INFO LAMAN

 

EKSTRIM : Media Muzik Metal Malaysia

DIBANGUNKAN SEMENJAK NOVEMBER 2005

www.geocities.com/ekstrimzine

[email protected]


EKSTRIM adalah sebuah media online yang diwujudkan khas untuk bertindak sebagai tali penghubung dan penyatuan antara penggiat-penggiat seni muzik metal tempatan (band, label, zine dan sebagainya) dengan pengikut-pengikut underground di seluruh pelusuk Malaysia. Sebab itulah EKSTRIM harus berdiri dan terus berevolusi secara mantan di atas misi dan visi yang tersendiri sebagai MEDIA MUZIK METAL MALAYSIA, yang mana secara eksklusifnya memberi dokongan dan sokongan secara terus-menerus terhadap perkembangan persada muzik metal ekstrim dan pergerakan bawah tanah di negara kita yang tercinta ini. Jikalau bukan warga sendiri yang perlu mengangkat darjat dan martabat persada muzik metal dalam negara ini, siapa lagi? (Jawabannya ada dalam hati anda semua).

Dengan menggunapakai Bahasa Melayu sepenuhnya sebagai bahasa pengantaraan segala bentuk penulisan dan persembahan dalam laman EKSTRIM ini (kecuali perkataan atau istilah tertentu yang memerlukan kepada penggunaan Bahasa Inggeris), penampilannya bukanlah bertujuan untuk menyaingi apatah lagi menidakkan kewujudan dan kehebatan portal-portal metal lain yang telah lama berfungsi malah telah kukuh kedudukannya seperti METALTERUS.COM.MY dan ART OF SILENCE. Bagi laman web EKSTRIM ini, ianya akan beroperasi, mungkin atas dasar dan landasan yang sama dengan nama-nama yang disebutkan tadi, tetapi dalam tatagaya dan citarasa yang (seboleh-bolehnya) berbeza. Insya-Allah.

Berbalik kepada bidang paparan dan isi kandungan EKSTRIM, adalah ditegaskan bahawa segala apa yang diketengahkan dalam laman web ini HANYA SEMATA-MATA berkisarkan persada muzik metal di Malaysia. Informasi beritanya hanyalah tentang aktiviti metal underground dalam negara ini. Wawancaranya pula bersama kumpulan-kumpulan muzik metal (atau entiti lain yang berkaitan termasuklah pemilik label dan editor fanzine) tanahair. Segala pujian dan teguran dalam ulasan hanya untuk produk-produk muzikal tempatan. Pendek kata, macam-macam ada namun semuanya hanyalah MALAYSIA. Inilah yang dikatakan kelainan dalam pendekatan dan halatuju EKSTRIM.

EKSTRIM adalah diterajui oleh Sufian Mohamed Salleh (bekas editor Nathias Fanzine dan Aesthetic Extremity Webzine) dan para penulis adalah terdiri dari penggiat dan peminat muzik metal kelahiran Malaysia yang mana kebanyakannya bertemu secara online dan saling diskusi sesama sendiri dalam laman forum METAL TO METALS yang mana ianya sebuah message board yang dimiliki secara rasmi oleh Metalterus.com.my. EKSTRIM adalah sebuah media penulisan yang amat terbuka untuk semua rakyat Malaysia yang ketagih dengan muzik metal, yang ingin menulis tetapi tidak mempunyai platform untuk penyiaran hasil tulisannya, yang mahu belajar untuk menulis, malah yang mahu ditulis tentang dirinya… di laman EKSTRIM adalah tempatnya.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
SUFIAN MOHAMED SALLEH
[email protected]
(Webmaster/Ketua Editor/Jurnalis)

 
KEMBALI
 
Hosted by www.Geocities.ws

1