JAUH Di Mata, lagu lama yang diberi nafas baru oleh penyanyi rock wanita terkenal, Ella barangkali hanya istimewa bagi segelintir orang. Tidak kurang ada juga yang tidak berminat dengan gaya dan penyampaian Ella. Yang penting, Ella menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai anak. Lagu tersebut, kata Ella, dirakamkan semula sebagai mengenang arwah ayahnya.Bahkan lagu Jauh Di Mata turut merupakan lagu kegemaran ibunya.``Lagu tersebut terlalu istimewa buat saya. Justeru, apabila tercapai hasrat saya merakamkan lagu itu, ia bagaikan melengkapkan perjalanan seni saya,'' akui Ella sambil merenung jauh seolah-olah mengenangkan sesuatu.Ditemani kakaknya jojie yang juga pengurus yang banyak bertanggungjawab terhadap pengurusan karier seni adiknya, Ella tampil dengan gaya yang cukup ringkas pada pertemuan yang berlangsung di studio Utusan.Dia semakin matang dalam berbicara tetapi gaya manjanya sukar sekali dikikis dalam diri penghibur yang dilahirkan di Pulau Mutiara itu.Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminuddin mengakui sifat manja dalam dirinya masih kukuh.``Mungkin itulah keistimewaan Ella yang tiada pada orang lain,'' katanya sambil ketawa.Di sebalik telatah itu, Ella sebenarnya seorang wanita yang cukup pemalu.``Kerana sifat tersebut, Ella susah nak berkawan dengan ramai orang. Jadi kalau selalu tengok Ella dengan Jojie maknanya kami memang tak punya ramai kawan,'' akuinya jujur.Ella yang kini muncul dengan album terbarunya Ilham Bicara kala diajak berbual mengenai kisah peribadi hanya tersenyum manja - semanja yang sering kita perhatikan gelagatnya di televisyen ketika ditemu bual oleh wartawan penyiaran.``Tak sesuailah cerita fasal boyfriend, kalau kita cerita fasal album lagi best,'' Ella mengalihkan perbualannya.Topik perbualan segera dialihkan mengenai albumnya.Ilham Bicara, kata Ella, dihasilkan selepas dia mengkaji suasana pasaran muzik.Penghibur yang bernaung di bawah bumbung syarikat rakaman EMI Music itu memberitahu, konsep lagu-lagu yang dimuatkan dalam album tersebut sebenarnya menepati apa yang dikehendaki oleh pasaran muzik semasa.``Album ini memuatkan lagu-lagu yang mungkin akan mengimbas kenangan peminat Ella pada lagu-lagu popular Ella sekitar hujung tahun 80-an dan 90-an,'' cerita Ella. Ilham Bicara juga, kata Ella, menemukannya dengan beberapa komposer ternama seperti Ajai, LY dan Azmeer. ``Ini merupakan kali pertama Ella bekerjasama dengan mereka dan nyata ia amat menyeronokkan,'' kata Ella lagi. Kerjasama Ella kali ini turut menyaksikan dia berganding bahu dengan Papa Rock, Ramli Sarip. Menerusi lagu Dia Lelaki, gandingan itu membuktikan mereka terus berbisa dan masih mampu mempertahankan kewibawaan sebagai pejuang rock unggul di Malaysia. Melihat perkembangan itu, apa yang pasti ialah Ella tidak perlu risau atau berasa tergugat kerana dia masih boleh terus berbangga dengan status Ratu Rock yang dilabelkan kepadanya. Ini kerana sehingga ke detik ini masih belum ada mana-mana penyanyi wanita di negara ini yang bisa menyaingi suara rock Ella.