ILHAM
BICARA KURANG SAMBUTAN
Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN
Gambar AZLI AHAD
DUA bulan berada pasaran, album Ilham Bicara ratu rock, Ella baru mencecah jualan 15 ribu unit. Perkembangan ini bagi sesetangah pemerhati adalah sesuatu yang kurang memberansangkan kerana status nama besar yang dimiliki oleh Ella dalam bidang seni suara. Ella pernah melakar sejarah sebagai penyanyi wanita paling berjaya dan masih mengekalkan rekod sebagai artis wanita tempatan pertama yang mencatat jualan album sehingga 350,000 unit pertengahan tahun 90-an. Tetapi sekarang, keadaan berubah menyebabkan banyak yang berfikir apa sudah jadi dengan Ella. Apakah dia sudah tidak mampu mengekalkan popularitinya atau strateginya kembali kepada lagu seperti zaman Sembilu dan Layar Impian tidak menjadi? Bagaimanapun Ella mempunyai pendapat yang tersendiri mengenai keadaan ini. Yang pasti, jelas Ella, dia tidak berasa terkilan sebaliknya bersyukur kerana masih ada peminat setia yang memberi sokongan kepada kerjayanya. "Diukur dengan penyanyi lain, saya lebih bernasib baik. Banyak penyanyi wanita popular lain yang mempunyai populariti hebat, tetapi album tidak mencecah lima ribu unit pun. Dalam keadaan seperti sekarang, saya perlu bersyukur kerana Ilham Bicara menunjukkan penjualan yang memberansangkan meskipun belum dipromosikan secara lebih menyeluruh, jelasnya ketika ditemui pada majlis sidang media mengenai album terbarunya Jumaat lalu. Menurut Ella, adalah menjadi sesuatu yang tidak adil jika penjualan hari ini dibandingkan lima atau 10 tahun lalu. Faktor ekonomi dan kecanggihan teknologi yang deras memacu perubahan di negara ini menyebabkan kuasa membeli peminat semakin berkurangan terhadap bahan hiburan. Hiburan yang boleh didapati secara percuma, menerusi media elektronik juga menyumbang kepada faktor penurunan minat membeli di kalangan pendengar. "Benar saya pernah mencatat penjualan album sehingga 300,000 unit, tetapi keadaan ketilka itu lain. Itu zaman kegemilangan lagu-lagu rock, apa saja album yang keluar akan mendapat sambutan. "Saya sedar rekod lama itu mungkin sukar digapai semula dalam keadaan sekarang, tetapi tidak menganggap penjualan album terbaru ini sebagai sesuatu yang mendukacitakan," katanya lagi. Ella yakin album yang memuatkan lagu-lagu hebat ciptaan lapan komposer handalan ini akan memanjat tangga popular tidak lama lagi. Apatah lagi, lagu seperti Tinggal Tanda Tanya dan Kekal diputarkan di radio dan berada dalam carta utama pilihan peminat. Sementara itu, sidang media ini diadakan khusus oleh syarikat rakaman EMI untuk memberi peluang kepada Ella bermesra dan berkenalan lebih dekat dengan pihak media. "Banyak antara rakan media terutama yang baru, tidak EIla kenali. Majlis ini diadakan untuk Ella mendekatkan lagi diri dengan mereka," jelasnya. Pada usia yang mencecah 37 tahun Ella masih, mengekalkan kejelitaan meskipun kedewasaan jelas tergambar di wajahnya.