek bola memang menarik dan tanpa diduga Ella ingin mengenalinya. Apa yang lebih menyeronokkan dia juga rakan adik Ella, Korie. Setiap hari Ella tertunggu-tunggu dan berdoa cepatlah muncul petang, sebab nak tengok dia beraksi di padang. Ketika itu Ella berusia 19 tahun, sudah menamatkan persekolahan dan sudah menyertai The Boys tetapi belum merakamkan album. Perkenalan Ella dengan si dia agak mudah juga kerana Korie memperkenalkan Ella kepadanya pada satu petang dan kami mula berbual, bertukar-tukar pengalaman. Walaupun dia tidak tinggal di kawasan perumahan yang sama dengan Ella tetapi rasanya selepas kami berkenalan, dia juga ada menaruh hati pada Ella tetapi tidak pernah menunjukkannya secara terang-terangan. Hubungan kami semakin rapat dan sering keluar bersama walaupun masing-masing malu untuk meluahkan perasaan. Ella menaruh hati juga kepadanya tetapi sayang dia tidak pernah berterus-terang sehinggakan Ella risau jika hanya bertepuk sebelah tangan. Tapi gerak geri dan pertuturannya mengungkapkan bahasa cinta yang tidak terucap. Akhirnya hubungan kami terlerai begitu saja. Kami berpisah dan tidak tahu siapa dan sebab apa boleh terpisah. Hubungan itu hanya tinggal kenangan dan kini menjadi nostalgia manis apabila diingat kembali. Apapun, Ella doakan semoga dia berbabagia dengan kehidupannya..
Kenangan abadi;
Ella (Penyanyi)