Oleh ROSLI MANAH
PENYANYI rock wanita Ella kembali menghasilkan lagu pop rock setelah percubaannya
menghasilkan muzik rock yang lebih moden sukar diterima oleh peminat.Album El
yang dipasarkan tahun lalu gagal menambat hati peminatnya setelah dia melakukan
perubahan dalam muziknya. Tambahan pula, pada masa itu pasaran muzik agak runcing
dan ditambah dengan kemunculan banyak penyanyi wanita yang menguasai pasaran.``Saya
senang dengan konsep album ini yang mengingatkan kepada lagu-lagu saya pada
akhir 80-an,' kata Ella.Walaupun idea menghasilkan album tersebut daripada pihak
EMI, namun dia menerimanya kerana tidak hilang elemen rock yang menjadi identitinya
selama ini, jelas Ella.Dia tidak menganggap tindakannya itu sebagai kembali
ke belakang kerana muzik yang dihasilkan oleh komposer semasa disuntik dengan
elemen muzik moden. Walaupun menggunakan khidmat pencipta yang lebih banyak
menghasilkan lagu pop, Ella tetap menganggap albumnya sebagai album rock.``Album
ini masih bernafas rock,'' kata Ella mengenai album terbaru berjudul Ilham Bicara.Komposer
yang terbabit di dalam albumnya ialah LY, Azmeer, Ajai, Bong, Zul Mahat dan
Ramli Sarip.Ella juga merakamkan semula sebuah lagu asli berjudul Jauh Di Mata
sebagai satu kelainan di dalam album itu. Muzik untuk lagu ini disuntik dengan
elemen rock dan Ella mengekalkan stail nyanyian lagu berkenaan.Dia pernah menyanyikan
lagu Jauh Di Mata pada konsert pop Orkestra Kuala Lumpur di Auditorium Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tiga tahun lalu.Selepas menyanyikan lagu itu,
Ella telah terfikir untuk mengabadikan Jauh Di Mata dalam album barunya. Tambahan
pula banyak peminat yang menganggap lagu itu ada kesesuaian dengan suaranya.``Inilah
lagu asli gaya saya yang tentunya tidak lari daripada lenggok Ella,'' ujarnya
lagi.Lagu tersebut juga kini kerap diputarkan kerana kesesuaian dengan suasana
bulan puasa.Lagu Ilham Bicara ciptaan Azmeer mula disiarkan di stesen radio
sejak dua bulan lalu sebelum albumnya dipasarkan untuk menghebahkan kepada peminat
kehadiran album baru Ella.Promosi album tersebut akan dipergiatkan selepas musim
perayaan kerana kini album bertema hari raya banyak menguasai pasaran muzik
tempatan.``Saya rindu untuk turun padang bertemu peminat pada sesi promosi,''
kata penyanyi itu lagi.Dia juga sedar dalam keadaan pasaran album yang lembab
sekarang, seseorang penyanyi harus berusaha untuk mengikuti perancangan promosi.Lain-lain
lagu yang terdapat di dalam album ini ialah Nan Berbeza, Kau Tak Tahu, Tinggal
Tanda Tanya, Retak, Kerlipan dan beberapa lagi.