|
Dislocated
Cerebrum ditubuhkan pada Jun 2003 di Kuala Lumpur. Pada mulanya band ini
menggunakan nama False Theori dan mempertaruhkan konsep experimental metal
dalam karya ciptaan mereka sehinggalah lahirnya sebuah EP daripada mereka
yang bertajuk "...The Way We See It" pada Ogos 2004. Namun konsep yang
dipertaruhkan mereka tidak lama berikutan pertukaran ahli yang agak kerap
terutamanya di posisi gitar dan drum. Rombakan besar-besaran telah
dilakukan pada penghujung 2004 dimana beberapa ahli yang tinggal
memutuskan untuk kembali ke asal dengan konsep death metal dan goregrind
dengan pengaruh Carcass, Death, Impaled, Obituary, Pungent Stench serta
band-band seangkatannya. Berserta kehadiran ahli-ahli baru, Dislocated
Cerebrum kembali bernafas. Mereka memutuskan untuk membawa konsep yang
dinamakan Melodic Gore Metal hasil percampuran idea dan minat setiap ahli
yang ada. Mereka telah menukar nama band kepada General Surgeri
berdasarkan konsep yang mereka bawa namun nama tersebut juga tidak dipakai
lama disebabkan sebuah band goregrind dari Sweden terlebih dahulu
menggunakan nama tersebut. Kerana tidak mahu terus dibelenggu kontroversi,
mereka memutuskan untuk menggunakan nama Dislocated Cerebrum sebagai nama
baru yang belum diguna-pakai oleh mana-mana band. Mereka mula menerima
tawaran bermain di gig-gig sekitar Lembah Klang pada Februari 2005 dan
sehingga kini masih terus aktif meledak dengan persembahan-persembahan
mereka. Pada Jun 2005 mereka telah menghasilkan sebuah promo demo yang
bertajuk "...Of Physical Evulsion And Serenade Bedlam" yang diedarkan
secara kecil-kecilan di kalangan rakan-rakan. Kini Dislocated Cerebrum
dibarisi oleh Mie (bass), Aizad (drum), Lan (gitar), Hazree (gitar), Ify (vokal)
dan Noyz (vokal).
Aizad adalah pemain drum baru bagi Dislocated Cerebrum berikutan
pengunduran pemain drum lama disebabkan beberapa masalah peribadi yang
tidak dapat dielakkan. Pada masa ini mereka sedang giat membuat latihan
untuk memenuhi undangan gig yang mereka terima dan juga untuk sebuah EP
yang bakal dirilis pada Februari 2006 nanti. Mereka juga terlibat dalam
sebuah album kompilasi Tribute To Sil Khannaz yang bakal dikeluarkan oleh
North Poem Record pada Jun 2006 nanti di samping sebuah kompilasi yang
dirancang oleh PJ Metal Horde. |