+ Prinsip Rekabentuk Laman Web: Faktor Pengguna

  Merekabentuk sesuatu laman web bukanlah boleh pandang remeh. Terdapat beberapa perkara asas yang penting perlu diketahui dan dilaksanakan semasa membangunkan sesebuah laman web. Faktor-faktor seperti grafik antaramuka dan mesra-pengguna sering diabaikan.

Mesra Pengguna
Sesebuah laman web mestilah mempunyai menu utama di mana ianya menjadi asas navigasi ketika pengunjung melayari laman web tersebut. Kesemua jaringan (link) hendaklah mudah dicapai dan terletak di satu tempat yang tidak berubah untuk kesemua halaman. Pengunjung tidak akan tersesat ketika melayari laman web sekiranya menu utama atau jaringan disusun secara mesra-pengguna.

Kombinasi warna yang tidak terlalu contrast juga memainkan peranan semasa merekabentuk laman web. Bukan sahaja ianya membuatkan sedap mata memandang malahan mampu membezakan bahagian yang penting kepada yang tidak berapa penting.

Penggunaan HTML yang biasa (tidak menggunakan scripting yang terlalu canggih) dapat menyokong kesemua pelayar internet. Pengguna tidaklah perlu mendownload plugin tambahan untuk melihat laman web tersebut. Contohnya, dalam penggunaan Flash anda hendaklah memberi pilihan kepada pengguna supaya mereka boleh melihat laman web anda secara HTML biasa atau menggunakan Flash Player.

Pada kebiasaannya, sesuatu halaman di dalam sesebuah laman web hendaklah dibuat secara optimum. Ini bermakna saiz fail HTML tersebut hendaklah tidak lebih daripada 60Kb. Jumlah 60Kb itu termasuk dengan saiz kesemua grafik dan HTML. Saiz ini adalah yang terbaik bagi pengunjung menunggu laman anda diload dengan kadar yang cepat. Umumnya, pengguna tidak mahu menunggu lebih daripada tempoh tertentu untuk melihat sesebuah laman web. Elakkan daripada menggunakan terlalu banyak imej, imej animasi GIF yang terlalu besar saiznya, menggunakan banyak table dan penggunaan applet yang berat.

Grafik Antaramuka
Antaramuka (Interface) adalah penting kerana ia menentukan identiti laman web. Penggunaan warna, bar navigasi, logo dan cara persembahan hendaklah dirancang dahulu sebelum laman web itu dibangunkan.

Perancangan secara mapping perlu bagi menentukan kelancaran sesebuah laman web. Buat satu carta aliran untuk setiap halaman yang akan dimasukkan ke dalam laman web anda.

Antaramuka pula bergantung kepada konsep dan tujuan kita merekabentuk sesebuah laman web. Jika laman web tersebut untuk korporat maka persembahannya hendaklah kemas dan eksklusif. Penggunaan warna korporat di samping imej korporat hendaklah digabung dengan harmoni.

Pada kebiasaannya, pembangunan laman web persenidirian adalah bebas dari segi konsep dan persembahan. Ini terserah kepada individu untuk membuatkan laman webnya sesuai dengan dirinya. Bagaimanapun, laman web yang baik mestilah yang disukai oleh ramai pengunjung kerana mempunyai antaramuka yang cantik dan juga senang untuk dilayari.

Sering terjumpa laman web yang mempunyai antaramuka yang tidak bagus kerana ianya tidak seragam untuk keseluruhan laman webnya. Ini membuatkan pengunjung susah untuk melayari laman web tersebut. Kedudukan grafik yang tidak tersusun, susunan huruf yang tidak sesuai juga kedudukan menu utama yang tidak sesuai membuatkan pengunjung bosan untuk terus melayari laman web tersebut dan mungkin tidak akan kembali untuk melihatnya.

Kesimpulannya, memastikan kepuasan hati pengguna adalah faktor yang penting sekiranya mahu menjadikan laman web anda digemari ramai.

*** Re-edit form Sifoo.Com

Hosted by www.Geocities.ws

1