DUNIA FESYEN ELLA

KALI terakhir melihat kelibat persembahan Ella mengusai pentas ialah pada tahun 1998. Ketika itu Diva Rock ini cukup popular menerusi lagu Bayangan yang dipetik daripada albumnya, El. Tahun yang sama juga menyaksikan vokal rock Ella bergema menyuntik semangat atlit negara menerusi lagu tema Sukan Komenwel, Standing In The Eyes, di Bukit Jalil. Namun, di sebalik kemasyuran, Ella menerima tamparan hebat apabila aksi persembahannya yang berbaring di pentas ketika promosi album El dikatakan melanggar adap sopan seorang gadis Melayu. Sorotan itu, namanya seakan tenggelam walaupun paduan suaranya bersama penyanyi sensasi, Awie, menyampaikan lagu Baldu Biru sering berkumandang. Kini, dia semakin yakin untuk tampil melebarkan sayap dan karyanya semula kerana yakin masih diminati. "Menghilangkan diri kerana merajuk?. Tak adalah, Ella masih lagi aktif memenuhi undangan persembahan cuma dalam masa tiga tahun lalu Ella lebih banyak memberi tumpuan pada dunia rekaan fesyen. "Maksud Ella, mempelajari bagaimana ia direka, apa jenis material yang sesuai untuk digunakan bagi sesuatu rekaan dan bagaimana untuk mempelbagaikannya. "Penyertaan Ella dalam dunia ini pun bukan kerana merajuk tetapi, memang sudah lama terpaut. InsyaAllah, kalau tiada halangan Ella bercadang menyambung pengajian dalam bidang Fesyen di Milan, Italy," katanya yang tetap manja. Ella, yang ditemui memeriahkan persidangan media kedua Anugerah Era 2001 menambah, ramai yang menyangka dia berkecil hati ekoran kutukan persembahan agresif yang dilakukan suatu ketika dulu. Namun, sebagai seorang yang berpengalaman luas dalam bidang muzik perkara it bagaikan 'alah bisa tegal biasa' pada dirinya kerana dia bukanlah Ella yang dikenali lebih 10 tahun yang lalu. Sebagai membuktikan darah seninya terus mengalir, Ella bertungkus-lumus menyiapkan album terbaru yang pastinya memberi penangan hebat pada arena seni suara. Masih mengekalkan konsep rock, ia membariskan komposer ternama seperti Fauzi Marzuki, Papa rock Ramli Sarip, Ajai, Zul Mahad, Bong dan Aji. Selain mereka, Ella juga tidak ketinggalan mengabadikan karyanya di album ini yang akan dipasarkan syarikat rakaman EMI Sdn. Bhd tidak lama lagi. "Proses rakaman suara sudah selesai cuma masih menantikan beberapa lagu lagi. Mungkin ciptaan Jojie (kakak Ella), Rez dan Innuendo yang mengisi kekosongan itu. "Selepas selesai tugas ini, barulah Ella dan EMI membincangkan berkenaan pemilihan konsep yang sesuai untuk menghiasi kulit album, judul album, tajuk lagu dan sebagainya, "Album ini istimewa kerana semua komposer yang terbabit mengkaji terlebih dahulu bagaimana lagu yang sesuai untuk disampaikan suara Ella. "Dengan cara itu proses rakaman berjalan lancar dan menyeronokkan setiap pihak untuk melakukan tugas mereka. Ella juga tidak mengalami sebarang tekanan. "Itulah antara faktor pembikinan album ini mengambil masa yang agak lama kerana tidak mahu hasilnya nanti cincai dan akan mengecewakan hati peminat. "Lagipun, Ella lebih selesa menghasilkan album yang berkualiti dan ia boleh diabadikan peminat selama yang mampu," katanya. Bagaimanapun, kesesuaian rentak lagu masih, lagi diterap seperti rock, pop rock, alternatif serta muzik yang sealiran tanpa mengubah landasan asal konsep rock yang sinonim dengan jiwanya. Selain itu, pengekalan konsep adalah sebagai pengubat rindu peminat setianya yang sanggup menanti selama tiga tahun menyepikan diri. Tidak ketinggalan, album yang menyelitkan 10 lagu ini, menampilkan lagu duet darinya bersama seorang penyanyi yang masih menjadi rahsia syarikat rakaman EMI, memandangkan masih dalam perbincangan. Ella juga memberitahu dia akan tampil dengan imej baru yang lebih matang dan ringkas.

Hosted by www.Geocities.ws

1