PENGANJURAN konsert mini - Aku, Myself & Ella di Hard Rock Cafe (HRC) Kuala Lumpur, minggu lalu berjaya membuktikan kehebatan dan kemampuan Ella sebagai salah seorang penghibur serba boleh di negara ini biarpun selepas 15 tahun usia pembabitannya dalam industri muzik tanah air.
Ella yang pernah digelar sebagai Ratu Rock Negara berjaya membuktikan beliau masih mempunyai peminat setia biarpun sudah lama tidak menghasilkan album baru dan mengadakan pertunjukan pentas, selain dihujani pelbagai kontroversi sebelum ini.
Konsert mini itu juga berjaya mengembalikan zaman kegemilangan rockers kelahiran Klang itu, dan beliau mampu menghasilkan persembahan yang jauh lebih baik daripada yang diperkatakan sesetengah pihak sebelum ini.
Ella tidak mensia-siakan bakat seni, selain pengalamannya berbelas-belas tahun dalam industri muzik negara.
Pada malam itu, Ella muncul lewat kira-kira 30 minit dari masa sebenar konsert sepatutnya bermula, 11 malam dengan mengenakan pakaian cukup ringkas iaitu jeans lusuh kebiru-biruan yang dipadankan dengan kemeja-T putih.
Dengan penampilan yang ringkas, tetapi cukup bergaya, Ella memulakan persembahannya dengan menyanyikan lagu popularnya, Permata Pemotong Permata (PPP), yang mengembalikan nostalgia kegemilangannya sekitar awal 90-an.
Penonton turut menyanyi bersama Ella menerusi beberapa lagu seterusnya termasuk single terbarunya, Retak dan Tinggal Tanda Tanya, selain gabungan medley - Permata Biru, Kesal, Kitalah Bintang serta Layar Impian.
Ella juga tidak melepaskan peluang menyanyikan beberapa lagu rock popular Inggeris ketika ini termasuk Creep yang pernah dipopularkan oleh Radio Head dan TLC, selain In The End serta One Step Closer (Linkin Park).
Secara keseluruhannya, persembahan Ella pada malam itu cukup menghiburkan, malah vokalnya terkawal dengan baik sekali tanpa gangguan teknikal pada sistem bunyi yang boleh merosakkan tumpuan penonton dan kemeriahan acara berkenaan.
Ia ditambah dengan kehadiran beberapa pemuzik pengiring, termasuk Shah Slam (gitar kedua), Sham Kamikaze (gitar utama), Ujang Exist (dram) dan Aji Acidiz Band (gitar bass) yang menampilkan persembahan yang cukup bertenaga.
Ella juga bijak mengawal emosi dan tumpuan penonton dengan mengadakan banyak interaksi kerana beliau bukan bertanyakan khabar semata-mata, tetapi turut mengajak penonton menyanyi dan menari bersama.
Ella dijangka muncul sekali lagi pada konsert mini itu di Saloma Bistro & Theatre Restaurant - Malaysia Tourism Centre (MTC), Jalan Ampang pada 13 April ini.