|
+
The Letter
|
Dalam kesuraman ultra lembayung tika tujuh bulan menumpahkan cahaya dibawah kaki langit
khirmizi, tiba-tiba aku terkenangkan eurika nostalgia cinta lama yang kita palitkan
berdua. Kehadiranmu bersama molekul-molekul hidrogen menerjang segala kekusutan yang membelit tali
perutku. Dan kehadiranmu itu mengajar aku erti rindu gelora dan shahdu. Kau juga mengajarku erti
cinta, singa laut, beruang kutub, penguin, kambing salji, mi rebus, cendol,
koridor, kotak pensil, tali kasut dan pasu bunga.
Kala itu, kita bagaikan Nobita dan Sizuka. Kau dan aku umpama Kurt Cobain dan Rafeah Buang yang tidak dapat
dipisahkan. Malangnya percintaan yang mendapat liputan meluas hingga ke planet Ziku itu telah mengundang perpisahan yang akhirnya telah mengecewakan seluruh penternak lipan di Burma. Kau pergi jua ketika Kuala Lumpur sedang bersiap sedia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 1998.
Sesungguhnya perpisahan itu berpunca daripada penebangan pokok getah secara besar-besaran di Lembah
Klang. Pemergianmu menyebabkan aku menghidap penyakit resdung dan hepatitis-Q secara
mengejut.
Ketiadaanmu memaksa aku memakai topi keledar setiap masa sebagai langkah
keselamatan. Aku seperti tidak percaya dengan apa yang telah terjadi. Aku bagaikan tergelincir dari orbit bumi dan terpelanting ke ruang
angkasa, apabila daya tarikan graviti terhadapku tiada lagi berfungsi setelah
aku tersungkur dalam percintaan yang berlarutan hingga ke rubber-set. Seluruh perjalanan hidupku menjadi gelita bagaikan terperangkap di dalam gua yang gelap dan ditemani stlagit dan stlagmit yang bagai
sembilu.
Kondominium cinta yang kita bina dari mudguard basikal dan kipas helikopter akhirnya musnah setelah kau berpaling
tadah. Ternyata sikapmu mulai berubah bila Malaysia mula melancarkan satelit MEASAT-1 ke ruang angkasa
raya. Sejak itu kau sering melarikan diri bila terserempak dengan abang iparku. Akhirnya aku menyedari bahawa diri ini tidak diperlukan
lagi.
Sejak kau tiada, aku sering menyendiri berbual-bual dengan pokok betik untuk mengisi masa
lapang. Kadang-kadang aku mengikat botol oren pada tiang rumah agar nampak lebih
cantik. Saban hari aku termenung di dalam peti sejuk mengenangkan dirimu yang entah kemana
menghilang. Aku cuba bermain badminton sambil makan mi hailam untuk melupakanmu, tetapi aku tak
berdaya. Lalu aku membakar mesin basuh dan membelasah empat ekor itik serati jiran sebelah sebagai tanda aku tidak
bersalah.
Mengapa? Mengapa sayang? Mengapa ini semua bisa terjadi? Mengapa setelah kau curi
hatiku, kau rompak cintaku lantas kau bunuh cintaku sehingga kau terbunuh dalam kemalangan cinta yang
ngeri. Aku bagaikan terhimpit dan dihimpit oleh guni-guni batu yang kau timpakan di atas
belakangku. Derita yang kautimpakan itu adalah bebanan yang terlalu berat untuk ku tanggung bagaikan mendukung 75 ekor biawak dan 386 ekor anak
beruk. Dan kini segala harapanku hancur berkecai bagaikan aku terjatuh dari Menara Kuala Lumpur dan dihempap oleh Menara Berkembar Petronas lalu tersangkut di celah landasan LRT dan kemudiannya digilis pula keretapi Komuter hingga aku hancur
berkecai. Oh! terlalu berat dugaan yang kutempuhi kini.
Kini segalanya telah pun berakhir. Aku sedar siapa aku. Aku hanya insan biasa yang suka makan mi
segera. Aku bukan McGyver, McDonald's, Superman atau Kesatria Baja Hitam. Aku juga bukanlah Ultraman seperti yang kau
idam-idamkan. Aku menyedari kekurangan diri dan kekurangan kemudahan awam di tempat
sendiri. Tak perlu dikesali lagi kerana nasi telah menjadi capati dan tin sardin yang ku genggam ini telah pun luput
tarikhnya. Segalanya sungguh mengharukan dan semua hadiah pemberianmu termasuk enjin kapal selam telah pun aku cincang untuk dibuat makanan
lembu.
Walaupun segalanya telah pun berakhir, disini, diatas pokok getah ini aku tetap menunggu kau akan
kembali. Selagi ada nafas ini, selagi ada kompleks membeli-belah SOGO, selagi ada kedai kasut selipar di sekitar Argentina, selagi kumpulan Metallica tidak
berpecah, aku tetap menunggumu sehinggalah mentari terbelah lapan. Namun aku menyedari bahawa penantianku hanyalah sia-sia
belaka. Akhirnya aku mengambil keputusan mektamad untuk menunggu tiang elektrik dihadapan rumahku
berbuah.
Kalau tiang elektrik berbuah nanti, aku poskan buahnya kepadamu. Nak tak? |
|
|